Kosmo Online - Hiburan |
- Kombinasi padu Sami, Siti
- 'Anak menyusahkan!' -Jennifer Aniston
- Elly Mazlein belum tetap tarikh kahwin
Posted: Kombinasi padu Sami, SitiJERITAN yang melaungkan nama Sami (Yusuf) kedengaran sebaik sahaja kaki melangkah ke dalam Stadium Tertutup Singapura di Kallang, Singapura pada Ahad, 8 Julai lalu untuk menyaksikan konsert julung-julung kali di negara jiran Malaysia itu. Jam ketika itu menunjukkan tepat pukul 9 malam menyaksikan ruang stadium yang dibanjiri lebih 3,000 penonton, rata-ratanya warga Singapura yang nyata tidak sabar-sabar lagi menantikan kemunculan Sami Yusuf. Vokal penyanyi kelahiran Tehran, Iran yang dibesarkan di London dan pernah dilabelkan oleh majalah berprestij, Time sebagai Bintang Rock Islam Terbesar itu tiba-tiba bergema di sebalik tirai yang merentangi pentas, mengalunkan lagu, Salaam. Bersesuaian dengan judul konsertnya, Salaam Tour Sami Yusuf 2012, Salaam menjadi lagu pembuka tirai persembahan Sami yang muncul di pentas mengenakan kot yang dipadankan dengan seluar jean. Bagi yang tidak mengenali Sami, pasti melihat figura berusia 31 tahun itu sekadar seorang lagi penyanyi nasyid dari Timur Tengah. Namun ternyata, tanggapan itu bersisa menjadi suatu stigma klise. Persembahan bertaraf antarabangsa itu sebaliknya menyaksikan Sami mengalunkan lagu-lagunya sambil diiringi elemen muzik yang biasa diminati majoriti anak muda hari ini hasil gabungan peralatan muzik moden terutama gitar dan dram. BERTARAF dunia. Kehebatan pentas konsert Salaam Tour Sami Yusuf 2012 di Singapura yang terserlah. Menyampaikan 22 buah lagu seperti Healing, The Source, Ya Muhammad, Make Me Strong, Sami tidak ketinggalan menunjukkan kebolehannya bermain peralatan muzik, terutama piano semasa mendendangkan lagu My Ummah. Tidak sekadar menyanyi, Sami bijak mengawal pentas dengan melontarkan bicara khusus buat pengunjung konsert tersebut. "You still got energy (Anda masih ada tenaga)," ungkapnya yang pantas meraih respons berupa sorakan kuat daripada sekalian pengunjung tersebut. Kemunculan figura pujaan nombor satu Malaysia, siapa lagi kalau bukan Datuk Siti Nurhaliza di pentas konsert itu sukses dalam menaikkan lagi momentum keterujaan penonton. Berduet menerusi lagu You Came To Me, Sami dan Siti dilihat saling melengkapi antara satu sama lain menerusi vokal, aura dan penampilan mereka di pentas. Biarpun sekadar satu lagu, namun ia ternyata suatu kombinasi padu antara Sami dan Siti, yang pastinya menjadi tarikan buat peminat di Malaysia untuk menyaksikan pula mereka menerusi Salaam Tour Sami Yusuf 2012 di Stadium Malawati pada Sabtu, 14 Julai ini. Selain Siti yang muncul solo mendendangkan Lagu Rindu, kolaborasi Sami bersama kumpulan Mohram juga sukses dalam menjana suatu persembahan yang indah pada konsert tersebut. Saling memuji PENYATUAN aura, emosi dan penampilan Sami bersama Siti di pentas konsert untuk lagu You Came To Me antara tarikan utama konsert Salaam Tour Sami Yusuf 2012. Apa yang nyata, Sami dan Siti saling memuji antara satu sama lain dan mengakui berbangga dapat menjalinkan kolaborasi bersama. "Saya berbangga dapat berkolaborasi dengan Siti Nurhaliza. Dia seorang wanita sejati," luah Sami ketika diminta memberikan pandangan peribadinya tentang Siti. Tambahnya: "Siti memiliki vokal, aura dan personaliti yang indah. Dia merupakan simbol penyatuan dan identiti di rantau Asia Tenggara ini. Saya sangat bertuah kerana berpeluang menjalinkan kerjasama dengan Siti." Mengenai pemilihan Siti untuk berkolaborasi dengannya menerusi konsert di Malaysia dan Singapura, Sami menegaskan antara faktornya adalah kerana Siti memiliki sifat keperibadian yang terpuji. "Untuk menjadi seorang penyanyi yang bagus bukan hanya bersandarkan kepada vokal semata-mata, tetapi perlu ada sifat peribadi yang baik seperti menghormati orang lain dan itu yang saya nampak salah satu ciri yang dimiliki oleh Siti," ujarnya. Siti pula melahirkan perasaan keterujaannya kerana dapat berkolaborasi dengan Sami, sementelah dia berasa selesa dalam menjalinkan kerjasama dengan figura yang diberi jolokan Muslim British Paling Terkenal di Dunia oleh akhbar British, The Guardian itu. SAMI (kanan) pada sidang akhbar semalam bersempena konsertnya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor menjelang Sabtu ini. "Terima kasih kerana memberi peluang ini buat Siti, terutamanya berduet dengan Sami untuk lagu You Came To Me. Ia sesungguhnya suatu ruang yang baik buat Siti sebagai artis untuk dikenali peminat muzik dari luar negara terutama dari Timur Tengah,"' akuinya yang turut memberitahu bakal muncul dengan album penuh baharu menjelang hujung tahun ini. Ungkap Siti lagi: "Sejak klip video lagu You Came To Me boleh diikuti di YouTube, ia nyata telah meraih respons memberangsangkan daripada peminat muzik luar negara terutamanya peminat Sami yang menyambut baik duet Sami dan Siti itu. Ia permulaan yang baik untuk karier Siti di masa depan." | |
'Anak menyusahkan!' -Jennifer Aniston Posted: 'Anak menyusahkan!' -Jennifer AnistonJENNIFER ANISTON JENNIFER ANISTON menegaskan dia tidak percaya akan kewujudan kehidupan sempurna. Aktres berusia 43 tahun yang kini sedang menjalinkan hubungan dengan aktor Justin Theroux mengakui biarpun ramai yang tertanya-tanya tentang sama ada dirinya akan berkahwin sekali lagi atau memulakan kehidupan berkeluarga, namun perkara tersebut bukan sesuatu yang membimbangkan dirinya. Sebaliknya kata Aniston, dia kini belajar untuk selalu positif dan gembira dalam hidup tanpa perlu mengejar apa yang tidak akan diperolehnya. Menjawab soalan wartawan majalah lelaki GQ versi Sepanyol tentang kehidupan peribadinya dalam satu temu bual baru-baru ini, ujarnya: "Kehidupan sempurna? Saya fikir ia sesuatu yang klise. Macamlah, kalau kamu mahu bahagia, kamu perlu ada rumah, suami dan anak. Anak-anak menyusahkan!" Aniston sebelum ini berkahwin dengan aktor Brad Pitt, namun mereka bercerai selepas Aniston dikatakan enggan melahirkan anak kerana lebih mementingkan karier lakonannya. Pitt kini sedang berbahagia bersama pasangannya, aktres Angelina Jolie serta enam orang anak mereka. Aniston pula dilihat semakin serius dalam hubungannya dengan Theroux yang mula terjalin sejak Mei tahun lepas apabila bekas bintang siri TV popular Friend itu dilaporkan telah membeli sebuah rumah agam bernilai AS$21 juta (RM67 juta) di Beverly Hills, California untuk dijadikan kediaman mereka bersama. | |
Elly Mazlein belum tetap tarikh kahwin Posted: Elly Mazlein belum tetap tarikh kahwinOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
TANGGAL 29 Mei 2011 pastinya menjadi momen indah buat penyanyi dan pelakon, Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi, 31, atau Elly Mazlein apabila mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihannya iaitu Azmi Hata, 37, yang juga merupakan seorang pengarah drama. Mengimbas semula majlis pertunangan mereka yang berlangsung di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, Kuala Lumpur, ia diadakan dalam majlis yang serba mewah. Malah, Elly turut dibawa menaiki kereta kuda menuju ke dewan. Mengikut perancangan pasangan itu sepatutnya diijabkabulkan pada Februari lalu, namun pelantun lagu Sutera Kasih itu pernah memberitahu perkahwinan mereka terpaksa ditunda pada bulan Disember 2012. Bagaimanapun, Elly yang ditemui pada penggambaran drama Bazar Al-Mubarak baru-baru ini menyatakan tidak dapat memberikan tarikh rasmi mengenai majlis pernikahan mereka. Kosmo!: Sudah lebih setahun bertunang, adakah tarikh pernikahan Azmi dan Elly sudah ditetapkan? ELLY: Sebenarnya masih belum ada lagi tarikh yang betul-betul rasmi untuk majlis pernikahan kami. Kalau boleh saya ingin berkahwin segera kerana kami pun sudah bertunang agak lama. Apakah yang menyebabkan kalian berdua belum mendapatkan tarikh yang sesuai? Semuanya disebabkan kesibukan saya dan Azmi dalam kerjaya masing-masing. Saya sangat bersyukur kerana pada tahun ini tawaran berlakon yang saya terima tidak putus-putus, manakala Azmi pula sibuk dengan kerjayanya sebagai pengarah. Malah, semasa bertunang pada tahun lalu pun saya cuma bercuti selama dua hari sahaja sebelum kembali menjalani penggambaran. Jadi, jadual kerjaya kami memang sentiasa padat buat masa sekarang. Pada jangkaan anda, adakah kalian akan tetap mendirikan rumah tangga pada tahun ini atau mungkin ditangguh ke tahun hadapan? Kalau nak diikutkan saya memang mahu berkahwin pada tahun ini, namun semuanya bergantung kepada keadaan kami berdua. Disebabkan itu saya tidak boleh memberikan jawapan yang kukuh mengenainya. Bagaimanapun, kalau kami sudah bersedia dan mendapat tarikh yang sesuai, saya sendiri akan umumkan kepada media dan peminat. Lagipun, saya memang tidak keberatan untuk berkongsi tentang hari bersejarah kami kepada umum. Apakah perkembangan kerjaya anda sekarang? Ketika ini saya sedang sibuk menjalani beberapa penggambaran drama dan telefilem. Yang terbaharu, saya kini menjalani penggambaran drama sitkom berjudul Bazar Al-Mubarak yang akan ditayangkan pada bulan Ramadan ini. Asyik sibuk dengan dunia lakonan, bagaimana pula dengan karier sebagai penyanyi? Karier nyanyian saya masih lagi diteruskan dan banyak terlibat dengan beberapa projek seperti merakamkan lagu runut filem iaitu Awan Dania The Movie dan Aku, Kau Dan Dia. Pada bulan puasa ini saya akan berehat sebentar daripada dunia lakonan kerana akan masuk studio untuk menghasilkan single terbaharu. Cuma, saya tidak dapat menceritakan lebih lanjut mengenainya, tetapi lagu sudah ada dan kini tinggal masa untuk merakamkannya sahaja. Anda dilihat bertudung. Adakah ini penampilan terkini anda? Ketika ini saya masih lagi belum bertudung dan penampilan saya sekarang ini kerana menjalani penggambaran drama yang sedang saya lakonkan sekarang. Dalam drama ini saya membawakan watak sebagai Milah, seorang janda yang berniaga kuih-muih di bazar semasa bulan Ramadan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |