Adsense

Rabu, 11 Julai 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Terharu diterima peminat Melayu

Posted: 10 Jul 2012 06:25 AM PDT

SELAMA ini ramai peminat hiburan mengenali artis keturunan Cina seperti Nancy Foo, Wendy Wong, Elaine Kang, Louisa Chong, Angeline Tan dan Sara Loo. Ini disusuli dengan kemunculan barisan artis pelapis seperti Vince Chong, Karen Kong, Suki dan Daniel Lee yang turut berjaya menjadi artis rakaman dan merakamkan lagu Melayu.

Ketika ini pula muncul seorang lagi selebriti keturunan Cina yang cuba mencari ruang untuk menambat hati peminat Melayu. Berasal dari Petaling Jaya, Selangor, jelitawan itu tidak lain daripada Soo Wincci, 26.

Penyandang gelaran Ratu Cantik Malaysia 2008 ini nyata semakin popular sejak muncul dalam program realiti masakan popular di Astro Ria, MasterChef Selebriti Malaysia (MSM).

Namun bukan saja dunia masakan yang digemari Soo kerana dia juga sedang bersiap sedia menjadi artis rakaman dengan album sulungnya dalam bahasa Melayu sedang dipantau komposer handalan Ajai.


Berbicara mengenai MSM, Soo akui dia memang minat bidang masakan sejak berusia lima tahun lagi. Malah ketika kecil, dia selalu menemani ibunya ke dapur dan rajin membelek buku resipi masakan.


"Tambahan pula apabila saya belajar di luar negara dulu, saya sudah terbiasa masuk ke dapur untuk memasak sendiri. Selama dua tahun menetap di United Kingdom, perkara rutin saya di rumah adalah memasak.

"Apapun penyertaan saya dalam Masterchef Selebriti ini sebenarnya adalah atas 'paksaan' dua pengurus saya iaitu Dominic dan Wan. Mereka tahu saya suka memasak, jadi mereka yang beria-ia suruh saya masuk program itu," kata Soo dalam pertemuan khas di Studio Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Kata Soo, dia sendiri tidak pernah terfikir yang suatu hari nanti dia kena memasak di depan kamera.

"Itulah yang paling mencabar. Selalunya kalau masak di rumah, kita boleh buat apa yang kita suka sebab orang tidak nampak. Ini tidak, saya dan semua peserta lain kena memasak mengikut resipi yang diberikan di depan kamera dan dalam waktu yang sangat singkat! Siapa yang tak rasa tertekan?" ujarnya.

Soo berkata, dia tetap tabah mengharungi setiap tugasan. Katanya, apatah lagi masih ada stigma beranggapan wanita cantik biasanya tidak pandai memasak atau malas ke dapur.

"Itu memang salah. Bagi saya kecantikan rupa seseorang wanita itu adalah satu bonus. Semuanya bergantung kepada kesedaran diri dan cara pembesaran seseorang itu dalam keluarga. Memasak juga perlu dipupuk dengan minat. Kalau ada semua itu, sesiapa saja boleh memasak kerana ia suatu hobi yang sangat menyeronokkan dan tiada batas sempadan.

"Pun begitu tidak dinafikan bidang masakan hari ini semakin dimonopoli lelaki. Bagi saya, sama ada lelaki atau wanita, semua orang sama saja. Masing-masing ada kehebatan dan kekurangannya. Macam dalam MasterChef Selebriti juga, memang tak dinafikan artis lelaki nampaknya lebih menonjol. Peserta wanita hanya saya dan Juliza (Adzlizan) saja yang masih kekal," katanya.

Menyentuh soal MSM yang dikatakan penuh dengan drama yang sengaja dibuat-buat, Soo berkata, apa yang dipaparkan itu sebenarnya adalah kejadian sebenar. Masuk ke set, dia sendiri tidak tahu apa akan berlaku kerana segala-galanya mengikut 'mood' masing-masing.

"Bayangkan, kami biasanya buat rakaman setiap hari dari awal lagi hinggalah ke tengah malam. Kami buat semua ini bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada badan kebajikan yang kami wakili. Jadi, sudah tentu masing-masing ada impian untuk bergelar juara dan menang jumlah wang yang ditawarkan.

"Namun adat bertanding, tentu ada kalah dan ada yang menang. Apapun yang penting, kami semua bagaikan satu keluarga dan ada kalanya berselisih faham juga. Bagaimanapun, semangat juang saya berkobar-kobar untuk mara ke final. Harapan saya, semoga usaha saya berjaya," katanya yang mara bersama Datuk Dr Fadzley Yaccob, Angah Raja Lawak, Farouk Hussein selain Juliza.

Apakah impak sampingan lain selepas menyertai MSM?

"Saya rasa sangat seronok kerana sepanjang menyertai MasterChef Selebriti, banyak perkara baru yang tidak pernah saya tahu mengenai masakan dapat dipelajari daripada chef yang lebih berpengalaman. Ia satu ilmu yang sangat berharga. Selain itu, apa yang paling menyeronokkan saya, selepas masuk rancangan ini, ramai peminat Melayu mula kenal Soo Wincci.

"Malah apa yang membuatkan saya benar-benar terharu, ada peminat Melayu sanggup mendengar siaran radio berbahasa Cina semata-mata mahu dengar saya menyanyi lagu Mandarin. Ia memang satu impak yang tak pernah saya jangka," katanya.

Menurut Soo, sokongan peminat itu cukup membawa makna baru kepadanya memandangkan dia juga akan muncul dengan 'single' Melayu tidak lama lagi.
Katanya, sebagai artis bukan Melayu, apa yang dirasainya sekarang cukup berbaloi.

"Ia menaikkan lagi semangat saya untuk menjadi artis dalam aliran 'mainstream'. Bukan apa, selepas bertanding dalam Ratu Cantik Malaysia/Dunia pada 2008 dan 2009 serta aktif berlakon, ia masih belum cukup untuk melonjakkan nama saya untuk dikenali ramai. Apapun, situasi berlainan selepas penyertaan saya dalam program masakan ini.

"Sekarang, kalau saya ke kompleks beli-belah pun orang sudah mula tegur. Justeru, saya amat gembira dan ini permulaan yang sangat baik dan tepat. Saya akui MasterChef Selebriti berjaya membawa nama saya ke tahap lebih baik. Jadi saya kena berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit," katanya.

Soo berkata, mungkin juga inilah rezekinya. Single pertamanya itu akan muncul sekitar Julai ini manakala album pula bakal menjengah pasaran pada September nanti.

Album Melayu Soo itu memuatkan empat lagu karya terbaru Ajai.

Katanya, dia memanglah serius apabila mahu menceburi bidang nyanyian mahupun lakonan kerana sedar seseorang artis itu kena memberi sepenuh komitmen dan berpegang kepada disiplin.

"Saya sangat kagum dengan kejayaan artis Malaysia seperti Tan Sri P Ramlee, Datuk Sudirman, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Michele Yeoh. Mereka antara anak seni yang benar-benar hebat dan patut kita contohi," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/10


Kuiz hargai pendengar

Posted: 10 Jul 2012 06:21 AM PDT

SEBAGAI satu strategi mempromosikan stesen radio kepada pendengar, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran Nasionalfm serta Klasik Nasional melancarkan Kuiz Kenali Nasionalfm dan Kuiz Ulang Tahun Ke-6 Klasik Nasional, baru-baru ini.

Majlis Pelancaran Kuiz Kenali Nasionalfm dan Kuiz Ulang Tahun Klasik Nasional ... Terbang Ke Kashmir Bersama Honey Vacation disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik), Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Ia antara lain menyaksikan pendengar setia dua stesen radio itu berpeluang memenangi hadiah utama pakej pelancongan ke Kashmir apabila mereka menyertai dua kuiz itu.

Turut berlangsung, Majlis Menandatangani Usaha Sama Antara Klasik Nasional & Nasionalfm bersama wakil penaja, Honey Vacation Travel & Tours Sdn Bhd. Ia dihadiri Timbalan Pengarah Program Radio, Siti Mohani Saad; Pengurus Nasionalfm, Mohamed Ayub Syed Mohamed dan Pengurus Klasik Nasional, Sharifah Norihan Syed Salleh.


Dr Ahmad Jailani berkata, penganjuran majlis ini membuktikan radio terus mendapat tempat daripada pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam program yang disiarkan.


"Terima kasih kepada Abu Hasan dan pihak penaja yang sudi bekerjasama dan juga menaja rancangan kuiz di dua stesen secara serentak. Nasionalfm dan Klasik Nasional adalah stesen tonggak RTM dan juga stesen yang mempunyai ramai pendengar.

"Oleh itu amat bersesuaian sekali kuiz ini diadakan di kedua-dua stesen popular itu terutama Nasionalfm sebagai sebuah stesen baru yang menggantikan Muzikfm sebelum ini. Apa yang diharapkan, kuiz ini dapat membantu meningkatkan jumlah pendengar Nasionalfm dan menjadikan Nasionalfm lebih dekat di hati mereka.

"Bagi Klasik Nasional yang meraikan tahun keenam ke udara, program stesen ini diperhebatkan dengan tawaran pakej pelancongan ke Kashmir. Kalau diukur dari segi pencapaian, Klasik Nasional antara stesen yang mencapai jumlah kutipan iklan tertinggi juga mempunyai pengikut di kalangan orang lama yang sememangnya berminat dengan lagu Melayu malar segar dan klasik.

"Jadi selain sebagai satu cara untuk berterima kasih kepada kesetiaan mereka sebagai pendengar, sudah pasti kuiz ini turut membuka ruang untuk mereka menghabiskan masa yang terluang melancong bersama warga kerja Klasik Nasional yang akan turut serta.

"Program seperti ini sememangnya menarik kerana ia membuka peluang kepada pendengar untuk bersaing secara sihat bagi merebut hadiah yang ditawarkan penaja.

Selain itu, ia juga boleh membawa pendengar untuk mengenali kebudayaan dan tradisi negara orang. Lebih-lebih lagi di India yang kita sedia maklum antara tujuh keajaiban dunia ada di sana iaitu Taj Mahal," katanya.

Kuiz ini mula menemui pendengar sejak 1 Julai lalu. Untuk memenangi peluang percutian yang menarik ini, pendengar perlu menjawab satu soalan yang akan diajukan ketika program ke udara.

Di samping itu, pendengar dikehendaki mengumpul dan memberi jawapan tepat kepada sembilan soalan mingguan. Seterusnya pendengar hendaklah melengkapkan slogan khas.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/10