Adsense

Isnin, 9 Julai 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Ikrar cinta Azhar, Ella

Posted:

Ikrar cinta Azhar, Ella

KEADAAN rumah yang bergelap akibat gangguan bekalan elektrik selama dua jam bermula pukul 8 malam ternyata tidak mengganggu emosi kedua-dua mempelai, ratu rock negara, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 46, untuk disatukan dengan belahan jiwanya, Azhar Husaini Ghazali, 31, di kediaman abangnya, Mohd. Noor Izam yang terletak di Jalan Gelama, Telok Gadong, Pelabuhan Klang, Selangor, malam Sabtu lalu.

Majlis yang dijadualkan bermula sekitar pukul 9 malam akhirnya terpaksa ditunda sehingga satu jam gara-gara situasi yang tidak diduga itu.

Namun, saat ditanya perasaan mempelai yang sama cantik sama padan itu, Azhar yang lebih senang menjawab segala pertanyaan pihak media berkata, dia menganggap ia sebagai satu situasi yang biasa akan berlaku bagi penggunaan elektrik yang melebihi biasa.

Malah, juruterbang syarikat penerbangan Firefly itu juga ada menyuarakan hasrat untuk menjalankan upacara pernikahan itu menggunakan nyalaan lilin tetapi benarlah kata pepatah, kalau sudah jodoh tidak ke mana kerana tepat pukul 10 malam, situasi tersebut berjaya diatasi.

"Saya bersyukur kerana majlis pertunangan dan pernikahan kami yang berlangsung serentak hari ini (kelmarin) berjalan lancar terutama apabila semua perkara positif ada pada hari ini," katanya pada sidang akhbar yang diadakan usai majlis pernikahan tersebut.

Pasangan tersebut ditunangkan kira-kira pukul 10 malam sebelum dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Telok Gadong, Baharuddin Abu Bakar pada pukul 10.35 malam. Noor Izam, 55, bertindak selaku wali bagi pernikahan tersebut.

Pada majlis yang diadakan cukup sederhana itu, Ella menerima mas kahwin berjumlah RM50,300 manakala wang hantaran dirahsiakan.

Rombongan lelaki membawa lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan. Antara barangan hantaran termasuk set cincin jenama mewah Bvlgari, wangian, buah- buahan, telekung dan sejadah serta kek.

ELLA dan Azhar saling berikrar untuk menjaga satu sama lain dengan baik.


Dengan berlatarbelakangkan lagu-lagu popular Ella termasuk Layar Impian, penyanyi terkenal itu nampak anggun hasil solekan jurusolek profesional, Saidatulnisa yang juga merupakan kakaknya selain mengenakan pakaian pengantin berwarna putih direka khas pereka fesyen popular, Syaiful Baharim.

Dia yang terkenal dengan perwatakan manja itu juga sekali sekala melentok liukkan badannya selain dilihat manja mengusik suami yang setia menemani di sisi.

Pasangan pengantin baharu yang mempunyai jarak perbezaan umur 15 tahun itu juga dilihat tenang ketika diajukan dengan persoalan termasuk mengenai perancangan bilangan anak.

Bagi Azhar, mereka sedia untuk menimang cahaya mata seberapa ramai yang dikurniakan Allah dan akan berusaha untuk itu.

"Kami sudah beberapa kali cuba untuk ke arah ini (kahwin) dan Alhamdulillah, pertemuan kali ini sungguh matang dan dia akhirnya terima bila saya melamar di hadapan ibunya, Yang Asmah Long pada Februari lalu.

"Ella seorang yang sederhana, sikap luaran dan dalaman dia memikat hati saya selain cara dia mengambil berat pada saya membuatkan kami serasi dan untuk itu saya yakin dia jodoh terbaik untuk saya," ujarnya.

Saat ditanya tentang jurang usia 15 tahun antara mereka dengan Ella lebih berusia daripada Azhar, penyanyi itu memberitahu jarak usia itu normal baginya terutama selepas banyak persoalan yang ditanya mengenai bila dia akan menamatkan zaman solo, akhirnya dia bersyukur apabila Allah menemukan dia dengan Azhar.

"Hari ini (kelmarin), Ella sudah tunjuk siapa suami Ella," sambil dengan manja menambah: "Ini suami saya dan saya isterinya," katanya lagi.

Ella yang ditanya mengenai lamaran daripada insan bergelar lelaki yang pernah dikenali sepanjang kariernya, bagaimanapun enggan mengulas lanjut namun mengakui dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri saat dilamar Azhar.


ELLA dan Azhar berharap dapat menunaikan haji bersama.


Malah, dia juga mengakui perbezaan yang perlu dihadapi selepas pernikahan itu adalah untuk memberitahu ke mana sahaja dia pergi kepada suami tercinta dan kenyataan itu disokong oleh Azhar apabila dia mengakui tidak akan menghalang perjalanan karier seni isterinya asalkan dia tahu batas-batasnya sebagai seorang isteri.

"Mungkin ramai yang tidak tahu, kami sebenarnya serasi dan selari apabila saya juga meminati muzik," katanya sambil mengakui mengenali Ella baru menjadi peminatnya.

Pasangan suami isteri ini bagaimanapun masih mahu menyimpan sedikit hal peribadi dan tidak mahu berkongsi dengan semua peminat terutama tentang hal berbulan madu.

Malah, mereka juga mahu berahsia tentang perancangan kehidupan selepas berkahwin apabila tidak mahu menghebahkan lokasi penginapan selepas ini tetapi tidak menolak ia tentunya di kawasan Lembah Klang.

Saat diajukan mengenai majlis pernikahan yang dipercepatkan, Azhar yang dipanggil 'sayang' oleh isterinya mengakui ia dibawa ke hadapan kerana pernikahan itu sendiri tambahnya membolehkan mereka senang merancang kehidupan dan bebas untuk berjumpa.

Mengikut perancangan awal, majlis pada malam itu adalah untuk pertunangan kedua mereka namun jodoh yang kuat akhirnya menyatukan hati pasangan sejoli tersebut.

"Kami berdua sibuk dan saya fikir, tidak salah untuk mempercepatkan majlis pernikahan ini. Niat suci yang ditambah pula dengan keredaan ahli keluarga kedua-dua pihak, eloklah dipercepatkan," ujarnya.

Malah, Azhar yang hanya mengambil cuti beberapa hari sahaja untuk majlis pernikahan itu turut melafazkan ikrar untuk menjadi seorang suami yang baik, bertanggungjawab dan boleh menyelesaikan masalah dan bebanan yang ditanggung isterinya.

Ella yang nampak terharu dengan pengakuan ikhlas itu turut melahirkan ikrar yang sama untuk menjadi isteri yang baik dan taat serta cuba untuk membahagiakan dan menyayangi suaminya itu.

Dia yang sudah lama hidup membujang juga mengakui akan belajar untuk menghadapi kehidupan berumahtangga.

"Semua ini ketentuan Allah, dari Allah dan saya akan belajar dan menghadapinya bersama-sama suami," katanya manja.

Pengarah Ahmad Idham belanja media

Posted:

Pengarah Ahmad Idham belanja media

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

PENGARAH filem 8 Jam, Ahmad Idham mengambil inisiatif membawa 30 wakil media untuk menyaksikan filem 8 Jam pada hari pertama tayangannya kerana pihak penerbit, MIG tidak melakukan majlis prebiu yang menjadi kelaziman setiap produksi untuk mempromosi filem baharu.


BIASANYA sebelum sesebuah filem baharu akan ditayangkan di pawagam, satu majlis prebiu diadakan oleh pihak penerbit bagi memberi peluang kepada pihak media untuk memberi ulasan terhadap filem tersebut.

Bagaimanapun, tindakan Metrowealth Pictures (MIG) yang tidak membuat majlis berkenaan untuk filem 8 Jam yang baru sahaja ditayangkan di pawagam pada 5 Julai lalu telah menimbulkan persoalan pengarah filem berkenaan iaitu Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Ia telah membuat pengarah tersebut mengambil inisiatif sendiri untuk mengundang rakan-rakan media menonton filem arahannya itu di pawagam di Cathay Cineplex, Damansara, Selangor pada hari pertama tayangan, termasuk mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli tiket.

Menurut Idham, selaku pengarah filem 8 Jam, dia sendiri berasa agak hairan kerana tidak diundang oleh MIG yang turut menganjurkan tayangan khas istimewa kepada peminat bertuah yang diadakan di MBO, Subang Jaya pada hari yang sama.

KOSMO!: Apakah tujuan Idham mengundang rakan-rakan media untuk menonton filem ini?

IDHAM: Saya terpaksa berbuat tindakan sebegini setelah mendapat tahu pihak penerbit langsung tidak membuat majlis prebiu kepada pihak media seperti kebiasaannya. Sedangkan, selaku pengarah saya sememangnya memerlukan ulasan daripada media untuk mendapatkan maklum balas mengenai filem ini serta mengenal pasti segala kelemahan yang boleh diperbaiki untuk saya menghasilkan filem pada masa akan datang.

Selaku pengarah, apakah komen anda terhadap filem ini?

Saya minta maaf kerana tidak boleh memberikan sebarang komen dan buat masa ini saya perlu membaca terlebih dahulu ulasan daripada rakan-rakan media yang sudah menonton filem dan bersedia menerima apa sahaja ulasan yang akan diberikan. Memandangkan pihak penerbit tidak membuat sebarang majlis prebiu sehingga hari pertama tayangan, jadi selaku pengarah saya mengambil inisiatif untuk mengajak rakan-rakan media sama-sama menonton filem ini dan telah mengeluarkan duit poket sendiri membeli 30 keping tiket.

Anda rasa hairan apabila pihak penerbit tidak membuat sebarang majlis seperti kelazimannya?

Memang saya berasa agak hairan kerana tiada sebarang majlis prebiu dilakukan, tetapi sudah menjadi hak penerbit untuk menganjurkannya atau tidak dan saya perlu menghormatinya.

Adakah situasi yang berlaku ini berpunca daripada pergeseran antara anda dan penerbit iaitu David Teo?

Bagi saya, tiada istilah pergeseran yang berlaku antara kami berdua kerana saya telah menjalankan tanggungjawab saya dengan baik sepanjang kami bekerjasama selama ini. Kalau memang saya ada menimbulkan masalah sehingga penerbit tidak puas hati, saya bersedia untuk berjumpa dan berbincang. Namun, sehingga kini mereka langsung tidak pernah menghubungi saya. Jadi, saya tidak tahu apa masalah yang timbul sebenarnya.

Adakah 8 Jam merupakan filem terakhir anda bersama MIG?

Ya. Filem ini merupakan filem ke-16 arahan saya dan kerjasama yang terakhir bersama MIG. Sebelum ini saya mengikat kontrak untuk menghasilkan 10 buah filem bersama mereka, namun filem 8 Jam ini dihasilkan menerusi persetujuan bersama dan tidak termasuk dalam kontrak sebelumnya. Kerjasama menghasilkan filem ini bermula apabila MIG mahu menghasilkan sebuah naskhah yang agak berlainan sempena penerbitan filem mereka yang ke-50. Malah, filem ini juga sebenarnya memang agak berbeza dengan filem-filem yang pernah saya arahkan sebelum ini.

Dem Lepak Boyz mahu buka studio

Posted:

Dem Lepak Boyz mahu buka studio

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my

KRU Dem Lepak Boyz terkejut diumumkan sebagai pemenang. Kemenangan tersebut membuka peluang buat mereka mengikuti bengkel tarian di Jerman.


SETELAH berhempas pulas selama tiga bulan, akhirnya kru Dem Lepak Boyz dinobatkan sebagai juara realiti tarian Showdown 2012 dalam satu persaingan sengit yang berlangsung pada Rabu lalu di KL Live, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, perjalanan Dem Lepak Boyz untuk menakluk pentas Showdown 2012 tidak mudah.

Mereka terpaksa berhadapan dengan dua lagi kru iaitu Project Elementz dan Soul Gang dalam persaingan final.

Pada peringkat awal persaingan berlangsung, kesemua kru harus mempersembahkan dua buah tarian bagi merebut tempat ke persaingan Battle yang hanya membabitkan dua kru untuk dinobatkan sebagai juara.

Beraksi di hadapan dua orang juri profesional iaitu Joe Flizzow dan Mapple Loo, ternyata kru Soul Gang tidak bernasib baik apabila gagal meneruskan persaingan ke peringkat Battle setelah mendapat peratusan undian terendah daripada penonton.

Menampilkan Dem Lepak Boyz dan Project Elementz yang beraksi di peringkat Battle, ternyata kedua-dua kru mendapat sorakan hangat daripada para penonton yang menyaksikan pertandingan tersebut secara langsung.

Bagaimanapun, kemenangan akhirnya berpihak kepada Dem Lepak Boyz apabila muncul sebagai juara Showdown 2012, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000.

SETIAP kumpulan memberi tentangan sengit demi merebut gelaran juara dan wang tunai berjumlah RM50,000.


Salah seorang ahli kru Dem Lepak Boyz, Mohammad Rizwan Mohd. Yasin berkata, mereka langsung tidak menyangka mampu bergelar juara kerana persaingan sengit daripada kedua-dua kru terutama sekali Project Elementz semasa aksi Battle.

"Ternyata usaha keras kami selama ini sememangnya cukup berbaloi dan sejak menyertai pertandingan ini sasaran kami sudah tentu untuk muncul sebagai juara.

"Kami akui perjalanan untuk bergelar juara bukanlah mudah kerana kesemua kru yang bertanding memang sangat hebat. Namun, segala usaha keras yang dilakukan telah membuahkan hasil apabila muncul juara," ujarnya.

Ketika ditanya apa perancangan yang dilakukan menerusi hadiah wang tunai yang dimenangi, Rizwan memberitahu, sebahagian wang tersebut akan digunakan untuk membuka sebuah studio tarian.

Ujarnya, dengan studio tersebut, mereka akan cuba untuk melatih bakat-bakat baharu dalam bidang tarian serta mahu menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang tersebut.

"Tidak dinafikan bahawa terdapat ramai yang berminat dan berkebolehan dalam bidang ini, cuma bakat yang ada perlu lebih lagi digilap. Selain mengajar, kami juga akan berkongsi pengalaman tentang pembabitan kami dalam dunia tarian," ujarnya.

Sementara itu, ahli kru Project Elementz yang sekadar muncul naib juara meluahkan rasa puas hati dengan keputusan tersebut yang dibuat menerusi undian 100 peratus daripada penonton.

Chiam Elaine yang juga salah seorang ahli kru Project Elementz menyatakan terlalu banyak cabaran yang terpaksa dilalui mereka terutamanya kecederaan yang berlaku terhadap beberapa ahli kru mereka.

PROJECT ELEMENTZ (kiri) tewas dalam pusingan Battle di tangan Dem Lepak Boyz untuk bergelar juara.


"Terima kasih kepada peminat yang telah mengundi sehingga layak untuk bersaing pada peringkat akhir. Biarpun tidak berjaya muncul juara, tetapi pertandingan ini telah menjadi platform kepada kami untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada," jelasnya.

Timba pengalaman

Selain memenangi hadiah wang tunai RM50,000, ahli kru Dem Lepak Boyz turut berpeluang untuk menjejakkan kaki ke sebuah bengkel tarian di The Urban Dance Camp yang terletak di Lorrach, Jerman.

Bakal bertolak ke Jerman pada 27 Julai sehingga 4 Ogos ini, mereka akan berada selama seminggu di sana untuk menimba pengalaman yang paling berharga serta mendapat pendidikan yang terbaik dalam tarian.

"Apa yang kami tahu, The Urban Dance Camp merupakan sebuah bengkel tarian yang sangat terkenal pada peringkat antarabangsa dan bersyukur kerana dapat menimba pengalaman di sana.

"Dengan segala yang dipelajari semasa bengkel itu nanti, kami akan kongsi segala pengalaman yang diperoleh serta dapat memperbaiki lagi persembahan tarian kami pada masa akan datang," ujar Rizwan.