Harian Metro: Rap |
Air mata mengiringi detik sejarah Ella Posted: 08 Jul 2012 07:37 AM PDT SEDANG sibuk penyanyi terkenal, Norzila Haji Aminuddin atau Ella bersandar membiarkan wajahnya disolek di dalam kamar pengantin, tidak semena-mena si ibu, Yang Asmah Long yang kini sudah berusia 85 tahun melangkah masuk menerpa dan menitiskan air mata. Sebalik perasaan gembira, syukur dan keterujaan peminat serta pelbagai pihak lain akan berita perkahwinan ratu rock negara, tiada siapa yang mampu menelah jiwa si ibu yang membesarkannya selama ini. Usah ditanya mengenai perasaannya, apatah lagi diajak berbicara soal pendapatnya selepas puteri kesayangannya juga anak bongsu perempuan daripada lapan adik-beradik ini akhirnya disunting menjadi isteri orang kerana air mata yang tidak henti mengalir sudah jelas menterjemah kisah jiwanya yang menjadi jawapan. Jelasnya, macam mana untuknya menyembunyikan perasaan sedangkan tidak lama lagi, anak kesayangan yang berusia 46 tahun ini akan menjadi milik orang.
"Syukur dan gembira saja yang mampu Mak Yang katakan apabila malam ini (kelmarin) Ella dilepaskan kepada seorang lelaki yang disifatkan paling sesuai untuk menjaganya. Namun rasa gembira itu masih tetap terselit sebak dan sedih kerana akhirnya dia berkahwin di depan mata Mak Yang. "Apa yang penting adalah nasihat Mak Yang kepadanya untuk menjadi seorang isteri yang taat, solehah dan sentiasa mengutamakan suaminya. Mak Yang harapkan suaminya mampu memimpin Ella menjadi lebih baik kerana sebagai ibu, Mak Yang inginkan yang terbaik buatnya. "Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan sekarang adalah masa untuk Mak Yang menanti cucu baru pula," kata ibu Ella dalam tutur lembut dan penuh ikhlas menceritakan perasaannya menyaksikan majlis pernikahan anaknya itu. Malam Sabtu lalu bertempat di kediaman keluarga penyanyi rock terkenal itu di Klang, Selangor, Ella dinikahkan dalam suasana sederhana dan penuh kemeriahan bersama pilihan hatinya, Azhar Husaini Ghazali, 31 tahun yang juga seorang juruterbang syarikat penerbangan tempatan. Sedar akan dirinya menjadi suami kepada penghibur terkenal negara, Azhar yang tampak romantis memeluk isterinya itu sepanjang temu bual mengharapkan perkahwinan mereka berkekalan. "Saya sukakan kesederhanaan Ella. Orangnya rendah diri dan mempunyai sikap penyayang yang begitu ikhlas membuatkan saya selesa mendampinginya. Keluarga juga menyayanginya dan begitu juga dengan keluarga Ella yang menerima saya seadanya. "Sejak awal mengenalinya, saya sudah jatuh hati dengan kelembutan dan sikap sederhananya yang membuatkan saya tidak pernah terfikir yang dia seorang penyanyi terkenal yang menjadi kesayangan peminat seluruh negara. "Apa yang penting, dia melengkapkan hidup saya dan sudah tentu saya berjanji untuk menjadi suami yang mampu membimbingnya ke jalan yang baik dan sempurna," katanya yang menyerahkan soal anak kepada takdir dan rezeki. Pertama kali diperkenalkan kepada umum, Azhar yang juga anak kelahiran Muar, Johor ini begitu selesa berdepan media dan memahami status isterinya yang menjadi tumpuan. Benarlah kata Ella sebelum ini, suaminya itu seorang yang memahami dan pandai menghormati orang. "Alhamdulillah dan syukur kerana apa yang kami impikan selama ini akhirnya jadi kenyataan malam ini. Saya yakin dan percaya Azhar adalah insan yang sudah lama ditakdirkan untuk saya kerana sikap matang dan ikhlasnya benar-benar menyentuh hati saya. "Insya-Allah, kami berdua akan bersama-sama membina kehidupan yang lebih baik dan indah selepas ini. Walaupun suami tidak pernah menghalang saya aktif sebagai penyanyi, namun sudah menjadi tanggungjawab untuk saya mengutamakannya dan pandai membahagikan masa. "Doa semua pihak terutama ibu dan keluarga akhirnya termakbul. Doakan kebahagiaan saya ke akhir hayat. Apa yang penting, semuanya sudah selesai dan saya tidak lagi berdepan persoalan sama yang menjerat diri sejak bertahun-tahun dulu. Saya sudah berkahwin dan inilah suami saya," katanya. Tambah Ella, ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini dan bulan madu, cinta yang ada antara mereka selama ini akan diraikan dengan menziarahi Tanah Suci bersama. "Kami merancang untuk mengerjakan haji bersama-sama sambil berbulan madu di sana. Itu lebih baik dan pastinya akan memberikan kami lebih makna dalam menghargai cinta yang ada. "Insya-Allah kami berdua akan cuba mencari kelapangan dan menyelesaikan segala kerja yang masih banyak ini terlebih dulu. Maklumlah kami berdua masing-masing terlalu sibuk dengan komitmen yang ada," katanya. Ella dan Azhar berkenalan sejak sembilan tahun lalu dan lebih menariknya, jelas Azhar, dia tidak pernah melamar Ella, sebaliknya Mak Yang adalah insan pertama yang diberitahu akan hasratnya untuk memperisterikan ratu rock terkenal itu. Pasangan ini menghadiri kursus kahwin bersama pada awal Mac lalu di Taman Tun Dr Ismail sebelum pihak Azhar menghantar rombongan merisik pada 17 Jun lalu. Majlis resepsinya pula akan diadakan pada 1 Disember ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya. Coret-coret majlis akad nikah Ella |
Posted: 08 Jul 2012 07:14 AM PDT MENONTON persembahan lima anak muda dan meneliti luahan dan perancangan mereka pada sidang media album terbaru, petang Sabtu lalu, ia jelas menggambarkan kesungguhan mereka dalam mengejar impian yang sudah terbentang di depan mata. Abstrak Hingga Ke Bulan adalah sebuah kumpulan anak muda yang mempertaruhkan kekuatan muzik alternatif dan pop ska sejak tujuh tahun lalu, namun nama dan jenamanya belum kuat dalam industri muzik tempatan. Bukan kerana kurang tempias publisiti atau tidak berjaya meraih perhatian pihak media, sebaliknya kumpulan yang sebelum ini pernah popular dengan lagu Menanti, Awan dan Bintang dan Cinta Ini Milik Kita daripada album sulung mereka ini lebih gemar meletakkan muzik ke depan berbanding personaliti setiap anggotanya. Jelas ketua kumpulannya yang juga pemain gitar utama, Zarul 'Jen Ed', walaupun tidak popular seperti kumpulan muzik lain, namun peminat tetap setia menyokong setiap karya yang dihasilkan.
"Banyak juga pihak yang percaya dengan kemampuan kami untuk menawarkan undangan persembahan. "Itu sudah memadai untuk terus menyuntik semangat kami semua. "Kini kami tampil buat kali kedua untuk memperkenalkan pula album kedua dan pembaharuan yang kami lakukan untuk naskhah terbaru ini," katanya. Kumpulan yang bergerak sendiri tanpa syarikat rakaman ini dianggotai lima anak muda iaitu Deeba selaku vokalis utama, Ikmal (pemain dram), Fendy (gitar dan keyboard), Aretom (bass) dan Zarul yang sebelum ini pernah menganggotai kumpulan Diva. Abstrak Hingga Ke Bulan kali ini menampilkan album kedua yang mengandungi tujuh lagu Melayu dan lima bahasa Inggeris. Namun untuk sidang media, kelmarin, mereka memilih untuk mengetengahkan tiga lagu yang menjadi taruhan awal iaitu Tanpa Dirimu, Tiktok dan When I'm With You yang liriknya ditulis Deeba sendiri. Kelainannya adalah anggota kumpulan yang baru termasuk vokalis, Deeba serta permainan muzik yang jauh lebih matang dan penuh eksperimen segar untuk peminat yang dahagakan kelainan. "Keikhlasan dan keserasian yang ada dalam kumpulan ini berjaya menterjemahkan satu bentuk muzik yang berbeza. "Setiap anggota kumpulan punya kekuatan masing-masing dan gabungan yang kami lakukan ini sememangnya memberikan satu dimensi muzik yang tidak terikat dengan mana-mana identiti kumpulan muzik lain. "Kami yakin dengan tiga lagu ini dulu untuk dijadikan sasaran utama sebelum keseluruhan lagu sedia untuk didengar kepada peminat. "Saya yakin muzik yang kami tampilkan kali ini akan menjadi satu lagi elemen muzik pilihan anak muda serta mereka yang bijak menghargai muzik," kata Zarul lagi. Abstrak Hingga Ke Bulan tampak lebih bertenaga dengan kehadiran Deeba selaku penyanyi utama. Bukan sekadar menjadi tarikan apabila menampilkan vokalis wanita, namun vokalnya yang tersendiri dengan imej 'ranggi' yang ditampilkan membuatkan kumpulan ini lebih dinamik yang mampu menyumbang inspirasi kepada peminat muzik. Jelas Deeba, Abstrak Hingga Ke Bulan bukan saja memandang pada skala yang terhad untuk memperkenalkan muzik di sini, sebaliknya mereka semua memegang misi untuk membawa jenama dan karya yang ada ke peringkat lebih tinggi lagi. "Saya setia untuk bersama kumpulan walaupun ada juga pihak syarikat rakaman yang inginkan saya seorang untuk merakamkan album kerana saya percaya, Abstrak Hingga Ke Bulan bukan setakat kumpulan muzik, sebaliknya semua anggota yang diadun dalam himpunan kami ini punya satu kekuatan dan formula yang berbeza untuk menghasilkan satu magis dalam lapangan muzik. "Jika album kedua ini menerima reaksi positif dan sokongan banyak pihak, kami sudahpun merencana perjalanan yang lebih jauh dengan memasarkan album ke luar negara pula. "Itu yang sedang kami usahakan dan insya-Allah satu hari nanti, ia menjadi kenyataan," katanya. Petang itu, Abstrak Hingga Ke Bulan menerusi syarikat mereka, Satu Untuk Semua Records turut memperkenalkan dua lagi artis di bawah naungan mereka iaitu Adrea Band dan Ajieb Rosdi. Mereka sempat mendendangkan tiga lagu petang itu iaitu Awan dan Bintang yang dipetik daripada album pertama, Tiktok dan When I'm With You yang sememangnya membuka mata untuk melihat mereka dari perspektif yang berbeza. Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |