Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Layar positif Dian
DALAM tas tangan Dian Sastrowardoyo, 30, ada sebuah buku kecil yang layaknya dipanggil jurnal. Dia menulis sendiri setiap hari tanpa jemu atau lupa. Dia mencatat 10 perkara yang dilakukannya pada setiap hari dan bersyukur dengan segala perlaksanaannya, tanpa gagal. Jurnal berbentuk sederhana kecil itu ditunjukkan kepada penulis. Ya, tanpa perlu bicara panjang, aktres Indonesia ini menaburkan aura positif. Ditambah dengan senyum yang tidak pernah lekang di wajahnya yang ekstra manis, dia memang sekuntum bunga yang punya haruman sendiri. Bertemu mata dengan wanita yang sudah bergelar ibu, inti katanya sarat terkandung perkataan positif. Dia mengaku jalur hidupnya tersemat erat tema itu. Bukan angkara satu insiden atau momen dia menjadi semakin positif setiap hari tetapi kerana dia menikmati hidup dan melayarinya dengan predikat syukur. Pengertian hidup Berbelit lidah menyebut nama Diandra Paramitha Sastrowardoyo namun belitan itu tidak sedikit pun mengurangkan pesonanya di sebalik kebangkitan para pendatang seni baharu di Indonesia. Muncul kali perdana mengait mata khalayak melalui filem Bintang Jatuh dan kemudian menerapkan ingatan ramai terhadap karakter Daya melalui Pasir Berbisik dan Ada Apa Dengan Cinta, kriteria dalaman Dian kemudian menjadi tanda aras kaum Adam mencari pacar. Fasa demi fasa dilalui Dian, tampak diam seketika dalam dunia lakonan, wanita ini hakikatnya sedang berada dalam dunia kekeluargaannya. Kesempatan bertemu mata sebelum sidang akhbar bersama pihak L'oreal Indonesia, dia bercerita luncur seperti air mengalir tentang hidupnya kini. "Kehidupan sekarang sibuk dengan hal-hal domestik iaitu menguruskan suami dan anak," mula Dian dengan ketawa. "Belum sesuai untuk berlakon filem kerana saya masih menyusukan anak. Jika ada skrip yang sesuai, pasti akan diambil. Memang banyak tawaran filem yang ditolak sebenarnya," ujarnya apabila disentuh aspek berlakon. Mengheret sedikit ke detik sebelum bergelar isteri kepada Indraguna Sutowo dan bonda kepada Shailendra Naryama Sastraguna Sutowo, Dian berkongsi proses hidupnya. "Dulu saya seorang individu solo yang bercita-cita besar. Jujurnya, saya berasa terlalu cepat berkahwin kerana waktu itu saya juga mahu melanjutkan pelajaran. "Lima bulan menikah kemudian saya hamil, betapa cepat semua proses berlaku. Saya akur, saya dan Indra memang ditakdirkan untuk masing-masing. Hidup saya kini tidaklah sempurna tetapi berbeza," lanjut Dian tentang belahan jiwanya yang dinikahi pada 18 Mei 2010. Masuk ke dalam suatu yang dinamakan transformasi, aktres yang pernah menggondol Anugerah Aktres Terbaik pada Festival Filem Deauville, Perancis ini mengaku membaca buku dan bertemu dengan banyak ragam orang merupakan faktor dirinya bergerak ke arah elemen positif. Terus belajar Aura itu dirasai lantaran dia melontarkan kata-kata dan pemahaman positifnya beserta pepatah-pepatah Dalai Lama yang diambilnya sebagai ikutan. Wanita kelahiran Jakarta ini memberi 'resipi' dirinya iaitu sentiasa berfikiran jernih dan berasa gembira dalam melayari hidup. "Setiap hari, selesai menguruskan anak dan suami, saya akan mengambil masa untuk diri sendiri. Mengumpul lima atau 10 minit untuk berada dengan diri saya sendiri, berfikir tentang sesuatu yang dinamakan kebahagiaan," kongsi Dian. Lantas Dian diajak bercerita tentang elemen positif dalam hidupnya. "Jujurnya selepas saya membaca buku yang bertajuk The Magic kemudian diikuti The Power dan The Art of Happiness. Saya sekarang memang gemarkan bahan bacaan sebegini yang lebih berbentuk motivasi diri," akuinya yang menolak cerita yang berhujung sedih atau berbentuk novel. Dalam senggang masa di set penggambaran, Dian sedang merancang beberapa perkara untuk dirinya sendiri. Dia mengaku kekal seorang yang bercita-cita tinggi walaupun berubah status, cuma saluran cita-cita itu sudah terarah ke 'genre' yang berlainan. "Saya mahu belajar banyak perkara. Mahu belajar piano klasik, mendalami bahasa Perancis dan semua yang saya tinggalkan waktu zaman muda. "Kalau mahu tahu, seorang Dian dahulu sebenarnya seorang penari balet ketika sekolah rendah. Saya juga punya grup yang bernama Nuansa dan Jelly Fish, saya di posisi gitar," akuinya kesal meninggalkan semua itu. "Saya juga seorang penulis di majalah sekolah. Saya fikir bahawa menulis itu memang sesuatu yang cool dan betapa saya berharap saya tidak berhenti melakukan itu dahulu," ujarnya yang gemar membaca tulisan rumi sejak dari dulu. "Saya mahu melakukan kembali apa yang saya tinggalkan. Saya mensyukuri segala apa yang berlaku dalam hidup termasuk pemilihan saya ke Festival Filem Cannes ," katanya sebelum beralih ke satu topik lain. "Pergi ke festival tersebut, saya berasa bersyukur. Bukan usaha saya dan saya juga tidak ada filem baharu tetapi terpilih. Saya memang rasa sangat bertuah," ujar wanita ini yang memukau mata ramai ketika melangkah di karpet merah pada festival tersebut. "Pengalaman itu menakjubkan. Bertemu dengan ramai pelakon antarabangsa sungguh mengujakan. Wow, semua ini seperti mimpi buat saya," galak Dian bercerita. | ||
Posted: Anzalna hangat sensasi
BUNGA yang baru hendak berkembang ke dunia lakonan, Anzalna masih dalam situasi lega kerana perangnya bersama Neelofa belum sampai ke tahap melarat. Dia hanya menunggu tarikh yang bakal ditentukan pihak Persatuan Seniman untuk satu perjumpaan tertutup bagi menyelesaikan perbalahan itu secara baik. Sejak pengacara Nona serta pelakon filem Azura, Noor Neelofa Mohd. Noor, 23, mengemukakan tuntutan notis saman menerusi dua peguamnya kepada Anzalna pada pertengahan Jun lalu, baik atau buruk dua pucuk muda itu cukup panas diperkatakan. Impak yang paling ketara, daripada sekadar pelakon baharu yang tidak menonjol, pemilik nama Nur Anzalna Md. Nasir, 24, semakin diperhatikan. "Saya lebih selesa menjadi Anzalna yang dahulu, tidak perlu menyusun kata-kata untuk memberi jawapan paling baik kepada wartawan dan jika habis kerja saya bebas buat aktiviti yang saya suka. Bukan tak suka dengan perhatian yang diberikan, tapi bentuk perhatian sebegitu buat saya kurang gembira," katanya mengakui merasa impak diperhatikan kerana hangat dilanda kontroversi. SENIMAN Saya lihat ia sebuah persatuan yang seboleh-bolehnya berusaha untuk kebaikan bersama para artis yang bernaung bawahnya. Saya ahli baharu tapi masalah saya mendapat perhatian yang sewajarnya. Saya serahkan kes saya itu kepada Seniman sebab persatuan sendiri sudah ada peguam yang bertauliah. MAHKAMAH ATAU BERJABAT TANGAN Saya pilih jalan penyelesaian yang tidak merumitkan keadaan. Status kepada penyelesaian itu belum ada tapi saya yakin akan ada jalan. Buat masa ini, saya tunggu dan lihat. Saya telah katakan, saya sanggup minta maaf kepada Neelofa. RESPONS SEKELILING Saya masih tidak berasa kekok jika ke lokasi penggambaran sebab ramai yang ambil berat dan selalu beri kata-kata semangat supaya saya jadi lebih kuat. Setakat ini tak ada insiden yang memalukan lagi selain saya sendiri yang merasa agak malu dikenali kerana pergaduhan sesama sendiri. TEMAN LELAKI Namanya Hanif Zaki, 24, dan dia sekarang menjalankan perniagaan sendiri. Dia seorang yang sangat rasional dalam apa sahaja yang berlaku di sekeliling saya. Dia okey sangat dan saya sendiri lega kerana tidak perlu menyembunyi status bercinta dengan sesiapa. Bagi saya, saya akan mengaku sahaja daripada memberi jawapan 'no comment' atau macam-macam alasan bila ditanya soal hati. Kalau asyik beri jawapan 'no comment' atau macam-macam alasan, kekasih sendiri pun boleh terasa hati. KERJA LAKONAN Sekarang saya masih di lokasi Adam & Hawa, sebuah drama bersiri 80 episod untuk Astro Bella. Watak saya biasa sahaja, mula-mula jahat kemudian jadi baik. Saya pegang watak Dee, wanita yang jatuh cinta terhadap Adam lakonan Aaron Aziz, malangnya cinta Dee tidak kesampaian. Masuk Julai, ada dua projek sedang menunggu, sebuah telemovie dan sebuah lagi drama bersiri. November nanti, filem pertama saya, Sepah The Movie akan masuk pawagam. | ||
'Kesederhanaan Ella buat gua suka' Posted: 'Kesederhanaan Ella buat gua suka'
SEORANG lelaki tinggi, tegap dan berkulit hitam manis masuk ke dalam sebuah kedai bunga. Memilih bunga pilihan dan menyusun kata untuk diberikan kepada tangkai jiwanya. Situasi ini terjadi beberapa kali sewaktu sang bunga berdepan dengan peristiwa penting seperti konsert dan pentas akhir Mentor musim keenam. Jejaka romantis yang dimaksudkan itu, Azhar Ghazali, 30, masih misteri di pandangan mata khalayak. Wajahnya mahu diketahui malah ditinjau-tinjau oleh para pengikut industri tempatan khususnya peminat Norzila Aminuddin atau Ella, 46. Tambahan lagi, sepanjang minggu tiupan berita yang mengatakan si penyanyi dengan status Ratu Rock Malaysia itu bakal menamatkan zaman solonya, nama Azhar menjadi sebutan dan pertanyaan ramai. Si jejaka yang bertugas sebagai juruterbang syarikat penerbangan Firefly turut berdepan debaran. Debar mahu berubah status malah goncangan itu mungkin semakin dirasai apabila kelak dia bakal menjadi perhatian kerana menjadi lelaki yang berjaya membuka pintu hati Ella untuk masuk ke gerbang rumah tangga. Buat Ella, Azhar adalah lelaki yang sangat memahami dan menerima dirinya seadanya malah vokalis Sepi Sekuntum Mawar Merah itu yakin jodohnya sudah tiba. Melihatkan sokongan Azhar sendiri terhadap perjalanan karier Ella termasuk hadiah jambangan bunga di hari-hari penting kerjaya wanita itu, sudah tertanda sikap mendokong dan romantis jejaka tersebut. Mungkin itu juga kriteria yang menyebabkan hati Ella bertaut dengan Azhar. Pastinya setiap tahun sang puteri itu berdepan dengan pertanyaan yang sama oleh khalayak. Soalan bila mahu menamatkan zaman solo pasti sudah masak dan klise benar di telinga penyanyi yang melangkah masuk ke dunia hiburan pada tahun 1985 ini. Saban tahun, Ella dihinggapi soalan yang sama dan untuk tahun ini akhirnya dia dapat menjawab dengan tepat. Tanggal 7 Julai ini telah dicatatkan sebagai hari bersejarah buat penyanyi kesayangan ramai itu. Bakal disatukan secara tertutup di rumah keluarga Ella di Klang, Selangor, satu resepsi akan dilanjutkan pula pada 1 Disember mendatang. Menurut Ella dalam satu temu ramah, perkenalan selama sembilan tahun berlangsung secara jarak jauh. Namun menurut sumber terdekat, pertemuan semula di konsert Fenomena 30 Tahun Search yang berlangsung di Pusat Konvensyen Mines pada 17 Disember 2011 seakan-akan menandakan jodoh mereka. Pertemuan itu merapatkan semula hati yang sedang sama-sama kosong waktu itu. Sampai seru, ikatan jodoh itu didekatkan dengan majlis merisik yang diadakan pada 17 Jun lalu. Bak kata orang tua-tua, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana. Azhar sewaktu dihubungi Sensasi Bintang mulanya enggan mengulas lanjut kerana katanya semua itu berada di luar lingkungan kerjaya dan kuasanya. Dipujuk jejaka yang bakal menjadi pelindung Ella itu, dia berlembut. Itu suatu langkah mula untuk kelak dia 'terlibat' dalam dunia hiburan setelah beristerikan seorang ratu kelak. "Kesederhanaan yang ada pada Ella itu buat gua suka. Keserasian dalam kita berkata-kata serta keyakinan gua dan Ella pada kuasa Yang Maha Esa juga merupakan faktor gua sukakan dia," ujarnya ringkas dalam bahasa 'lu' dan 'gua' menampakkan jiwa rocknya yang sangat sebati dengan Ella. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |