Berita Harian: Hip |
Rahsia Razak, Ismail dalam Tanda Putera Posted: 30 Jun 2012 03:26 PM PDT TRAGEDI 13 Mei 1969 meninggalkan tompok hitam dalam sejarah negara. Walaupun peristiwa berdarah itu sudah 43 tahun berlalu, ia masih berbekas di hati terutama mereka yang pernah berdepan kejadian pertumpahan darah gara-gara perbalahan antara kaum itu. Mungkin apa yang berlaku tidak meninggalkan kesan pada generasi baru. Mereka tidak merasai sakitnya kehilangan, pedihnya maruah dipermainkan atau gerun apabila nyawa umpama di hujung tanduk. Tragedi berdarah itu menyebabkan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada malam 16 Mei. Darurat menjadikan Kuala Lumpur seperti kota lama ditinggalkan, bergelap dan seakan berkabung atas kehilangan nyawa yang begitu banyak dalam satu masa. Mengenang tragedi yang meruntun hati, pengarah tersohor, Datuk Paduka Shuhaimi Baba menampilkan sebuah lagi karya hebat, kisah perjuangan dan persahabatan dua tokoh negara, Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menterinya, Allahyarham Tun Dr Ismail. Dua tokoh berkenaan melalui tragedi hitam sehingga terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan. Filem Tanda Putera diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDEC). Ia dijangka menemui penonton bermula 13 September ini selepas hampir 10 bulan untuk disiapkan. Menelan belanja sebanyak RM4 juta, ia merangkumi penyelidikan, rekaan set dan kostum serta penggunaan kesan khas janaan komputer (CGI) khusus bagi babak penting untuk filem itu. Selain memilih lokasi Kuala Lumpur, 20 peratus penggambaran dijalankan di kota London. Filem berdasarkan kisah benar itu menampilkan Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak, Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Faezah Elai (Tun Rahah), Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin), Tunku Abdul Rahman (Kamarulzaman Taib), Sahee Shamsuddin (Najib Tun Razak), Razif Hashim (Johari Tun Razak), Ismaizal Yusoof (Tawfik Tun Ismail), Ali Steven Shorthose (Dr Macpherson) dan Norman Hakim (IGP Hanif). Selain itu, filem sarat dengan emosi dan tragedi itu turut menampilkan pelakon undangan seperti Hasnul Rahmat (Tun Hussein Onn), Ida Nerina (Jah Steno), Sharifah Shahira (Guru Besar), Fizz Fairuz (Tan Sri Arshad Ayub), Nazril Idrus (Tun Dr Mahathir Mohamad), Khir Mohd Noor (IGP Abdul Rahman Hashim), Bell Ngasri (Datuk Harun Idris), Chew Kin Wah (Tan), Razali Hussain (Haji Ahmad Razali Mohd Ali), Douglas Lim (Leslie Cheah), Chealsia Ng (Catharine), Wong Sip Nen (bapa Allen), Nas-T (Najib Rahman) dan Aidil AF (Datuk Senu). Shuhaimi berkata, beliau mahu generasi hari ini merasai trauma tragedi 13 Mei ketika menonton filem Tanda Putera. "Detik 13 Mei tidak pernah dilupakan setiap tahun, tapi tiada gambaran jelas mengenainya. Saya cuba menghidupkan suasana 13 Mei dalam filem Tanda Putera, saya mahu generasi hari ini tahu bagaimana huru-hara keadaan negara ketika itu. Ramai yang kehilangan ahli keluarga disebabkan tragedi berdarah itu. Saya percaya generasi hari ini tidak dapat membayangkan suasana ketika itu. Dan saya menghasilkan filem Tanda Putera kerana saya mahu generasi hari ini merasai kesan akibat peristiwa hitam itu. "Dan, Tun Razak dan Tun Dr Ismail adalah dua tokoh yang banyak melakukan pengorbanan bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei itu. Tun Razak memberi jiwanya pada negara, manakala Tun Dr Ismail, walaupun sudah bersara kerana masalah kesihatan tetapi tetap berjuang untuk negara," katanya. Shuhami menjelaskan, beliau bertemu wakil keluarga Tun Razak iaitu anak beliau, Datuk Johari Razak dan keluarga Tun Dr Ismail pula diwakili anaknya, Tawfik Tun Ismail bagi mendapatkan gambaran yang jelas mengenai dua tokoh negara yang hebat ini. "Saya juga banyak menemubual mereka yang pernah bekerja dengan Tun Razak. Ia membabitkan setiausaha, pegawai atasan dan kakitangan bawahan. Kerana apa yang diketahui, Tun Razak sangat mengambil berat mengenai kakitangan atasan mahupun bawahan. "Bagaimanapun, satu kejadian yang tidak dapat dilupakan ketika penggambaran nak dijalankan di kediaman Tun Dr Ismail di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Ketika mengambil gambar kira-kira tujuh bulan sebelum penggambaran, kediaman berkenaan masih ada. Bagaimanapun, apabila datang semula untuk penggambaran, kediaman berkenaan sudah dirobohkan," katanya. Shuhaimi berkata, filem Tanda Putera sudah siap sepenuhnya, tapi ada beberapa babak yang tidak berapa kemas yang perlu diperbaiki. "Filem ini membabitkan 60 peratus teknik CGI kerana kebanyakan babak membabitkan suasana dulu. Kerja menjadi sangat remeh apabila saya mahu menggambarkan suasana yang berlaku ketika waktu itu," katanya. Filem ini mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969. Tun Razak terpaksa menyimpan rahsia mengenai penyakit leukemia yang dihadapinya kerana tidak mahu keluarga tertekan dan bimbangkan keselamatan negara. Mereka berdua berkongsi doktor. Bilik bacaan di rumah Tun Dr Ismail menjadi klinik rahsia bagi rawatan mereka oleh Dr Macpherson, tanpa pengetahuan sesiapa termasuk kaum keluarga Tun Dr Ismail sendiri. Mereka memiliki aura yang kuat. Kecekalan dan keazaman mereka telah menangkap imaginasi pelajar seperti Zarah, tenaga pengajar, Kara dan anak muda, Zaman. Tun Razak dan Tun Dr Ismail mencorakkan warna hidup warga muda seperti pelajar dan tenaga pengajar di institusi pendidikan tinggi ketika itu serta mereka yang bertugas di pejabat. Foto Ihsan Pesona Pictures Sdn Bhd |
Posted: 30 Jun 2012 03:12 PM PDT Alyah sedih gosip cinta bersama Datuk Ramli MS dijadikan bahan jenaka ANGKARA sensasi gosip cinta yang mengaitkan dirinya dengan maestro muzik, Datuk Ramli MS, penyanyi genit, Alyah pernah terperuk dalam kesedihan. Maruah dan nama baiknya diperjudikan, malah air mukanya pernah jatuh gara-gara kenyataan pedih yang diterbitkan namun tiada sebarang kenyataan balas terpacul dari bibir penyanyi kelahiran Gelang Patah, Johor ini. Ketika hati wanitanya merintih pedih apabila maruah dirinya diperkotak-katikkan, Alyah memujuk diri supaya bersabar tanpa perlu berbalah kerana baginya, tindakan kurang matang tidak akan menemukannya kepada jalan penyelesaian. Alyah percaya masa akan mengusir segala kepedihan, lantas membasuh luka yang bertandang dan pada akhirnya memunculkan sebuah kebenaran didamba. "Mungkin sekali dua Alyah boleh menerima, tetapi jika berulang kali perkara yang sama diulangi, itu bukan lagi satu jenaka. Iya, usia Alyah sudah mencecah 31 tahun dan masih belum bertemu jodoh tetapi haruskah Alyah dipersenda? Apakah menjatuhkan air muka Alyah satu jenaka yang menyeronokkan?," tanya Alyah dalam nada getar seperti sedang berperang mencari kekuatan dalam diri. Tambah penyanyi Kisah Hati ini, jika perbuatan itu memberikan kebahagiaan kepada mereka yang melakukannya, terserah kerana dia tidak memiliki daya untuk menutup mulut orang lain. Baginya, selagi kenyataan yang dikeluarkan tidak mengganggu dan menutup periuk nasinya, Alyah tidak akan goyah biarpun terpaksa berusaha keras mencari kekuatan untuk menelan segala andaian masyarakat. Sebagai wanita yang memiliki sekeping hati yang begitu sensitif, Alyah akui, dia boleh berbohong kepada masyarakat dengan mempamerkan dirinya yang tidak pernah mengalah apabila diuji gosip yang mencemar air mukanya. Realitinya, Alyah tidak mungkin dapat menipu dirinya sendiri. Apa terdaya dilakukan, cuma berusaha memujuk diri seandainya kebahagiaan didamba ditakdirkan bukan menjadi miliknya. "Alyah sendirian di Kuala Lumpur, pernah menempuh jatuh bangun untuk berdiri di mana Alyah berada sekarang. Perjalanan itu bukan singkat, sebaliknya cukup panjang. Setiap kali ditimpa kesedihan, Alyah akan merenung semula perjalanan jauh sebelum berjaya menggapai cita-cita. Alyah akur, tiada yang datang mudah dalam hidup ini. Dari situ, Alyah memperoleh kekuatan untuk bangun dan menyisihkan segala unsur negatif yang cuma merosakkan diri. Alhamdulillah kerana Alyah dikurniakan sifat sabar yang tinggi. "Alyah bukan kaki gaduh, tidak juga pantas tunduk kepada segala cercaan kerana sebelum mengambil sesuatu tindakan, Alyah akan berfikir panjang dan cuba menjadi rasional. Alyah tidak mahu kerana terlalu menurutkan perasaan marah, hubungan baik yang pernah terjalin dengan pelbagai pihak musnah. Itu bukan cara Alyah dalam menyelesaikan kemelut yang melanda," katanya matang. Pernah menempuh kekecewaan apabila impian untuk mendirikan rumah tangga ketika berusia 25 tahun hancur di pertengahan jalan tetapi itu bukan alasan untuk pemilik nama berdaftar, Noor Hasliah Abu Hasan ini meratapi nasib. Tidak menafikan pernah terdetik di hati, barangkali tuah dalam percintaan belum pernah berpihak kepadanya tetapi Alyah segera akur, tidak semua yang diimpikan manusia dalam hidup ini akan diperoleh hanya dengan memetik jari. "Apakah ia suratan atau kebetulan, cinta dan kegagalan bagaikan sebati dalam kehidupan selebriti. Setiap kejayaan yang diberikan Tuhan, pasti ada harga yang perlu dibayar. Allah mengurniakan Alyah kejayaan dalam karier tetapi dalam kehidupan peribadi, Alyah mungkin belum bernasib baik. "Alyah tidak menyesal dengan dugaan yang menghempas diri, sebaliknya Alyah kuatkan semangat untuk lalui segala yang sudah ditentukan. Alyah percaya pada hujung perjalanan nanti, pasti ada sesuatu yang membahagiakan menanti. Alyah cuma perlu bersabar," katanya. Tidak menafikan sedang dalam proses mengenali seseorang, namun Alyah berpegang kepada prinsip untuk tidak terlalu terbuka bercerita mengenai sesuatu yang masih belum pasti. Tanpa berselindung, penyanyi yang sedang mempertaruhkan single terbaru ciptaan Azlan Abu Hassan, Pesananmu itu memberitahu, belum ada sesuatu yang menarik mengenai hal itu untuk dikongsi secara umum. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |