Gosip Artis Malaysia |
Anzalna Akur Syarat Dalam Surat Neelofa Sebelum Meminta Maaf Posted: 01 Jul 2012 05:55 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon Anzalna Nasir berkata dia akur dan menerima syarat-syarat dalam sepucuk surat perjanjian daripada Neelofa dengan hati terbuka sebelum melakukan permohonan maaf secara terbuka terhadap aktres itu. Anzalna, 24, yang dihubungi berkata, dia bersetuju untuk memenuhi setiap syarat yang ditetapkan dalam surat tersebut selepas menerimanya daripada Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi yang bertindak sebagai perantara dalam konflik mereka. "Saya sudah meneliti surat daripada Neelofa. Saya akur dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat itu kerana saya mahu memohon maaf dengan ikhlas dan tidak mahu memanjangkan kes ini. "Bagi saya, jika dapat diselesaikan dengan secepat mungkin, ia adalah lebih baik kerana banyak lagi hal lain dalam kehidupan saya yang perlu diuruskan," katanya di sini, pada Ahad. Pada Sabtu lalu, Neelofa, 23, seperti dilaporkan berkata, dia menetapkan beberapa syarat kepada Anzalna dalam sepucuk surat sebagai jaminan agar aktres itu memohon maaf secara ikhlas dan bukan kerana terpaksa. Sidang media khas itu dijangka diadakan pada Isnin petang pada waktu dan lokasi yang belum ditentukan lagi. Zed yang dihubungi berkata, dia akan memaklumkan butiran majlis itu dalam masa terdekat. Anzalna berkata, dia berasa pelik dengan syarat-syarat dalam surat berkenaan tetapi bersetuju untuk memenuhi permintaan Neelofa kerana tidak mahu perkara remeh itu berlanjutan. "Kes ini sudah banyak menggangu dan menjejaskan jadual kerja saya. Walaupun saya berasa pelik juga dengan syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat itu tetapi saya akur kerana tidak mahu memanjangkan hal ini. "Saya bersedia untuk memohon maaf bukan kerana dia tetapi kerana Allah. Saya tidak mahu jika konflik ini berterusan, lebih banyak kesilapan atau tindakan yang boleh mengaibkan orang lain akan saya lakukan sama ada secara sedar atau tidak," jelasnya. Terbaru, bekas finalis Dewi Remaja 2010 ini sedang sibuk di lokasi penggambaran telefilem berjudul Aku Janda Belum Kaya di samping Rozita Che Wan untuk tayangan di Astro. Konflik antara dua aktres itu tercetus ekoran kenyataan Anzalna yang dianggap sebagai satu fitnah oleh Neelofa dalam artikel bertajuk "Anzalna Bidas Neelofa" menerusi akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Jun lalu. Susulan itu, dalam sidang media khas pada 13 Jun, Neelofa melalui peguamnya Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak telah mengeluarkan notis yang menuntut Anzalna mengemukakan bukti dalam tempoh tujuh hari atas kenyataan yang dikeluarkannya. Baru-baru ini, Anzalna yang gagal mengemukakan bukti selepas tempoh itu berkata kepada media, dia bersedia memohon maaf secara terbuka kepada Neelofa. - --- |
Raja Azmi Terkilan Dituduh Punyai Kekasih Posted: 01 Jul 2012 05:53 PM PDT PETALING JAYA: Penerbit filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman berasa terkilan dan kecewa dengan dakwaan terbaru yang mengatakan keintimannya dengan seorang lelaki muda menjadi punca perceraiannya dengan Jalani Sidek pada 27 Jun lalu. Raja Azmi, 53, berkata, tuduhan yang tidak berasas itu membuatkan dia berasa bersyukur dengan perceraian itu kerana tidak sanggup terus memalukan nama baik bekas suaminya dengan kontroversi yang silih berganti. "Inilah (gosip) yang menyedihkan saya. Baru saja bergelar janda tidak sampai seminggu sudah timbul pula cerita saya menjalinkan hubungan dengan lelaki muda. Saya ini seolah-olah sudah dilabelkan sebagai wanita yang tidak lekang kontroversi. "Dulu, orang kaitkan saya dengan Roslin Hashim, kini timbul pula cerita saya ada anak ikan (lelaki muda) pula. Bila difikirkan, ada baiknya juga bercerai. Saya tidak sanggup lagi dengar orang tuduh Jalani sebagai suami yang dayus," katanya. Bercerita lanjut, Raja Azmi berkata keintimannya dengan lelaki muda sejak beberapa bulan lalu bukan atas dasar peribadi tetapi untuk menilai beberapa calon bagi filem akan datangnya berjudul Anak Ikan. "Memang saya rapat dengan lelaki muda yang orang gelarkan 'anak ikan' tetapi bukan seorang, ada dua dan tiga orang lagi. Mereka adalah orang baru yang mahu mencari peluang dalam bidang ini. "Saya bakal menerbitkan filem baru sebab itu saya rapat dengan mereka. Saya mahu menilai potensi dan keserasian mereka untuk projek itu. "Malah, salah seorangnya akan muncul dalam telefilem terbaru terbitan syarikat saya untuk Aidiladha nanti," luahnya yang pernah dikaitkan dengan aktor filem ...Dalam Botol iaitu Wan Raja ketika filem itu hendak diterbitkan pada 2009. Mengenai perkembangan kerjaya, Raja Azmi berkata tumpuannya kini terarah kepada penerbitan drama untuk televisyen kerana banyak filem yang sudah siap masih menantikan slot tayangan dan kutipan kebanyakan filem juga kurang memberangsangkan. "Pada waktu ini, terlalu banyak filem yang sudah siap tetapi belum dapat slot tayangan. Majoriti filem yang ditayangkan kini juga kerana mendapat sambutan. Lebih baik saya alihkan tumpuan pada penerbitan drama dan telefilem. "Kini, penerbitan drama dan filem adalah di bawah syarikat produksi baru, Akid Production yang ditubuhkan sejak awal tahun. Manakala, syarikat Pengedaran JAS pula menumpukan pada penerbitan buku dan komik. "Syarikat saya baru saja selesai penggambaran telefilem berjudul Aidiladha Baitulmaqdisuntuk RTM atau Astro. Selepas Hari Raya nanti, saya akan mulakan sebuah lagi telefilem di Bali, Indonesia. Kalau tiada aral, penggambaran filem Anak Ikan akan menyusul pada hujung tahun," jelasnya. Raja Azmi dan Jalani atau Mohamed Jalani Mohamad Sidek, 49, bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin pada pukul 3.25 petang di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini, 27 Jun lalu. Pasangan itu mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan. Hasil perkahwinan selama 28 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18. Mereka juga memiliki seorang cucu yang berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya dan pengarah filem, Mohd Shadan Hashim. - --- |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |