Adsense

Khamis, 28 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Persona Insya Allah

Posted:

Persona Insya Allah

PERJALANAN dari Jakarta menuju Anyer, memakan masa empat jam. Ia juga bukan satu perjalanan mudah, kerana dua jam perjalanan terakhir menuju destinasi yang terkenal dengan keindahan pantai dan panorama kampung itu memerlukan kami meredah jalan yang separuh siap dan berlubang teruk.

Selain kami, terdapat 78 kru dan barisan pelakon sinetron Insya Allah dengan 21 buah kenderaan juga terpaksa melalui situasi yang sama. Namun nasib mereka lebih baik kerana pemandu yang membawa barisan karyawan tersebut memilih jalan alternatif yang lebih elok.

Kepayahan menuju Anyer akhirnya terbayar. Lelah 24 jam menanti pelakon yang pertama kali terjun dalam bidang lakonan itu berbaloi. Sementelah, figura tersebut bukan calang-calang orang.

Beliau ialah Maher Zain. Ya, Maher Zain, penyanyi kelahiran Lebanon yang merupakan rakyat Sweden itu kini bergelar pelakon buat pertama kali dalam hidupnya.

Ironi, Maher tidak menjadi pelakon antarabangsa, setaraf profilnya sebagai penyanyi. Beliau sebaliknya terlibat sebagai pelakon di Indonesia, bersama semua produksi Indonesia dan beliau menjadi satu-satunya orang asing dalam produksi tersebut.

Insya Allah, judul sinetron 40 episod yang berjaya memujuk Maher untuk menjadi pelakon. Sinetron itu bakal ditayangkan sempena bulan Ramadan pada bulan hadapan di tiga saluran serentak iaitu SCTV (Indonesia), Astro Oasis dan Mustika HD (Malaysia) selain boleh ditonton oleh pelanggan Astro di Brunei.

MAHER dan Fadly bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat dalam sinetron Insya Allah.


"Pada mulanya, saya kata, saya tak akan berlakon. Namun apabila pulang ke rumah dan berfikir bahawa sinetron tersebut mempunyai mesej yang baik seperti pesanan dalam lagu-lagu saya, saya bersetuju," ujar Maher saat ditemui di lokasi penggambaran terakhirnya, di Marbella Hotel, Resort & Spa, di Anyer baru-baru ini.

Maher saat ditanya bagaimana beliau mampu memberi kata setuju kepada sebuah produksi Indonesia dan begitu asing bagi dirinya, pantas memberitahu: "Indahnya Islam adalah apabila ia mampu mencantumkan semua umatnya walau berlainan bahasa."

Membawa watak diri sendiri, Maher tidak perlu membuat transformasi dirinya sebagai seorang pelakon. Katanya: "Memang saya perlu berlakon sedikit, tetapi dalam kebanyakan masa, saya menjadi diri sendiri.

"Malah melalui sinetron ini, saya dapat menyampaikan banyak hal yang positif dalam setiap episod yang ditonjolkan selama sejam. Saya suka bagaimana setiap perkara yang berlaku mempunyai pengajaran tersendiri."

Tidak hanya muncul dalam beberapa babak, Maher sebaliknya memberi sepenuh komitmen apabila terbabit dengan 40 episod yang disiarkan. Ia juga sebagai satu keperluan kerana Insya Allah merupakan kisah perjalanan Maher dalam bertemu sahabatnya di Indonesia dan dalam kembara tersebut, dia berhadapan dengan pelbagai kisah kehidupan.

Ditanya tentang kesukaran menjadi pelakon buat pertama kali, ujar Maher, secara dasar, walaupun ia agak sukar memandangkan beliau agak pemalu apabila berhadapan dengan kamera, namun semua perasaan itu terhapus apabila mereka memulakan penggambaran.

Ujarnya, selain begitu selesa dengan lawan lakonnya, iaitu Fadly Padi serta produksi, beliau amat menyenangi kembara sinetron tersebut yang banyak menjalani penggambaran di kawasan kampung.

AKRAB. Maher dan Fadly menjadi sahabat baik biar berhadapan kekangan bahasa.


"Sebagai seorang yang hidup di kawasan bandar, saya begitu teruja kerana dapat berlakon di kawasan kampung sekali gus melihat realiti kehidupan yang serba sederhana," ujarnya lagi.

Maher juga memberitahu, beliau tidak banyak berhadapan dengan kesukaran sepanjang penggambaran dijalankan selain mengaku kadangkala berasa lelah kerana perlu menjalani puluhan babak dalam sehari kerana kesibukannya sendiri.

Disogok antara lakonan dengan nyanyian, mana yang lebih melekat dihatinya, pantas Maher memberitahu bidang nyanyian. Bagaimanapun, beliau tidak menolak jika pada masa akan datang kembali terbabit dalam mana-mana naskhah yang mampu membawa pesan baik buat seluruh umat Islam di dunia.

Keluarga

Kesibukan yang tidak pernah berpenghujung bukan satu halangan buatnya menghabiskan kualiti masa bersama keluarga. Mengaku bahawa beliau mempunyai masa yang terlalu sedikit buat keluarga, justeru jika punya kesempatan, beliau akan membawa isteri dan anaknya bersama seperti ke Jakarta, Indonesia ini.

"Sejujurnya ia bukan satu perkara yang mudah buat saya. Tapi Alhamdulillah, isteri sangat memahami karier saya, sementelah sewaktu kami bertemu, saya memang telah sibuk dengan karier saya.

"Jadi kesibukan saya sudah menjadi satu hal yang semulajadi buat kami. Ia sudah seperti budaya hidup kami. Namun seboleh-bolehnya, saya mahu mencuri masa untuk dihabiskan dengan mereka," katanya yang paling lama telah berjauhan dengan keluarga selama tiga minggu kerana kesibukannya.

Percubaan Fadly

Seperti pengalaman perdana Maher, ia juga merupakan pertama kali vokalis kumpulan Padi, Fadly terjun ke dalam bidang lakonan secara komersial selepas 16 tahun bergelar penyanyi.

Menyifatkan ia sebagai pengalaman luar biasa, Fadly memberitahu, dia bersetuju untuk terbabit dalam sinetron tersebut kerana pesanan positif yang akan ditebarkan buat umat Islam selain menyatakan kekaguman terhadap karier Maher Zain yang mampu menghidupkan lagu-lagu Islamik membuat beliau tidak menolak tawaran yang datang kepadanya.

"Saya tidak pernah berlakon. Pengalaman membuat klip video tidak pernah sama dengan berlakon yang memerlukan banyak dialog dan saya sangat malu.

"Namun kerana inti sinetron yang sangat kuat, selain Maher sendiri berlakon, saya tidak mahu menolak peluang ini. Saya mahu turut serta dan menjadi sebahagian sejarah kembara seni Maher Zain," ujar vokalis berusia 36 tahun itu.

SETIAP episod sinetron Insya Allah merupakan kisah kehidupan yang berbeza dan tidak disambung pada episod seterusnya.


Membawa watak Fadly, teman Maher yang membantu beliau mencari sahabatnya, ujar pencipta lagu Upin & Ipin berjudul Sahabat Selamanya itu, kekangan yang dihadapinya apabila beliau perlu menghafal skrip, menjadi jurualih bahasa serta berbahasa Inggeris.

"Bahasa Inggeris saya tidak begitu bagus, sedangkan dialog Maher 100 peratus dalam bahasa Inggeris. Tugas saya juga perlu menjadi jurualih bahasa buat beliau dan serentak menghafal dialog. Walaupun ia sukar, namun ini pengalaman yang mahal nilainya," katanya yang mengaku akan menolak tawaran berlakon jika perlu berlakon sendirian.

Hadiah basuh segala dosa

Posted:

Hadiah basuh segala dosa

Oleh WAZIHA WAHID

RAJA AZMI dan Jailani sempat menyambut hari jadi bersama pada malam sebelum mereka memfailkan perceraian mereka.


PENERBIT kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, tidak henti-henti dihambat kontroversi. Terbaru, nenek kepada seorang cucu itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam selepas permohonan untuk bercerai dipersetujui suaminya, bekas pemain badminton negara, Mohd. Jalani Mohd. Sidek, 49, tanpa sebarang syarat.

Perkahwinan mereka yang berlangsung selama 28 tahun itu gagal dipertahankan selepas Raja Azmi mendakwa dia tidak sanggup menanggung segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya sehingga suaminya pernah dituduh dayus oleh sesetengah pihak terutama ekoran tuduhan berkhalwat dengan jaguh badminton Roslin Hashim.

Justeru, bagi penerbit filem Anu Dalam Botol itu, perceraian adalah jalan terakhir serta terbaik bagi kedua-dua mereka. Pasangan itu bernikah di Kamunting, Perak pada tahun 1984 sebelum dikurniakan tiga orang anak, Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23 dan Megat Deli, 18.

Ikuti temu bual bersama Raja Azmi atau lebih mesra dipanggil sebagai Kak Mi ketika di temui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur semalam.

KOSMO!: Sejak bila Kak Mi terfikir untuk bercerai dengan Jalani?

RAJA AZMI: (Terdiam agak lama sambil mengesat air mata) Pada sekitar Februari tahun ini. Ia terjadi atas silap saya sendiri kerana membiarkan diri dilanda pelbagai kontroversi. Selepas isu (perceraian) Roslin, kemudian tentang saya dan Roslin ditangkap khalwat di hotel, hari ini (semalam) akhbar Berita Harian tulis saya didakwa oleh Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) kerana berkhalwat tapi itu tidak benar. Saya tidak pernah didakwa, saya terima hukuman daripada Allah, saya tidak mahu memalukan suami saya lagi, dan dia dituduh sebagai dayus. Saya tidak sanggup difitnah dan dituduh dengan macam-macam dugaan.

Adakah tiada cara lain untuk selesaikan kemelut rumah tangga selain bercerai. Apakah usaha yang dilakukan Kak Mi untuk selamatkan perkahwinan?

Saya sudah melakukan macam-macam tapi saya dilanda beberapa masalah. (Saya) Sangat tertekan. Saya sudah cuba selamatkan (perkahwinan) tapi ada orang yang menekan kami supaya bercerai kerana melabel saya isteri yang jahat. Saya reda kerana saya sudah tak tahan lagi.

Maksudnya ada orang yang tidak puas hati dengan rumah tangga Raja Azmi?

Ya.

Adakah ini bermakna ada orang ketiga sehingga terjadi perceraian ini?

Tidak. Ini keputusan kami bersama, saya dan Jalani serta anak-anak, tiada pihak ketiga atau keempat. Ini memang keputusan kami.

Apa reaksi anak-anak?

Anak-anak sudah besar, mereka boleh fikir sendiri, sentiasa faham situasi kami dan telah didik dengan baik oleh Jalani, yang penting mereka ingin lihat kami berdua bahagia, tidak semestinya bercerai akan berakhir dengan kesedihan, keluarga tetap keluarga, saya dan Jalani berjanji untuk menjadi sahabat.

Kak Mi sudah bersedia dengan gelaran janda, dan dugaan selepas ini?

(Sambil ketawa kecil) saya sudah pun bergelar janda sekarang. Saya (sebenarnya) tidak tahu pada peringkat usia macam ini, rasanya tiada dugaan sangat.

Kenapa pilih hari lahir (semalam) untuk bercerai?

Itu kebetulan. Mahkamah yang bagi tarikh hari ini, walaupun ini bukan perkara baik tapi saya anggap ini hadiah dari Allah. Saya terima di dunia untuk membersihkan dosa-dosa saya. Kami sempat menyambut hari jadi malam semalam bersama keluarga di rumah.

Sasha enggan dedah punca cerai

Posted:

Sasha enggan dedah punca cerai

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


MEMORI manis Shasha dan Salyo pada majlis resepsi perkahwinan mereka pada 1 Disember 2007 selepas menjalani akad nikah pada 11 November di Jakarta, Indonesia.


TANGGAL 25 Jun lalu, kehadiran pelakon dan penyanyi Sasha Mohamad Saidin, 35, bersama ibunya ke Mahkamah Syariah Gombak Timur telah menarik perhatian segelintir pihak media yang sedang membuat liputan satu kes khalwat seorang pelakon.

Ketika itu Sasha yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Elite dilihat berbaju kurung dan berselendang hitam telah memasuki kawasan yang menempatkan Jabatan Agama Islam daerah Gombak Timur sebelum masuk ke mahkamah rendah bersama ibunya.

Apabila ditanya oleh pihak media mengenai kehadirannya di situ, ternyata artis jelita kacukan Melayu-Inggeris itu agak terkejut. Namun, dia sekadar memberi alasan mempunyai urusan berkenaan hal keluarga.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Kosmo! semalam, kakak kepada pelakon Zain Saidin itu telah membuat pendedahan yang pastinya cukup mengejutkan ramai pihak terutamanya pengikut perkembangan dunia seni.

Kosmo!: Semalam beberapa orang wartawan melihat kehadiran Sasha dan ibu ke Mahkamah Syariah Gombak Timur. Apakah tujuan Sasha hadir ke mahkamah tersebut?

Sasha: Sebenarnya tujuan saya hadir ke mahkamah tersebut kerana mahu membuat permohonan cerai. Saya mengaku yang ketika ini saya memang mahu bercerai dengan suami saya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono.

Sebelum ini tiada sebarang cerita kontroversi yang membabitkan Sasha dan suami. Jadi, kenapa tiba-tiba mahu bercerai pula?

Buat masa sekarang, saya membuat keputusan untuk tidak memberi sebarang kenyataan atau menceritakan mengenai perkara yang sebenar sehingga saya membuat keputusan untuk bercerai. Mungkin kalau sudah tiba masa yang sesuai nanti, barulah saya akan mendedahkan tentang permasalahan yang berlaku antara kami berdua. Namun, sekarang ini lebih baik saya berdiam diri sahaja terlebih dahulu.

Adakah Sasha akan membuat sidang akhbar khas dengan media untuk menceritakan permasalahan yang berlaku?

Saya tidaklah terfikir untuk membuat cara yang sebegitu. Cuma saya mahu segala yang berlaku dapat diselesaikan terlebih dahulu. Apa yang boleh saya nyatakan, keputusan untuk bercerai ini merupakan keputusan kami bersama.

Bagaimana pula dengan perkembangan terkini kerjaya Sasha?

Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Natrah pada bulan lepas dan akan disiarkan di saluran RTM sebanyak 13 episod. Drama berkenaan diarahkan oleh Along Kamarudin dan saya memegang watak Adeline Hertogh yang merupakan ibu kepada Natrah.

Ketika konsert sempena sambutan ulang tahun KRU yang ke-20 baru-baru ini, Sasha dan anggota kumpulan Elite yang lain seperti Azza, Linda dan Watie turut membuat persembahan. Jadi, adakah Sasha tidak teringin untuk kembali menghasilkan semula album bersama Elite?

Kalau diikutkan sehingga kini hubungan saya dan anggota Elite yang lain masih lagi rapat. Namun, untuk kembali membuat kemunculan bersama-sama dengan menghasilkan album baharu agak sukar kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga.

Namun, saya sangat gembira semasa mengadakan persembahan semasa konsert tersebut apabila mereka yang datang turut menyanyi bersama-sama lagu yang kami nyanyikan iaitu GIG, Trauma dan Manisnya Senyumanmu.

Adakah Elite pernah mendapat tawaran untuk menghasilkan album?

Tidak dinafikan tawaran tersebut masih lagi ada dan saya sendiri memang sangat teringin melahirkan album terbaharu bersama Elite. Bagaimanapun, kalau boleh kami mahu album baharu tersebut mendapat sentuhan daripada KRU. Lagipun KRU yang membentuk Elite sehingga kami menjadi antara kumpulan wanita yang dikenali ramai.