Adsense

Khamis, 28 Jun 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tiada orang ketiga

Posted: 27 Jun 2012 03:45 PM PDT

Hip

Jalani sanggup cerai demi kebahagiaan Raja Azmi

RUNTUH akhirnya benteng kesabaran pasangan terkenal ini. Biarpun beberapa kali penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, dan bekas atlit negara, Jalani Sidek, 49, mempertahankan mahligai yang dilanda badai, namun akhirnya mereka mengaku kalah.

Semalam, bertempat di di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di Taman Keramat, Kuala Lumpur, Jailani dalam nada sebak menjatuhkan talak satu ke atas wanita yang dinikahinya sejak 28 tahun lalu di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin.

Walaupun berat untuk Jalani melafazkan perkataan itu, namun demi kebahagiaan isterinya, bekas jaguh badminton itu akhirnya merelakan ikatan perkahwinan mereka diputuskan dengan cara sah. Ditemui selepas selesai prosiding, Jalani berkata, keputusan untuk bercerai dibuat atas persetujuan bersama selain tidak mahu melihat Raja Azmi menderita akibat fitnah yang tidak henti-henti.

"Apa yang saya lakukan ini semata-mata kerana mahu melihat kebahagiaannya. Saya tidak mahu dia sengsara akibat tekanan fitnah daripada mereka yang tidak senang dengan kebahagiaan rumah tangga kami. Mungkin perceraian ialah jalan terbaik serta mampu melenyapkan semua cerita tidak benar yang membelenggu hidupnya selama ini.

"Saya reda dengan perpisahan ini dan inilah pengorbanan saya untuknya," kata Jalani yang kelihatan cukup tenang walaupun berdepan saat genting membabitkan perkahwinan mereka.

Ditanya kemungkinan perceraian berpunca orang ketiga, Jalani berkata: "Perceraian ini tiada kena mengena dengan orang ketiga. Seperti yang saya katakan tadi, keputusan ini dibuat atas persetujuan bersama serta bukan atas paksaan mana-mana pihak.

"Walaupun bercerai, tapi kami berjanji akan menjadi sahabat baik. Kami masih ada anak dan kami tak mahu perceraian ini memberi kesan tidak baik pada mereka," kata Jalani sambil memberitahu, anak-anak memahami dan merestui keputusan itu.

Mengulas soal harta sepencarian, Jalani menjelaskan, perkara itu sudah pun dibincangkan sebelum ini dan mereka berpuas hati dengan keputusannya.

Jika orang lain menyambut ketibaan hari ulang tahun dengan hati gembira, namun situasi itu cukup berbeza buat penerbit filem ...Dalam Botol, Cinta 200 Ela dan Black Widow... Wajah Ayu ini. Mana tidaknya, hari jadinya yang ke-53, semalam, disambut di mahkamah dengan 'hadiah' gelaran janda yang amat ditakuti kebanyakan wanita.

"Saya sendiri tidak sedar tarikh yang kami pilih hari ini kebetulan jatuh pada hari lahir saya. Saya anggap ini hukuman yang dihadiahkan kepada saya. Saya anggap dengan hukuman di dunia ini, saya tidak akan dihukum di akhirat nanti," ujarnya dalam deraian air mata.

Bagaimanapun, menurut wanita berjiwa kental ini, malam sebelumnya dia sempat meraikan ulang tahunnya itu bersama suami dan anak-anak.

Bukan calang-calang wanita mampu memikul gelaran janda. Apatah lagi apabila terpaksa memikirkan cabaran yang bakal terbentang di depan mata. Namun situasi itu tidak pernah melemahkan bekas pramugari ini.

"Saya memang sudah bersedia untuk memikul gelaran janda. Selepas ini, saya mahu melupakan semua peristiwa pahit dan membina hidup baru serta terus berkarya," katanya menutup bicara.

Sementara itu, ketika prosiding, Shaiful Azli mengesahkan perceraian pasangan itu selepas membenarkan Jalani atau nama sebenarnya, Mohd Jalani Mohd Sidek, 49, selaku defendan melafazkan cerai dengan talak satu iaitu talak rajie terhadap Raja Azmi (plaintif) yang kebetulan jatuh pada hari lahirnya yang ke-53.

Sebelum ucapan cerai dilafazkan, Shaiful Azli meminta pasangan itu bermaaf-maafan sebelum Raja Azmi yang memakai baju kurung bercorak batik dan bertudung hitam sambil menangis menuju ke arah Jalani untuk bersalaman dan mencium tangan lelaki itu. Manakala Jalani dalam keadaan sebak memeluk serta mengucup pipi isterinya.

Dalam penghakimannya, Shaiful Azli berkata, selepas meneliti permohonan dan mendengar keterangan bersumpah dibacakan peguam syarie, Roslizam Rahim yang mewakili Raja Azmi, mahkamah membenarkan perceraian atas alasan perkahwinan itu sudah tidak wujud kasih sayang dan berlaku shiqaq' (perbalahan berpanjangan).

"Mahkamah memuji pasangan ini yang akan terus berkawan walaupun sudah bercerai nanti, jangan menjadikan perceraian oleh pihak-pihak untuk bermusuh kerana kamu berdua sudah berkahwin hampir 30 tahun tetapi sayang hubungan ini tidak dapat diselamatkan.

"Perlu ambil iktibar, pasti ada bahagian dalam perkahwinan yang tidak sempurna yang memerlukan kedua-dua pihak muhasabah diri semula dan hidup aman damai selepas ini," katanya.

Berikutan itu, Shaiful Azli mensabitkan perceraian antara plaintif dan defendan dengan talak satu iaitu talak rajie pada jam 3.30 petang dan plaintif diarahkan untuk beriddah selama tiga bulan bermula semalam.

Terdahulu, Roslizam yang membacakan fakta kes memaklumkan, anak guamnya memfailkan permohonan bercerai itu selepas pelbagai spekulasi melanda perhubungan mereka menyebabkan tiada persefahaman sehingga wujud shiqaq antara satu sama lain.

Roslizam berkata, plaintif dan defendan sudah berbincang dan mengambil masa lama untuk memutuskan mengenai perkara itu malah mereka bermuafakat boleh meneruskan kasih sayang sebagai kawan, bukannya sebagai pasangan suami isteri. Kesemua fakta kes itu dipersetujui Jalani yang tidak diwakili peguam dan tidak membantah atau meminda sebarang kenyataan apabila ditanya hakim syarie.

Raja Azmi memfailkan permohonan untuk bercerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, dua hari lalu dan Jalani menerima surat sumpah terbabit pada jam 2 petang, semalam dan bersetuju dengan tuntutan isterinya itu.

Pasangan itu hadir bersama dan tiba di mahkamah kira-kira jam 3 petang, ditemani anak kedua mereka, Puteri Suaida, 23, dan selepas tamat prosiding setengah jam kemudian, mereka meninggalkan perkarangan mahkamah menaiki sebuah kereta pacuan empat roda.

Jalani dan Raja Azmi bernikah di Kamunting, Perak pada 22 Disember 1984 dan dikurniakan tiga anak iaitu, Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23 dan Megat Deli, 18. Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun, Muhammad Akid Mohd Shadan.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

putri khairi

bkn mudah untuk hidup kembali solo...rumahtangga yg dibina slama hmpir 30thn ats dsr Cinta & Kasih runtuh bgitu sja..walauape pn kepda jalani dan raja azmi tabah dan sabar mengharungi dugaan...mgkin ape yg belaku ada hikmah dan bahagia dri Nye..setiap ape yg berlaku telah di atur oleh NYE...

sya terbaca artikel ini dn tanpa sedar kuar airmata sayu. mungkin sya x tau ujungpangkal ceritanya. spatutnya macmanapun gosip dri org2 yg.... jgnlah sampai berakhir dgn prceraian dlm usia perkongsian hidup yg gitu lama(28thn) Apapun sya doakn kebahagiaan mereka berdua sbab perkara dah berlaku. slmt menempuh hidup baru

hani dek ein

skunk nih mulut owg mmg xleyh b'hnti fitnah at owg...but sy just doakn pd auntie azmi n uncle dpt trima dgn tbah dugaan yg Allah swt beri..insyaAllak..