Adsense

Ahad, 24 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Mizz Nina memerah keringat

Posted:

Mizz Nina memerah keringat

NINA mengaku dia dan Noh sama-sama memberi sokongan padu terhadap karier masing-masing.


SOROT matanya redup menahan penat yang menjengah saban ketika. Lewat usia kariernya yang kini sudah berada di takat selesa berbanding dulu, Mizz Nina berjaya meletakkan dirinya dalam legasi sendiri.

Benar dia bukan penyanyi yang mencabar kualiti vokalnya dengan lagu skala tinggi namun dia berani mencorakkan persada seni yang diceburi.

"Alhamdulillah kini hala tuju karier saya semakin jelas dan pintu rezeki sentiasa terbuka," ungkap anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Tidak bergantung pada status keluarga, pemilik nama Shazrina Azman itu yakin akan kemampuannya berdiri atas kaki sendiri dalam segala aspek.

Buktinya, selepas sambutan Aidilfitri tidak lama lagi Nina akan muncul bersama konsert jelajah hasil keringat dan titik peluh sendiri.

"Insya-Allah, kalau tiada aral melintang saya ingin buat konsert jelajah sekitar September.

"Konsert itu merangkumi Malaysia, Hong Kong dan Thailand," ceritanya bersungguh-sungguh.

Kata Nina, dia masih mencari penaja untuk siri jelajah yang memendam sejuta makna bagi dirinya. Dalam pada itu, kalendar tahun 2012 milik Nina juga sudah semakin penuh terisi .

"Tahun 2012 merupakan tahun yang sibuk bagi saya kerana banyak perancangan sementelah album Take Over dilancarkan pada bulan Mei lalu.

"Bagaikan kena tepat pada masa, saya diundang pula untuk membuat persembahan pembukaan konsert MTV World Stage nanti," bicaranya menyusun kata.

K-Pop

Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan mentafsirkan jiwa Nina yang bergelojak saat diberi peluang beraksi selama 30 minit untuk konsert mega yang bakal berlangsung pada 14 Julai di Surf Beach, Sunway Lagoon kelak.

"Konsert ini sangat besar maknanya kepada saya, ia umpama mimpi jadi realiti! Memang sudah lama saya idamkan untuk membuat persembahan di pentas MTV World Stage.

"Lagi pula saya akan berkongsi pentas dengan Justin Bieber, Jay Park dan Kara, itu yang bertambah teruja," luncur katanya.

Singkap Nina, pengalaman pertama kali ini tidak akan dipersiakan dan pelbagai kejutan akan dihadiahkan buat peminat.

"Saya akan menyampaikan beberapa buah lagu antaranya What You Waiting For, Take Over dan Rentak Yang Sama, tapi selebihnya rahsia.

"Konsert ini kali pertama saya menukar persalinan ketika menyanyi dan elemen yang saya ketengahkan adalah kuasa wanita! Saya juga tekankan permainan grafik dan pencahayaan," cerita Nina.

Demi memantapkan persembahan itu lagi, Nina kini sedang giat menjalani latihan bersama penari-penari profesional setiap malam Isnin hingga Jumaat selama tiga jam.

Janjinya lagi, dia akan turut mendendangkan sebuah lagu yang belum pernah dinyanyikannya sebelum ini semata-mata untuk konsert itu.

Sementara itu, bisik Nina dia baru disunting oleh penyanyi K-Pop dari Korea untuk berduet dalam lagu terbaharu. Namun, jelasnya status itu masih dalam perbincangan.

"Ini peluang saya untuk menerpa ke pasaran antarabangsa, memandangkan mereka yang berminat untuk bekerjasama maka tidak pula salahnya.

"Kami boleh menggabungkan idea terbaik kami untuk mencambahkan muzik," kata Nina.

Sedikit khabar mengenai album solo keduanya, Take Over yang sudah menjengah pasaran Jepun dan Singapura, cerita Nina, rata-rata pendengar memberikan respons positif.

"Kelainan corak muzik antaranya beberapa lagu remix mencuri perhatian ramai, peminat pun kebanyakannya selesa mendengar arah muzik baharu seperti itu," ujarnya.

Zuriat

Dia bersedia, selaku penghibur harga privasi yang mudah diperdagangkan harus ditelan bulat-bulat.

Tidak lari daripada tanggungjawab isteri kepada seorang penyanyi, ungkap Nina dimensi karier dan rumah tangga dua item berbeza.

"Masing-masing faham tugas sebagai penghibur, saya dan Noh tidak putus memberi sokongan padu untuk karier masing-masing.

Usai melangsungkan perkahwinan dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh pada sambutan hari jadinya ke 31 pada 1 Julai tahun lalu, bertalu-talu soalan perancangan keluarganya diaju.

"Insya-Allah tahun depan kami merancang untuk mendapatkan cahaya mata, tapi kita tunggu dan lihat," jawab Nina.

Aaron sah kini penduduk tetap Malaysia

Posted:

Aaron sah kini penduduk tetap Malaysia

AARON dan isterinya, Diyana Halik kini berstatus Pemastautin Tetap Malaysia.


POPULARITI ada habuan kepada pemiliknya. Baik atau buruk, populariti menjadikan seseorang artis itu berada di satu tempat istimewa berbanding artis yang kurang popular. Seperti yang berlaku kepada Aaron Aziz, 36, sejak memenangi hati rakyat Malaysia sehingga bergelar Artis Paling Popular 2011, apa sahaja cerita terbaharu dirinya akan mendapat perhatian ramai.

Isu artis luar yang dibangkit oleh Zed Zaidi, kini Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) serta status permohonan Taraf Penduduk Tetap (PR) selama ini menjadi dua cerita yang saling berkait dengan Aaron. Namun, perkara itu barangkali bukanlah lagi satu beban yang merunsingkan buat Aaron. Persoalan tentang status PR Aaron yang selama ini dibangkitkan bukan lagi satu tanda tanya.

Pertengahan minggu lepas, satu sumber Sensasi Bintang membongkar status permohonan PR oleh Aaron yang didakwa telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Turut dilampirkan dalam e-mel tersebut ialah salinan kad MyPR milik isteri Aaron, Diyana Halik. Jumaat lalu, Sensasi Bintang berjaya menghubungi Aaron Aziz untuk mendapatkan pengesahan.

Bercakap kepada Sensasi Bintang, kata Aaron mengesahkan dia dan isterinya kini pemegang MyPR.

"Saya minta maaf kepada semua pihak kerana dari awal lagi tidak menghebahkan kelulusan permohonan PR saya kepada umum. Saya fikir, perkara itu tidak perlu dikecoh-kecohkan. Tetapi, apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengirimkan salinan dokumen sulit saya itu kepada umum, barulah saya rasa perkara itu perlu dijelaskan.

"Saya sudah memegang kad MyPR sejak awal Jun. Saya harap pengakuan saya ini akan menjelaskan segala persoalan semua pihak," akui Aaron setelah meneliti semula gambar kiriman e-mel sebelum memberikan keterangan lanjut.

Ditanya mengenai proses permohonan PR olehnya yang cepat mendapat kelulusan kerajaan Malaysia, Aaron menyerahkan perkara itu kepada pihak KDN untuk memberikan penjelasan.

"Saya tidak rasa cepat atau lambat kelulusan permohonan itu akan menjadi satu isu. Saya tiada hak untuk bercakap tentang rasional atau alasan bagaimana permohonan saya diluluskan. Mungkin saya telah menepati syarat yang ditetapkan," katanya.

Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz turut meluahkan rasa syukur kerana berbekalkan bakat seni yang dimiliki, dia kini boleh bekerja dan menjadi sebahagian daripada penduduk Malaysia. Dia berterima kasih kepada semua pihak atas rezeki dan penerimaan semua terhadap kehadirannya menjadi salah seorang pelakon di Malaysia.

Sebagai rekod, Aaron sebelum ini mendakwa Malaysia dekat di hatinya. Itulah antara sebab mengapa pelakon yang hangat menerusi filem KL Gangster itu memohon PR. Pelakon yang berasal dari Singapura itu memohon taraf penduduk tetap pada Ogos 2011.

Populariti serta aura Aaron semakin mendapat perhatian usai menjulang anugerah tertinggi dalam majlis Anugerah Bintang Popular 2011, April lalu, nama aktor sasa Aaron hangat dengan isu PR yang dipohonnya. Isu itu menjadi kecoh apabila kemenangan Aaron dipertikaikan Zed Zaidi yang ketika itu bercakap atas kerusi Timbalan Presiden Seniman itu meluahkan rasa kurang senangnya kerana pemenang anugerah berdasarkan populariti itu dimenangi pelakon warga Singapura.

Isu itu berlarutan sehingga memaksa Aaron bercakap soal status dan warganegara sehingga terkeluar berita bahawa permohonan PR olehnya sudah mendapat kelulusan dan sedang menunggu waktu untuk diambil daripada KDN. Namun, selepas berita itu disebarkan oleh portal Gua.com, Aaron dalam satu kenyataan menafikan pengakuannya tentang kelulusan status PR berkenaan.

"Sebelum ini orang pernah menyebarkan salinan kad pengenalan palsu saya. Kad itu yang sengaja dicipta untuk memburuk-burukkan saya. Sekarang salinan MyPR saya pula disebarkan. Saya rasa ini kerja orang dalam dan saya tidak tahu apa niatnya menjadi penyebar kepada dokumen sulit pihak lain," kata Aaron sedikit kesal tetapi berterima kasih kepada Kosmo!

Akhiri Aaron: "Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anda dan Kosmo! disebabkan berusaha mendapatkan pengesahan daripada saya sendiri dan tidak menyiarkan gambar kiriman e-mel tersebut tanpa kebenaran daripada saya."

Anuar Zain selar Era FM

Posted:

Anuar Zain selar Era FM

ANUAR ZAIN bukan calang-calang penyanyi dalam industri muzik tempatan. Itu kenyataan yang tidak boleh diketepikan jika melihat kepada pencapaian pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM) yang sudah tiga kali menyaksikan kemenangannya dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik (Lelaki).

Dia juga menggondol anugerah Lagu Terbaik dalam AIM 2003 dan AIM 2011 menerusi lagu Keabadian Cinta dan Sedetik Lebih. Namun album terbaharu Anuar Zain yang mengandungi lagu-lagu seperti Ku Berjanji Karna Cinta, Nadi Terhenti, Pernahkah, Simpati Cintamu, Terindah dan Cinta Harus Memiliki kurang mendapat sambutan stesen-stesen radio.

"Lagu-lagu saya juga seperti tidak dilayan oleh pihak radio. Saya juga agak terkejut apabila diberitahu bahawa lagu-lagu baharu saya tidak mencapai piawaian yang telah ditetapkan stesen radio. Saya agak terkilan.

"Bukan mahu membangga diri, tetapi sepanjang 30 tahun berkecimpung dalam dunia muzik, sudah semestinya saya tahu tahap kualiti sesebuah lagu," katanya dengan nada kesal.

Suara hati Anuar Zain bagaimanapun tidak disambut dengan terbuka pihak stesen radio. Dalam satu laporan, beberapa orang kanan radio tempatan tampil mempertahankan polisi stesen masing-masing bahkan ada yang mengakui terguris hati dengan sikap Anuar.

Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran dalam satu kenyataannya menyebut, dakwaan Anuar itu langsung tidak berasas.

"Dakwaan Anuar bahawa kami tidak membantu dan memutarkan lagu-lagunya adalah tidak berasas. Lagu-lagunya sering diputarkan mengikut permintaan, antara dua hingga tiga kali sehari. Paling kurang sekali sehari berdasarkan permintaan pendengar," jelas Nazri.

Dalam nada merajuk Anuar berkata: "Sudah hampir empat tahun saya tidak mendengar radio kerana genre muzik yang dimainkan tidak dipelbagaikan. Lebih baik saya dengar lagu menerusi cakera padat (CD).

"Saya tidak kata lagu-lagu yang diputarkan itu tidak bagus, tetapi bukankah lebih meriah lagi jika semua konsep muzik diperdengarkan?"

Keterbukaan Anuar bercakap tentang peranan stesen radio itu diluahkan dalam sebuah majlis eksklusif bersama media sempena pelancaran album terbaharunya di Bistro 42, Bangsar Village, petang Rabu lalu.

Apa yang dirasai oleh Anuar sebenarnya bukan situasi baharu. Luahan Anuar juga bukan kecaman yang tidak pernah didengar pihak media sebelum ini.