Adsense

Rabu, 20 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Emosi Zarina bercelaru

Posted:

Emosi Zarina bercelaru

ENTAH kenapa ada sesuatu yang pelik dengan tingkah laku pelakon berbakat Zarina Zainoordin ketika menghadiri sesi fotografi bersama Kosmo! berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia seolah-olah tidak dapat memfokuskan diri apabila jurufoto Nooradzrene Mohd. Noor cuba merakamkan gambarnya.

Sikapnya juga tidak keruan seperti mana kebiasaan sebelum ini. Malah, sikap tidak keruan itu boleh dilihat jelas dalam foto-foto yang dirakamkan itu.

Selesai sahaja sesi fotografi, perkara itu diajukan kepadanya. Apakah punca yang membuat tingkah laku Zarina menjadi sedemikian rupa?

"Karakter Zila dalam drama, Ameera sangat berat untuk saya pikul. Bayangkan selama dua bulan, saya perlu kekal membawa watak wanita psiko, meroyan dan penuh dengan tekanan perasaan apabila diminta menyerahkan bayi kepada pasangan yang tidak boleh mendapatkan anak.

"Disebabkan sudah lama menghayati watak tersebut, saya sampai terbawa-bawa ke luar lokasi," luah Zarina memberikan jawapan terhadap persoalan mengenai sikap pelik dirinya itu.

Bercerita mengenai watak lakonannya itu, kata Zarina, Zila pada asalnya merupakan seorang wanita baik.

"Dia merupakan gadis kampung yang kemudian dilacurkan oleh kekasihnya dan akhirnya dapat melarikan diri sebelum bertemu dengan Ameera, lakonan Rita Rudaini.

"Sejak itu, Zila membuat perjanjian dengan Ameera untuk berkahwin dengan suaminya, Ameer dan melahirkan anak untuk pasangan itu sebelum diceraikan dengan upah RM360,000. Namun, setelah mengandung, Zila mulai menyayangi suami Ameera dan juga bayi dalam kandungannya itu.

"Malangnya suami Ameera tidak membalas cintanya. Disebabkan itu, dia mula berubah menjadi wanita jahat dan psiko sehingga mengugut untuk membunuh kandungan jika Ameer tidak mencintainya. Ada banyak emosi yang berat dalam watak ini membuatkan saya terbawa-bawa hingga ke dalam kehidupan realiti," ujarnya.

Namun, bukan watak Zila sahaja yang membuatkan diri Zarina dlilanda tekanan. Luah Zarina lagi, dia juga sangat tertekan apabila bapanya, Zainoordin Abd. Rahman diserang penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Malah, akibat tekanan yang dihadapinya, Zarina juga baru-baru ini terlibat dengan dua kemalangan dalam masa terdekat.

ZARINA mengakui dirinya telah mengalami pelbagai masalah dalam kehidupan peribadinya.


"Ayah sepatutnya kena potong kaki sebab kakinya luka akibat terjatuh. Namun, kakak saya minta jangan dipotong sebaliknya sapu ubat. Alhamdulillah, luka ayah semakin sembuh tetapi malang pula apabila dia terjatuh sekali lagi dan menyebabkan kaki yang luka tadi patah.

"Saya juga mengalami kemalangan jalan raya sebanyak dua kali. Pertama, ketika dalam perjalanan dari Jengka, Pahang ke Kuala Lumpur. Ketika itu saya baru selesai penggambaran drama RTM, Anak Yang Bertuah.

"Selepas kemalangan itu, tanpa pergi membuat rawatan lanjut saya meneruskan penggambaran drama Ameera pula dan sekali lagi saya terlibat dengan kemalangan. Mungkin terlalu penat atau tertekan dengan segala masalah yang dihadapi, ia sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kehidupan saya," jelasnya yang mengalami penurunan berat badan daripada 47 kilogram kepada 43 kilogram.

Tidak kejar glamor

Sudah banyak drama yang dilakonkan Zarina, tetapi malangnya anak saudara kepada penyanyi Salwa Abdul Rahman itu tidak begitu menyerlah.

Apabila persoalan itu diajukan kepadanya, ujar Zarina, dia bukan artis yang gilakan glamor, sebaliknya figura genit ini lebih mementingkan kualiti.

Jelasnya lagi, sebagai pelakon dia mahu menyampaikan sesuatu mesej kepada penonton. Bukan sekadar lakonan kosong semata-mata.

"Buat apa popular kalau sekejap. Saya mahu terus bertahan dalam industri lakonan sampai bila-bila. Saya jadikan pelakon Liza Abdullah sebagai sumber inspirasi yang mana daripada dulu sampai sekarang dia masih lagi mendapat tawaran berlakon dan semua orang mengenalinya. Saya juga mahu lakonan saya memberi impak kepada penonton," tuturnya yang sering membawakan watak antagonis di dalam drama.

Tidak kecewa dengan watak antagonis yang sering dibawa, ungkap Zarina, dia begitu mengidamkan watak protagonis.

"Banyak sebenarnya watak idaman yang sudah saya terima. Sebagai contoh, watak psiko dalam drama Saka Jentayu dan Ameera. Cuma, saya belum lagi menerima watak yang betul-betul baik. Kalau adapun watak yang pada mulanya baik, tetapi berubah menjadi jahat kemudiannya," luahnya.

Biarpun sering dibanjiri tawaran lakonan, kata Zarina, dia tidak pernah terlintas untuk meninggalkan bidang nyanyian.

DI SEBALIK sibuk dengan jadual lakonannya, Zarina tetap meluangkan masa untuk karier nyanyian.


Nyanyian tetap menjadi keutamaannya. Penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia itu juga akan memastikan setiap hujung minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad, dirinya tidak akan terlibat dengan sebarang penggambaran drama. Ini kerana hari tersebut diperuntukkan untuk menerima tawaran nyanyian di majlis-majlis atau program televisyen.

"Saya mula menyanyi sejak umur 10 tahun. Menyanyi lagi memberi kepuasan kepada saya berbanding bidang lakonan. Lagipun, menyanyi lebih mudah dapat banyak duit. Berlakon pula beri kepuasan apabila lakonan kita orang tengok dan nilai," jelasnya yang berharap dapat mengeluarkan single terbaharunya tahun ini.

Bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, ujar Zarina, dia lebih selesa mengikut acuannya dan memilih genre apa yang ingin dibawanya.

Sehingga kini, kata Zarina, dia masih belum memilih genre lagu yang bakal dialunkan tetapi mengakui sangat sukakan muzik yang dibawa oleh Yuna.

"Saya sedang usahakan untuk menghasilkan single. Buat masa ini, saya tidak tahu lagi jenis lagu bagaimana yang sesuai. Saya tidak suka lagu yang sangat bising. Kalau boleh lagu itu nanti sedap didengar dan mudah untuk pendengar mengingatinya. Seperti lagu-lagu Yuna," tuturnya.

Kahwin

Tahun lalu kecoh mengenai cerita Zarina yang dikatakan bakal ke jenjang pelamin pada bulan Disember dengan seorang jejaka tidak menjadi kenyataan. Adakah jejaka yang dimaksudkan adalah pelakon yang dikenalinya menerusi drama Syurgamu Ramadan, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz?

Ditebak dengan soalan tersebut, akui Zarina, perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada Disember dua tahun lepas bukan dengan pelakon tersebut sebaliknya dengan seorang pemain gitar.

"Dua tahun lepas memang saya dan pemain gitar itu sudah merancang untuk berkahwin tetapi malangnya tidak jadi. Dia muda dan ada benda yang masih ingin dikejarnya. Kami berpisah secara baik.

"Saya dan Ungku Ismail cuma bercinta dan tidaklah sampai ingin berkahwin. Hubungan kami juga cuma bertahan selama empat bulan sahaja," jelasnya.

Tidak hanya dikaitkan dengan dua jejaka tersebut, Zarina juga dikatakan kini sedang menjalin hubungan cinta dengan pelakon Azlee Khairi ketika sama-sama membintangi drama Dingin Lavenda.

Mengulas mengenai itu, Zarina hanya ketawa dan memberitahu, dia dan Azlee hanya berkawan rapat.

"Memang kami rapat selepas bersama-sama membintangi drama Dingin Lavenda. Mungkin sebab kami rapat dan keluar sama-sama orang anggap kami bercinta. Umur dia baru 23 tahun dan terlalu muda," jelasnya yang tidak menolak jika dia dan Azlee ditakdirkan berkahwin.

Bukti Megan Fox hamil

Posted:

Bukti Megan Fox hamil

GAMBAR bukti Megan Fox yang didakwa kini sedang hamil.


WALAUPUN hingga kini belum ada sebarang pengesahan tentang kehamilan aktres Megan Fox, namun kemunculan Fox di hadapan khalayak ramai baru-baru ini seperti mengesahkan bahawa wanita itu kini sedang hamil.

Ini kerana Fox yang pada waktu itu kelihatan baru keluar daripada sebuah restoran bersama suaminya, Brian Austin Green di Los Angeles tampak menggenakan pakaian longgar berwarna ungu dengan sedikit perutnya kelihatan buncit.

Dia juga dikawal ketat oleh suaminya yang menutup perut Fox agar tidak dilihat oleh khalayak. Malah, Brian dilihat cukup bersikap proaktif sepanjang berjalan kaki dengan isterinya itu.

Fox yang kini berusia 26 tahun itu juga didakwa berjalan dengan cukup berhati-hati seperti seorang wanita yang memang benar-benar sedang hamil.

Baik Fox mahupun Brian, mereka masing-masing tidak pernah memberi pengesahan terhadap berita kehamilan tersebut.

Semua manusia buat silap – Hanez Suraya

Posted:

Semua manusia buat silap – Hanez Suraya

Oleh NORHIDAYAH ISHAK

HANEZ dan keluarganya menerima baik kehadiran Awi. Bagi Hanez, apa yang dilakukan kekasihnya itu adalah kesilapan pada masa lampau.


Setelah agak lama berteka-teki mengenai status hubungan pelakon Hanez Suraya dengan penyanyi Awi Rafael, akhirnya ia terbongkar jua. Mereka berdua memilih untuk tidak berahsia lagi tentang cinta yang telah bertaut.

Hanez, 27, yang sebelum ini menafikan status perhubungan mereka yang sudah terjalin selama tiga bulan, akhirnya bertindak terbuka dengan mendedahkan status yang sebenar.

Perkenalan mereka bermula ketika pengurus Awi menghubunginya untuk mempelawa menjadi model klip video untuk single terbaharunya, Asalkan Aku OK.

Kosmo! menemu bual Hanez pada majlis makan malam istimewa bersama pelakon 3 Janji di Luna Bar, Pacific Regency Hotel, Kuala Lumpur.

Selain bercakap tentang hubungan cinta mereka, Hanez turut memberi sedikit kenyataan tentang penyebaran gambar lama kekasihnya itu yang disifatkan agak liar.

Kosmo!: Kenapa sebelum ini Hanez menafikan mengenai status hubungan ini?

HANEZ: Sebelum ini saya bukan ingin menyorok mengenai hubungan ini. Saya mahu dia bersuara dahulu kepada rakan media perhubungan ini kerana sebagai wanita, saya rasa biarlah pihak lelaki yang bersuara dahulu.

Apa sifat Awi yang membuatkan anda menyukainya?

Pada mulanya, saya tidak menyukai dia kerana saya menyangka dia seorang yang 'poyo'. Saya hanya meminati lagu dendangannya, Bila Aku Jatuh Cinta. Namun bila sudah mula mengenalinya, barulah saya tahu bahawa dia seorang yang suka mengambil berat, menghormati orang lain dan bertanggungjawab. Saya senang bersama dengannya.

Adakah Awi dapat memahami kerjaya anda sebagai seorang pelakon?

Buat masa sekarang ini, dia sedang membiasakan diri dengan waktu kerja saya. Kadangkala kami ada berselisih faham mengenai waktu kerja yang berbeza. Walaubagaimanapun, dia sentiasa menyokong kerjaya saya dan saya sentiasa menyokong kerjayanya.

Anda berdua selalu meluangkan masa bersama?

Bergantung kepada waktu bekerja, sekiranya ada masa terluang kami akan menghabiskan masa bersama. Keluarga pun mengetahui hubungan kami. Jadi tiada masalah untuk kami keluar bersama.

Komen sikit mengenai aksi mesra anda dan pelakon sinetron popular Indonesia, Randy Pangalila dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman. Apa reaksi Awi mengenai itu?

Babak cium itu sebenarnya hanya lakonan dan dibuat dengan menggunakan teknik lakonan dan kamera. Ianya bukan aksi sebenar. Dia menerimanya dengan hati terbuka dan asalkan itu hanya untuk tuntutan kerja. Dia juga sentiasa pesan supaya saya pandai menjaga diri dan sebagai wanita perlu tahu batas-batas pergaulan.

Baru-baru ini tersebar gambar Awi yang bertatu dan kehidupan liar dia bersama beberapa wanita. Bagaimana anda melihat isu tersebut?

Jujurnya, saya dan keluarga menerima dia seadanya. Lagipun itu merupakan gambar dan kehidupan lampau dia. Sebagai manusia kita semua ada membuat kesilapan pada masa lalu.

Apa perkembangan terbaharu anda?

Saya telah terbabit drama Suri bermula 11 Jun lalu menerusi slot Azalea di TV3. Dalam drama tersebut saya membawa watak seorang yang sangat daif. Kemudian saya akan memulakan penggambaran drama di bawah produksi Brand Management Group (BMG).