Adsense

Rabu, 20 Jun 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Ramlah Ram Enggan Fikir Soal Kahwin

Posted: 20 Jun 2012 05:39 PM PDT

Ramlah Ram tidak lagi berfikir soal kahwin namun tidak menolak jodoh jika ditentukan Allah. Foto AHMAD IZRAFFIQ ALIAS.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Ramlah Ram tidak mahu lagi memikirkan soal kahwin selepas kegagalan rumah tangga bersama Penerbit Rancangan Unit Sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kamal Roslim dua tahun lalu.
Ramlah, 47, berkata, pada ketika ini pemikirannya tidak lagi tertumpu kepada soal tersebut sebaliknya mahu memberi tumpuan yang lebih mengenai kerjaya dan masa depan.
"Saya tidak pernah terfikir pun pasal jodoh kerana saya terlalu sibuk dengan perkara lain apatah lagi ketika usia sudah mencecah 40-an, perkahwinan bulan lagi menjadi keutamaan saya," ujarnya semasa ditemui selepas rakaman program Fenomena Raya di Angkasapuri di sini.
Bagaimanapun kata Ramlah, jika ada jodoh daripada Allah suatu hari nanti, dia tidak akan menolaknya.
"Nak kata serik berkahwin tidak sama sekali, namun kalau sudah ditakdirkan saya bertemu jodoh saya terima sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Ramlah berkata, walaupun bersendirian dia tidak pernah berasa sunyi kerana kehidupannya sering dikelilingi dengan anak saudara dan kaum keluarga.
Malah kata Ramlah, keluarganya juga tidak pernah membangkitkan soal perkahwinan dan menyerahkan sepenuhnya kepada dia.
"Anak-anak buah saya ramai untuk menceriakan saya dan membolehkan saya menumpang kasih sayang. Soal kahwin untuk kali kedua tidak pernah menjadi isu kepada saya malah keluarga juga sentiasa berada di belakang menyokong saya," katanya.
Sementara itu, Ramlah berkata, dia bakal muncul dengan single terbaru berjudul Seandainya hasil ciptaan ID Mifzal dan Zie Syafruddin yang pernah menghasilkan lagiSesaat Kau Datang.
Ramlah berkata, dia sangat bersyukur apabila kelab peminatnya iaitu Ramlah Ram Group (RRG) yang telah bertungkus lumus bagi memastikan lagu terbarunya itu siap.
"RRG adalah tulang belakang saya yang banyak membantu menghasilkan lagu, promosi, publisiti dan sebagainya untuk saya. Mereka bukan sekadar peminat setia tetapi adalah sahabat baik saya.
"Jasa mereka tidak mampu saya balas sehingga akhir hayat," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Ramlah memberitahu, RRG juga merancang untuk menghasilkan sebuah album mini yang akan dipasarkan selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
Ramlah menjelaskan, sebanyak lima lagu akan dimuatkan dalam album itu nanti sepertiCinta Gila, Benar Mencintai, Sesaat Kau Datang, Seandainya dan Sejadah Cinta.
GAM - Kalau ada teman hidup pun, ok juga, ada yang menjaga bila ke mana-mana

- ---

Linda Onn Nafi Letak Harga Tinggi

Posted: 20 Jun 2012 05:37 PM PDT

Linda Onn rindu untuk kembali sebagai pengacara televisyen.
KUALA LUMPUR: penyampai radio Suria FM, Linda Onn menolak dakwaan mengenakan bayaran tinggi sehingga menyebabkan segala tawaran untuknya bergelar pengacara televisyen tidak diberikan.
Linda berkata, dia tidak pernah meletakkan harga melampaui batas kepada mana-mana pihak yang mahukan khidmatnya malah sentiasa terbuka untuk berunding jika melibatkan soal bayaran.
"Soal bayaran tidak pernah menjadi isu kepada saya kerana perkara itu boleh dibawa berbincang terlebih dahulu dan rasanya saya tidak pernah meletakkan caj yang melampau untuk mana-mana pihak mendapatkan khidmat saya.
"Siapa yang pernah bekerja dengan saya, mereka tahulah mengenai perkara ini," ujarnya ketika ditemui selepas rakaman program Fenomena Raya di Angkasapuri di sini pada Selasa.
Tambah Linda, sepanjang 15 tahun berada dalam industri hiburan tempatan, kadar bayaran dirinya tidak pernah berubah dan terkilan jika isu itu menjadi punca dia tidak lagi menjadi pilihan mana-mana pihak yang memerlukan khidmatnya.
Dalam pada itu, Linda turut menolak tanggapan kesibukan dirinya sebagai penyampai radio dan perniagaan melibatkan restoran yang dimilikinya menjadi penyumbang kepada situasi tersebut.
Menurut Linda, sebagai seorang yang telah lama berada di dalam industri hiburan, pengurusan masa tidak pernah menjadi masalah buatnya.
"Saya tidaklah sesibuk mana kerana kehidupan saya sekarang lebih kepada kerja di studio selain menguruskan perniagaan. Insya-Allah isu pengurusan masa ini tidak pernah menjadi masalah kepada saya," katanya.
Bagaimanapun Linda mengakui dia agak lama tidak muncul sebagai pengacara televisyen dan sudah tidak lagi menerima tawaran seperti mana sebelum ini.
Tidak menafikan agak rindu untuk kembali mengacarakan program televisyen namun menganggap rezeki masih belum berpihak kepadanya buat masa ini.
"Minat saya memang kepada penyampaian radio dan pengacaraan program televisyen dan apabila kurang mendapat tawaran sudah tentu saya berasa rindu. Apa nak buat... belum rezeki saya.
"Kalau ada tawaran saya teringin nak buat program berbentuk bual bicara seperti Ellen DeGeneres atau pun Oprah Winfrey Show," katanya.
Sementara itu, Linda memberitahu, lebihan masa pada yang ada pada dirinya ketika ini membolehkan dia memberi tumpuan kepada keluarga selain melakukan perkara yang diminatinya seperti menunggang motosikal berkuasa besar serta bersukan.
"Sekarang ini masa lapang saya banyak dihabiskan dengan bermain badminton dan menunggang motosikal selain dapat menumpukan perkara-perkara lain yang mungkin sebelum ini tidak pernah menjadi perhatian saya," katanya.

- ---

Anuar Zain Sudah 4 Tahun Tidak Buka Stesen Radio

Posted: 20 Jun 2012 05:35 PM PDT

Anuar Zain terkilan dengan segelintir radio yang tidak memainkan lagunya. Foto AZLINA ABDULLAH
KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain mengaku sudah hampir empat tahun tidak mendengar radio disebabkan bosan dengan pemilihan lagu di kebanyakan stesen penyiaran itu yang asyik memainkan genre muzik serupa.
Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain,42, berkata, kebanyakan lagu yang diputarkan hanya menonjolkan satu atau dua jenis genre muzik sahaja sedangkan ramai penyanyi tempatan yang menghasilkan pelbagai jenis lagu.
"Sudah hampir empat tahun saya tidak mendengar radio kerana genre muzik yang dimainkan tidak dipelbagaikan. Lebih baik saya dengar menerusi cakera padat (CD) yang dibeli.
"Saya tidak kata lagu-lagu yang diputarkan itu tidak bagus, tetapi bukankah lebih meriah lagi jika semua konsep muzik diperdengarkan?," soalnya yang ditemui pada pelancaran album Anuar Zain di Bistro 42, Bangsar Village, di sini, petang Rabu.
Tambah Anuar, hal tersebut membuatkan penyanyi-penyanyi yang membawakan genre muzik berlainan daripada kehendak stesen radio tidak 'dilayan' termasuklah dirinya sendiri apabila lagu album barunya berjudul Anuar Zain gagal mendapat perhatian.
Pelantun lagu Sedetik Lebih ini memberitahu, dia juga agak terkejut apabila menerima maklum balas bahawa lagu-lagu yang dimuatkan pada album yang dipasarkan sejak hujung tahun lalu itu tidak mencapai tahap piawaian mereka.
Anuar Zain bersama album terbarunya berjudul Anuar Zain.
"Saya agak terkilan dengan alasan yang diberikan kerana album tersebut dihasilkan dengan kualiti yang sangat memuaskan.
"Bukan mahu bangga diri, tetapi sepanjang 30 tahun berkecimpung dalam dunia muzik, sudah semestinya saya tahu tahap kualiti sesebuah lagu itu," tuturnya.
Lebih mengelirukan lagi penyanyi ini lagi apabila ada stesen radio memberi alasan bahawa lagu-lagu barunya tidak mesra pendengar sedangkan album itu telah pun dijual sebanyak 11,000 keping tanpa sebarang promosi dalam masa beberapa bulan sahaja.
"Saya tak faham apa yang mereka inginkan dan apa yang dimaksudkan dengan mesra pendengar? Adakah saya perlu mengikut sejenis genre sahaja seperti lagu-lagu yang diputarkan kini?
"Maafkan saya kerana bersikap lantang sedikit. Bukan saya sahaja yang melalui masalah sama, sebaliknya rakan-rakan seperjuangan lain yang sanggup berhabis wang menghasilkan lagu yang berkualiti turut memiliki masalah yang sama. Saya harap pihak radio yang dimaksudkan peka dengan apa yang ingin disampaikan," tegasnya.
Sementara itu, mengenai album terbarunya itu, Anuar bersyukur kerana ia mendapat respons yang memuaskan walaupun tanpa melakukan sebarang pelancaran atau promosi.
"Walaupun pelancaran album ini agak lewat, tidak mengapa, biarlah pergerakan promosinya bergerak secara santai.
"Untuk album kali ini saya pertaruhkan dua buah single lagu iaitu Ajari Aku danSempurnakan Aku untuk diperdengarkan di radio.
"Selain itu terdapat enam buah lagu lagi yang dimuatkan dan diharap ia dapat memberi ketenangan emosi buat para pendengar," ujarnya.
Antara lagu-lagu lain yang dimuatkan ialah Ku Berjanji Karna Cinta, Nadi Terhenti, Pernahkah, Simpati Cintamu, Terindah dan Cinta Harus Memiliki.
GAM - betul juga, dah tu pulak, kadang-kadang 1 lagu tu 3 kali ulang dalam sehari.... hmmm...

- ---

Bront Palarae dan Cristina Suzanne Sekadar Kawan Biasa

Posted: 19 Jun 2012 11:36 PM PDT

Bront Palare
KUALA LUMPUR: Aktor Bront Palarae menyangkal dakwaan terkini kononnya dia sedang menjalin hubungan cinta dengan aktres baru Cristina Suzanne sejak beberapa bulan lalu.
Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, berkata gosip itu adalah tidak benar sama sekali kerana mereka hanya berkawan biasa dan belum sampai ke tahap bercinta seperti yang diperkatakan.
"Mungkin cerita ini timbul kerana kami akan berlakon sebagai pasangan suami dan isteri dalam filem terbaru iaitu Jwanita.
"Untuk mencari keserasian itu, kami kerap berkomunikasi di Twitter. Mungkin sebab itu orang tersalah anggap dan menyangka kami bercinta pula.
"Gosip ini tercetus kerana persepsi orang saja. Tiada apa yang serius antara kami pada waktu ini," katanya.
Bront berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran filem arahan Osman Ali itu di Paradiso Cafe, Publika, Solaris Dutamas di sini, petang Selasa.
Cristina Suzanne
Ditanya mengenai kemesraan dalam komunikasi mereka di Twitter sehingga menimbulkan salah faham di kalangan peminat, Bront berkata apa jua komunikasi di medium itu hanya atas dasar profesional.
"Kami mahu bina keserasian bersama bagi menjayakan watak suami isteri dalam filem itu. Mungkin cara komunikasi di Twitter itu menimbulkan keterujaan kepada orang ramai dan menganggap kami ada hubungan istimewa.
"Saya sedar Cris masih baru dalam industri dan peminat suka untuk memadankan dia dengan aktor lain. Kebetulan pula saya berlakon bersama dia, jadi kami didakwa kononnya menjalin hubungan," katanya.
Mengenai filem Jwanita, Bront memberitahu dia berasa bimbang untuk menjayakan watak Dr Farhan yang kemas dan rapi perwatakannya.
"Pengarahnya Osman Ali minta saya menjadi seorang doktor yang segak, tampan dan kemas tetapi bagaimana hendak saya terjemahkan watak itu?
"Sebelum ini, saya sering bawa watak lelaki yang kasar, bercelaru dan selekeh. Sampai sekarang saya masih terfikir bagaimana hendak terjemahkannya," katanya.
Dalam filem genre suspens dan ngeri itu, Bront bakal bergandingan dengan aktres Maya Karin, Cristina Suzanne dan Marsha Milan Londoh. Ia bakal memulakan penggambaran pada 30 Jun ini di sekitar Kuala Lumpur dan Terengganu selama 30 hari.
Jwanita diterbitkan oleh Nuansa Sdn Bhd dan Ehsan Production Sdn Bhd dengan kos sebanyak RM1.5 juta.

- ---

Izara Aishah Enggan Berlakon Aksi Ranjang

Posted: 19 Jun 2012 11:31 PM PDT

Izara Aishah tidak mahu membawa watak jahat atau aksi ranjang. - Foto SAM THAM. 
PETALING JAYA: Pelakon Izara Aishah enggan menerima sebarang watak melibatkan aksi ranjang terutamanya bersama lelaki sekiranya ditawarkan oleh pihak produksi.
Izara, 20, berkata, dia mempunyai hak untuk memilih peranan yang ditawarkan kepadanya dan akan terus berpegang kepada prinsipnya itu.
"Benar saya sebagai seorang pelakon baru perlu terokai pelbagai watak dalam menjadikan saya seorang pelakon berkaliber tetapi bukan dengan membawa watak sebagai wanita jahat atau aksi ranjang.
"Walaupun saya masih baru, itu tidak bererti saya tidak mempunyai hak untuk menentukan apakah watak yang perlu saya bawa," ujarnya.
Tambah Izara, faktor usianya yang masih muda juga jadi penyebab dia enggan menerima watak-watak sedemikian.
Dalam pada itu, Izara menafikan dia semakin besar kepala apabila sudah mula memilih watak yang diberikan kepadanya selepas popular menerusi drama bersiri Vanila Coklat.
Izara menjelaskan keputusannya itu tiada kena mengena dengan populariti sebaliknya lebih kepada prinsip sebagai seorang individu.
"Saya masih baru dalam industri dan rasanya masih banyak peranan lain yang boleh saya terokai.
Izara menafikan sudah besar kepala tetapi keputusannya itu adalah prinsip dirinya.
"Watak wanita jahat dan aksi ranjang mungkin tidak sesuai buat masa ini dan tiada kena mengena dengan populariti yang sedang saya kecapi," ujarnya.
Bagaimanapun kata Izara, prinsipnya itu mungkin berubah suatu hari nanti jika dia sudah bersedia untuk menerima watak sedemikian.
Sementara itu, mengulas mengenai wajahnya sering menghiasi drama-drama sebagai peranan utama, Izara berkata, dia bersyukur dengan kepercayaan pihak produksi dan menganggap ia sebagai rezeki dan hasil usaha kerasnya untuk bergelar pelakon.
Izara memberitahu, dia memang memegang azam untuk cepat dikenali dalam industri hiburan tempatan dan tidak menyangka ia secepat ini.
"Alhamdulillahlah apa yang saya rencanakan berhasil dan mendapat kepercayaan banyak pihak.
"Bagaimanapun tidak bererti saya sentiasa membawa watak utama, saya tidak mahu menerima peranan sampingan," katanya.

- ---

Karl Shafek Dituduh Guna Taktik Kotor Jadi Pengacara

Posted: 19 Jun 2012 11:27 PM PDT

Karl Shafek. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
PETALING JAYA: Pengacara Karl Shafek (Karl) mengakui terkejut dengan dakwaan yang mengatakan dia menggunakan 'taktik kotor' sebagai jalan pintas bagi memperoleh peluang mengacarakan rancangan Diari On Air di Astro Ria.
Menurut Karl atau nama sebenarnya Khairul Shafe Ibrahim, 32, tuduhan itu adalah tidak berasas kerana dia mendapat peluang tersebut berdasarkan kelayakan menerusi proses uji bakat.
"Untuk apa saya lakukan taktik kotor sebagai jalan pintas mendapat peluang mengacarakan program? Jika saya mahu menggunakan taktik begitu, tentu sudah lama saya menonjol sebagai pengacara kerana saya menceburi bidang ini sejak 2008.
"Saya mempunyai prinsip dan mahu naik daripada bawah di mana saya dapat belajar semua perkara berkaitan dunia pengacaraan dan penyiaran. Peluang mengacarakan Diari On Air adalah menerusi proses uji bakat dan bukan taktik kotor seperti dakwaan itu," katanya ketika ditemui.
Ditanya mengenai dakwaan kononnya dia berkawan rapat dengan Aznil Hj Nawawi untuk mengambil kesempatan bagi memperoleh peluang itu, Karl berkata ia adalah tohmahan daripada pihak yang kurang senang melihat dia muncul dalam program berkenaan.
"Hanya kerana saya rapat dengan Aznil orang tuduh macam-macam pula. Saya menghormati Aznil sebagai pengacara yang berpengalaman. Banyak perkara mengenai selok-belok bidang ini saya pelajari daripadanya.
"Saya ikhlas menimba ilmu untuk peningkatan diri dan tidak ambil kesempatan ke atasnya. Buat apa saya hendak cari masalah dalam kerja kerana ia pasti akan patah balik kepada saya satu hari nanti," jelasnya.
Bercerita mengenai populariti diri, Karl mengakui pembabitan dalam rancangan Diari On Air dan terbaru, MasterChef Selebriti di Astro memberikan impak positif apabila dia semakin dikenali.
"Tidak sangka pula semakin ramai orang mengenali saya. Respons yang saya terima di laman sosial dan ketika di tempat umum sejak terlibat dalam rancangan On Air danMasterChef Selebriti mengejutkan saya.
"Walaupun populariti saya meningkat secara perlahan, ia adalah perkembangan positif yang membanggakan saya secara peribadi," katanya yang mengidolakan pengacara antarabangsa Ryan Seacrest.
Diari On Air disiarkan pada setiap Rabu hingga Sabtu pukul 10 malam bermula 23 Mei lalu di Astro Ria (saluran 104).
MasterChef Selebriti pula kini disiarkan pada setiap Sabtu hingga Selasa pukul 9 malam juga di saluran yang sama.

- ---

Suami Tidak Campur Adegan Panas Zarina Jamalullail

Posted: 19 Jun 2012 11:20 PM PDT

Zarina dalam imej terbaru, bersama Pekin pada tayangan perdana filem Aku, Kau dan Dia baru-baru ini.
PETALING JAYA: Pelakon baru Zarina Jamalullail, 23, menafikan dakwaan suaminya telah membayar sejumlah wang dengan jumlah yang besar bagi memotong beberapa adegan romantik yang dilakonkannya bersama Pekin Ibrahim dalam filem Aku, Kau dan Dia.
Bagaimanapun, Zarina yang merupakan finalis Dewi Remaja 2010/11 mengakui hanya meminta pihak produksi iaitu Tayangan Unggul untuk memotong sedikit adegan romantik berlebihan, bagi menjaga imejnya yang baru bertudung sejak bergelar isteri pada Disember tahun lalu.
"Diakui memang saya ada minta pihak penerbit untuk memotong sedikit adegan yang saya rasa tidak manis ditonton umum, kerana saya sudah bersuami dan bertudung. Ia telah mendapat persetujuan semua termasuklah pengarahnya, Pierre Andre.
"Tetapi tidaklah sampai suami perlu membayar ratusan ribu ringgit kepada penerbit semata-mata untuk pemotongan adegan tersebut, ia tak masuk akal. Saya kesal dengan hal ini kerana suami tidak ada kaitan langsung.
"Harap-harap kenyataan ini jelas dan difahami semua pihak. Saya tak mahu kerana gosip sebegini, kerjaya suami pula yang terganggu, katanya yang dihubungi di sini, Selasa.
Antara babak Zarina dan Pekin dalam filem Aku, Kau dan Dia.
Tambah Zarina, ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana dia hanya ingin menjaga imejnya apatah lagi selepas berhijrah.
Minggu lalu, beberapa akhbar dan portal hiburan melaporkan terdapat khabar angin yang mengatakan suami Zarina yang dikatakan seorang VVIP sanggup membayar ratusan ribu ringgit kepada pihak produksi agar memotong beberapa adegan romantik membabitkan pelakon wanita itu dengan Pekin.
Pemotongan babak tersebut dikatakan telah menjejaskan perjalanan cerita filem itu yang turut dibarisi pelakon Remy Ishak, Nash, Harun Salim Bachik dan Marissa Yasmin.
"Kalaulah saya tahu akan berkahwin dan berhijrah dalam tempoh masa terdekat, sudah semestinya saya tidak akan mengambil tawaran berkenaan.
"Tetapi pada ketika itu, saya menganggap filem ini sebagai platform untuk meneruskan kerjaya di bidang seni selepas menyertai Dewi Remaja," ujarnya yang kini sedang mengandung enam bulan.
Sementara itu, Zarina telah membuat keputusan untuk tidak berkecimpung dalam dunia lakonan bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap keluarga.
"Buat masa ini saya tak mahu berlakon lagi dan ingin mencuba sebagai pengacara agar lebih mudah dalam hal pengurusan masa.
"Bagaimanapun saya tak nak cakap besar, mana tahu, jika ada tawaran yang bersesuaian pada masa akan datang, saya akan pertimbangkan," tuturnya.

- ---

Tatu : Ustaz Puji Taubat Awi Rafael

Posted: 19 Jun 2012 11:17 PM PDT

Awi Rafael
PETALING JAYA: Dosa penyanyi Awi Rafael, 26, yang melukis tatu pada badannya akan diampunkan oleh Allah sekiranya dia benar-benar bertaubat dan menyesali perbuatannya itu.
Pendakwah bebas, Ustaz Zahazan Mohamed berkata, tindakan Awi yang tidak malu untuk mendedahkan rasa kesalnya secara umum adalah satu perbuatan terpuji dan harus dijadikan contoh oleh semua pihak agar tidak meniru perbuatan bertatu tersebut.
"Bukan mudah untuk seseorang yang dikenali ramai seperti Awi mahu mendedahkan perbuatan bertatu itu secara umum dan Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dia cepat sedar dan bertaubat.
"Malah sanggup berkongsi kepada peminat-peminatnya agar tidak mengikuti kelakuan buruknya itu.
"Semoga Allah gugurkan segala keburukan silam dan mengangkat kebaikannya," kata beliau ketika dihubungi di sini, Selasa.
Ustaz Zahazan
Zahazan menambah, sesungguhnya Allah amat gembira dengan orang yang bertaubat dan kegembiraan itu digambarkan melebihi seorang penggembala yang kehilangan unta di padang pasir lalu menemui semula untanya itu.
Beliau yang juga penceramah jemputan program agama Al-Kuliyah di TV3 menambah, seseorang yang bertatu lalu mahu bertaubat, diharuskan untuk membuang tatu berkenaan dengan menggunakan teknologi yang sedia ada sekiranya tidak mendatangkan kemudaratan.
Bagaimanapun jika ia boleh memudaratkan pada diri dan nyawa, maka perbuatan itu boleh dimaafkan.
"Saya berharap apa yang didedahkan Awi dapat menjadi pengajaran kepada semua, termasuklah artis-artis tempatan yang lain.
"Perlu diingat, apabila kita tidak berhubung dengan Allah, maka kehidupan kita juga diibaratkan seperti sebuah kapal terbang yang tiada radar serta terumbang-ambing," tegasnya.
Pada Jumaat lalu, Awi melakukan tindakan berani dengan membuat pengesahan melalui Facebook beberapa foto lelaki bertatu yang tersebar di Internet adalah dirinya.
Bagaimanapun penyanyi lagu Bila Aku Jatuh Cinta itu berkata, dia sudah bertaubat dan menyesali perbuatan yang dilakukan pada zaman remajanya itu.
"Alhamdulillah, sejak meninggalkan Australia pada awal tahun lalu, saya bertaubat dan benar-benar insaf atas segala perbuatan yang menyalahi hukum dan batasan agama.
"Sebab itu saya pulang ke Malaysia, supaya teman-teman Islam dapat membimbing saya dan pada masa sama dapat mencari rezeki halal," katanya dalam entri Facebook miliknya pada 15 Jun lalu.
Awi turut menjelaskan dia membuat kenyataan itu kerana enggan digelar hipokrit, sebaliknya ingin menjadikan pengalaman tersebut sebagai satu pengajaran agar tidak dicontohi oleh peminat-peminatnya.

- ---