Harian Metro: Rap |
Posted: 19 Jun 2012 07:46 AM PDT LAMA berkecimpung di pentas lakonan, Shaheizy Sam jarang dihimpit gosip membabitkan ekspresi cintanya. Selalunya, anak muda bercita-cita tinggi ini lebih terarah menyimpan isi hatinya hanya untuk diri sendiri tanpa berkongsi dengan orang sekeliling terutama peminat. Namun cukup mengejutkan saat anak bujang aktres Khaty Fauziah ini mendedahkan perasaan cintanya kepada media. Dan individu bertuah yang dimaksudkan oleh Sam ialah Yana Samsuddin. Itu situasi yang peribadinya cukup membahagiakan Sam. Tanpa segan dan jauh sekali tanpa ragu, dia punya tahap obsesi tinggi melangit terhadap Yana yang dianggap sebagai wanita berhati cekal sehingga tidak mampu setiap saat melupakan sosok itu. "Obsesi saya terhadap Yana pada wataknya sebagai Julia menerusi filem 8 Jam kerana hidup sebagai budak lorong yang tidak punya dunia lain melainkan seluruh hidupnya diserahkan sepenuh jika buat teman wanita saya itu," ujar Sam ringkas.
"Persediaan saya untuk menjayakan babak aksi menerusi 8 Jam, dapatlah saya rumuskan sebagai sebuah filem yang memenatkan, sangat mengerah fizikal, mental dan emosi. "Saya cedera di mana kedua-dua belah tisu lengan saya koyak. Watak Alang yang sentiasa tertekan turut mempengaruhi emosi saya sepanjang di lokasi penggambaran. Namun, ia sebuah filem yang memberi kepuasan dan saya rasa benar-benar bekerja sebagai pelakon," katanya. Menjengah panggung pada 5 Julai nanti, 8 Jam terbitan Metrowealth Pictures menerbangkan tenaga produksi Ong Bak dari Bangkok dan Sam sendiri sempat berguru dengan koreografer terkenal filem itu. "Teknik yang diajar tidak begitu sukar kerana ia lebih kurang dengan seni pertahanan diri yang saya pelajari. Sekiranya wujud masalah pun hanya bahasa jadi jurang pemisah," katanya. Dalam pada berpuas hati dengan persembahan lakonannya, Sam agak kecewa apabila dimaklumkan babak ke tali gantung yang dijayakan tidak diluluskan Lembaga Penapisan Filem (LPF) walhal ia adalah babak penting dan paling sukar untuk Sam menterjemahkan emosinya sepanjang bergelar pelakon. "Saya sangat sedih babak itu dipotong. Ia adalah babak yang saya buat pada hari terakhir penggambaran. "Menjayakan babak itu menuntut emosi yang sangat sukar kerana seluruh muka saya ditutup kain hitam. Dalam keadaan sebegitu bagaimana saya hendak memastikan emosi saya itu sampai kepada penonton. Getaran nafas kena betul supaya mereka yang menonton tahu betapa Alang gementar saat berdepan ajal di tali gantung," katanya. Debar menanti respon penonton, tiga lagi filem Sam yang berbaki di panggung adalah S.A.M bakal memasuki panggung pada 19 Ogos nanti, Adnan Sempit 3 dan Kisah Paling Gangster. Manakala 2 Kalimah dia digandingkan dengan Nora Danish yang sedang menjalani penggambaran. Beralih fokus kepada Yana yang gembira dengan konsep sesi fotografi yang diadakan baru-baru ini sekitar Balai Berita NSTP, di mana dia tidak perlu bersolek tebal mahupun mengenakan busana mewah, akui gadis berwajah Cina itu dia sedikit cemburu pada Sam. Menyifatkan lakonannya dibelenggu emosi dan penuh misteri namun, babaknya langsung tidak membabitkan adegan lagak ngeri mahupun aksi sebagaimana Sam. "Saya harus memberikan kredit kepada Sam yang bekerja keras menjayakan karakter Alang menerusi filem ini. Saya sebenarnya cemburu dengan peluang yang diperoleh Sam. "Dia lakukan 'stunt' sendiri dan berpeluang menimba pengalaman di bawah pengarah koreografi diimport khas dari Bangkok, Thailand. Tentunya menarik jika saya dapat bekerjasama dengan tenaga kerja dari negara itu yang diiktiraf antara produksi filem aksi terbaik dunia dan 'fantastik' bagi saya. "Mujurlah ada sedikit adegan mencemaskan saya lakonkan. Selebihnya Julia, gadis penuh emosi dan misteri. Sungguhpun beremosi ia perlu dibawa secara mendatar dan ini payah sebenarnya kerana bagaimana saya ingin membuatkan penonton faham soal isi hati dan perasaan saya. "Tambahan pula Julia keliru dengan perasaan cintanya terhadap Alang. Pun begitu, saya sukakan jalan ceritanya yang diketengahkan filem ini. Mengisahkan anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah kebajikan dan mereka adalah anak-anak lorong Chow Kit. "Pengalaman paling menarik, dapat melihat kehidupan sebenar di Chow Kit dan bergelandangan dengan manusia sekitarnya," katanya. Menzahirkan perasaan cinta tragis antara Julia dan Alang, nyata tidak mudah apatah lagi 8 Jam adalah filem pertama Yana bergandingan dengan Sam. Agak sukar mencari keserasian pada mulanya, kerana berasa dirinya teramat kerdil ketika itu beraksi di samping nama besar seperti Sam. "Filem ini dibuat sebelum Bini-Biniku Gangster dan Aku Ada Kau Ada, kira-kira dua tahun lepas. Manakala menerusi filem Adnan Sempit pula saya bergandingan dengan Along dan tak pernah ada babak berdua dengan Sam melainkan beramai-ramai. "Jadi untuk menjayakan babak romantis saya agak segan pada mulanya tambahan pula peranan Sam sebagai Alang terlalu obses dan 'over protective' terhadap Julia. "Sebagai pelakon yang hebat dan berbakat, terjemahan cinta dan kasih Sam itu dapat dilihat jelas dari mata Alang dan ia mendebarkan perasaan saya. Tetapi terus-terang saya katakan bekerja dengan Sam amat mudah, walaupun pelakon hebat, dia tidak sombong dan tak lokek ilmu bagi merangsang pasangannya untuk memberi mutu lakonan yang setara," katanya yang sudah selesai penggambaran lima filem Strawberi Cinta, Wawa Semput dan Adnan Sempit 3 arahan Ismail Bob Hashim, KITA (Pierre Andre) dan Minyak Dagu (Azahari Zain). |
Posted: 19 Jun 2012 07:35 AM PDT MASA depan golongan anak seni termasuk pelakon, penulis skrip dan pekerja belakang tabir produksi akan lebih terjamin apabila Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG ) dengan kerjasama badan sedia ada akan meningkatkan tahap profesionalisme pengamal industri kreatif sekali gus mengiktiraf mereka sebagai tenaga kerja profesional setaraf dengan sektor lain di negara ini. Pengerusi CCIG, Jurey Latiff Rosli berkata, buat masa ini, pihaknya memfokuskan kepada penggiat tiga cabang seni utama itu terlebih dulu dalam pelaksanaan fasa pertamanya. "Menerusi pelaksanaan proses pengiktirafan yang dikendalikan CCIG dan badan berkaitan, pelakon, penulis skrip dan pekerja belakang tabir akan diiktiraf sebagai golongan profesional di mana mereka akan menikmati pendapatan setaraf golongan profesional lain di luar sana. "Pihak kami ingin fokus pada pekerja belakang tabir kerana ia membabitkan kru paling ramai daripada 'runner' hinggalah mereka yang duduk di kerusi pengarah iaitu membabitkan lebih 80 peratus penggiat industri berkecimpung dalam bidang ini.
Jurey berkata, pihaknya melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) juga bekerjasama dengan universiti atau institusi pengajian tinggi tempatan bagi menyediakan kursus sesuai buat pekerja belakang tabir untuk melalui proses pengiktirafan itu. "Jika nak diikutkan, proses pengiktirafan (meletakkan gred) membabitkan golongan seni ini sudah dilaksanakan di persada hiburan Hollywood, cuma perkara ini masih baru di negara ini. "Malah, dengan adanya pengiktirafan itu, penggiat seni tempatan akan dapat gaji minimum dan sasaran gaji mereka juga mencecah RM8,000 sebulan menjelang 2020," katanya. Beliau ditemui di sesi ramah mesra bersama pihak media yang berlangsung di Kelab Darul Ehsan, Ampang, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Ahli Majlis Kerja CCIG, Harun Salim Bachik dan Yusof Kelana. Jurey yang dilantik memegang jawatan Pengerusi CCIG, sejak Mesyuarat Agung pertamanya Julai tahun lalu berkata, objektif dan hala tuju penubuhan CCIG adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi dan profesionalisme golongan anak seni tempatan. "Pihak kami juga menyeru semua pihak yang terbabit secara langsung dalam bidang seni untuk menjadi ahli CCIG termasuklah golongan remaja dan pelajar yang berusia 18 tahun ke atas. "Keahlian CCIG terbuka kepada semua individu termasuk pihak wartawan juga digalakkan menjadi ahli kerana mereka juga terbabit dalam industri kreatif. "Selain itu, pengarah filem, pemuzik, penerbit, pereka grafik, pereka animasi dan bidang lain di bawah industri kreatif juga dialu-alukan menjadi ahli dengan segera," katanya. CCIG yang ditubuhkan sejak 23 Ogos tahun lalu kini mempunyai lebih 400 ahli berdaftar setakat ini. Pihak mereka juga mensasarkan keahlian seramai 15,000 orang dalam tempoh tiga tahun akan datang. CCIG juga menerima suntikan dana dari kerajaan sebanyak RM2 juta tahun lalu untuk menjalankan aktiviti berkaitan terutama dalam mempromosikan lagi pertubuhan NGO itu kepada masyarakat. Mereka yang berminat menjadi ahli boleh mendaftar di portal rasmi CCIG iaitu www.ccigmalaysia.com. Mengulas isu artis luar yang ditimbulkan Presiden Seniman, Zed Zaidi pula, kata Jurey, pihaknya turut mengalu-alukan pelakon popular Aaron Aziz, Adi Putra atau mana-mana artis luar yang cari makan dalam bidang hiburan tanah air untuk menjadi ahli CCIG dengan segera sekali gus menyelesaikan isu dan kemelut status warganegara yang mendapat liputan meluas akhbar dan laman blog ketika ini. "CCIG memberi peluang kepada mereka untuk menjadi ahli bersekutu CCIG yang ditawarkan kepada artis yang bukan warganegara. "Sebagai ahli bersekutu CCIG, artis luar juga bebas untuk bekerja di negara ini dengan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan dari segi undang-undang seperti menjelaskan cukai pendapatan dan sebagainya lagi," katanya. Tambahnya lagi, pihaknya akan memberikan keahlian eksklusif kepada mana-mana artis luar yang tampil ke depan untuk menjadi ahli CCIG. "Terus terang, kita tidak boleh sekat kemasukan artis luar ke negara ini kerana kita perlu bersaing secara sihat dan mendapat kepakaran daripada mereka untuk mengangkat martabat bidang seni tempatan. "Saya percaya, bidang seni kita tidak akan maju jika kita berasa diri sudah hebat dengan sekadar menjadi jaguh kampung?" katanya. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |