Adsense

Ahad, 17 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Eira Syazira basuh kekecewaan

Posted:

Eira Syazira basuh kekecewaan

Eira Syazira basuh kekecewaan

MENGALIR bersama arus seni yang memperkenalkan siapa Eira Syazira seperti dikenali umum, wanita yang pernah diberi jolokan pelakon air mata itu tidak pernah mengalah. Setelah hampir sedekad dalam arena hiburan, dia cukup sedar, kelangsungan menjadi anak seni bukanlah satu tempoh yang mudah buatnya.

Pelakon yang pernah popular menerusi drama Cinta Balqis tidak terusik emosinya apabila bercakap tentang jatuh bangun kariernya. Bagi Eira, dia melihat kejayaannya dalam konteks peribadi. Benar, dia bukan nama besar atau gah dipuja di sana-sini, tapi kejayaan paling besar selama bergelar artis ialah keupayaannya untuk terus kekal di hati peminat.

Biarpun ada yang dengan mudah menggelarkan dirinya pelakon suam-suam kuku yang berangan hendak menjadi penyanyi, Eira juga tidak terguris jika ungkapan itu ditujukan kepadanya.

"Saya tidak rasa begitu. Suam-suam kuku atau tidak, yang penting saya sendiri tidak putus tawaran lakonan bahkan saya lihat graf saya berada di kedudukan yang selesa. Kerja-kerja lakonan saya banyak disiarkan di waktu perdana," ujarnya positif menangani keadaan.

Pelakon berusia 28 tahun itu juga percaya, setiap individu tidak hanya diberikan satu pilihan atau sekadar satu peluang. Dalam kes Eira Syazira, sengaja dibangkitkan satu persoalan berhubung status album sulungnya, Di Hati Ini. Ibarat guruh berdentum hujan tak jadi, kisah album dan langkah Eira sebagai penyanyi tiba-tiba sepi tanpa berita.

"Sepatutnya soalan itu ditujukan kepada syarikat SGM Sdn. Bhd. yang melabur dana untuk menerbitkan album berkenaan. Walaupun sudah dilancarkan dan dicetak sebanyak 2,000 unit, sampai hari ini, saya sendiri tidak tahu apa status album itu.

"Terkilan itu ada, namun bukan kuasa saya. Lagipun, semua kos album itu ditanggung pihak syarikat. Saya tidak boleh kata apa-apa. Kontrak dua tahun bersama syarikat itu juga sudah tamat," jelas Eira yang tidak mengalah untuk dikenali sebagai penyanyi.

Nyanyian beri keseronokan


TIDAK berjauh hati dengan dunia nyanyian akibat album pertamanya terperap tanpa diedarkan, Eira sebaliknya bertemu 'jodoh' dengan Manusia Putih yang memberikan Prasasti Cinta untuk dia meneruskan impian menjadi penyanyi.


Ada kematangan terselit daripada bicara isteri pelakon Azad Jasmin itu. Seperti ada rahsia yang tidak mahu diselongkar kembali, Eira akhirnya bercerita. Siapa sangka, di sebalik ketenangan dan kelembutan pada wajahnya, wanita yang sedang berbadan dua ini pernah diuji oleh janji palsu.

"Dahulu keterujaan saya untuk bergelar penyanyi itu membuak-buak. Jadi bila dapat tawaran, saya terus terima dan sanggup belajar menyanyi walaupun susah. Jadi, siapa tidak kecewa. Saya beranggapan rezeki tak menyebelahi saya ketika itu. Saya reda.

"Tapi, sesuatu yang tak disangka berlaku lagi apabila idea untuk merakamkan lagu runut bunyi untuk drama Bonda terbitan JS Pictures akhirnya membuka jalan baharu kepada saya. Lagu runut bunyi drama berkenaan, Prasasti Cinta ciptaan Manusia Putih kini menjadi single pertama saya yang sedang saya promosikan," kongsi Eira yang melihat nyanyian sebagai mata pencarian yang menyeronokkan.

Tambah Eira: "Lakonan kerjanya sepanjang hari di lokasi dan dibayar dengan jumlah tertentu sehinggalah penggambaran selesai. Nyanyian pula, saya sendiri keluar modal. Sukarnya sewaktu proses rakaman dan ketika berdepan penonton secara langsung di atas pentas. Tapi, turun sahaja dari pentas, saya boleh senyum dengan nilai wang yang dibayar secara tunai atau cek. Nyanyian, benda baharu yang banyak ajar saya untuk lebih kuat dari segi mental dan keyakinan diri."

Tidak puas dengan Prasasti Cinta, anak kedua daripada lapan adik-beradik itu menyimpan impian untuk muncul dalam sebuah duet bersama suaminya.

"Cuma buat masa ini banyak perancangan harus ditunda. Tunggulah lepas bersalin nanti. Dalam keadaan sekarang, saya agak lemah untuk memenuhi banyak tuntutan. Kalau diberikan rezeki, Insya-Allah, saya akan muncul dengan single kedua berjudul Sajak Dari Hati selepas selamat bersalin nanti," katanya yang kini hamil tiga bulan.

Jika diukur dari segi populariti, Eira sebenarnya bukan sesiapa. Tempoh hampir sedekad yang dilalui juga tidak banyak menumbuhkan cerita sensasi kecuali kontroversi yang berlaku di awal perkahwinannya dengan Azad. Sementelah Azad sendiri pernah kecoh dengan sengketa bersama Faezah Elai sewaktu di awal perancangan mereka sebelum bernikah September tahun lepas.

Antara Azad dan Eira, karakter mereka seperti langit dan bumi. Bersuamikan lelaki yang pantang terusik dan mudah melenting, itu sesuatu yang agak menggerunkan bagi sesetengah wanita.

"Azad sangat jujur dengan dirinya. Jika ada sesuatu yang tidak kena dan berasa teraniaya oleh pihak lain, dia akan bermati-matian mempertahankan haknya. Saya kenal sangat dengan sikapnya," beritahu Eira yang kini bakal sibuk dengan penggambaran sebuah telemovie untuk siaran menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Rezeki anak

Menanyakan khabar benih yang sedang membesar dalam kandungannya, Eira tersenyum menahan bahagia. Dalam bahagia menunggu kehadiran orang ketiga, ada kerisauan berselindung di sebalik sinar matanya.


SELAMA ini, Eira Syazira tidak menimbulkan banyak cerita sensasi, namun pertemuannya bersama Azad Jasmin memberi ujian kepada Eira untuk lebih sabar dengan pandangan segelintir pihak yang kurang senang dengan sikap Azad yang kuat melenting.


Kali pertama, pengalaman pertama. Siapa jua akan berdepan perasaan sedemikian bahkan untuk ibu-ibu yang sudah ada punya anak, setiap kehamilan masih memberi pengalaman berbeza.

"Saya sebenarnya tidak sabar tapi pada masa yang sama berasa takut memikirkan situasi hendak bersalin nanti. Macam-macam cerita yang saya dengar, adakalanya buat saya bertambah takut tapi itulah yang saya mahu tahu," jelas Eira yang mengalami alahan sepanjang sejak mengandung.

Sedikit lemah dan kurang bermaya, namun demi komitmen kepada kerjaya Eira bergagah meneruskan penggambaran. Ketika temu bual ini dilakukan, Eira berada di lokasi telemovie Sejadah Dari Mekah.

"Sebenarnya sejak tahu tentang kandungan, saya bercadang hendak berehat tapi tak sampai hati hendak menolak tawaran. Saya anggap ini rezeki anak. Setakat ambil tawaran telemovie saya masih berani tapi tidak untuk drama bersiri atau penggambaran di luar Kuala Lumpur.

"Saya juga kena pastikan jadual Azad lapang untuk menghantar dan mengambil saya dari lokasi. Tanpa Azad atau adik, saya tak akan ke lokasi, takut nanti menyusahkan kerja orang lain pula," katanya yang belum memutuskan untuk bersalin di Kuala Lumpur atau rumah mertuanya di Pulau Pinang.

Percakaran Anzalna, Neelofa

Posted:

Percakaran Anzalna, Neelofa

Percakaran Anzalna, Neelofa


NEELOFA bersama dua peguamnya, Ahmad Hidayat dan Mohd. Irwan Mohd. Mubarak semasa sidang media khas, Rabu lalu.


BERBUNYI klise, namun wanita memang golongan yang mudah menghidap penyakit hati. Pergaduhan kalangan artis juga bukan perkara baharu. Boleh dirumuskan sebagai cemburu, dendam dan tidak puas hati, itu faktor utama kepada perbalahan dua wanita cantik, Noor Neelofa Mohd. Nor, 23, dan Nur Anzalna Md. Nasir, 24.

Ketika ini, kudis yang bernanah dan membengkak di hati dua selebriti muda itu seawal mengenal erti populariti menerusi pertandingan Dewi Remaja sesi 2010/2011 ketara membusung. Jika sebelum ini isu berebut gelaran 'dewi' itu sekadar menjadi bisik-bisik dan mengisi plot sensasi tentang mereka, kenyataan terbaharu Anzalna kepada sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu menjadi klimaks kepada api perseteruan mereka.

Tuduhan Anzalna yang secara terang-terangan menyebut nama Neelofa sebagai menghina keluarganya, mewujudkan akaun Facebook membenci Anzalna secara terbuka bersama peminat serta beberapa tuduhan lain dianggap Neelofa sebagai fitnah yang melampau batasan. Dia bimbang impak besar yang akan meruntuhkan nama dan mencalar imejnya yang kini menjadi duta beberapa jenama. Lantas, tindakan menghantar notis seminggu kepada Anzalna dan menuntut bukti dan penjelasan terhadap fitnah yang telah disiarkan dianggap Neelofa sebagai rasional.

Ketawa baca tuntutan Neelofa

Sehari selepas kenyataan rasmi Neelofa yang melantik dua peguam untuk mengendalikan kes berkenaan iaitu, Ahmad Hidayat Md. Noor dan Mohd. Irwan Mohd. Mubarak, Anzalna juga tidak kalah menunjukkan taringnya. Kepada Kosmo! Ahad, bintang drama Indera Joned itu bertegas akan berdepan tuntutan Neelofa secara undang-undang.

"Jika Neelofa boleh mengupah peguam, saya juga telah bercakap dengan peguam untuk menguruskan kes ini. Saya sudah melantik seorang peguam iaitu Fakhrul Azman. Saya percaya Fakhrul banyak pengalaman dalam menyelesaikan kes membabitkan selebriti, tidak sekadar Fazura sahaja bahkan Memey Suhaiza dan Norman Hakim juga.

"Hari ini (Jumaat), saya juga telah menerima dan membaca surat notis yang dihantar oleh peguam Neelofa. Membaca notis tuntutan berkenaan membuatkan saya ketawa. Saya langsung tidak takut dengan tuntutan itu.

"Sekarang terpulang kepada kebijaksanaan peguam saya. Ikutkan, saya mahu selesaikan perkara ini tanpa perlu ke mahkamah tapi kalau Neelofa tetap mahu saman, teruskan, saya sedia lawan," jelas Anzalna sambil memberitahu, dia ada cukup bukti yang Neelofa mahukan.

Ditanya jika terpaksa ke mahkamah dan berdepan tempoh perbicaraan yang panjang untuk kes yang pasti mengundang sensasi, pelakon Sepah The Movie itu akur demi maruah.

"Sekarang, orang sudah tuduh saya pembawa fitnah, jadi saya kena buktikan perkara itu tidak benar. Kalau ke mahkamah juga, lebih banyak keburukan yang orang tidak tahu akan terbongkar. Tapi, kalau Neelofa mahu menyelesaikan perkara ini secara damai, saya okey. Sekarang Persatuan Seniman juga beri perhatian. Saya jenis yang mudah berurusan," katanya tanpa rasa bersalah.

Sama ada Anzalna mahupun Neelofa, kedua-dua pelakon yang sedang mencipta nama itu bercakap penuh berani seolah-olah yakin masing-masing berada di pihak yang benar.

"Saya juga tidak bodoh untuk bertindak ambil tindakan tegas dan minta bukti daripada Anzalna jika tahu tindakan saya ini tidak berasas. Saya hantar notis agar Anzalna beri respons, setakat ini belum boleh kata saya mahu saman Anzalna, saya ikut prosedur undang-undang. Bagi saya, perkataan saman itu agak murah, sebab itu saya hantar notis agar Anzalna kemukakan bukti," jelas Neelofa ketika sidang media khas di One World Hotel, Bandar Utama, Rabu lalu.

Baby Shima tak kisah lambat popular

Posted:

Baby Shima tak kisah lambat popular

Baby Shima tak kisah lambat popular


BABY SHIMA yakin percaturan untuk berada bawah bimbingan Adam AF akan membuka laluannya untuk merentas jauh dalam bidang nyanyian. Dia kini muncul dengan single pertama berjudul Tak Sabar, ciptaan Edry KRU.


PENYANYI baharu Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashimah Ramli, 20, tidak kisah dirinya lambat popular meskipun sudah dua tahun bernaung di bawah syarikat AICO Empire Group, milik penyanyi Adam.

Menurut gadis yang bakatnya dicungkil daripada sebuah pertandingan nyanyian itu, tempoh dua tahun itu terlalu pendek untuknya menjadi seorang penyanyi yang dikenali ramai.

"Banyak perkara yang harus saya pelajari seperti lontaran vokal dan persembahan pentas kerana bukan senang untuk menjadi seorang penyanyi yang disegani dan terima ramai," ujarnya yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini.

Terangnya, meskipun namanya tenggelam timbul, namun dia masih percaya dengan acuan yang dilakukan oleh Adam buatnya.

"Ketika mula-mula ingin menjadi penyanyi, saya ingatkan kerjaya nyanyian cukup mudah tetapi apabila saya masuk bidang nyanyian, barulah saya sedar bidang ini sangat kompetitif dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Saya percaya berada di bawah naungan Adam akan membawa saya ke tahap yang lebih tinggi. Adam banyak memberi tunjuk ajar, saya juga sering melakukan persembahan bersamanya, jadi daripada pengalaman tersebut telah banyak mematangkan saya sebagai seorang penyanyi," balas gadis kelahiran Johor Bahru itu lagi.

Terbaharu, Baby Shima muncul dengan lagu berjudul Tak Sabar ciptaan Edry KRU dan single kedua yang bakal muncul berjudul Sesaat ciptaan sepenuhnya oleh Adam sendiri.

"Lagu Tak Sabar telah dimainkan di radio, saya harap peminat akan suka dengan lagu nyanyian saya. Buat masa ini saya akan muncul dengan lagu single terlebih dahulu.

"Bukan tidak mahu buat album tetapi Adam sudah mempunyai perancangan untuk saya. Kini, Adam sedang sibuk mencari material lagu yang sesuai selepas dua lagu single itu.

"Kalau tidak ada aral melintang, mungkin saya akan melahirkan album mini tidak lama lagi," katanya yang membawakan genre pop.

Menceritakan pengalaman pertama kalinya berada di studio ketika merakamkan lagu Tak Sabar, perasaan gemuruhnya tidak dapat disembunyikan.

"Memang saya gemuruh ketika merakamkan lagu ciptaan Edry. Saya penyanyi baharu, Edry pula seorang komposer yang terkenal, menyanyikan lagu ciptaannya merupakan satu penghormatan buat saya.

"Perasaan ingin memberikan yang terbaik membuatkan saya tertekan ketika proses rakaman tetapi Edry banyak memberi bimbingan dan akhirnya proses rakaman berjalan dengan lancar," ujarnya yang berharap kehadirannya diterima oleh peminat muzik tempatan.