Harian Metro: Rap |
Posted: 28 Jun 2012 06:23 AM PDT MENJUNJUNG tinggi irama tradisi, seni bangsa yang dicintai, penyanyi Noraniza Idris, 44, sanggup menangguhkan pembikinan album terbarunya, Primadona. Keputusan murni diambil sekali gus mengenepikan kepentingan diri kerana bagi wanita terkenal jolokan Ratu Etnik itu, irama tradisi cerminan budaya, bangsa dan agama sesebuah negara. "Pengorbanan ini walaupun lelah dan memerlukan bukan sedikit usaha, ia buat saya bahagia. Kalau ikutkan boleh sebenarnya jika saya mahu mendahulukan pembikinan album, tetapi saya memilih untuk menjalankan program Akademi Tatih Seni Malaysia (Akademi Latihan Kesenian Malaysia)," katanya. Sebagai seorang pencinta irama tradisi dan seni budaya, wanita mesra disapa Ani itu mahu menerapkan kecintaan yang sama di hati masyarakat terutamanya golongan muda.
"Bukan tidak percaya dengan kemampuan diri, malah amat terharu kerana kerana sehingga hari ini masih ada kelompok peminat menyokong padu perjuangan saya. Cuma, bagaimanakah kita ingin menarik pendengar baru sedangkan irama tradisi atau etnik kreatif bagai dipinggirkan dalam siaran radio. "Justeru itu, program anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan sokongan jitu menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, bergabung dengan syarikat saya, Noraniza Idris Venture Sdn Bhd, untuk menjalankan aktiviti kesenian. "Program yang sedang giat kami jalankan ketika ini adalah program Mesra Belia 1Felda 1Program Malaysia yang berlangsung di Kemaman, Terengganu selama enam minggu. Membabitkan 60 belia dari Kemaman sebagai kumpulan perintis, insya-Allah ia bakal dilanjutkan ke seluruh negara. "Ia mensasarkan kepada beberapa peringkat generasi sebagai satu inisiatif kempen kasih sayang dan kesedaran peringkat akar umbi berteraskan kesenian Malaysia," kata ibu tunggal kepada Mohd Alif Haikal, 21, dan Mohd Alfeq Haikal, 17, ini. Modul yang terdapat di dalam program berkenaan, menurut Ani merangkumi sejarah kesenian, skil setiap kesenian dan ekonomi negara, motivasi tentang kerjaya seni dan pembangunannya. Ditemani suami tercinta, Jeffri Hudi yang dikahwini pada tanggal 1 Oktober 2011, pada pertemuan Khamis lalu, penyanyi terkenal dengan lagu Dikir Puteri dan Awallah Dondang itu sempat melahirkan kebimbangannya terhadap nasib irama tradisi. "Terkadang rasa sedih dan terasing dalam industri seni meskipun saya salah seorang daripada penggiatnya kerana lagu tradisional dan etnik tidak diketengahkan atau mendapat tempat di radio. "Hendak salahkan pihak radio saja tidak adil, tetapi saya merasakan kerajaan perlu melakukan sesuatu. Cuma satu saja cara paling berkesan dan mampu merubah kebimbangan ini iaitu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. "Gesaan beliau sebagai pemimpin yang dihormati rakyat terhadap stesen radio misalnya mewujudkan kuota untuk siaran lagu tradisional pastinya akan membuka mata ramai pihak. Sebagai penyanyi dan pencinta irama tradisi saya hanya dapat membantu kerajaan menggerakkannya," katanya. Beralih topik perbualan kepada pembikinan album pula, Ani kini dalam proses melamar penyanyi muda Shila Amzah sebagai pasangan duetnya. Menetapkan konsep zapin fusion beberapa lagu lama dirakamkan antaranya Dekatlah Padaku dendangan asal Datuk Sharifah Aini, Kerana Kau (Sanisah Huri) dan Pengorbanan (Rafeah Buang). Manakala pada 1 dan 2 Julai ini, bekas peserta Bintang RTM itu bakal menjayakan Ekstravaganza Dikir: Segalanya Dikir! di Istana Budaya yang turut menampilkan penyanyi tersohor, Ziana Zain, Awie (Wings) dan Jamal Abdillah. Program bersempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2012 (FMKL) anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) tampil dengan kelainan pada kali ini dengan mengangkat empat pengisian yang berteraskan khazanah seni Malaysia. "Saya teruja untuk menjayakan persembahan ini kerana persembahan kami nanti akan dimeriahkan dengan kehadiran 500 pendikir termasuk pemuzik yang berpadu menjadikan satu irama malam itu. "Saya sendiri merasakan ia satu pengalaman yang baru dan yang lainnya turut merasakan hal yang sama. Sepatutnya persembahan seperti ini diperkenalkan sejak dulu. Terus saja pada pengisian persembahan, saya akan mendendangkan dua buah lagu iaitu Dikir Puteri dan Hala Timur. "Berkenaan dengan album terbaru pula, saya kepingin bekerjasama dengan Shila dan sudah pun memaklumkan hasrat hati kepada bapa penyanyi itu, ND Lala. Shila adalah penyanyi muda berbakat dan menjadi harapan untuk terus mempopularkan irama tradisi kerana dia mempunyai kemampuan itu," katanya. |
Posted: 28 Jun 2012 06:17 AM PDT BAGAIMANA agaknya reaksi peminat melihat Datuk M Nasir menyanyi dengan iringan pemuzik orkestra profesional tanpa sebarang peralatan muzik elektrik? Itu antara aura dinantikan apabila beliau menjayakan persembahan solo julung kali diiringi pemuzik memakai baju serba hitam ala klasikal yang akan diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC dalam M Nasir with Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) pada 13 dan 14 Julai ini bermula jam 8.30 malam. Beliau akan menyampaikan 20 lagu terbaik yang melonjak dirinya sebagai legenda baik secara solo mahu pun menjulang nama ramai artis hingga dikenali ramai. MPO akan dipimpin oleh konduktor muzik, Kevin Field.
"Ada juga rasa berdebar-debar kerana MPO sebuah kumpulan muzik besar dan masih tidak dapat membayangkan bagaimana bunyi lagu-lagu dinyanyikan diberi susunan berlainan untuk pelbagai instrumen. Apapun, saya rasa yakin mendapat tempo apabila beberapa sesi latihan diadakan bersama MPO dalam masa terdekat. "Bagi saya, ini satu lagu penanda aras kerana pasti ada satu tahap lain yang lebih tinggi daripada pernah dibuat sekarang. Saya mahu mencapai sesuatu terhebat sebagai menandakan kehadiran saya selama 35 tahun dalam kerjaya seni. "Perasaan teruja memang ada, perasaan berdebar-debar juga ada. Apa dapat saya perkatakan, mereka yang hadir akan ke sana melihat M Nasir seperti seorang yang baru dan tidak pernah dilihat di venue yang sering menampilkan persembahan untuk elitist," katanya dalam satu temuramah di pejabat Harian Metro, baru-baru ini. Perjalanan karier seni M Nasir sejak pertengahan 70-an hingga sekarang, membawa beliau ke tahap sekarang. Bukan saja sebagai pelakon tetapi kemampuan beliau menulis lagu turut melonjak ramai artis hingga dikenali seperti Alleycats, Rahim Maarof, Search, Wings, Hattan, Misha Omar, Jamal Abdillah dan ramai lagi. Malah, kolaborasi beliau bersama artis muda seperti Hafiz menerusi lagu Awan Nano membuktikan proses perubahan dilakukan berlainan era dilakukan beliau masih dapat diterima oleh peminat lama dan baru. "Saya suka bekerjasama dengan artis baru. Saya suka perubahan disusuli dengan disiplin. Bagi saya, biarkan lagu-lagu lama disukai ramai berada di tahap zaman ia diminati kerana itulah zaman ia mencapai kemuncak. Ia tidak mampu diubah jika saya buat lagu baru untuk artis zaman itu pun. "Masa berlalu dan saya suka mengikut keadaan. Seperti juga muzik klasikal, ia masih didengar hingga sekarang, cuma jika anda suka, anda boleh mendengarnya. "Saya pernah membayar menonton muzik orkestra Mozart dan Beethoven kerana mereka berdua paling dikenali daripada kalangan komposer terbaik di zaman mereka era klasikal dan romantik," katanya. Lagu-lagu beliau seperti Hingga Akhir Nanti (Alleycats), Fantasia Bulan Madu (Search), Sejati (Wings) serta beberapa lagu nyanyian solo beliau seperti Mustika, Mentera Semerah Padi, Juwita Cinta Terindah dan Tanya Sama Itu Hud Hud juga masih mendapat tempat di hati peminat hingga sekarang. Ditanya beliau bagaimana dikatakan lagu yang bagus, M Nasir memberitahu: "Lagu bagus adalah lagu yang sedap. Cukup dengan mendengar melodi yang lainnya hanya sekadar mengiringi, jika ia sedap, ia sedap, tiada perkataan lain. Jika hendak dikhususkan, lagu dan vokal seimbang (balance) dalam serba-serbi tanpa ada yang lain menguasai satu satu sama lain atau terlebih sana-sini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |