Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Anak muda membawa revolusi
LIMA anak muda mengusung suara hati, disatukan dalam satu nama, satu pelayaran berbenderakan nama Pita Hati. Asalnya nama tadi berjudul H.A.T.I, terdahulu dianggotai dengan dua panji iaitu Ilham dan Yasin yang kemudian dikembangkan menjadi lima kepala. Bila anak muda bersuara baik dalam kata biasa atau berlagu, mereka berhasrat menyampaikan sesuatu. Nah, Ilham bersatu dengan Yasin yang kemudian disertai Masrin, Zahar dan Dayat membawa satu kebangkitan bernama revolusi. Revolusinya tadi diangkat kemudian menjadi tema kepada perjuangan pita rakaman hati mereka. Predikat revolusi itu sendiri umumnya mensyaratkan hadirnya pemimpin karismatik yang berperanan sebagai sebuah 'parti pelopor' (avant garde) dengan adanya sebuah elemen ideologi. Mereka hadir untuk itu, satu misi dalam turun naik nafas mereka bermuzik untuk diri, juga untuk khalayak. Gabung rasa dan jiwa Masuk ke dalam susur masa awal grup yang bernaung di bawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. ini, grup tersebut ditubuhkan pada tahun 2000. Resam sebuah grup, keluar dan masuk itu menjadi lumrah. Cekal Ilham dan Yasin masih bersimpuh erat apabila ditinggalkan dua rakan asal H.A.T.I. Pertemuan dengan Masrin melalui perbualan ringkas di laman sosial Facebook telah membawa kepada sebuah antropologi yang bermakna. Masrin kemudian mengundang Zahar sebagai pemain gitar untuk bersatu dalam Pita Hati. Jodoh dan pertemuan seakan-akan diatur, Hidayat yang baru habis berkuliah di Perth, Australia kemudian pulang ke tanah air membawa kepada sebuah nafas baharu buat grup ini. Lengkap menjadi satu dalam lima posisi santun, Pita Hati mempersiapkan peluru berupa karya untuk ditembakkan kepada pendengaran khalayak. Mohd Ilham, 26, yang bertindak sebagai vokalis bersatu dengan dua orang adiknya, Yasin, 24 (pemain dram) dan Hidayat, 20 (gitar). Masrin, 26 yang bermain gitar bass dan Zahar, 31, gitar menjadi pelengkap kepada antusias grup ini untuk mendepankan sesuatu. Buat Pita Hati, pertemuan ini telah mencerna kepada satu gerakan revolusi avant-garde rock nusantara eksperimental yang halus. PITA HATI muncul dengan sebuah EP (extra play) yang mengandungi empat buah lagu dan sebuah instrumental. Muzik avant-garde mereka dipengaruhi oleh karya-karya tempatan dan luar negara. Pelayaran, muzik dan kecekalan Search, Butterfingers, OAG, Radiohead dan Pink Floyd adalah pengaruh mereka. "Proses kreatif bermula dengan sesi jamming kemudian dikembangkan menjadi sebuah karya. Ia kemudian membawa kepada pecahan lirik," ujar Ilham sang vokalis. "Masuk ke dalam tema dan idea pula, kami mula dengan bincangkan topik. Kami rasakan tema revolusi itu tepat dengan apa yang ingin kami bawakan. Dalam EP (extra Play) Bintang Biru Kristal Salju ada sebuah lagu bertajuk Revolusioner Jilid 1 yang berdurasi 16 minit," ujar Masrin. Dua bulan mereka bersatu jiwa dan rasa menyiapkan EP yang bertajuk Bintang Biru Kristal Salju. EP yang mengandungi empat buah lagu berserta sebuah instrumental ini dilancarkan pada 30 April lalu di Galeri Annexe, Pasar Seni dan disatukan dengan sebuah showcase yang mendapat respons baik daripada ramai kenalan dan peminat. Tampil unik sepanjang showcase tersebut, acara dengan tema Ekspresi Revolusi Seni Dalam Ruang Hati tersebut menggabungkan persembahan muzik eksperimental rock, seni visual dan monoloq oleh Khairil Ridzuan. Khalayak yang hadir baik daripada haluan yang sama atau berbeza merasai apa yang mereka cuba sampaikan. Mengangkat Bintang Biru Kristal Salju sebagai lagu perdana mereka, lagu ini sudah muncul dalam carta Muzik-muzik dan kini dimainkan di radio-radio tempatan dan Singapura. Moden dan vintaj Ditanyakan anak-anak muda ini tentang pandangan revolusi itu sendiri dalam hidup bermuzik kini, Masrin menjawab dengan tenang. "Kami lihat revolusi itu datang dengan media. Dulu perjalanannya lebih konservatif tetapi kini kita diberikan kemudahan internet yang mana karya boleh terus sampai kepada pendengar mahupun penonton." "Revolusi itu juga bergantung kepada mentaliti juga usaha. Ini adalah sebuah permulaan malah percubaan buat Pita Hati. Seperti mana-mana pergerakan secara umum, akan sampai masa dan inilah masa untuk kami bertanggungjawab atas karya dan pergerakan itu. Muzik adalah medium untuk sebuah penyampaian." Sangat meminati muzik dan tidak bersikap prejudis terhadap mana-mana genre, mereka meletakkan isi pita hati sebagai sebuah eksperimen. "Perubahan pembawa kepada pembaharuan dan kemajuan. Eksperimen yang dimaksudkan di sini adalah kami masukkan juga elemen-elemen tradisi ke dalam lagu-lagu Pita Hati," ujar Masrin. "Ada yang tidak faham dengan perjuangan atau lagu kami. Sejujurnya, semua orang mahukan benda baharu dan semula jadi," tambah Ilham tentang respons khalayak terhadap lagu-lagu mereka. Masuk ke dalam bab lirik yang merupakan elemen penyampaian paling mudah dicerna dalam sesebuah karya, Pita Hati mengaku tidak mempolitikkan suasana walau bertunjangkan tema revolusi. "Sebenarnya kami bawakan pelbagai isu dalam lirik Pita Hati. Ia kemudian berbalik kepada tafsiran individu. Kami bercerita tentang pelbagai hal. Mungkin ada yang nampak ke arah politik, tetapi ia sebenarnya menjurus kepada perubahan," terang Ilham lagi tentang kreaviti mereka dalam menghasilkan lirik anak muda. Gaya penulisan lirik grup ini cenderung kepada karya-karya Iwan Fals, Loloq, Pramoedya A. Toer dan A. Samad Said. Ditilik kepada gaya penulisan dan karya lagu Pita Hati, boleh diumpamakan sebagai satu pertembungan muzik moden dan vintaj dengan sentuhan elemen elektronik, psykadelia, drum dan bass, folk dan tradisi nusantara. Muncul sebuah lagi grup anak muda dengan visi dan jalan konservatif dalam membentuk grup dan jalur pengalaman mereka. Yang dihadiahkan kepada khalayak bukan sahaja karya-karya mereka, tetapi ideologi dan pendekatan dengan nama revolusi. Sifat revolusi itu sendiri berhubung kait dengan masa. Ukuran kecepatan suatu perubahan sebenarnya relatif kerana revolusi itu memakan waktu. Seperti kata Pita Hati itu sendiri, semuanya berhubung kait dengan mentaliti dan semoga keterbukaan khalayak berhadapan dengan perkara baharu tidak menjadikan revolusi Pita Hati itu berdepan dengan waktu yang panjang. | ||
'Potong pendek bukan botak' - Ras Posted: 'Potong pendek bukan botak' - RasOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
RAS ADIBA RADZI penyampai berita di saluran ntv7 tiba-tiba menjadi bualan baru-baru ini kerana tindakan menyokong kempen Jom Botak Majlis Kanser Nasional. Melalui laporan beberapa akhbar tempatan sebelum ini, ekoran tindakan Ras Adiba membotakkan rambut, dia tidak dibenarkan keluar televisyen sebagai pembaca berita ntv7 seperti biasa. Namun, kenyataan daripada pihak Media Prima Berhad menjelaskan pembaca berita itu tidak pernah digantung dari tugasnya dan sokongan penuh diberikan berhubung penampilan terbaharunya untuk kempen amal yang disokongnya. Kosmo! mendapatkan penjelasan lanjut daripada Ras Adiba sendiri berhubung isu tersebut. Kosmo!: Ras Adiba, baru-baru ini muncul dakwaan bahawa anda tidak dibenarkan bersiaran di kaca televisyen akibat tindakan membotakkan rambut. Sudi sekiranya mengulas isu itu? Ras Adiba: Buat masa sekarang saya tidak boleh memberikan komen lanjut berhubung status saya kerana kami masih dalam peringkat perbincangan bersama pihak atasan ntv7. Selepas semua perbincangan selesai, baru kami boleh memberikan kenyataan berhubung isu yang dimaksudkan. Anda sedar bahawa wanita tidak dibenarkan membotakkan kepala melainkan kerana berpenyakit? Ingin saya tegaskan, saya tidak membotakkan kepala, tetapi hanya memotong pendek rambut saya. Jika botak, ia akan botak licin. Saya hanya memotong pendek rambut saya untuk tujuan amal. Sekiranya anda digantung daripada tugas adakah anda sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan? Saya tiada masalah. Misal kata tidak dibenarkan membaca berita lagi saya akan mencuba alternatif lain mencari rezeki. Hidup perlu diteruskan seperti biasa. Buat masa sekarang tiada sebarang perancangan pun. Anda tidak khuatir keadaan terkini anda akan memberikan kesan jangka panjang? Pihak ntv7 telah memberikan kenyataan sebelum ini dan akan membuat keputusan tidak lama lagi. Saya sudah lama bersama syarikat tersebut dan sudah macam keluarga. Saya menghormati apa jua keputusan selepas ini dan tidak perlu mengeruhkan keadaan. Tindakan saya memotong rambut pendek bukan isu besar. Mungkin anda sudi ceritakan sedikit sebanyak kenapa perlu anda memotong rambut pendek memandangkan anda memang perlu sentiasa keluar televisyen? Ini pilihan saya sendiri dan bukan satu pengorbanan. Demi membantu masyarakat, cara ini yang mampu saya lakukan. Saya hormati komen-komen daripada orang ramai berhubung tindakan saya. Sejak bila anda terlibat secara serius dengan kempen Majlis Kanser Nasional (MAKNA)? Sebelum ini saya menyokong kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser secara peribadi, hanya melawat mereka di hospital dan menghulurkan sumbangan sekadar termampu. Tapi kali ini tindakan saya serius dan besar-besaran. Saya tidak mampu membelikan ubat-ubatan jadi apa salahnya menyokong kempen ini dengan cara saya sendiri. Bagaimana sumbangan anda melalui kempen pada kali ini? Saya bertindak untuk mewujudkan kesedaran orang awam mengenai kanser dan kesannya kepada kanak-kanak serta orang ramai yang tidak menjangka potensi menghidap kanser. Selain itu kempen Jom Botak MAKNA bertujuan mengumpulkan dana membantu kanak-kanak yang menghidap kanser walau dalam bentuk yang kecil. | ||
Posted: Kylie Minogue kutuk MadonnaKYLIE MINOGUE SEJAK lebih sebulan lalu, nama Madonna kembali menjadi hangat kerana aksi-aksi kontroversi termasuk membuka coli dan seluar sewaktu membuat persembahan dalam siri jelajah konsertnya di Istanbul. Ramai yang mencemuh dan mengkritik tindakan bintang terkenal itu, antaranya penyanyi Kylie Minogue. Penyanyi yang juga aktres itu mengaku sangat bingung dengan selera busana Queen of Pop tersebut. "Apa yang cuba dibuktikannya? Adakah tindakan itu telah lama direncana dan dilaksanakan pada waktu itu? Siapa yang tahu bukan? Saya rasa ramai yang bingung dengan tindakan dia," ujar Minoque. Minogue kemudian mengkritik busana ala penari sorak yang dipakai oleh penyanyi berusia 53 tahun itu. Ujarnya: "Pakaian penari sorak yang dia pakai membuat dia kelihatan seperti remaja yang tidak lulus sekolah sebanyak 48 kali." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |