Harian Metro: Rap |
Posted: 25 Jun 2012 06:52 AM PDT JAUH malam sambil menanti perlawanan bola sepak Isnin lalu dengan riuh-rendah suasana di Pasir Gudang, Johor Bahru tidak sekali menghalang dua bintang popular ini untuk bersembang panjang. Pertama kali dipertemukan, keserasian sudah mula terpancar. Meskipun Remy Ishak atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak kurang sihat malam itu, namun celoteh pelakon baru, Tasha Shila jelas membangkitkan semangatnya untuk borak sama. Topiknya yang mungkin ada persamaan antara mereka berdua adalah segala macam gosip dan kontroversi yang melanda kedua-duanya bagai tiada penghujung. Namun baik Remy mahupun Tasha, kedua-duanya mengharapkan agar episod duka dan pahit itu tidak lagi diungkap kerana peminat sudah sedia maklum. Ibarat sengaja mengundang suasana hambar dan mengganggu 'mood' gembira malam itu jika segala gosip itu diungkit kembali, Remy dan Tasha mohon agar diberikan sedikit ruang untuk masing-masing bernafas lega.
"Bagaimanapun saya manusia biasa yang ada kalanya tidak mampu lari daripada emosi yang mana saya inginkan soal peribadi itu tidak sekali diperdagangkan kepada umum. Itulah yang kadang-kadang menimbulkan kekeliruan kepada diri saya, tersepit di antara banyak hati yang perlu dijaga dan juga komitmen saya sebagai seorang pelakon. "Apapun jika diberi peluang dan kesempatan, saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan apa-apa kisah peribadi atau isu yang akhirnya boleh merosakkan reputasi dan nama baik. Saya ingin dikenali sebagai seorang pelakon dan lebih baik saya diperkatakan mengenai lakonan dan peningkatan saya dalam menghidupkan sesebuah watak. "Namun saya bertuah kerana peminat memahami dan tidak henti memberikan sokongan kepada saya selain keluarga dan teman-teman rapat," katanya. Aktor kacak berusia 30 tahun yang sebelum ini berjaya memikat jiwa penonton menerusi filem Anak Halal, Cun dan Nur Kasih The Movie bagaimanapun menyifatkan segala macam kisah yang terpapar selama ini adalah kehendak orang sekeliling dan bukannya dirinya. "Sebenarnya peminat yang menyukai jika saya menjalinkan hubungan cinta dan berkongsi segala sisi peribadi saya. Media pula berperanan untuk menyalurkan apa yang diinginkan dan saya sebagai anak seni faham dan akur akan situasi begitu. Inilah harga yang perlu dibayar menjadi seorang selebriti. Jauh mana ingin bersembunyi, pasti ada saja yang dapat menghidu," selorohnya. Lain bagi Tasha atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abd Razak yang mula mencipta nama menerusi filem Ratu The Movie dan Klip 3GP, kemunculannya bagai mencetus pesona tersendiri. Mana tidaknya, dalam ramai bintang muda berbakat dan penuh cerita, wajah gadis berusia 25 tahun ini diangkat menjadi Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini. Walaupun ada yang mempertikai dan mempersoalkannya, hakikatnya, Tasha bakat baru yang menyerlah baik. Mula kisah ditaja, gambar bersosial yang tersebar hinggalah perselisihan faham dengan seorang lagi pelakon, sedikit sebanyak ia meletak namanya di gelanggang yang berbeza. Jelasnya, itulah masam manis dunia seni. "Jika ikutkan hati dan tidak berfikir panjang, ingin sekali saya bangkit mempertahankan diri. Namun kalau dilihat dari skala yang lebih luas dan perjalanan yang baru hendak bermula, saya lebih suka berdiam dan membiarkan saja orang bercakap. Kalau penat nanti, diamlah mereka. "Saya rasa itulah rahsia terbaik untuk tidak lebih lama terjerat dengan kisah sebegitu kerana jika dilayan atau memberi sebarang kenyataan balas, ia tidak akan berakhir malah lebih memburukkan keadaan. Saya ingin lama dalam lapangan ini dan saya punya perancangan sendiri untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya satu hari nanti. "Sudah tentu perkara sebegini tidak akan menjadi alasan untuk melemahkan semangat saya ataupun merosakkan perjalanan saya," katanya. Remy sokong Jerman dan Sepanyol TERLANJUR mengundang dua bintang popular ini di sambutan Sorak GoooL Harian Metro bersama Hotlink di Pasir Gudang, Johor Bahru yang lalu, pastinya persoalan mengenai pasukan kegemaran mereka tidak terlepas. Remy umpamanya yang tampak bersemangat hadir mengenakan jersi mengakui menyokong pasukan Jerman dan Sepanyol untuk perlawanan Euro 2012 ini. "Saya memang meminati sukan bola sepak sejak dulu lagi. Bayangkan, saya pernah mewakili daerah dalam sukan ini ketika zaman persekolahan dulu kerana prestasi yang baik. Bola sepak ibarat sukan yang sudah pun dilihat seperti gaya hidup yang mana kesemua peminatnya begitu taksub memberi sokongan untuk pasukan kegemaran terutamanya ketika perlawanan besar seperti Euro ini. "Saya sememangnya peminat setia pasukan Sepanyol dan Jerman yang saya lihat punya kemahiran dan gaya permainan tersendiri," katanya. Anak kedua empat beradik yang berasal dari Melaka ini tidak keseorangan sebaliknya Tasha yang tidak langsung meminati bola sepak turut hadir menemaninya bagi memberikan sokongan kepada sambutan Sorak Goool Harian Metro. Kempen yang dianjurkan oleh Hotlink ini diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan Euro 2012 dan memberikan peluang terbaik untuk selebriti terkenal mendekati peminat dengan menyaksikan perlawanan bola sepak bersama. Jelas Tasha yang mengakui hanya mengenali beberapa pemain yang popular saja, Sorak Goool setidak-tidaknya menyediakan platform kepadanya untuk bertemu peminat yang sanggup turun sama memberikan sokongan. "Saya seronok sepanjang menyertai majlis ini kerana walaupun tidak tahu menahu mengenai sukan bola sepak, saya tetap berpeluang melayan peminat dan menyertai segala aktiviti yang disediakan. Mana tidaknya, selain menonton perlawanan bola sepak, pelbagai hadiah menarik disediakan pihak penganjur dan peminat berpeluang untuk bertemu saya lebih dekat lagi. "Justeru saya rasa sangat gembira kerana berpeluang mengikuti penjelajahan Sorak Goool ini," katanya lagi. |
Posted: 25 Jun 2012 06:31 AM PDT UNTUK julung kali, stesen satelit Astro akan menayangkan sinetron Indonesia sebanyak 40 episod lakonan penyanyi dakwah terkenal, Maher Zain bertajuk Insya-Allah sempena Ramadan akan datang, mulai 17 Julai ini. Sinetron berunsur dakwah ini menggabungkan penghibur dari Sweden itu bersama Fadly, vokalis kumpulan Padi yang cukup popular di Indonesia dan Malaysia. Tayangan akan dibuat serentak di Malaysia menerusi saluran Astro Oasis 106, Mustika HD serta saluran Indonesia, SCTV serentak sempena bulan puasa. Sinetron atau drama episod ini akan mula ke udara mulai jam 5.30 petang di Astro Oasis setiap hari sepanjang Ramadan.
"Apa kami cuba paparkan adalah sesuatu yang baru dan berlainan daripada apa pernah dibuat sebelum ini. Malah kami berbesar hati dapat mempersembahkan saluran khas sempena Ramadan ini sebagai satu hadiah terbaik kepada peminat Maher. "Paling penting, inisiatif ini juga adalah antara cara terbaik berdakwah kepada masyarakat. Biasanya persepsi orang sering mengaitkan penyanyi atau artis membawa kesan atau pengaruh buruk kepada golongan muda tetapi dalam sinetron Insya-Allah, semuanya adalah mengenai pengajaran dan berunsur nasihat dengan cara Maher yang tersendiri. "Sinetron ini juga memberi mesej baik terhadap kerjasama terjalin antara Malaysia dan Indonesia menghasilkan sinetron bercorak keagamaan mengikut perkembangan semasa. "Kami harap tayangan sinetron Insya Allah membuka ruang dimensi baru membuka pemikiran melihat bagaimana seorang Muslim dan penyanyi keagamaan berdepan cabaran sukar di luar negara seperti Maher," katanya. Menurut pengarah sinetron Insya Allah, Eddy Prass, sinetron kali ini menampilkan jalan cerita yang tidak sama antara satu sama lain. "Ciri-ciri keislaman menerusi lagu dan karakter Maher Zain digandingkan dengan lakonan Fadly dalam setiap episod. Kami sendiri belum pernah membuat sinetron seperti ini dengan menggabungkan penyanyi luar dengan vokalis dari Indonesia. "Cabaran menyiapkan sinetron ini juga besar kerana Maher sibuk menjayakan konsert di Eropah. Kami cuma ada masa 21 hari untuk melakukan penggambaran bersama Maher yang hanya lapang selepas beliau melancarkan album Forgive Me di Bali, Mei lalu. "Maher akan bertutur sepenuhnya dalam bahasa Inggeris sementara Fadly, rakan baiknya akan membantu dalam pencarian seorang rakan dikenali sebagai Muhamad Basofi. "Bukan itu saja, Maher dan Fadly membawa watak nama masing-masing sepanjang 40 episod ditayangkan. Kami memang terkejut dengan komitmen Maher yang begitu ceria sepanjang menyiapkan sinetron ini memandangkan jadual begitu padat yang kini sudah memakan tempoh selama lebih daripada 70 hari. "Bayangkan, Maher boleh bekerja dari jam 7 pagi hingga hingga jam 4 pagi setiap hari. Dia hanya tidur selama beberapa jam dan menyambung semula penggambaran dan mampu menyiapkan setiap babak dengan baik. "Dia hanya kekok pada enam atau tujuh babak pertama tetapi sudah mendapat 'feel' dan gambaran wataknya, semuanya berjalan lancar. Dia seorang suka bergurau dengan perkataan bahasa Indonesia paling digemarinya adalah 'Apa lihat-lihat, mau berhantaman?' "Saya juga tidak dapat lupa Maher mahu menyebut semangat tetapi menjadi semangka. Semangka bermaksud tembikai hinggakan krew penggambaran tersenyum mendengarnya," katanya. Sinetron ini membabitkan bekerjasama dengan DNA Production dengan kerjasama Sony Music Indonesia. Penggambaran dilakukan di sekitar kawasan Jakarta, perkampungan serta pinggir pantai Anyer. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |