SEBAIK selesai sesi prebiu filem Jiwa Taiko yang diadakan pada 30 Mei lalu, pelbagai komen dikeluarkan oleh pihak media dan pengkritik filem. Ada yang berpendapat filem aksi kedua arahan Osman Ali ini agak kurang menyengat berbanding Anak Halal yang ditayangkan pada penghujung 2007 dan berjaya mencatat kutipan sederhana kira-kira RM1.6 juta.
Bagaimanapun, setiap orang bebas melontarkan pandangan masing-masing dan Osman tidak mudah melatah kerana gemar membuat eksperimen ke atas karyanya. Tambahan pula, dia seorang yang suka mengetengahkan cerita berkisar hubungan sesama manusia ataupun ada hubung kait dengan isu kemanusiaan.
Bagi tiga pelakon utamanya, Bront Palarae, Remy Ishak dan Diana Danielle, Jiwa Taiko mempunyai keistimewaan tersendiri dan perlu dinikmati apabila menemui penonton pada 14 Jun (semalam). Apatah lagi, Osman sememangnya dikenali mempunyai identiti tersendiri dalam mengetengahkan isu sosial menerusi filemnya.
"Pada saya, filem ini ada jiwa dan taikonya. Pelbagai rasa jiwa dizahirkan yang diselitkan dengan unsur gangsterisme. Seseorang yang datang dari dunia gelap mahu berhijrah ke dunia cerah. Dari jalan gelap dia bertemu kesedaran tapi bukanlah mudah untuk meninggalkan terus dunia hitam itu.
"Filem ini ada nilai tersirat dan mempunyai mesej yang baik. Ini adalah filem ketiga saya bersama Osman dan ketika ditawarkan berlakon, saya terkejut.
Sebabnya saya sentiasa nak buat sesuatu yang baru dalam lakonan. Saya memang suka dengan kerja kreatif namun kadangkala tak percaya juga dengan tawaran dan tuntutan watak.
"Sampaikan saya bertanya Osman kembali kalau-kalau watak ini boleh ditukar dengan orang lain. Proses 'deal' dengan Osman berlaku secara cakap biasa dan nampak wataknya semacam mudah. Tapi apabila dapat skrip, baru saya nampak watak itu sangat berat. Saya berbesar hati apabila dipilih dan menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin," kata Bront.
Dia yang menjayakan watak Pinto mengakui faham misi dan perasaan yang diinginkan oleh Osman, namun selalunya Osman berkehendakkan pelakon itu membawa masuk perwatakan mengikut cara sendiri.
"Pinto digambarkan sebagai ganas, buas, 'charming' dan seksi serta mempunyai konflik dalaman. Saya sendiri keliru kerana dalam pada jahat, Pinto ada sisi 'charming' dan seksi. Semuanya seperti organik. Saya tak ambil berat soal seksi dan hanya buat ikut cara sendiri dan serahkan kepada pengarah untuk menilai hasilnya.
"Ketika sesi prebiu, saya tak menonton kerana memang sikap saya tak suka tengok hasil kerja sendiri. Saya sentiasa fikir setiap projek filem adalah berlainan.
Takkan ada kesinambungan watak Mail daripada Ombak Rindu dalam Jiwa Taiko. Saya suka proses kerja di set. Waktu itu saya hadir dengan karakter watak dan kolaborasi dengan pelakon lain.
"Saya bukannya seronok tengok muka sendiri dan penonton yang berhak tentukan sejauh mana keberkesanan lakonan saya. Saya banyak belajar memperbaiki lakonan menerusi respon peminat dan sensitiviti mereka," katanya.
Keserasian dengan Remy sudah ada menerusi Anak Halal. Bagaimanapun, Bront sudah lama tidak bekerja dengan Remy dan dia mengakui teruja dengan kemampuan Remy kini yang sudah banyak mengumpul pengalaman dalam lakonan.
"Saya sentiasa mahukan projek filem yang 'interesting' serta sesuatu yang segar. Saya sangat 'enjoy' di set lakonan. Saya belajar di sekolah filem dan anggap diri sebagai orang belakang tabir walaupun bekerja di depan kamera.
Saya masih belajar menyesuaikan diri depan kamera. Saya menghargai sokongan peminat, tapi tak selesa terlalu diberikan perhatian.
"Saya hadir ke sesi promosi filem pun atas tuntutan kerja dan menolong dari aspek publisiti. Saya suka judul asal filem ini iaitu Barajiwa. Tapi sebagai produk perniagaan yang membabitkan pemasaran, pembangunan dan penyelidikan, pelbagai perkara perlu diambil kira. Mereka suka dengan tajuk itu dan saya akur dengan pemilihan itu," katanya.
Remy membawakan watak Firman, bekas penjenayah yang merengkuk selama 5 tahun di penjara. Hukuman penjara menginsafkannya dan selepas keluar, dia tinggal bersama kenalannya, Kak Pora di sebuah rumah perlindungan bergelar Wiracinta.
"Watak ini pelik juga kerana dia mencari identiti sendiri. Firman bertekad untuk buat sesuatu yang baru, tapi sebaliknya dia terus diburu oleh Pinto untuk terbabit dalam aktiviti lama. Mungkin ramai yang salah anggap fikir Jiwa Taiko berkisarkan gangsterisme. Unsur aksi memang ada, tapi intipati utama filem ini ialah berkisarkan persahabatan dan semangat setia kawan.
"Adegan aksi yang ditonjolkan hanyalah satu bonus dalam Jiwa Taiko. Osman pernah buat Anak Halal yang menyentuh isu sosial dan kali ini dalam Jiwa Taiko pula. Memang wujud perbalahan begini dalam masyarakat. Ini juga adalah kali keempat kerjasama saya dengan Osman. Dialah yang mencungkil bakat saya dalam lakonan dan tahu sisi karakter saya.
"Mudah untuk saya bekerja dengannya, tapi untuk watak ini ada kesukaran juga kerana saya perlu penuhi piawaian Osman. Orang pasti sangka banduan seorang yang keras, kental dan ganas, namun dia memaparkannya dalam bentuk berbeza.
Kadangkala saya persoalkan juga tapi dia terangkan kenapa dia buat begitu.
"Saya lihat Osman sering bercerita mengenai konsep setia kawan daripada pengalaman yang dilaluinya. Konsepnya sama macam Anak Halal tapi intipati penceritaan berbeza. Seperti yang kita tahu, setiap pengarah mempunyai gaya pengarahan berbeza-beza dan inilah identiti Osman. Saya percaya mereka yang biasa mengikuti filem Osman akan faham cerita yang disampaikan," katanya.
Diana tampil melakonkan watak Trisha, gadis yang menjalani pemulihan di Wiracinta. Trisha datang dari keluarga kaya raya dan kehadirannya di situ mengundang konflik dengan Lara (Nadiya Nissa).
"Selama ini saya berlakon watak sopan. Tapi kali ini saya agak agresif dan hidup tanpa sempadan. Saya kena buat adegan bergaduh dengan Pinto dan orang-orangnya. Sebenarnya saya tak pandai bergaduh, jadi kena ambil masa sebulan untuk siapkan babak ini. Walaupun filem dah siap, saya masih terasa janggal dan ada kekurangan yang boleh diperbaiki.
"Ini kali pertama saya berlakon dengan Osman. Biarpun dapat tawaran tanpa sinopsis dan skrip, siapa yang nak lepaskan peluang berlakon di bawah dia?
Lagipun saya adalah peminat Anak Halal dan rugi kalau tak terima tawarannya.
Dia adalah antara pengarah yang bagus dalam dunia seni kita.
"Saya juga senang bekerja dengan Remy kerana dia ada kesungguhan dalam kerjanya. Manakala Bront pula memang diketahui seorang yang berbakat besar.
Saya akui kurang kenal dengan Nadiya sebelum ini, tapi apabila melihat dia di lokasi, saya tahu dia seorang yang hebat. Saya seronok berlakon dengan mereka yang berada dalam industri bukan untuk glamor sebaliknya mahu memberikan yang terbaik.
"Perasaan rendah diri ketika berlakon memang tiada kerana bagi saya, perasaan itu hanya wujud sekiranya berdepan pelakon senior seperti Sofia Jane. Pada saya, Remy dan Nadiya berbakat, tapi masih mencari nama yang kukuh dalam lakonan. Osman pandai mencipta keserasian antara semua pelakon, menjadikan kami memberikan lakonan terbaik," katanya yang menjadi saksi insiden pelakon babak ngeri, Mohd Raffi Hussin, cedera parah apabila set untuk adegan kebakaran di sebuah rumah banglo meletup secara tiba-tiba menyebabkan dia melecur sebahagian badan, tangan kiri dan muka.