Adsense

Isnin, 18 Jun 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Rebut Rihanna?

Posted: 17 Jun 2012 03:48 PM PDT

Hip

Cemburu dikatakan jadi punca Chris Brown, Drake bergaduh dalam kelab hingga 10 pengunjung cedera

PENYANYI seksi Amerika Syarikat (AS) kelahiran Barbados, Rihanna nampaknya terus mencetus kontroversi dengan kisah percintaan sensasi.

Dua tahun lalu, kecoh kisah Rihanna dipukul bekas teman lelakinya, Chris Brown hingga lebam biji mata lalu memaksa dia membatalkan siri konsert jelajahnya termasuk di Malaysia.

"Rihanna hanya ketawa dan menganggap insiden pergaduhan itu sebagai sesuatu yang gila. Dia juga sempat berbual dengan kedua-dua mereka (Brown dan Drake) mengenai pergaduhan ini," kata sumber.

Tidak serik walau diperlakukan seperti haiwan oleh Brown, Rihanna dikatakan memaafkan Brown dan sering dilihat keluar bersama artis rap itu.

Terbaru, api cemburu dikatakan menjadi punca tercetusnya pergaduhan antara Brown dan kekasih barunya, Drake di sebuah kelab malam di Manhattan, Khamis lalu. Pergaduhan yang dikatakan dicetuskan oleh Drake itu mengakibatkan 10 pengunjung kelab cedera.

Sebelum pergaduhan tercetus, Brown dikatakan menghadiahkan Drake dua botol minuman keras bernilai USD2,000 (RM6,000). Bagaimanapun, Drake dikatakan membalasnya dengan sekeping nota berbaur provokasi lalu Brown naik angin.

Namun, kedua-dua penyanyi itu menafikan mereka terbabit dengan pergaduhan itu malah mendakwa sebelum pergaduhan tercetus, mereka baru hendak meninggalkan kelab.
Menurut laporan yang disiarkan di laman web Daily Mail, Rihanna ketawa sebaik mendapat tahu mengenai pergaduhan antara Brown dan Drake.

Kenyataan lain turut mendakwa, kononnya Rihanna amat bangga menjadi rebutan dua jejaka. Malah penyanyi itu dikatakan bersyukur tidak berada di tempat kejadian, sekurang-kurangnya peminat tidak melihat dirinya dalam keadaan tidak terurus atau cedera akibat daripada pergaduhan itu.

"Dia hanya ketawa dan menganggap insiden pergaduhan itu sebagai sesuatu yang gila. Rihanna juga sempat berbual dengan kedua-dua mereka (Brown dan Drake) mengenai pergaduhan ini," kata sumber.

Sejak kebelakangan ini, Rihanna dan Brown dilihat kembali akrab. Keakraban itu bukan hanya membabitkan mereka berdua, tetapi Brown kembali menyertai aktiviti keluarga bekas kekasihnya itu termasuk menonton pertandingan bola keranjang bersama.

Kehadiran Brown itu dianggap tanda-tanda Rihanna sudah dapat memaafkan kesalahan Brown memukulnya pada 2009.

Sementara itu, peminat meramalkan tidak mustahil suatu hari nanti, cinta Brown dan Rihanna kembali bertaut. Namun mereka memerlukan sedikit masa supaya peminat tidak terkejut dengan keputusan itu.

"Rihanna seolah-olah ingin mencuba nasib. Mula-mula mereka cipta lagu bersama, kemudian keluar bersama dalam keadaan yang sangat mesra. Dia sengaja berbuat demikian supaya peminat tidak terkejut jika mereka benar-benar kembali berpacaran.

"Bagaimanapun, kita tidak mampu menghalang Rihanna untuk bertemu Brown kerana itu kehendaknya. Percayalah, dia tidak akan berani muncul dengan album baru tahun ini kerana takut dicerca peminat," kata sumber itu.

Andai semua dakwaan ini benar, tidak hairanlah Drake sengaja menghantar nota yang menyakitkan hati Brown pada malam pergaduhan. Barangkali, Drake menyedari hati teman wanitanya itu sudah berbelah bagi.

Sementara itu, pihak Jabatan Polis New York (NYPD) dilaporkan masih menyiasat kes pergaduhan antara Brown dan Drake.


Dengarnya... Pelakon kata filem tempatan sampah

Posted: 17 Jun 2012 03:18 PM PDT

Hip

BANYAK betul blog hiburan kebelakangan ini yang Cik Normah tengok copy, paste berita yang dikeluarkan dalam akhbar atau majalah, dan kemudian mereka buat olahan sendiri. Ada ayat yang diguna begitu keras serta mampu membuatkan orang tersinggung.

Cik Normah tidak menafikan, dari segi gaya penulisan, segelintir penulis blog ini tidak mempunyai etika, sebab itu mereka tulis ikut sedap mulut saja, tanpa memikirkan sensitiviti orang lain.

Tetapi ada satu blog milik seorang pelakon lelaki ini dikatakan mampu membuatkan penggiat industri filem tersinggung. Eh! kenapa pula? perkara ini sampai ke telinga Cik Normah daripada seorang penggiat filem sendiri. Katanya, pelakon ini yang pernah muncul dalam sebuah filem komedi bersifat urban, lantang menyuarakan pendapat di dalam blog peribadinya itu.

Cik Normah cuba mengakses ke blog yang dimaksudkan, tetapi tidak ketemu. Menurut si penyampai ini, dia berasa geram dan marah apabila membaca setiap ayat dan kenyataan yang ditulis si aktor ini yang berani melabelkan filem tempatan sebagai sampah.

Amboi, hebatnya ayat dia. Bukan itu saja, aktor ini juga dikatakan menyuarakan pandangannya dengan niat menghentam pelakon tempatan yang dianggapnya tidak berkualiti. Eh, dia pun bukanlah hebat sangat pun.

Lantang betul dia meluahkan pendapat tanpa memikirkan perasaan orang lain. Adakah kerana diri sudah tidak laku, maka dia berbuat demikian?
Tidakkah dia sedar, kenyataannya itu membuatkan produser, pengarah dan pelakon lain jadi benci dengannya? Kalau benar nak meluahkan pandangan sekalipun, jangan sampai menyinggung perasaan orang lain.

Dalam erti kata lain, tulislah dalam bahasa yang berlapik supaya kelihatan lebih sopan walaupun menyindir.