Adsense

Selasa, 12 Jun 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Peminat pasti tak jemu

Posted: 11 Jun 2012 06:43 AM PDT

SEMAKIN lama namanya semakin mengharum dalam dunia seni tempatan. Mula diperkenalkan menerusi Spa Q terbitan Global Station Sdn Bhd pada usia belasan tahun, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen semakin menjadi buruan banyak syarikat produksi. Sedar atau tidak, wajah gadis berusia 18 tahun ini sering kelihatan menerusi drama di kaca TV.

Terbaru, lakonan berkesannya dapat disaksikan menerusi siri drama Friday I'm In Love (FI'IL) dan Puaka Bunga Tanjung yang kedua-duanya ditayangkan menerusi stesen TV9. FI'IL masih lagi menemui peminat manakala Puaka Bunga Tanjung yang bergenre seram baru berakhir episod tayangan pada 6 Jun lalu.

Bagaimanapun, tidak terhenti setakat itu kelibatnya dapat disaksikan lagi menerusi drama terbaru yang mengisi slot Zehra, Naziha yang akan memulakan tayangan di TV3 pada Jumaat ini. Mungkin timbul persoalan peminat jemu asyik disogokkan lakonannya, namun baginya setiap karakter yang dibawakan adalah berbeza.

"Dalam FI'IL saya bawakan watak gadis bandar bernama Nisha yang berkawan baik dengan Awang (Qi Razali), Ana (Bella Dally), Pitt (Zoey Rahman), Jo (Aiman) dan Hansem (Ryzal Jaafar). Drama ini berkisarkan persahabatan dan berlainan daripada drama yang lain. Kami beramai-ramai cari keserasian untuk menghidupkan watak di dalamnya dan terus jadi kawan rapat di luar set sehingga sekarang.


"Sebelum ini, saya sering diberikan watak dewasa dari usia sebenar. Inilah kali pertama saya diberikan watak remaja dan peminat tentunya dapat menilai lakonan saya. Manakala dalam Puaka Bunga Tanjung pula mengisahkan kisah silam dua generasi yang datang semula kepada sebuah keluarga akibat balas dendam selepas 30 tahun.


"Drama ini berlatarkan zaman 1960-an dan moden yang menyelitkan hubungan cinta dua generasi yang melalui kitaran hidup berbeza melalui zaman perubahan sepanjang permusuhan Pak Malik dan Fansuri yang hadir dalam bentuk baru. Saya jadi Mayang Bidari, gadis desa yang cantik tapi sering kesunyian, sangat menyukai bunga tanjung sejak kecil.

"Sudah jelas, setiap karakter saya berbeza dan peminat takkan persoalkan jemu untuk menonton setiap drama yang ditayangkan. Dengan bantuan setiap pengarah yang mengarahkan drama ini, lakonan yang diberikan tentunya berupaya menghidupkan sesebuah drama yang ditayangkan. Namun saya juga beruntung kerana mereka juga bagi peluang buat saya bawakan watak ikut cara sendiri," katanya.

Pemilihannya berlakon dalam Naziha seakan-akan menerbitkan persoalan Nelydia anak emas stesen TV Media Prima, namun dia segera menafikan. Katanya, ia berkat kegigihannya memperbaiki kualiti lakonan setiap masa.

"Kebetulan rezeki saya murah dengan dua stesen ini. Peluang berlakon dalam FI'IL hadir selepas tiga hari saya selesai menduduki kertas akhir peperiksaan SPM. Selepas berjumpa dengan pengurusan Grand Brilliance, saya terus diberikan peluang berlakon. Sebelumnya, ketika bergelar pelajar, saya terpaksa pandai membahagikan masa untuk kedua-duanya.

"Langkah saya memang panjang lepas SPM, saya ditawarkan pula berlakon drama Naziha bersama Izara yang membawakan watak utama serta Erry Putra, Ammar, Zain Saidin dan ramai lagi. Kelainannya, saya diberikan watak gadis liar yang belum pernah dibawakan sebelum ini.

"Mungkin ada yang berkata, Izara beruntung kerana masih baru tapi sudah sering diberikan watak utama, tetapi saya anggap itu rezekinya. Tiada sebab untuk saya berasa kecewa atau cemburu kerana pengarah berhak menentukan karakter yang sesuai untuk semua pelakon. Lagipun setiap karakter ada kekuatan dan saya gembira kerana dengan kerjasama semua, drama yang dihasilkan menarik untuk ditonton," katanya.

Keputusan SPM sudah diperoleh dan bagi Nelydia, dia berpuas hati dengan keputusan yang diraihnya. Bahkan dia sudah mempunyai agenda untuk merancang masa depannya.

"Saya sentiasa berfikir positif dalam hidup. Saya merancang akan ambil jurusan perhubungan awam atau psikologi di sebuah kolej swasta yang akan bermula pada September ini. Saya sudah bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai pelajar semula dan melupakan seketika bidang lakonan. Sebenarnya saya berlakon hanya untuk timba pengalaman. Apatah lagi minat berlakon timbul sejak kecil.

"Saya tak nak terlalu mengharapkan pada keluarga dan tahu bagaimana penat lelah mencari wang. Justeru saya akan menggunakan sebaik mungkin pendapatan yang diterima dari berlakon untuk membiayai kos belajar selama tiga tahun untuk menggenggam segulung diploma. Namun, saya masih boleh berlakon kerana bidang yang dipilih tak lari jauh pun daripada lakonan.

"Saya ingat nak ambil jurusan lain, tapi susah kerana saya memang minat pada lakonan. Saya akui tak mampu untuk lepaskan salah satu antara kedua-duanya. Ia saling berkaitan," katanya.

Sebelum ini, Nelydia sering ditemani oleh ibu atau kakak dalam setiap sesi fotografi yang dianjurkan. Namun seiring kedewasaannya, anak ketiga daripada tujuh beradik ini sudah mula berdikari dalam setiap urusan.

"Dulu memang mama ikut. Sekarang dia sibuk uruskan adik-adik dan terpaksalah saya bergerak sendirian. Mama percaya saya boleh berdikari. Tambah lagi, saya pun dah ada lesen memandu. Namun, kalau saya ada penggambaran di luar, memang dia akan ikut," katanya yang masih belum memikirkan teman istimewa.




Syamsul pengarah luar biasa

Posted: 11 Jun 2012 06:34 AM PDT

HAMPIR keseluruhan filemnya mencapai kutipan 'pecah panggung' dan ini meletakkan nama Syamsul Yusof, 28, sebagai pengarah luar biasa sekali gus melayakkannya menerima gelaran 'Jutawan Muda Filem'.

Terbaru, filem ketujuh arahannya, Bohsia 2: Jalan Kembali terbitan Skop Production Sdn Bhd yang membariskan pelakon seperti Sofi Jikan, Zizan Razak, Salina Saibi, Nabila Huda dan Harun Salim Bachik, berjaya mencatat kutipan RM3 juta dalam masa empat hari sejak ia ditayangkan pada 7 Jun lalu.

Satu pencapaian yang membanggakan disifatkan Datuk Yusof Haslam selaku penerbit filem berkenaan, tambahan pula, filem itu ditayangkan pada ketika 'deman Euro' sedang berlangsung.

"Bohsia 2: Jalan Kembali ditayangkan pada hari yang sama Euro bermula. Saya percaya ada di kalangan penonton pastinya enggan melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak itu.


"Lazimnya tayangan tengah malam sekitar jam 12 dibanjiri penonton.

Bagaimanapun, Jumaat malam Sabtu yang lalu, Bohsia 2: Jalan Kembali terpaksa bersaing dengan siaran langsung Euro membabitkan perlawanan antara pasukan Greece dan Poland.

"Namun begitu, saya tetap bersyukur kerana dalam pada filem ini menghadapi saingan perlawanan bola sepak yang begitu dinanti-nantikan peminat sukan seluruh dunia, masih ada penonton memilih untuk menyaksikan Bohsia 2: Jalan Kembali.

"Buktinya dalam masa empat hari filem ini ditayangkan, ia sudah mencapai kutipan RM3 juta. Satu jumlah yang tidak pernah dijangka saya sebaik mengambil kira persaingan yang terpaksa dihadapi.

"Jujur saya akui, sebagai penerbit saya mahu melihat filem ini mampu mengatasi karya-karya Syamsul sebelumnya. Jika ia boleh mencapai RM5 juta sekalipun, itu sudah cukup melegakan memandangkan ini antara filem arahan anak saya yang berbajet besar khususnya persediaan untuk babak-babak aksi," katanya.

Filem Bohsia 2: Jalan Kembali mengisahkan seorang wanita bersama rakan-rakannya yang kembali ke pangkal jalan selepas terbabit dengan aktiviti kurang bermoral.

Menyingkap profil seni Syamsul, pemuda itu mula mengarah filem pada usia 23 tahun. Syamsul mempertaruhkan Evolusi KL Drift pada 2008 sebagai percubaan pertama dan ternyata kemunculan sulung itu mengejutkan apabila berjaya memperoleh kutipan RM4 juta.

Kemudian, Syamsul menyusul pula dengan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam pada 2009. Masih menerapkan elemen aksi, filem itu menyaksikan peningkatan di mana kutipannya berjaya mengatasi filem pertama iaitu RM4.5 juta.

Filem ketiganya pula, Evolusi KL Drift 2 (2010) terus memahatkan nama anak sebagai sutradara berkaliber apabila filemnya kali ini menyaksikan penambahan RM1.3 juta (RM5.8 juta) daripada Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Sebuah lagi filem menyusul pada tahun yang sama dan kali ini Syamsul mengubah corak pengarahannya dengan memperkenalkan filem seram berjudul Khurafat. Apa yang menarik mengenai filem ini, tanpa disangka-sangka ia berjaya mengaut kutipan berjumlah RM8.1 juta.

Bagaimanapun, kerjaya pengarahan Syamsul yang paling gemilang setakat ini tentunya saat melahirkan filem KL Gangster pada 2011 dengan jumlah kutipan panggung RM12 juta. Tahun yang sama, Syamsul melahirkan pula filem komedi, bagaimanapun Aku Bukan Tomboy hanya berjaya memperoleh kutipan RM2.7 juta.