Adsense

Sabtu, 9 Jun 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Malam final titik permulaan

Posted: 08 Jun 2012 06:45 AM PDT

APA saja persepsi orang yang singgah ke telinga mereka mengenai untung nasib menang atau kalah, itu bukan sesuatu yang perlu difikirkan. Sebaliknya bagi rocker wanita Malaysia, Ella bersama protegenya, Puteri Caroline Mohd Kamel, 20, apa yang penting adalah memberikan yang terbaik buat semua peminat yang tidak henti menyokong.

Meskipun ketika ini semua pengikut Mentor 6 sedang memperkatakan siapa yang bakal menjadi juara namun berkali-kali Ella mengingatkan Caroline agar usah terlalu memikirkan sangat soal itu kerana sejak awal lagi, fokus utama adalah berkongsi ilmu dan beraksi.

Bertemu dengan kedua-dua bintang itu di ibu negara, petang kelmarin, mereka asyik bercerita mengenai hubungan mereka serta pengalaman yang mengundang keceriaan.

Namun memandang jauh ke dalam mata Caroline yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, tampak jelas semangatnya yang memberikan sesuatu yang terbaik kepada mentornya, Ella.


Bersandar pada raut eksotik dengan senyuman bersulam bicara lembut, apa yang menjadi keutamaan Caroline ketika kini adalah menggalas pesanan Ella dan harapan peminat yang selama ini mengundinya hingga ke pentas akhir.


"Saya hanya ingin membuat persembahan yang terbaik bagi menghiburkan pengundi dan mentor saya yang selama ini menjadi tulang belakang dan pembakar semangat. Kepercayaan dan keyakinan Kak Ella kepada saya selama ini tidak akan saya sia-siakan. Lantas walaupun tidak sekali memikirkan soal kemenangan atau ganjaran yang bakal dimiliki, saya akan bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik buatnya.

"Bayangkan sepanjang tempoh hampir dua bulan di Mentor, saya bagai 'dilahirkan' terutama dari segi keyakinan diri. Apa yang dibentangkan di depan mata adalah sesuatu yang melangkaui imaginasi saya sendiri. Tak pernah terfikir yang saya akan berpeluang untuk bekerjasama dengan idola saya sendiri, Kak Ella dan dia ibarat seorang guru dan kakak.

"Justeru apa yang ingin sekali saya lakukan adalah menzahirkan segala ilmu, pengalaman, pendedahan dan usaha yang sudah dicurahkan Kak Ella kepada saya selama ini," katanya.

Caroline yang sering kali mencatatkan jumlah markah keseluruhan tertinggi sepanjang Mentor 6 ini akan tampil dengan persembahan yang bertenaga dan tersendiri malam esok.

Mempertaruhkan dua lagu Inggeris medley iaitu My Love dendangan asal Justin Timberlake dan I Don't Wanna Miss A Thing oleh legenda rock, Aerosmith, Caroline mahu menyampaikan kedua-dua lagu itu dalam corak persembahannya yang tersendiri.

Bintang muda yang juga peminat setia Ella sejak zaman kecilnya ini akan turut tampil bersama Azlan The Typewriter menerusi lagu balada yang sebelum ini dinyanyikan Datuk Siti Nurhaliza, Kau Kekasihku sebelum menyampaikan lagu barunya karya Ajai, Harus Cintamu.

Caroline juga tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada Ella kerana memberikannya kenangan terindah. Selain menimba ilmu dalam mengejar cita-cita menjadi penyanyi, Mentor 6 juga membuka perspektif lebih luas terhadap apa yang perlu dalam menjadi anak seni.

"Saya ingin menjadi seperti Kak Ella tapi bukanlah meniru identiti dirinya. Selama dua bulan, saya sudah berjumpa apa yang dicari selama ini. Saya selesa dengan genre pop dan R&B berbanding mentor saya yang begitu terkenal dengan identiti rock. Sekarang saya juga lebih yakin dalam berkomunikasi selain mendapat banyak tips termasuk cara berfesyen.

"Insya-Allah segala pesanan dan ingatan yang Kak Ella dan Kak Jojie (kakak Ella) berikan akan terus saya pegang untuk terus berpijak di bumi nyata," katanya.

Caroline sebelum ini berpeluang menemani Ella dalam konsert bersama Awie di Singapura sambil bercuti di Universal Studios Singapura. Malah Ella turut membawanya untuk menonton konsert penyanyi antarabangsa, Jessie J di Sunway Surf Beach yang kebetulan menjadi penyanyi kegemaran Caroline.

Jelas Ella itu semua adalah pendedahan. Dia yakin dan percaya dengan kemampuan protegenya itu dan malam esok adalah detik terbaik untuk melihat siapa sebenarnya Caroline.

"Saya bersyukur kerana akhirnya Caroline berjaya hingga ke final. Inilah yang dikatakan rezeki dan hadiah atas usaha kerasnya selama ini. Tapi saya selalu mengingatkan dia untuk tidak terlalu tertekan memikirkan soal menang atau kalah kerana apa yang dipersembahkan selama berminggu-minggu ini pun sudah membuatkan saya gembira.

"Apa yang akan dilakukan esok adalah pertunjukan bakat dan identitinya sendiri. Saya mahu dia bebas membuat persembahan dan biarkan semuanya berjalan mengikut kehendak hatinya. Esok adalah titik permulaan buat Caroline untuk melangkah lebih jauh.

"Namun bohonglah kalau tidak terdetik di dalam hatinya untuk membuktikan kemampuan bakat kepada semua. Saya rasa tenang dan meletakkan semuanya kepada kreativiti Caroline sendiri kerana saya sangat yakin dengan kemampuannya," ujar Ella.

Tambah Ella, anak didiknya itu adalah seorang yang berbakat dan rajin berusaha.

"Bagi saya juga Caroline unik dan istimewa. Sejak pertama kali mendengar suaranya lagi pada sesi uji bakat, saya sudah nampak dia ada potensi untuk pergi lebih jauh kerana vokal dan kemampuannya berbeza. Saya yakin dia mampu menjadi seorang bintang satu hari nanti.

"Lihat saja persembahannya setiap minggu dalam Mentor 6. Peningkatan yang diberikannya membuatkan saya terharu dan begitu bersyukur kerana cabaran untuk menjadi seorang mentor begitu berat. Bukan mudah untuk mendidik dan mengajar seseorang. Lantas apabila mendengar komen juri dan mendengar sendiri kemajuan yang dicapai, saya berpuas hati dan sangat gembira.

"Insya-Allah selepas Mentor ini, saya akan memastikan perjalanan kerjayanya teratur dan kemas. Alhamdulillah sekarang saja saya sudah menerima banyak undangan nyanyian untuknya. Ada yang inginkan kami berdua beraksi dan ada juga yang berminat dengan dia saja. Itu sudah satu petanda yang baik untuk Caroline," katanya.

Selain Caroline, gelanggang akhir Mentor 6 esok akan turut digegarkan dengan persembahan daripada protege Faizal Tahir, Anas Rezuan serta Zatul yang membawa harapan Fauziah Datuk Ahmad Daud.

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan Konsert Akhir Mentor 6, mulai jam 9 malam esok yang menawarkan hadiah lumayan RM100,000 kepada juara dan mentornya. Ia ke udara 9 malam secara langsung di TV3 dari Stadium Melawati, Shah Alam.

Trivia final Mentor 6

  • Zatul akan bergandingan dengan Ziana Zain menerusi lagu Nakal yang pernah dipopularkan kumpulan dari Indonesia, Gigi serta Sedang Ingin Bercinta oleh Dewa 19. Untuk persembahan solonya pula, protege Fauziah Ahmad Daud ini tampil menyampaikan lagu rock, Pelesit Kota dan Pawana selain sebuah lagu baru, Tersihir ciptaan sepenuhnya Manusia Putih.
  • Manakala Anas pula akan menggamatkan suasana dengan lagu Cinta Muka Buku secara solo dan kemudian berduet bersama Hazama menerusi lagu popular Faizal Tahir sendiri iaitu Selamat Malam. Anas pertama kali akan menyampaikan lagu barunya berjudul Hanya Dirimu, hasil kerjasama Omar K, Audi Mok dan Faizal Tahir.
  • Lebih menariknya, malam esok turut akan menghimpunkan kembali mentor-mentor yang pernah mengukir kejayaan dalam musim terdahulu untuk membuat persembahan pembuka tirai pentas. Antaranya Zainal Abidin menerusi lagu Manis, Amy Search dengan lagu Aku, Mas Idayu (Robek Hatiku), Ziana Zain (Setiaku Di Sini) dan Erra Fazira (Hanya Di Mata).
  • Persembahan penutup Mentor 6 akan menggandingkan kesemua protege, Caroline, Zatul, Anas, Tisha, Ana, Syuhada dan KJ bersama penyanyi Zamani dan barisan anggota asal Slam menerusi lagu medley kumpulan itu seperti Kembali Terjalin, Kembali Merindu dan Gerimis Mengundang sempena 'tribute' kepada Slam.
  • Mentor musim keenam masih mengekalkan format pemarkahan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus (SMS) dan 20 peratus (juri awam) yang terdiri daripada kalangan pelajar muzik, wartawan dan golongan semi-profesional dalam industri muzik.
  • Juara Mentor 6 akan membawa pulang wang tunai RM100,000 manakala naib juara (RM30,000) dan tempat ketiga (RM10,000).
  • Musim ini turut mempersembahkan Ajai sebagai Penasihat Vokal, Boo Jay (Floor Fever) sebagai Penasihat Persembahan, Faizal Uzir (Lok U) sebagai Pengarah Muzik serta dua orang juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Sharifah Aini.



  • Dugaan dalam sedih

    Posted: 08 Jun 2012 06:29 AM PDT

    MENJELANG final Mentor 6 esok, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini terpaksa menempuh pelbagai dugaan yang menimpa dirinya, namun semua itu tetap diterima dengan penuh redha.

    Selepas sembuh daripada demam serta jangkitan kuman di bahagian paru-parunya sehingga terpaksa dirawat kira-kira dua minggu di hospital, baru-baru ini, Sharifah Aini atau Kak Pah kini sangat bersedih dengan kematian seorang peminat dan adik angkatnya, Allahyarham Hasanah Osman, 55, pada selalu lalu.

    Bercakap kepada RAP, semalam, Kak Pah dalam nada terisak-isak berkata, adik angkatnya itu meninggal dunia selepas koma selama 48 jam akibat kegagalan fungsi organ dalaman di Universiti Hospital, Selasa lalu.

    "Selepas saya keluar dari wad Ahad lalu, saya pula mendapat berita arwah Hasanah dikejarkan ke wad kerana tiba-tiba jatuh sakit. Apa yang sangat menyedihkan, ketika saya terlantar sakit di hospital baru-baru ini, arwah selalu datang menjaga saya dan bertanya apa saya nak makan. Malah pada Jumaat lalu dia masih tidur menemani saya di wad.


    "Tidak sangka pula selepas saya keluar wad, arwah pula pergi buat selama-lamanya," kata Kak Pah yang sempat menjaga Hasanah sebelum beliau meninggal dunia.


    Kak Pah berkata, dia mula mengenali arwah kira-kira 38 tahun lalu dan arwah asalnya adalah salah seorang peminatnya yang kemudian menjadi sahabat dan adik angkat.

    "Tiga minggu lalu, saya dan arwah pernah bercakap soal hidup dan mati. Saya katakan kepadanya, kita sudah 38 tahun berkawan dan tidak tahu siapa akan mati dulu. Rupanya-rupanya perbualan kami itu ada hikmah dan rahsianya. Akhirnya saya dengan rasa yang sangat sedih menerima ketentuan yang sahabat saya itu mati dulu.

    "Namun apa yang yang membuatkan saya terkilan, arwah Hasanah tidak pernah memberitahu saya yang dia sakit. Saya terlalu banyak terhutang budi kepadanya. Kalau saya cakap saja nak makan apa, paling lewat esoknya, makanan yang saya idamkan itu akan terhidang di meja dapur saya.

    "Arwah sangat banyak membantu urusan tugas saya seperti mengemas kini segala fail dan bermacam bil-bil penting di pejabat dan rumah. Arwah Hasanah sudah seperti pembantu peribadi saya dan ahli keluarga. Sekarang saya masih terperanjat dengan pemergiannya dan sentiasa terkenang wajah dan senyumannya di dalam rumah saya," kata Kak Pah dalam nada yang tersekat-sekat.

    Bagi Kak Pah, beliau akan kenang jasa dan budi sahabatnya itu buat selama-lamanya dan berdoa agar segala kebaikan yang ditaburkan arwah mendapat ganjaran pahala dari Tuhan.

    "Dia seorang yang amanah dan sahabat sejati saya di dunia dan akhirat," ujarnya lagi.

    Sementara itu Kak Pah akui dirinya semakin sihat tetapi masih perlu banyak berehat. Seperti yang dijadualkan, beliau akan muncul dalam final Mentor 6 malam esok untuk meneruskan misi kemuncak sebagai juri tetap bersama Datuk Ramli MS.

    Bagi Kak Pah, kesemua protege iaitu Zatul, Caroline dan Anas ada kekuatan masing-masing untuk menjadi juara dan berharap mereka semua akan memberikan yang terbaik.

    "Saya menganggap mereka macam anak-anak saya dan bangga mereka kesemua menunjukkan peningkatan sangat baik. Saya ucapkan selamat berjuang dan selamat berjaya kepada mereka serta mentor masing-masing," ujar Kak Pah dalam nada kembali bersemangat.