Adsense

Sabtu, 9 Jun 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Rhian cekal hadapi kontroversi

Posted: 08 Jun 2012 04:55 PM PDT

Hip

AKHIR 2011, karier lakonan bintang muda, Rhian Ramos hampir musnah ekoran kontroversi rakaman peribadi yang dimuat naik bekas kekasihnya memaksa gadis yang dilahirkan pada 3 Oktober 1990 itu berehat tiga bulan ekoran trauma yang dilaluinya.

Rakaman video luahan rasa kecewa ekoran tindakan Rhian menggugurkan kandungan kerana tekanan daripada penggiat seni dan keluarganya, disusuli beberapa tweet kontroversi daripada bekas kekasihnya, Mohan "Mo Twister" Gumatay mengejutkan gadis itu.

Rhian sama sekali tidak menduga jejaka berkenaan sanggup merosakkan reputasinya dengan taktik kotor seperti itu apabila cinta mereka terpaksa diakhiri dengan perpisahan. "Saya sangat terkejut dan begitu terluka. Saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Saya juga tidak percaya dia sanggup mengeluarkan perkataan seperti itu, malah sanggup merakamkan video yang memburukkan saya," katanya kesal mengimbas detik mencabar yang terpaksa dilaluinya itu.

Gadis kelahiran Makati City yang popular dengan siri, Captain Barbell dan Stairway To Heaven itu mengenali Mo, lima tahun lalu ketika dia berusia 16 tahun.

Jarak usia 13 tahun tidak menghalang mereka menjalin hubungan akrab, malah Rhian menyifatkan bekas kekasihnya itu sebagai seorang lelaki baik, bijak dan melucukan.

"Dia seorang yang mengambil berat, membuat saya pantas tertawan. Malah ketika bersiaran di radio, sering dia memberikan kata-kata yang membuat saya jatuh hati," katanya.
Biarpun dihalang kedua-dua ibu bapanya disebabkan perbezaan jarak usia yang ketara, Rhian tetap meneruskan hubungan dengan jejaka itu dan akhirnya mereka jatuh cinta.

Rhian berkata, dia mula menyedari perubahan dalam diri Mo apabila mereka menjadi pasangan kekasih.

"Dia menjadi seorang yang berbeza. Dia tidak lagi menjadi lelaki seperti yang saya kenali dulu. Pernah beberapa kali saya cuba memutuskan hubungan kami, namun semuanya berakhir dengan ugutan dan konfrontasi hangat.

"Paling menyakitkan apabila dia pernah berkata: "Saya akan merampas semua yang kamu sayangi". Saya menyesal tidak mendengar cakap kedua orang tua.

"Saya terlalu mencintainya dan menyangka, saya melakukan perkara yang tepat. Cinta itu buta, saya terlalu muda ketika bertemu dia. Saya patut mendengar nasihat kedua ibu bapa kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik, malah menyayangi kita setulus hati," katanya.

Kembali aktif pada Mac lalu untuk promosi filem romantik komedi, My Kontrabida Girl, Rhian menyifatkan kontroversi itu sebagai pengalaman buruk yang mendewasakan dirinya.

Di sebalik peristiwa pahit itu, dia bagaimanapun gembira apabila hubungannya dengan keluarga bertambah akrab terutama dengan ibunya yang baru sembuh daripada kanser.

"Ibu bapa dan ahli keluarga yang lain melihat kesukaran saya ketika berdepan krisis terhebat dalam kehidupan. Ketika itu saya akur, keluarga adalah segala-galanya.

"Kini saya kembali mencari kebahagiaan yang hilang itu dengan bekerja. Saya menerima tawaran My Kontrabida Girl kerana ingin membuktikan kepada semua, saya masih mampu fokus kepada karier biarpun ketika itu saya sedang berusaha memulihkan semangat," katanya.

Ditanya apakah dia sudah bersedia untuk kembali menjalin percintaan, pantas Rhian berkata, "Tidak". Rhian bagaimanapun mempertahankan pendirian itu dibuat bukan kerana dia masih trauma dengan apa yang pernah dilaluinya.

"Tidak semua lelaki kejam sepertinya. Ramai kawan lelaki yang setia berdiri di belakang ketika saya berdepan kesukaran dulu. Masih ramai lagi lelaki yang baik.

"Cuma ingin saya tegaskan di sini, saya tidak punya hubungan dengan KC Montero atau sesiapa saja termasuk, Jeric Lacson, anak kepada Senator Panfilo Lacson. Saya memohon maaf kerana mengheret mereka sama dalam intrig ini.

"Saya rasa bersalah terutama kepada Jeric yang langsung tidak terbabit dalam industri hiburan. Saya mengenalinya menerusi seorang teman, malah pernah keluar bersama dalam satu kumpulan. Mengapa hanya namanya yang dikaitkan," katanya.

Intai ruang di Hollywood

AWAL Mei lalu, Rhian terbang ke Hollywood untuk mempromosikan filem lakonannya, The Road yang ditayangkan di lebih 50 panggung di Amerika Syarikat dan Kanada bermula 11 Mei lalu.

Tanpa berselindung, Rhian berharap kehadirannya disedari oleh ejen pencungkil bakat yang turut hadir pada malam tayangan perdana yang dihadiri bintang Hollywood popular seperti Mark Walhberg dan Paris Hilton.

"Ia cukup mendebarkan kerana saya belum pernah membintangi filem untuk pasaran antarabangsa. Ramai memberikan komen positif, malah saya menaruh harapan The Road akan merealisasikan impian saya untuk membuka laluan beraksi dalam produksi Hollywood.

"Siapapun menyimpan angan untuk menembusi Hollywood kerana ia adalah pusat pertemuan kepada semua pelakon dunia," katanya.

Akur insiden pahit itu masih menghantuinya, Rhian bagaimanapun tidak membenarkan dirinya terus dibelenggu oleh permasalahan itu dengan cuba memenuhi jadual hariannya.

Ditanya apakah nasihat yang akan diberikannya kepada gadis yang terperangkap dalam hubungan yang menjerat perasaan, Rhian berkata, situasi itu ada ketika membuatkan wanita takut untuk bersuara.

"Tetapi kamu harus berkongsi masalah itu dengan seseorang. Berterus terang kerana kamu tidak akan pernah tahu jika sesuatu yang buruk berlaku nanti," katanya.


Mesti Tonton: Tawan Eropah

Posted: 08 Jun 2012 04:52 PM PDT

Hip

Madagascar 3 teruskan tradisi hiburan hebat animasi 3D SELEPAS berhibur bersama Madagascar (2005) dan Madagascar: Escape 2 Africa (2008), kini tiba masanya peminat Alex, si singa dan rakan haiwannya bergembira serta berseronok dengan Madagascar 3: Europe's Most Wanted pula. Pernah memenangi Kid's Choice Awards, filem hasil sentuhan Eric Darnell ini terus menghidangkan cerita cukup menghiburkan. Selepas mengembara di Afrika, kini kumpulan haiwan yang tidak pernah kering dengan aksi kelakar berkenaan meneruskan aksi mereka di Eropah pula. Lebih menarik, edisi terbaru dalam francais popular ini dipersembahkan dalam format tiga dimensi (3D).
Seperti versi pertama dan kedua, animasi yang mula menemui penonton pada 7 Jun ini masih menggunakan suara Ben Stiller, Chris Rock, David Schwimmer, Jada Pinkett Smith, Sacha Baron Cohen, Cedric The Entertainer dan Andy Richter. Produk terbitan DreamWorks ini juga memperkenalkan watak baru yang meminjam suara Frances McDormand, Jessica Chastain, Bryan Cranston, Bryan Cranston dan Martin Short.

Sebagai pengarah dan penulisnya, Darnell melihat penonton sepatutnya berhubung dengan watak yang mereka inginkan, dalam menarik minat mereka ke pawagam, melalui emosi supaya ia ditonton dengan pemerhatian yang lebih kritikal.

Malah, dalam siri terbarunya ini Darnell dilihat mempunyai keinginan untuk membawa watak dalam imaginasinya ke lokasi baru, sama seperti kata-kata pemuisi terkenal, Ralph Waldo Emerson, hidup ialah satu perjalanan dan bukan satu destinasi.
Seperti pepatah pembikin filem, memilih dan meneroka tema bukan hanya di dalam rumah. Hasilnya lahirlah watak haiwan Madagascar ini meneroka Eropah, berbanding sebelum ini apabila mereka dipaparkan berada di hutan Afrika dan Pulau Madagascar.

Bagi terus memikat selera peminat, pengarah menggunakan teknologi animasi 3D dalam menghidupkan sinematografi yang nyata memperindahkan aksi terbang, melayang ke udara, membaling objek dan sebagainya. Ia kini tampil lebih meyakinkan lagi, umpama realiti.

"Dengan 3D, ia membuka peluang kepada anda mempelbagaikan aksi dan kaedah untuk bekerja. Anda juga berpeluang memaparkan emosi seberapa banyak yang anda mahukan dan inilah yang wujud dalam filem ini," kata Darnel yang dibantu Tom McGrath dan Conrad Vernon.

"Ketika saya memantau rakaman suara di New York, Conrad pula memantau dan bekerja dengan kru reka bentuk produksi, serta menjadi pengarah animasi dan pencahayaan," katanya.

Selain itu, penampilan watak baru, Kapten Chantel DuBois yang memburu kumpulan haiwan terbabit bukan satu kerja yang mudah. Daripada proses memikirkan idea untuk kewujudan watak baru sehinggalah membina perwatakan kapten wanita ini, ia memerlukan penelitian cukup tinggi bagi menampakkan kekejaman dan sikap tidak putus asa pegawai kawalan haiwan berkenaan.

Watak itu divisualkan pengarah sebagai orang yang mampu menghidu bau haiwan seperti seekor anjing. Akhirnya mereka bertemu pemenang Oscar, Frances McDormand, untuk memegang watak berkenaan.

"Frances cukup bijak dalam menjiwai watak itu dan bagi setiap baris perkataan yang dibacanya, sebanyak 50 idea berlegar-legar di kepalanya. Bagaimana watak itu bercakap, berjalan dan berfikir semua diterjemahkan dengan cukup baik. Kamu boleh lihat wajahnya ketika membacakan skrip. Dia memang bersungguh-sungguh," kata sutradara itu.

Sementara itu, hampir dua jam menonton pengembaraan sekumpulan haiwan nakal dan comel dalam Madagascar 3, tentunya terasa seolah-olah berada dalam alam ajaib. Mana tidaknya, bayangkan haiwan seperti singa, zirafah, badak sumbu serta kuda belang menjadi penganjur sarkas dan melewati Eropah, sehingga mereka kembali ke Central Park Zoo di New York, tempat tinggal lama mereka, dengan menaiki kereta api.

Bukan saja melucukan, namun edisi kali ini juga penuh dengan aksi dramatik. Begitu juga kewujudan watak kapten wanita lakonan McDormand turut menambah elemen suspennya.

Ketika memaksa penonton ketawa, pengarah tidak lupa memasukkan unsur perjuangan apabila memaparkan kepayahan, kebijaksanaan, sikap kerjasama dan usaha sekumpulan haiwan untuk kembali ke tempat asal. Watak penguin 'bijak' yang sentiasa berusaha menangani situasi bahaya juga sungguh melucukan, serta membuka mata bahawa si kecil turut mampu membantu menyelesaikan masalah.

Malah, kelahiran watak seekor harimau bernama Vitaly dilihat memberikan kelainan dalam filem animasi ini, apabila pengarah sengaja memaparkan mesej sikap putus asa hanya membawa derita. Dunia yang indah pula perlu diraikan sebaik mungkin apabila hidup dikelilingi rakan tersayang.

Info

Filem: Madagascar: Europe's Most Wanted
Pengarah: Eric Darnell, Tom McGrath, Conrad Vernon
Penulis Skrip: Eric Darnell
Pelakon: Ben Stiller, Chris Rock, David Schwimmer, Jada Pinkett Smith, Sacha Baron Cohen, Cedric The Entertainer, Andy Richter, Frances McDormand, Jessica Chastain, Bryan Cranston, Martin Short, Paz Vega
Tayangan: Mulai 7 Jun 2012