Harian Metro: Rap |
‘Stress’ ditanya soal kahwin Posted: 01 Jun 2012 08:59 AM PDT MELIHATKAN penampilan luaran dan tubuhnya yang disaluti barangan berjenama mewah dari hujung rambut hingga kaki, pasti ramai yang beranggapan aktres jelita Rozita Che Wan seorang yang materialistik dan hidup dalam serba kemewahan. Hakikatnya, Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta sebenarnya lebih suka mengamalkan cara hidup sederhana dalam segala hal. Malah, Rozita mengakui sebagai ibu tunggal dua anak yang meningkat remaja, dia memang bekerja keras untuk memastikan dua anaknya, Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 14, hidup selesa sehinggalah mereka mampu berdikari kelak. "Biarlah anak-anak yang hidup mewah kerana mereka sudah 'terbiasa' sejak dulu. Sampaikan kasut sekolah pun anak-anak saya nak pakai jenama Louis Vuitton. Sebagai ibu, saya pula tidak sampai hati untuk hampakan permintaan mereka. Saya akui bukan mudah untuk kita menukar secara drastik cara hidup yang sudah didedahkan sejak kecil. "Contohnya, musim cuti sekolah ini pun anak-anak saya pergi bercuti bersama bapanya di Paris selama lapan hari. Saya juga beri duit poket pada anak-anak sebanyak RM2,000 dan kalau tak cukup, mereka akan hubungi saya minta masukkan lagi duit," katanya. Namun duta Safi Rania Gold ini berkata, dia sendiri tidak kisah memakai barangan kecantikan yang murah asalkan ia sesuai untuk kulitnya. Contohnya, saya memilih produk Safi Rania Gold yang sudah digunakan kami seisi keluarga sejak dulu. Buat apa saya nak beli produk kecantikan mahal kalau kita sudah ada produk bagus dan sesuai untuk kulit serta boleh dibeli dengan harga berpatutan. "Saya juga tidak suka membazir dan hanya akan beli barang berjenama jika ia jualan murah atau diskaun. Lihat saja beg tangan Prada yang saya gayakan hari ini pun saya beli ketika ada jualan murah ketika berada di Paris, baru-baru ini," katanya. Rozita ditemui pada majlis pelancaran penjenamaan semula label pereka fesyen, Michael Shu dan koleksi Purnama By Michael Shu yang berlangsung di Alexis Garden, Mid Valley, baru-baru ini. Berkongsi pencapaiannya, kata Rozita, dia bersyukur dengan apa yang dikecapi hari ini sejak berkecimpung dalam bidang seni enam tahun lalu. "Walaupun saya pernah bersara 'sebulan' dulu tapi pengarah dan produser terus beri kepercayaan untuk beraksi dalam drama mereka sampai sekarang. Saya memang tak sempat berehat kerana tawaran berlakon yang semuanya watak utama tidak pernah putus sampai sekarang. "Bukanlah saya tamak rebut semua tawaran yang datang, sebaliknya saya perlu lebih selektif jika dapat tawaran berlakon tiga drama dalam satu masa. Bagi mencari kelainan, saya akan pilih karakter mana yang lebih bagus dan mencabar untuk dilakonkan," katanya. Ketika ditemui, Rozita memberitahu, dia masih di lokasi penggambaran drama Miss Octopus arahan Jamal Khan untuk TV3. Antara drama lakonannya sebelum ini ialah Qasehnya Qaseh bergandingan dengan Faizal Hussein dan drama bersiri 13 episod, Chef Cinta untuk TV2. Menyusul selepas ini ialah drama Aku janda Tak Kaya untuk saluran Astro. Rozita nafi cari 'pucuk muda' SERING digosipkan dengan ramai artis muda yang kacak dan popular seperti Shahir AF dan Zain Saidin bukan bermaksud Rozita mencari lelaki muda untuk menjadi pasangan hidupnya. Bagi Rozita, semuanya berlaku hanya secara kebetulan saja. "Setiap kali saya bergandingan dengan artis lelaki dalam drama, pasti saya akan dikaitkan dengan mereka. Saya pun tak boleh nak elak perkara itu daripada terus berlaku kerana ia di luar kawalan. Saya percaya, jika bertemu jodoh dengan lelaki berusia nanti, barulah orang akan berhenti daripada terus menyebarkan gosip sedemikian," katanya. Rozita mengakui dia tidak ada kawan rapat di kalangan artis wanita. "Buat masa ini, memang Zain artis lelaki yang paling rapat dengan saya kerana selesa berkawan dengannya. Kami rapat sebagai kawan baik dan tak lebih daripada itu. Mungkin kerana Zain pandai melayan anak-anak saya hingga mereka rapat serta sering menghabiskan aktiviti bersama seperti berenang apabila ada kelapangan," katanya. Belumpun reda gosip dengan Zain, Rozita kini hangat digosipkan pula dengan seorang lagi pelakon kacak iaitu Beego. Hingga ada dakwaan aktres cantik ini dikatakan 'menyara' hidup pelakon itu dan memberi kesenangan kepadanya. Namun, Rozita menafikan gosip itu. Katanya, dia hanya kenal Beego sebagai rakan artis. "Saya kenal Beego ketika kami bergandingan dalam drama Chef Cinta arahan Azmi Hatta pada April lalu untuk saluran TV2. Beego memang disenangi ramai kerana dia memang suka menghiburkan orang apabila di lokasi penggambaran. "Memang saya terkejut apabila orang dakwa saya 'menyara' hidupnya dengan kemewahan. Saya bukanlah wanita sebodoh itu. Saya bekerja keras siang dan malam hanya untuk menyara diri sendiri dan anak-anak dan bukan untuk sara lelaki atau 'pucuk muda'. Kriteria calon suami pun, saya cari lelaki yang boleh sayang anak-anak sama seperti mereka menyayangi diri saya," katanya. Sepuluh tahun bergelar ibu tunggal, Rozita mengakui sedikit sebanyak hidupnya berasa sunyi tanpa kehadiran seorang suami di sisi. "Sebab itu saya sentiasa mengisi masa dengan berlakon, buat bisnes dan bersama keluarga kerana apabila kita sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti, sekurang-kurangnya tidaklah sunyi sangat. Apabila orang asyik tanya soal kahwin, saya mulalah berasa 'stress'. "Apa yang saya boleh katakan, buat masa ini, saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Selain mempunyai karier seni yang stabil, saya ada bisnes yang mula berkembang dan anak-anak di sisi," katanya. |
Posted: 01 Jun 2012 08:41 AM PDT ENTAH dari mana datangnya kudrat Datuk DJ Dave sehingga membuatkan ramai penonton bagaikan tidak percaya bahawa usia penyanyi lagu Ingin Bersua itu akan menghampiri 65 tahun. Menonton konsert sulungnya di Istana Budaya (IB) malam kelmarin adalah satu pengalaman hebat dan membuktikan tiada yang mustahil bagi seseorang insan seni itu untuk kekal hebat di pentas andai mereka menjaga kesihatan dan pada masa sama, meneruskan nyanyian secara konsisten.
Dengan susuk tubuh yang masih tegap terjaga, Dave bukan saja mampu melontarkan suara seperti dulu, malah tetap berupaya menari dengan penuh 'groovy' mengikut setiap rentak lagu pantas terutama bergenre rock 'n' roll yang turut menampilkan mainan gitar oleh Man Kidal. Nyata Dave (yang setiap pagi membuat senaman 'push up' sebanyak 50 kali), masih mampu bersatu dengan barisan penari lincah Sayang Dancers yang sinonim dengan koreografernya, Farah Datuk Sulaiman.
Dengan kemerduan suaranya yang tidak pernah berubah sambil diulit alunan muzik orkestra pimpinan Eddie Marzuki dan S Atan, Dave membuai perasaan penonton dengan melodi seperti Seruling Kasih, Maafkanlah, Kini Ku Menangis Lagi, Kawan Setia, Hanya Mimpi, Titisan Embun Pagi dan Masa Merubah Segalanya. Nyata setiap lagu itu ada sejarah pahit manis dengan semua peminat yang membesar dengan lagu Dave sejak beliau menjadi artis rakaman EMI pada 1971.
Di dalam Panggung Sari yang penuh sesak dengan ratusan penonton itu, turut kelihatan Datuk David Arumugam, Nassier Wahab dan pejuang makyung, Rosnan Rahman. Lebih menarik, ketika bersama S Atan di pentas, Dave tidak lupa menyampaikan lagu lebaran yang sentiasa kita rindui iaitu Menjelang Hari Raya.
Pada malam itu juga, Dave tidak keseorangan di pentas. Hadirin memberikan tepukan gemuruh sebaik saja dia memperkenalkan rakan lamanya, Uji Rashid untuk berduet dalam lagu Rintihan Rasa. Lagu itu pernah dirakamkan semula pasangan Nurul dan Ajai tidak lama dulu. Uji yang berjubah anggun daripada koleksi Datuk Shah Rezza, turut menyanyikan lagu hitnya, Ku Ingin Selalu Di Sampingmu. Seterusnya, muncul pula Dayang Nurfaizah berpadu vokal dengan Dave dalam lagu Segalanya dan Dayang kemudian menyanyikan secara solo, Life With You dengan begitu mantap. Selepas itu, Dave memperkenalkan seorang lagi bintang undangan, Marsha Londoh yang kian lincah bersama program Propaganza. Kemunculan Marsha pada konsert itu membuktikan dia sebenarnya seorang penyanyi yang hebat. Malam itu, vokal Marsha sungguh meyakinkan dalam mendendangkan lagunya, Janji, diikuti duet bersama Dave menerusi I Will Always Love You (Whitney Houston) dalam versi Inggeris-Hindi. Memang ia sebuah 'rendition' yang cukup harmoni dan menjadi. Pada penghujung konsert yang berkonsepkan 1Malaysia itu, Dave tidak lupa menyanyikan lagu terbarunya, Nyawaku ciptaan Datuk M Nasir. Selepas meninggalkan pentas, namanya dijerit semula penonton dan tampil bersama lagu Ingin Bersua. Apa yang dapat disimpulkan, konsert Journey Through Song - Ingin Bersua DJ Dave yang dipentaskan sehingga esok (3 Jun) ini tidak seharusnya dilepaskan semua peminat DJ Dave. Malah, artis angkatan baru seharusnya menonton konsert ini bagi menilai sendiri kemampuan seorang penghibur sejati seperti DJ Dave
|
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |