Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Aura hitam permaisuri RavennaLEGENDA Snow White sebelum ini pernah diterbitkan dalam beberapa judul naskhah filem dan yang terkini, Snow White and The Huntsman sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara. Kisah yang sama dinukilkan, pasti akan ada Snow White, si gadis jelita, suci dan teraniaya yang 'mati' selepas memakan sebiji epal beracun, namun sihir kematian itu berjaya dirungkai oleh jejaka yang dikatakan cinta sejati melalui satu ciuman. Tulang belakang cerita klasik yang sama cuma digarap dengan lebih enak untuk dihadam bersama grafik yang mantap mempersembahkan hasil lumayan untuk ditonton kali ini. Namun, paling mencuri perhatian adalah lakonan pemenang pelakon wanita terbaik Anugerah Oscar menerusi filem Monsters pada tahun 2003, Charlize Theron sebagai permaisuri sihir bernama Ravenna yang merampas takhta pemerintahan sebuah negara. Aktres jelita kelahiran Afrika Selatan itu berkongsi pengalamannya beraksi penuh misteri dalam filem arahan Rupert Sanders itu. "Banyak yang perlu saya kaji mengenai watak dalam filem ini (Snow White and The Huntsman). Pada mulanya saya perlu mencari kenapa Permaisuri Ravenna bertukar menjadi jahat! "Kemudian, barulah saya faham bahawa dia perlu mencari Snow White untuk kekal hidup sepanjang hayat, namun pada masa yang sama dia tidak boleh meninggalkan istananya. "Sudah pasti, jika saya berada di tempatnya, kegilaan yang sama dapat saya rasakan dan ia mengingatkan saya mengenai watak Jack Nicholson dalam filem The Shining yang dihasilkan pada tahun 1980," katanya ketika temu bual bersama media antarabangsa baru-baru ini. Tambahnya, karakternya perlu mencari kekuatan tersendiri seperti memasuki bilik yang mempunyai unggun api dan terdapat sebiji cermin ajaib untuk memotivasikan diri dengan cara lebih kejam. MEMBAWA karakter Permaisuri Ravenna, Theron perlu banyak menjerit untuk merealisasikan watak bengis tersebut. Pembedahan plastik Bercakap tentang kehidupannya sekarang, Theron yang kini menginjak usia 36 tahun memberitahu, dia enggan membenarkan dirinya melakukan pembedahan plastik semata-mata untuk menjaga raut wajahnya daripada dimamah usia. Katanya, dia gembira melihat perubahan wajah dan sosok badannya ketika pertambahan usianya sekarang. "Saya tidak boleh melihat diri saya dihiris pisau untuk kelihatan cantik tapi usia saya pun baru pertengahan 30-an, mungkin perspektif saya berbeza apabila melewati umur 60-an kelak," ujarnya yang mungkin mengubah fikiran untuk melakukan pembedahan plastik suatu ketika nanti. Tambah Theron, mengubah wajahnya barangkali akan menyukarkan perjalanan kariernya yang sedang meraih populariti sekarang. "Wajah anda berubah, segala benda dalam persekitaran anda juga akan turut berubah. "Susah sebenarnya dalam industri ini kerana apabila kita menilai kedutan pada wajah kita, dan sedar akan kepentingannya, maka kita akan cuba untuk mengekal dan memperbaikinya. "Cuma saya masih belum berani untuk melakukan apa-apa pada wajah saya, dan saya okey saja dengan setiap kedut pada wajah saya," ujarnya berterus-terang.
Ibu segera Pada lewat tahun 1990-an, Theron pernah menjalinkan hubungan selama dua tahun dengan aktor Craig Bierko dan setelah hubungan itu musnah, dia beralih cinta kepada orang kuat Third Eye Blind, Stephan Jenkins. Umpama sering terjerat dengan cinta lokasi, ketika penggambaran filem Trapped, dia jatuh cinta pula dengan pelakon Ireland, Stuart Townsend, namun selepas sembilan tahun bersama mereka memutuskan untuk tinggal berasingan. Barangkali kerana kesepian, Theron nekad membuat keputusan untuk mengambil seorang anak angkat lelaki bernama Jackson pada bulan Mac lalu. "Menjadi seorang ibu adalah perkara terindah dalam hidup. Dahulu ibu saya pernah berkata, dia mengambil masa selama sembilan bulan untuk jatuh hati pada saya selama dalam kandungan. "Tapi, saya mengambil masa dua tahun untuk jatuh cinta dengan bayi ini (Jackson). GANDINGAN mantap. Dari kiri: Kristen Stewart sebagai Snow White dan Theron merupakan Permaisuri Ravenna dalam filem Snow White and The Huntsman. "Ia perasaan yang sepatutnya dirasa, sukar sekali untuk mengungkapkan kata-kata itu," luahnya yang kini menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat bersama anak angkatnya. Theron mengakui Jackson kini menjadi prioritinya selain karier dan dia sudah membayangkan anak angkatnya itu menuju ke sekolah dan berjaya suatu hari nanti. Cerita Theron lagi, dia betul-betul teruja menukarkan lampin pakai buang anaknya dan mampu melakukannya walau ketika sedang tidur. "Saya sangat teruja dan saya kini ada banyak kelapangan untuk menyalin lampin pakai buang bayi-bayi lain, ketika tidur pun saya mampu buat!" kata Theron. | |
Bananana! khusus untuk kanak-kanak Posted: Bananana! khusus untuk kanak-kanakOleh NOOR ASHREEN ISMAIL AHMAD IZHAM OMAR bergambar dengan maskot slot Bananana! sewaktu majlis pelancaran baru-baru ini. JIKA sebelum ini setiap saluran di bawah Media Prima Berhad iaitu TV3, NTV7, 8TV dan TV9 punya slot rancangan kanak-kanak yang berbeza, kini Media Prima telah melancarkan jenama terkini bagi rancangan kanak-kanak yang dikenali sebagai Bananana!. "Dengan menempatkan kesemua kandungan ini di bawah satu jenama baharu iaitu Bananana!, ia akan memudahkan proses pengenalan dan membina sinergi kepada para penonton dan para pemegang saham kami, terutama para pengiklan. "Bananana! akan berada di setiap sudut di mana sahaja kanak-kanak berada. Kami akan menganjurkan pelbagai program menggunakan jenama ini. Ia juga akan dipromosikan oleh semua platform Media Prima," ujar Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar ketika majlis pelancaran Bananana! di Hotel Empire, Subang Jaya, Selangor. Dengan memilih slogan Where Kids Rule!, slot Bananana! telah mula diseragam bermula 1 Jun ini. Tambah Izham pula, selain kandungan dan program antarabangsa, slot tersebut juga akan menyiarkan kandungan tempatan. Pihak Media Prima akan memberi peluang kepada pengkarya animasi untuk menghasilkan karya mereka di bawah Bananana! Studios yang merupakan sebuah usahasama dengan pihak MDeC, Cradle, Rhythm & Hues. Syarikat yang menghasilkan animasi tersebut akan disiarkan di laman sesawang Tonton untuk tatapan rakyat di seluruh Malaysia bagi menonton kempen yang telah dikenali sebagai The Next Big Thing Project. Antara kandungan antarabangsa yang digemari ialah seperti Ben 10 dan Doraemon serta kandungan tempatan yang paling menarik ialah Upin & Ipin serta Boboiboy. Bola Kampung, Supertots dan Dunia Eicak pula merupakan program animasi baharu yang tidak ketinggalan akan disiarkan. | |
Posted: Tak perlu jadi isu - NadiyaOleh RONI HIDAYAT RIDWAN SALAH satu babak antara Nadiya Nissa dan Bront yang hanyut dalam dunia liar mereka menerusi filem Jiwa Taiko. NADIYATUL Nisaa' Kamaruddin atau lebih mesra disapa Nadiya Nisa barangkali tidak mempunyai portfolio 'panas' dalam kariernya. Portfolio Pelakon Wanita Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 itu bagaimanapun dilihat bakal berubah warna selepas khalayak menyaksikan lakonan mantapnya dalam filem Jiwa Taiko yang bakal ditayangkan pada 14 Jun ini. Ini kerana, menerusi filem arahan pengarah terkenal Osman Ali dan membawakan watak seorang gadis bernama Lara, Nadiya dilihat cukup berani dan terdedah dengan banyak adegan 'panas' bersama aktor Bront Paralae. Disifatkan kebanyakan media yang telah berpeluang menonton filem tersebut pada malam pratontonnya baru-baru ini sebagai satu persembahan berani daripada Nadiya, pelakon itu punya penjelasan sendiri mengenai aksi-aksi liar dan panasnya dalam filem tersebut. Kosmo!: Boleh jelaskan sedikit tentang watak Nadiya sebagai Lara dalam filem tersebut? NADIYA: Bagi saya watak Lara sangat menarik dan agak mencabar buat diri saya. Lara merupakan seorang gadis yang pernah berhadapan dengan kes juvana dan menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Akhlak Wira Cinta. Namun, kehadiran Firman (Remy Ishak) telah mengubah segala-gala apabila Lara jatuh cinta dengannya, tetapi cinta tersebut tidak dibalas. Kemudian Lara melarikan diri dan bertemu dengan Pinto (Bront Palarae), lalu akhirnya mereka terlanjur. Apa yang membuatkan anda tertarik untuk membintangi filem tersebut? Selain jalan ceritanya yang memaparkan kisah realiti masyarakat yang berlaku sekarang, saya tertarik kerana ia merupakan sebuah filem aksi. Sebagai seorang pelakon, saya memang ingin terlibat dengan filem-filem pelbagai genre. Jika sebelum ini saya membawakan watak gadis kurang upaya dalam filem Cun, kali ini watak yang dibawa memerlukan saya melakonkan beberapa adegan aksi seperti bersilat. Dalam filem ini watak anda dilihat agak liar termasuk melakonkan adegan panas. Sudah bersedia berhadapan dengan kritikan ramai? Sejujurnya saya memang sudah bersedia menerima sebarang maklum balas sama ada kritikan atau pujian. Apa yang boleh saya katakan, babak panas yang membabitkan saya dan Bront itu sebenarnya tidaklah terlampau keterlaluan. Sebenarnya isu adegan panas ini tidak perlu terlalu digembar-gemburkan, tetapi mungkin disebabkan status saya sebagai seorang isteri dan ibu kepada seorang anak menyebabkan adegan yang dipaparkan itu diperkatakan ramai. Adakah anda selesa ketika melakonkan adegan berkenaan? Saya tidak ada sebarang masalah kerana itu adalah tuntutan skrip dan babak yang dipaparkan itu sememangnya benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat sekarang, terutamanya membabitkan masalah gejala sosial. Lagipun saya sudah mengenali Bront hampir 10 tahun dan tidak berasa terlalu kekok ketika melakonkannya. Saya juga berpendapat penonton sekarang sudah semakin bijak untuk menilai dan mereka lebih melihat kepada mutu lakonan berbanding adegan panas yang sebenarnya tidak perlu menjadi isu. Bagaimana pula dengan reaksi suami ketika menonton filem tersebut? Sebenarnya suami kelihatan lebih tenang berbanding saya yang agak berasa gementar semasa menonton filem ini. Semasa penggambaran dilakukan pada Disember 2010, saya baru empat bulan mendirikan rumah tangga. Malah, sebelum penggambaran saya dan suami ada berbincang mengenai perkara ini dan dia tidak kisah kerana faham dengan tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |