Adsense

Sabtu, 2 Jun 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Magis Olivia

Posted: 01 Jun 2012 03:31 PM PDT

Hip

Tak mahu terpalit kontroversi

NAMA Olivia Lubis Jensen, 19, mungkin tidak sehangat Luna Maya, Dewi Persik atau Julia Perez, tetapi pencapaiannya dalam bidang lakonan boleh dibanggakan apabila membintangi hampir 10 filem sejak bergelar anak seni pada usia semuda 15 tahun.

Bukan itu saja, bakat magis yang dimiliki pelakon kelahiran Denmark itu turut diintai produksi Malaysia iaitu Erama Creative dan Excellent Pictures Sdn Bhd untuk membintangi filem Gerimis Mengundang arahan Ahmad Idham.

Saya tidak kisah jika tidak popular, asal nama saya dan keluarga terpelihara. Saya sangat menjaga keperibadian sejak saya menceburi dunia lakonan kira-kira tiga tahun lalu. - Olivia Lubis

Selain Olivia memegang watak Cinta, filem Gerimis Mengundang turut dibintangi Kamal Adli (Kapten Zamani).

Filem bergenre romantik itu akan menemui penonton di pawagam serentak di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam pada Khamis, 31 Mei ini.

Bagi Olivia, dia berusaha menjaga imej dan keperibadian supaya tidak tersepit dengan kontroversi yang memalukan. Malah, diakui dirinya antara pelakon filem yang masih bersih daripada gosip mencemar diri.

"Saya tidak kisah jika tidak popular, asal nama saya dan keluarga terpelihara. Saya sangat menjaga keperibadian sejak saya menceburi dunia lakonan kira-kira tiga tahun lalu.
"Saya berhati-hati dalam apa saja tindak tanduk, saya berusaha mengawal diri supaya tidak menjadi mangsa kontroversi. Saya sedar ada artis suka pada kontroversi, suka bikin panas tetapi itu bukan prinsip saya. Walaupun masih muda, kehidupan saya tidak seperti remaja lain.

"Saya berpisah jauh dengan keluarga seawal usia belasan tahun apabila saya dihantar ke Bandung International School, Bandung. Ibu bapa saya ketika itu tinggal di Cirebon. Ketika itulah, saya bertemu dengan kru penerbitan filem yang menawarkan watak utama dalam filem pertama saya, Bukan Cinta Biasa arahan Benny Setiawan pada 2009.

"Awalnya saya tidak percaya, saya bimbang ditipu tetapi kesungguhan wakil syarikat pengurusan yang dinaungi, Wanna B Pictures membuatkan saya terbuka hati mahu menjejak kaki ke dunia glamor ini.

"Pada usia 16 tahun, saya terpaksa berhijrah dan meneruskan pendidikan ke Australian International School di Jakarta. Saya terpaksa berkorban dan berjauhan dengan keluarga pada usia remaja.

Inilah saat yang paling menyedihkan dalam hidup, tetapi saya nekad," katanya ketika ditemui dalam sesi fotografi sempena mempromosikan filem Gerimis Mengundang, minggu lalu.

Pelakon filem Kembang Perawan dan Ada Apa Dengan Cinta 2 itu juga berkata, dia bukanlah memilih dan cerewet tidak bertempat, tetapi buat masa ini, dirinya lebih suka membintangi filem daripada sinetron di Indonesia.

Kata Olivia, namanya mungkin tidak sehebat pelakon Indonesia lain disebabkan dia hanya berlakon filem.

Diam tak diam, gadis kacukan Indonesia Denmark beragama Kristian itu sudah membintangi lapan filem dalam tempoh tiga tahun pembabitannya sebagai pelakon.

"Saya tidak punya kekuatan untuk berlakon sinetron, masa yang diambil terlalu panjang.

Saya masih belajar, dalam masa yang sama terikat dengan jadual penggambaran setiap hari. Saya tidak mahu melakukannya.

"Saya tabik pada pelakon sinetron, mereka mempunyai kekuatan mental dan fizikal hingga mampu berlakon beratus-ratus episod sesebuah sinetron.

Ada juga sinetron yang sudah mencecah beribu-ribu episod. Bagi saya, berlakon sinetron amat memenatkan.

"Saya hanya mempunyai sekali pengalaman berlakon sinetron Hafizah, hanya 60 episod. Itupun saya rasa penat yang teramat sangat kerana saya juga terikat dengan jadual pembelajaran. Buat masa ini, saya memang menolak untuk berlakon sinetron, tetapi pada masa akan datang, saya tidak berani cakap," katanya yang mempunyai saudara kembar bernama Sabrina Lubis Jensen.

Wajah yang sentiasa menghiasi majalah dan tabloid itu berkata dia tidak pernah terdetik bergelar model dan pelakon filem, sebaliknya cita-cita asalnya mahu menjadi ahli perniagaan yang berjaya.

"Saya menyemat impian meneruskan pelajaran dalam dunia perniagaan dan fesyen tahun depan. Sejak dulu, impian saya mahu bergelar ahli perniagaan tetapi rezeki dalam bidang lakonan datang terlebih dulu.

"Walau bagaimanapun, saya tetap akan menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan dan fesyen di sebuah universiti di Jakarta, tahun depan. Saya suka pada dunia fesyen tetapi bukan rekaan.

Kalau kebanyakan orang berminat menjadi pereka fesyen, saya pula mahu belajar bagaimana mahu mengendalikan perniagaan," kata bekas kekasih penyanyi Afgan Syah Reza itu.

Menyentuh mengenai gosip cinta dengan pasangannya dalam filem Gerimis Mengundang, Kamal Adli, Olivia hanya ketawa kecil.

Olivia akui, sudah menjadi perkara biasa jika dirinya digosip dengan pasangannya dalam filem. Begitu juga apa yang berlaku pada Kamal.

"Kadangkala saya gementar dengan kemunculan filem baru. Ada saja yang menjadi bahan gosip antara saya dengan hero yang digandingkan dengan saya. Jadi, saya sudah biasa melaluinya. Mungkin Kamal sedikit terkejut dengan senario ini, tetapi itu adalah perkara biasa.

"Antara saya dengan Kamal, tidak lebih daripada teman. Saya selesa dengan Kamal kerana dia mudah didekati, lucu dan gila-gila.

Kamal juga banyak membantu saya dan disebabkan itu, kami mudah mendapat keserasian," katanya.


Mesti Tonton: Sinematografi mempesona

Posted: 01 Jun 2012 03:15 PM PDT

Hip

Kucupan sang pemburu beri kelainan dalam kisah dongeng Snow White

Filem: Snow White And The Huntsman

Genre: Epik Fantasi/Pengembaraan Aksi Pengarah: Rupert Sanders Pelakon: Kristen Stewart, Charlize Theron, Chris Hemsworth, Sam Claflin, Ian McShane, Bob Hoskins, Ray Winstone, Nick Frost, Toby Jones Tayangan: Mulai 31 Mei 2012.

KISAH dongeng puteri cantik yang dikelilingi tujuh orang kerdil dan menjadi mangsa dengki si ibu tiri sehingga dikhianati dengan epal beracun tidak syak cerita zaman kanak-kanak yang kekal di ingatan sesiapa saja.

Cerita itu sendiri sudah acap kali diangkat ke layar lebar, sama ada dalam bentuk filem cereka ataupun animasi. Terbaru sutradara Rupert Sanders mengangkat kisah berkenaan sekali lagi ke filem, namun bukan sekadar episod dongeng fantasi, sebaliknya Snow White and The Huntsman hadir dalam bentuk aksi, epik dan pengembaraan yang menarik hati.

Hampir dua jam menonton filem lakonan Kristen Stewart, yang memegang watak Snow White, nyata ia filem yang penuh aksi dan sarat dengan misi menentang kejahatan dilakukan permaisuri syaitan, Charlize Theron.
Kekuatan filem ini dilihat cukup seimbang daripada penghayatan watak, olahan cerita dan dialog, di mana setiap peralihan babak membawa kepada perasaan tidak sabar dan mendebarkan, untuk menanti apa yang seterusnya bakal terjadi.

Pengarah bijak membawa kelainan dalam genre fantasi yang selama ini banyak terarah kepada khayalan semata-mata, dan memperincikan setiap sudut filem ini dalam mencuri emosi audien.

Sanders berjaya memperlihatkan bagaimana kekejaman permaisuri yang menggunakan ilmu hitam untuk mengekalkan kuasa dan kecantikan dirinya sehingga menyebabkan rakyat menderita, selain memaparkan kezaliman wanita itu yang sanggup menjadikan jantung wanita jelita sebagai santapan harian.

Lakonan watak utama seperti Stewart, Chris Hemsworth dan Sam Claflin juga seharusnya dipuji. Masing-masing mampu menampilkan persembahan meyakinkan, sehingga penonton lupa ia pada dasarnya masih berpaksikan sebuah kisah dongeng.

Pada waktu sama, walaupun filem ini dikategorikan sebagai epik, genre yang cukup berat untuk diterima, ia tetap mampu dihayati dengan baik kerana perjalanan ceritanya digarap sekemas mungkin.

Tatkala sedaya upaya membawa kelainan dalam pengkaryaan, pengarah tidak melupakan keaslian karya Snow White itu sendiri apabila mengekalkan identiti keseluruhan kisah dongeng terbabit dengan mengekalkan watak tujuh orang kerdil, permaisuri zalim, cermin ajaib, selain elemen cinta hakiki yang mampu membangkitkan puteri yang diracun hanya dengan ciuman sejati.

Cuma yang berbeza apabila pengarah berani mencuba kelainan dari sudut pandang sendiri, ketika memaparkan cinta sejati terbabit bukan terletak pada ciuman seorang anak raja, tetapi hanya melalui kucupan seorang pemburu yang banyak membantu Snow White selama ini.

Selain itu, dalam keghairahan penonton dihidangkan aksi lawan dan peperangan, pengarah menambah perisa mitos ini dengan menampilkan sinematografi yang cukup mempesonakan. Antara paparan paling cantik ialah hutan lumut yang dihuni ratusan haiwan ajaib dan seekor rusa jantan putih, yang menjadikan jalan cerita filem ini lebih indah lagi.

Idea pengarah seni dalam mewujudkan hutan gelap yang dihuni haiwan pelik serta ganas juga memikat hati, dalam mewujudkan rasa seram dan jijik kepada penonton.

Kehadiran dua elemen ini dalam memperkuatkan babak dan emosi cerita dilihat membawa makna simbolik kepada kehidupan yang dilalui manusia sama ada mahu memilih jalan hitam atau putih. Mungkin itu yang difikirkan pengarah apabila mewujudkan dua jenis hutan ini dalam filemnya kali ini.

Filem tulisan Evan Daugherty, John Lee Hancock dan Hossein Amini ini memaparkan mitos puteri jelita yang sanggup berkorban untuk rakyatnya yang ditindas kekejaman permaisuri dalam menguasai sebuah negara dan membuktikan kejelitaan serta kuasa tidak kekal selama-lamanya.

Ia turut memaparkan kesengsaraan si puteri yang dikurung sehingga dewasa oleh ibu tirinya, yang membunuh si raja pada malam pertama perkahwinan mereka.
Sebaik permaisuri menaiki takhta, negara itu ibarat padang jarak padang tekukur apabila tumbuhan tidak lagi subur dan mula kering kontang dan rakyat pula menderita kelaparan.

Mereka hidup dalam ketakutan apabila sentiasa diperhatikan askar jembalang yang dibina menggunakan besi tajam oleh kuasa magis si permaisuri.