Adsense

Sabtu, 19 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Pelayaran cinta Anang, Ashanty

Posted:

Pelayaran cinta Anang, Ashanty

Pelayaran cinta Anang, Ashanty

SEKITAR pertengahan tahun lalu, sewaktu penyanyi duet Anang Hermansyah, 43, dan Ashanty Siddik, 28, datang ke Kuala Lumpur dalam rangka promosi album mereka, Jodohku, mantan suami Kris Dayanti itu tidak menyembunyikan perasaannya terhadap Ashanty.

Anang juga tidak malu untuk mengatakan bahawa dia sudah lama ingin menikahi Ashanty, hanya penyanyi bermata bundar itu sahaja yang masih belum memberi sebarang jawapan.

Waktu itu, Ashanty memberi alasan kukuh mengapa dia masih belum bersedia menerima lamaran Anang. Katanya yang pada waktu itu baru menjadi kekasih Anang selama dua bulan: "Saya seorang yang realistik dalam soal cinta. Lebih-lebih lagi apabila hubungan cinta ini masih baru, semuanya masih manis.

"Sementelah jarak usia kami juga sejauh 14 tahun membuat saya harus berfikir panjang untuk melangkah masuk ke fasa baharu. Saya memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk menilai hubungan cinta kami."

Seperti memegang prinsip diri, wanita cantik bermata bundar itu memang benar-benar mengambil jangka waktu hampir setahun untuk menerima lamaran Anang. Pada tanggal 12 Mei lalu, selepas beberapa kali rencana mereka ingin bernikah tergendala, Ashanty akhirnya sah bergelar isteri Anang.

Majlis pernikahan mereka berlangsung dengan serba sederhana tetapi meriah di Masjid Al Bina, Senayan, Jakarta Pusat, Indonesia. Ia hanya dihadiri oleh lebih kurang 300 ahli keluarga dan sahabat terdekat pasangan selebriti itu. Usai solat Asar, Anang dan Ashanty pun rasmi menjadi suami isteri.

Anang dilihat tersenyum lebar, berbeza Ashanty yang menangis terharu sebelum si suami datang memberi kucupan di dahi buat isteri tercinta untuk menenangkan perasaan Ashanty.

Sudah pasti, Anang yang merupakan seorang duda anak dua, menjadi lelaki yang paling bahagia kerana penantian untuk memperisterikan wanita yang dinilai sebagai manja, pintar dan berprinsip itu tercapai.

"Kalau ingin tahu, saya sebenarnya sudah lama merancang pernikahan ini tanpa pengetahuan anak-anak atau keluarga saya. Ini (pernikahan) cita-cita saya. Pada saat saya melamar dia dahulu, malah pada saat lagu Jodohku dibikin, ia bukan sebuah lagu yang kosong. Jodohku mempunyai makna yang besar dan ia dibuktikan pada hari ini," ujar Anang membuka rahsia hatinya saat ditemui media usai majlis pernikahan yang dijalankan di Masjid Al Bina, Senayan.

Memberi sepersalinan alat solat sebagai tanda mas kahwin kepada Ashanty, selain sejumlah Rp12,512 (RM4,092) sebagai wang hantaran, Anang mempunyai alasan tersendiri.

Ujarnya: "Memang sengaja kami memilih wang hantaran yang sedikit jumlahnya dan juga sepersalinan alat solat. Ia sudah cukup buat kami. Rp12,512 itu juga membawa makna kepada tarikh pernikahan kami pada hari ini."


PASANGAN Anang dan Ashanty menurunkan tandatangan ke atas kad pernikahan mereka.


Ashanty pula menambah, jika mas kahwin tersebut berjumlah Rp12 juta (RM4,040) atau Rp120 juta (RM40,400), maka angkanya tidak akan sama dengan tanggal pernikahan mereka iaitu 12 Mei 2012.

"Kalau Rp12 juta, angka kosongnya terlalu banyak. Tentang sepersalinan alat solat itu, ia simbolik kepada Anang yang akhirnya akan menjadi imam dalam keluarga kami," ujar Ashanty sambil dipersetujui Anang.

Naik motosikal

Usai bernikah, pasangan tersebut melepaskan sepasang merpati putih untuk terbang bebas. Selain merpati, ahli keluarga mereka juga ikut melepaskan belon-belon berwarna putih, merah dan biru.

Anang dan Ashanty mempunyai persepsi tersendiri tentang melepaskan sepasang merpati itu. Ia dianggap sebagai satu simbolik kepada pernikahan mereka akan terus kekal dan sentiasa harmoni.

"Seperti sepasang merpati yang setia dengan pasangannya dan tidak akan ke mencari merpati lainnya, semoga pernikahan mereka akan abadi selamanya," ujar pengacara majlis tersebut.

Sementara itu, pasangan tersebut telah meraikan cinta mereka dengan sebuah rencana yang cukup unik. Ashanty dibawa suaminya itu, keliling kota Jakarta dengan menunggang motosikal! Itu aktiviti yang mereka lakukan pada malam pertama menjadi pasangan suami isteri.

Anang ternyata punya alasan sendiri berbuat demikian. Ujarnya: "Kami naik motosikal pada malam pertama menjadi suami isteri kerana ia merupakan pengangkutan penting bagi saya.

"Selama ini, saya memang menggunakan motosikal untuk pergi ke satu-satu destinasi dan malam itu, saya bawa Ashanty bersama untuk menikmati Jakarta dengan menaiki motosikal. Apa yang pasti, naik motosikal, kami bebas daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas."

Saat ditanya tentang perancangan mempunyai anak, Anang secara berterus-terang memberitahu dia tidak mahu menunda waktu untuk memiliki anak.

Dengan serius, dia memberitahu: "Mudah-mudahan malam ini sudah boleh buat anak (selepas bernikah.)

Kini pasangan tersebut sedang enak diulit bahagia sebagai suami isteri. Anang berharap agar perkahwinan keduanya ini kekal ke syurga, begitu juga Ashanty yang berdoa agar ia menjadi perkahwinan pertama dan terakhir buatnya.

Konsert RM1 juta DJ Dave

Posted:

Konsert RM1 juta DJ Dave

Konsert RM1 juta DJ Dave

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


DARI kiri: S.Atan, Dayang Nurfaizah, DJ Dave dan Marsha bergambar pada majlis Konsert Journey Through Song - Ingin Bersua DJ Dave, baru-baru ini.


SETELAH hampir 20 tahun tidak menghasilkan sebarang album lagu berbahasa Melayu, penyanyi popular 1970-an Datuk DJ Dave kini telah tampil dengan single terbaharu berjudul Nyawaku.

Menurut penyanyi yang cukup popular dengan lagu-lagu berirama Hindi, lagu berkenaan bukanlah berunsur cinta. Sebaliknya, lagu Nyawaku ciptaan Datuk M. Nasir itu berkisarkan tentang realiti yang berlaku sekarang iaitu mengenai gejala pembuangan bayi.

"Sebelum ini, saya meluahkan hasrat kepada Datuk M. Nasir agar dia dapat menghasilkan lagu untuk saya. Kemudian beliau memberikan tujuh buah lagu yang dihasilkannya, tetapi tiada satu pun yang saya berkenan.

"Kemudian saya ambil keputusan untuk duduk bersama-sama dengan beliau dan menghasilkan lagu ini, manakala liriknya pula telah dihasilkan oleh AD Samad," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar sidang akhbar Konsert Journey Through Song - Ingin Bersua DJ Dave.

Menurut DJ Dave, selain lagu Nyawaku, beliau juga sebenarnya sudah mempunyai perancangan untuk mendapatkan khidmat komposer terkenal itu bagi menghasilkan dua buah lagu lagi untuknya.

Bagaimanapun, penyanyi berkenaan memberitahu, buat masa ini dia mahu memberikan tumpuan terlebih dulu kepada konsertnya yang akan berlangsung di Istana Budaya selama tiga hari bermula pada 1 Jun ini.

"Mengenai pembikinan video muzik untuk lagu ini pula, ia telah diarahkan oleh Syafiq yang juga merupakan anak kepada Datuk Yusof Haslam. Saya telah bertemu dengannya dalam satu majlis dan beliau sendiri yang mencadangkan nama anaknya untuk menghasilkan video muzik lagu saya itu.

"Meskipun berusia 19 tahun dan masih baru dalam bidang pengarahan, tetapi saya berpuas hati dengan hasil kerjanya. Memang idea yang ditampilkannya sangat bernas dan saya bangga dengan kebolehan yang ada pada dirinya," ujar DJ Dave yang turut menayangkan video muzik Nyawaku semasa acara tersebut.

Menurutnya, selain menghasilkan single terbaharu, beliau juga telah merakamkan semula lagu nyanyian Whitney Houston berjudul I Always Love You yang dinyanyikan secara duet bersama penyanyi Marsha.

"Rakaman semula lagu ini merupakan tribute kepada penyanyi terkenal tersebut, namun liriknya telah diubah kepada bahasa Hindi. Saya telah memilih Marsha untuk berduet bersama saya kerana kami pernah mengadakan persembahan bersama-sama sebelum ini dan dia memang memiliki suara yang sedap," ujarnya.

Sementara itu, M. Nasir yang turut hadir pada majlis berkenaan berkata, dia sendiri mulanya tidak menyangka apabila penyanyi kelahiran Punjabi itu meminta khidmatnya untuk menghasilkan lagu baharu.

Ujarnya, selama ini dia memang sering mengikuti perkembangan karier nyanyian DJ Dave, apatah lagi penyanyi berkenaan juga terlebih dahulu berkecimpung 10 tahun lebih awal berbanding dirinya dalam bidang seni.

"Pada mulanya saya sendiri tertanya-tanya juga kenapa DJ Dave mahu menggunakan khidmat saya. Setelah diberitahu, dia mahu menampilkan kelainan untuk lagu terbaharunya itu, akhirnya saya bersetuju dan menganggap ia satu cabaran buat diri saya," jelasnya.

Imbau nostalgia

Bercerita lebih lanjut mengenai Konsert Journey Through Song - Ingin Bersua DJ Dave, penyanyi tersebut memberitahu konsert yang dianjurkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Shahdave Entertainment bakal mengimbas kembali perjalanan kariernya sebagai seorang anak seni.

Jelasnya, konsert yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM1 juta itu akan memberi kepuasan kepada penonton menerusi persembahan selama dua jam dengan 35 buah lagu popular nyanyiannya serta diiringi 40 orang pemuzik orkestra.

"Konsep persembahan nanti akan berdasarkan kepada peredaran zaman sepanjang karier saya sebagai anak seni bermula dari tahun 1970-an sehingga sekarang. Beberapa orang penyanyi seperti Uji Rashid, Dayang Nurfaizah, Marsha dan komposer S. Atan turut diundang untuk menjayakan konsert ini.

"Menariknya, semasa konsert tersebut berlangsung, saya akan memakai enam kostum yang pernah dipakai sebelum ini. Sebenarnya, saya memiliki 30 kostum yang masih lagi tersimpan rapi sehingga sekarang," ujarnya.

Menurut penyanyi yang sudah berusia 65 tahun itu lagi, memandangkan ia sebuah konsert yang besar serta menelan kos yang cukup tinggi, dia berharap agar konsert tersebut dapat memberi kepuasan kepada penonton yang hadir.

"Bagi memastikan konsert ini berjalan dengan lancar, persiapan dan latihan telah dilakukan sejak dua bulan lalu. Memandangkan tempoh persembahan agak panjang, kini saya turut mengambil berat tentang pemakanan seperti kurang mengambil nasi dan sentiasa bersenam," jelasnya.

Tiket untuk menonton konsert tersebut sudah mula dijual dengan harga RM53, RM83, RM183, RM253, RM303 dan RM453 dan boleh didapati dengan melayari lawan sesawang www.ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-4147 8600, 018-326 8001 atau 016 202 1445 untuk membuat tempahan.

Anas, Tisha mara ke separuh akhir

Posted:

Anas, Tisha mara ke separuh akhir

Anas, Tisha mara ke separuh akhir

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


ANAS (gambar atas) dan Tisha mara ke final untuk menentang dua peserta daripada Kumpulan B yang akan bertanding malam esok.


SETELAH empat minggu bersaing di pentas Mentor 6, rezeki ternyata tidak memihak kepada Ana Syuhada yang merupakan protege Ramlah Ram apabila gagal layak ke peringkat separuh akhir.

Dalam saingan yang berlangsung di Dewan MBSA, Shah Alam, Selangor pada Ahad lalu, Ana gagal mengatasi dua lagi peserta iaitu Anas dan Tisha apabila sekadar mendapat 201 markah, sekali gus markah terendah untuk saingan Kumpulan A.

Ana yang ditemui sebaik sahaja konsert berakhir tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila tersingkir.

"Dengan berat hati saya terima penyingkiran ini dan menganggap ia merupakan satu keputusan yang adil. Namun, ia tidak bermakna saya akan melupakan terus impian untuk bergelar seorang penyanyi.

"Sepanjang menyertai program ini, sudah banyak ilmu dan pengalaman yang saya dapat terutama sekali daripada mentor saya iaitu Ramlah Ram. Begitu juga dengan komen yang diberikan oleh kedua-dua juri turut membantu saya untuk membuat persembahan yang lebih baik setiap minggu," ujarnya.

Pada konsert terakhir Kumpulan A, Tisha yang juga protege kepada Ferhad mendapat markah tertinggi sebanyak 70 markah, diikuti protege Faizal Tahir iaitu Anas dengan 49 markah, manakala Ana pula sekadar meraih 47 markah.

Ana yang mempersembahkan dua buah lagu berjudul Ingkar (Bunga Citra Lestari) dan Tentang Rasa (Astrid) ternyata gagal menarik perhatian Datuk Ramli MS dan Datuk Sharifah Aini selaku juri tetap.

Tidak dapat menahan sebak sewaktu sidang akhbar berlangsung, Ana menafikan dia tidak dapat memberikan persembahan yang mantap disebabkan mengenangkan keadaan kesihatan ibunya yang kurang baik.

"Dengan keadaan ibu yang kurang sihat telah menyebabkan semangat saya semakin membara kerana tidak mahu mengecewakannya. Namun, keputusan telah diumumkan dan perasaan saya memang sedih kerana penyertaan saya sehingga peringkat awal sahaja," ujarnya.

Mengenai penyingkiran Ana pada malam tersebut, Ramlah Ram menyatakan, dia berpuas hati dengan keputusan tersebut dan berharap protegenya mampu merealisasikan impian untuk bergelar seorang penyanyi.

Selaku mentor kepada Ana selama empat minggu, penyanyi berkenaan berkata dia bersedia membantu sekiranya Ana masih mahu mendapatkan ilmu dan tunjuk ajar untuk pergi lebih jauh dalam bidang nyanyian.

"Walaupun sudah tersingkir daripada saingan Mentor 6, tidak bermakna hubungan kami akan berakhir. Memang saya berhasrat untuk terus membimbingnya kerana yakin dia mampu pergi lebih jauh lagi," ujarnya.

Sementara itu, Ramli MS pula menilai persembahan ketiga-tiga protege tersebut masih berada pada tahap biasa, tetapi memberikan pujian kepada Tisha yang telah menunjukkan peningkatan ketika mempersembahkan dua buah lagu iaitu Pilihlah Aku (Kris Dayanti) dan The Climb (Miley Cyrus).

"Berdasarkan kepada persembahan Tisha, saya melihat sudah banyak kemajuan yang dilakukan berbanding minggu-minggu sebelumnya. Kalau peningkatan ini dapat terus dikekalkan, tidak mustahil dia mampu memberi saingan hebat semasa peringkat separuh akhir nanti," ujarnya.

Pada esok malam, saingan Kumpulan B pula akan berlangsung membabitkan tiga orang protege yang akan berebut tempat ke peringkat separuh akhir iaitu KJ (Adam), Caroline (Ella) dan Zatul (Fauziah Ahmad Daud).