Adsense

Sabtu, 19 Mei 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Marian lali gosip nakal

Posted: 18 May 2012 03:28 PM PDT

Hip

'Saya tidak hamil'

LIMA tahun meniti gelora industri hiburan sudah cukup untuk Marian Rivera memahami segala permainan dan gosip nakal yang terpaksa ditelan meskipun ada ketika hatinya menjerit menolak apa yang diperkatakan umum.

Biar bertebaran pelbagai laporan kurang enak yang barangkali melukakan hati, Marian, 27, belajar untuk tidak melatah sebaliknya cukup dengan menghamburkan tawa sebagai jawapan kepada gosip mengarut itu.

Marian yang sedang hangat mencuri perhatian penonton tempatan menerusi drama bersiri, Everlasting Love yang disiarkan TV3 dikatakan hamil, hasil hubungan dengan kekasihnya iaitu aktor popular Filipina, Dingdong Dantes.

Terbaru, gadis kelahiran Madrid, Sepanyol yang membina populariti menerusi drama berantai popular seperti Marimar, Dyesebel, Darna dan Amaya ini dihadapkan dengan sebuah lagi persoalan berat.

Marian yang sedang hangat mencuri perhatian penonton tempatan menerusi drama bersiri, Everlasting Love yang disiarkan TV3 dikatakan hamil, hasil hubungan dengan kekasihnya iaitu aktor popular Filipina, Dingdong Dantes.

"Ia bukan lagi kejutan. Lima tahun saya berada dalam industri hiburan, malah sering menjadi subjek kepada pelbagai kontroversi membuatkan saya sudah lali menerima semua ini," kata Marian yang jelas tidak goyah dengan gosip yang bertiup.

Penerima anugerah Bintang TV Fenomena oleh Guillermo Mendoza Memorial Scholarship Foundation (GMMSF) pada kemuncak Anugerah Hiburan Box-Office ke-38 meleraikan kekeliruan apabila mengakui bukan dirinya yang mengandung.
"Sebaliknya Trina, adik Dingdong yang menunggu kelahiran cahaya mata keduanya. Mungkin ada yang keliru mengenainya," kata Marian yang memuncak popularitinya selepas membintangi siri Marimar pada 2007.

Enggan membuang masanya melayan isu remeh yang tidak pernah berkesudahan, Marian sebaliknya selesa menghitung segala kurniaan Tuhan.

"Jadual kerjaya saya terlalu padat. Selain menyempurnakan penggambaran My Beloved yang kembali menemukan saya dengan Dingdong, saya juga akan beraksi dalam siri baru, Tweets for My Sweet.

"Ia sebuah sitkom yang menyaksikan saya berkongsi skrin dengan Nova Villa, Barbie Forteza, Elmo Magalona, Sheena Halili, Chef Boy Logro dan Roderick Paulate.

"Saya begitu teruja menantinya, apatah lagi sudah lama tidak beraksi selepas kali terakhir membintangi sitkom, Show Me The Manny," katanya.

Mengakui berdepan sedikit cabaran menangani dua perwatakan berbeza apabila berlakon sitkom dan drama fantasi serentak, namun Marian melihatnya sebagai ruang mencari keseimbangan selepas terikat dengan lakonan berat dalam My Beloved.

Aktres dan penyanyi yang tersenarai dalam barisan 10 Wanita Tercantik 2012 itu juga menyatakan perasaan tidak sabar untuk kembali ke layar perak dalam filem terbitan Regal Entertainment yang menemukannya dengan Coco Martin.

"Ia antara projek paling saya nantikan. Filem itu bakal diarahkan Maryo J Delos Reyes. Sebuah filem yang begitu dramatik dan mendesak saya untuk membuat persediaan rapi memikirkan gandingan saya ialah seorang pelakon hebat.

"Saya pernah bertemunya pada sidang media pelancaran filem itu. Pada permulaan kami cuma saling berpandangan, itu perkara biasa memandangkan kami belum pernah bekerjasama.

"Tambahan pula, saya dan Coco bernaung di bawah stesen berbeza namun saya percaya, apabila penggambaran berlangsung keserasian akan tercipta," katanya.

Seakan tidak lekang diulit kontroversi, Marian turut dibelenggu episod bermasam muka dengan pelakon, Katrina Halili yang kembali dibangkitkan.

Menepis gosip yang diperkatakan, Marian mempertahankan, mereka berdua saling bertegur sapa ketika berlakon bersama dalam My Beloved.

"Kami sudah lama membenamkan isu itu lama sebelum penggambaran Marimar tamat. Mungkin kerana Katrina sedang hamil, jadi dia berdepan peralihan mood mengapa tidak kita semua cuba memahaminya," katanya.

Dicemburui Dingdong

MENGAKUI perjalanan hidupnya semakin selesa, malah percintaan yang dijalani selama tiga tahun bersama Dingdong kekal stabil, Marian bagaimanapun masih belum bersedia untuk menamatkan zaman solonya.

"Belum terfikir ke arah itu lagi (perkahwinan). Kami bahagia bersama, mengapa harus merosakkannya dengan perkahwinan," katanya.

Melihat teman lelakinya yang aktif menekuni dunia politik selepas Dingdong dilantik sebagai jurucakap kepada agensi belia kerajaan selain menubuhkan Yes Pinoy Foundation, Marian turut ditanya perkara sama.

"Saya akan menyokong dalam apa juga lapangan yang disertainya," katanya mengenai jejaka yang pertama kali ditemui ketika dia menghadiri sesi uji bakat drama Marimar pada 2007 di Quezon City.

Cinta yang mendalam membuatkan Dingdong cemburu apabila Marian beraksi intim dengan pelakon lain. Malah ketika jejaka itu bertandang ke Kuala Lumpur pada akhir April lalu untuk mempromosikan Endless Love, Dindong meluahkan perasaan rindunya terhadap Marian menerusi laman Twitter miliknya.

Seperti teman lelakinya, Marian selesa mengambil pendekatan untuk membicarakan perkara itu apabila tiba masanya nanti.

"Perkahwinan adalah sesuatu yang sangat istimewa, jadi kami tidak mahu memusnahkan masa yang tepat. Apabila tiba masanya nanti, kami pasti akan bercerita mengenainya," katanya.


Rentak artis Asia: Bermotosikal malam pertama

Posted: 18 May 2012 03:22 PM PDT

Hip

RIAK tegang masih belum terhapus sepenuhnya di raut wajah Ashanty meskipun ketika ditemui dia sudah sah menjadi milik Anang Hermansyah, selepas mereka diijabkabulkan di Masjid Al Bina, Senayan, Jakarta, petang Sabtu lalu.

"Ia pernikahan pertama saya, jadi saya tidak tahu bagaimana perjalanannya. Saya agak tertekan. Saya paling bimbang jika Anang tersasul ketika melafazkan akad nikah, justeru sepanjang proses pernikahan itu saya banyak beristighfar.

"Alhamdulillah, lafaz akad nikahnya lancar dan semua berjalan baik sehingga selesai acara," kata Ashanty bersyukur kerana perancangan panjang mereka untuk bersatu sebagai suami isteri menjadi realiti pada 12 Mei lalu.

Saya senang dengan peralihan waktu, dia juga berubah seperti saya. Kalau dulu agak payah untuk diajak bergurau tetapi sekarang tidak lagi. - Ashanty

Anang, 43, mengakui pelbagai rasa menyelubungi dirinya selepas kembali memegang tanggungjawab sebagai seorang suami. Sempat melahirkan kebingungan, keterujaan lelaki kelahiran Jember, Jawa Timur itu membuatnya berasa pernikahan dengan Ashanty ibarat perkahwinan pertamanya.

"Teruja, bingung semuanya saling bercampur aduk. Banyak permintaan Ashanty yang saya tentang, barangkali dia pun tidak tahu apa yang saya rasa.

"Ia seperti pengalaman pertama saya diijabkabulkan. Terima kasih Allah kerana memberi kelancaran dalam menyempurnakan hajat besar kami ini," katanya.

Ashanty atau nama lengkapnya, Ashanty Siddik Hasnoputro, 27, tidak menafikan Anang sudah banyak berubah berbanding ketika mereka pertama kali berkenalan.
Anang katanya, dulu seorang yang agak kaku dan agak berat mulut namun sedikit sebanyak berubah santai serta semakin mudah didekati.

"Saya senang dengan peralihan waktu, dia juga berubah seperti saya. Kalau dulu agak payah untuk diajak bergurau tetapi sekarang tidak lagi.

"Selepas menjadi suami isteri, banyak perkara yang perlu saya dan suami bertoleransi. Banyakkan bersabar supaya rumah tangga aman, damai dan bahagia," katanya.

Pada upacara itu, Ashanty menerima mas kahwin sepersalinan peralatan solat, dua set perhiasan dan wang Rp12.512 (RM4.13) yang melambangkan tarikh kelahiran mereka.

Dengan sekali lafaz, Anang rasmi melepaskan zaman dudanya apabila sah bergelar suami kepada Ashanty yang sekali gus membawa gelaran ibu kepada dua cahaya mata, Aurel dan Azriel hasil perkahwinan pertama lelaki itu dengan penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti.

"Ibu sudah mengingatkan saya jangan meminta berlebih daripada pihak lelaki. Cukup sepersalinan kelengkapan solat supaya sentiasa ingat kepada ibadah.

"Apatah lagi selepas bergelar suami, Anang sekali gus menjadi imam dan ketua kepada keluarga yang bakal kami bangunkan bersama.

"Anang sebelum ini pun ada memberitahu mahu menghadiahkan sesuatu tetapi saya sudah memaklumkan kepadanya, jangan memberi apa yang di luar kemampuannya," katanya.

Selesai acara pernikahan, pasangan mempelai itu melepaskan sepasang merpati dan belon merah dan biru untuk menambah keindahan suasana petang yang penuh kebahagiaan itu.

"Melepaskan merpati adalah simbolik kami mahu bersama, berkekalan hingga ke akhir hayat. Merpati akan setia kepada pasangannya dan begitu juga pernikahan ini, semoga akan abadi untuk selamanya," kata Ashanty.

Menyentuh persiapan perkahwinan mereka, Anang berkata, mereka sudah lama menyiapkannya namun tidak ramai yang tahu mengenainya termasuk keluarga.

Malah lagu ciptaannya, Jodohku kata Anang, adalah simbolik suara hatinya yang mengharapkan percintaannya dengan Ashanty diakhiri dengan ikatan pernikahan.

Anang juga tidak mahu menangguhkan lagi perancangan mereka untuk segera menimang cahaya mata malah berharap harapan besar dia dan isteri akan menjadi kenyataan nanti.

"Resepsi akan diadakan pada 20 Mei ini (esok) di Shangri-La Hotel, Jakarta kerana tidak ramai dapat hadir pada majlis pernikahan kami.

"Selepas itu, pada 26 Mei, kami bersama keluarga akan mengerjakan umrah dan berbulan madu. Tidak lama di sana, namun perjalanan itu sangat bermakna kerana kami mencari keberkatan dalam perkahwinan.

"Sebelum itu, saya mahu membawa Ashanty mengelilingi kota Jakarta dengan motosikal. Ia mempunyai terlalu banyak sejarah buat saya dan saya memang serius menunggang motosikal kerana tidak tahan dengan kesibukan lalu lintas Jakarta," katanya.

Ashanty yang juga anak bongsu lima bersaudara tidak ralat apabila terpaksa membataskan karier nyanyiannya sebagai memenuhi permintaan anak kedua, Anang iaitu Azriel yang mahu dia memperuntukkan lebih banyak masa di rumah.

"Saya tidak boleh lagi terlalu mengutamakan karier. Cukup dalam seminggu, dua kali saya keluar bekerja. Ia bukan masalah besar buat saya kerana saya juga selesa di rumah," katanya.