JIKA dihitung setiap kali wajahnya mewarnai ruang publisiti di dada akhbar mahupun majalah, figura berwajah manis dengan personaliti menarik ini tidak terlepas daripada soal peribadinya yang dibicarakan.
Meskipun cuba mengelak dan menyembunyikan diri, ia bagai sudah terikat untuk persoalan kontroversi. Kononnya sering kali tampil dengan imej seksi dan kisah-kisah remeh yang diungkap, nama Lana Nordin seakan terjerat dengan persoalan 'panas'.
Hakikatnya, pelakon popular yang sebelum ini dikenali menerusi drama siri Gol & Gincu, Kaizer, Astana Idaman 3 dan Dunia Baru ini tidak sekali menadah diri untuk 'ditembak' namun sudah menjadi lumrah sepak terajang dunia seni, kontroversi dan spekulasi bagai permainan buatnya.
Jelas pemilik nama sebenar Mazlina Hasan Nordin ini ketika ditemui petang minggu lalu di Balai Berita, biar apa saja orang ingin bercerita, yang penting adalah nawaitu dan arah tuju diri sendiri.
"Sudah lali rasanya menerima kritikan atau segala cacian kerana itulah 'makanan' sejak awal melangkah dalam dunia ini. Namun untuk saya mengalah adalah mustahil, sebaliknya setiap apa yang diperkatakan itu saya jadikan pembakar semangat untuk buktikan kepada mereka yang saya bukan begitu.
"Kalis peluru memang sesuai digelar kepada saya kerana itulah yang saya amalkan hingga kini. Jika tidak mengenali saya lebih dekat, usah lekas menjatuh hukum kerana saya tidak pernah mengharapkan kisah panas apatah lagi kontroversi semata-mata ingin popular. Itu persepsi lama yang sudah lapuk," katanya.
Mengenali Lana, si pemilik personaliti menggoda dengan sikapnya yang rendah diri adalah seorang yang berterus-terang. Jika tidak menepati cita rasa dan seleranya akan terus diperkatakan kerana padanya, sikap jujur lebih baik daripada suka bersembunyi.
Justeru tambahnya lagi sebaik persoalan mengenai kekasih hatinya ketika ini, jika benar ada kekasih atau menjalin hubungan cinta akan terus diceritakan kepada mereka yang bertanya.
Lebih menarik petang itu, Lana yang pernah mengacarakan program Jejak Pulau dan XTune sebelum ini lebih rancak berkongsi mengenai lapangan perniagaan yang diceburinya.
"Saya langsung tidak terfikir soal cinta atau kekasih kerana alhamdulillah, apa yang pernah saya impikan sebelum ini sudah pun sebelah kaki menjadi kenyataan. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana sejak dulu lagi minat saya adalah pada dunia perniagaan. Lama juga saya menimba pengalaman dan mencari kekuatan, kini saya sudah pun bergelar usahawan.
"Setakat ini saya sudah memiliki syarikat sendiri yang menguruskan banyak perniagaan berkaitan jual beli rumah dan tanah, hartanah dan beberapa cabang perniagaan yang lain. Itulah yang saya lakukan sekarang dan banyak masa diberikan untuk meletak sepenuh fokus pada dunia impian saya ini. Saya bersyukur kerana diberikan rezeki dan kepercayaan sebegini.
"Lakonan adalah satu lapangan yang memperkenalkan saya dan mengukuhkan nama untuk memudahkan urusan kerja lain. Kini selepas apa yang saya usahakan sudah hampir berjaya dan saya sudah nampak hasilnya daripada syarikat milik sendiri ini, saya rasa lakonan akan menjadi perkara kedua. Saya memang gilakan perniagaan dan kini semakin serius untuk mengukuhkan nama sebagai usahawan berjaya.
"Insya-Allah akan lebih berkembang perniagaan jual beli tanah dan hartanah kerana saya bersungguh-sungguh ingin merealisasikan semua yang saya lakukan ketika ini. Sekarang apa yang banyak saya lakukan adalah menjadi orang tengah untuk urusan jual beli tanah termasuk pembalakan dan ladang. Setakat ini saya sudah nampak hasilnya dan kesenangan yang ada juga semuanya dari usaha berniaga ini," katanya yang juga pemilik syarikat Charisma Works dan Karisma Electric.
Terlanjur bercerita mengenai perniagaan dan perancangannya sebagai seorang usahawan, terlintas pula persoalan ke mana pula arah lakonannya selepas ini?
Jelasnya yakin, hidup perlu realistik.
"Sampai bila saya mampu bertahan menjadi pelakon? Itulah yang selalu saya fikirkan dan keluarga tanyakan. Mampukah saya bertahan hingga 20 tahun lagi sebagai pelakon dan adakah nama dan bakat saya diperlukan pada masa itu sedangkan saingan terlalu banyak dan senario industri juga semakin meruncing.
Ada saja masalah yang timbul terutamanya dari aspek bayaran pelakon dan nasib anak seni hari ini.
"Lantas mengapa perlu saya tunggu dan mengharap sesuatu yang belum pasti kerana prinsip hidup saya begitu mudah. Realistik dan sentiasa peka pada sekeliling.
Saya perlukan sokongan lain untuk terus mencari rezeki bagi membantu keluarga dan membina hidup sendiri. Alhamdulillah peluang dan rezeki dibentangkan kepada saya dan inilah keputusan terbaik yang perlu saya lakukan.
"Sepanjang berkecimpung dengan serius dalam dunia perniagaan, saya sudah nampak arah tuju dan objektif masa depan yang lebih terjamin. Itulah yang harus saya kejar dan terus berusaha mengukuhkan lagi tapak sedia ada," katanya.
Mengalih sedikit perbualan kepada dunia lakonannya, Lana tetap bersyukur kerana masih ada pihak produksi yang yakin kepada kredibilitinya.
Meskipun tidak henti dilanda kontroversi, nama dan bakatnya seolah berada di gelanggang tersendiri.
Buktinya, lakonannya dalam filem yang kini hangat ditayangkan, Chow Kit mendapat pujian ramai.
"Chow Kit adalah sebuah filem yang saya sifatkan punya kesenian dan keistimewaan tersendiri. Plot ceritanya begitu santai dan bersahaja dengan pembangunan watak yang kesemuanya begitu realistik dan jelas termasuk watak saya sendiri, Siah seorang pelacur yang membesarkan anak, namun terjerat pula dengan masalah apabila anaknya dirogol.
"Ia mengisahkan senario sebenar di Chow Kit yang jarang sekali diketahui umum.
Saya begitu tertarik dan yakin filem ini akan memberikan satu dimensi tersendiri kepada industri hiburan kerana memaparkan sesuatu yang unik dan melangkaui imaginasi kini," katanya.
Lana turut muncul dalam filem Lagenda Budak Setan dengan melakonkan watak Zaharah selain sebuah lagi filem sentuhan Afdlin Shauki berjudul Parti Vs Orang Minyak dan Tokak garapan pengarah Sabree Fadzil pada tahun ini.
Trivia Lana Nordin
Nama Sebenar...Mazlina Hasan Nordin
Tempat Lahir...Bintawa, Kuching, Sarawak
Profesion...Pelakon dan pengacara
Status...Bujang
Filem..Remp-It, Main-Main Cinta Drama TV...Gol & Gincu, Kaizer, Astana Idaman 3, Dunia Baru, Mendung Berarak Kelabu, Impian Itu Milik Kita, Kamasutra, Akademi Cinta, Puteri, Cebisan Duka, Aku Juga Perlu Cinta dan Tidurlah Permaisuri Program TV...Jejak Pulau (13 episod), XTune untuk saluran Astro Ria.