Adsense

Sabtu, 12 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Impak ditinggalkan Kerispatih

Posted:

Impak ditinggalkan Kerispatih

Impak ditinggalkan Kerispatih

"SAKIT (sedih) sangat. Saya rasa lebih sakit ditinggalkan teman-teman Kerispatih daripada dipenjarakan akibat dadah!". Itu luahan Sammy Simorangkir, bekas vokalis kumpulan Kerispatih dari negara seberang, Indonesia apabila kesemua anggota band popular itu sebulat suara membuat keputusan yang amat pahit buat dirinya.

Mereka mahu Sammy disingkirkan daripada kumpulan tersebut pada 8 September 2010 atas kesalahan dirinya yang memiliki dan menggunakan dadah jenis syabu.

Akui Sammy, enam bulan meringkuk dalam penjara, walaupun pada mulanya derita tetapi lama kelamaan dia boleh menyesuaikan diri.

"Semasa di penjara, sakitnya hanya seminggu. Dua minggu sudah terbiasa dan tiga minggu seterusnya sudah mempunyai teman. Tetapi, sehingga saat ini, saya masih lagi trauma dan sakit ditinggalkan teman-teman Kerispatih," ujarnya jujur ketika ditemui pada pelancaran album solo pertamanya, Aku Kembali di Seduction Club & Live Bar, Kuala Lumpu baru-baru ini.

Pada 8 Februari 2010 juga, Sammy ditahan atas kesalahan menggunakan dan memiliki dadah jenis syabu. Dia sepatutnya menjalani hukuman selama lima tahun enam bulan dan didenda sebanyak 1 juta rupiah (RM332,829).

Bagaimanapun, Sammy dibebaskan lebih awal iaitu pada 8 September tahun lalu.


VOKAL Sammy ternyata masih sukses dalam memukau audiens.


Pemilik nama penuh Hendra Samuel Simorangkir, 30, itu juga mengakui bukan mudah untuk dia melalui detik hitam tersebut. Lima bulan Sammy mengambil masa untuk kembali semula ke dunia seni tetapi keyakinan dirinya masih tidak begitu kuat. Malah, sehinggakan setiap kali mengadakan persembahan solo di atas pentas dia akan gemuruh.

"Lelaki harus punyai prinsip. Apapun terjadi saya harus kembali. Walaupun bukan bersama kumpulan tetapi saya bisa gerak sendiri. Ya, saya akui tak mudah untuk bergerak sendiri sehinggakan lutut saya menggeletar saat menyanyi di atas pentas. Mungkin saat ini saya masih ada trauma sedikit dan gemuruh di atas pentas, namun ia akan beransur-ansur hilang," jelasnya optimis.

Menurut Sammy, dia bangkit atas sokongan kedua orang tuanya selain peminat-peminat yang masih menyokongnya.

Bersih dadah

Ditebak dengan soalan sama ada dia sudah bersih sepenuhnya daripada dadah, Sammy yang pernah mendapat jolokan penyanyi solo lelaki terbaik oleh media Indonesia itu mengakui sudah bersih daripada dadah sepenuhnya dan berazam untuk tidak mengambil 'najis' itu semula.

"Pertama, saya harus memulihkan otak. Jika otak tidak kuat maka saya akan terjebak semula. Saya juga harus meninggalkan lingkungan (kawan-kawan dadah) yang buruk," ujarnya yang mengakui kini lebih matang dalam berfikir.

Tidak menyimpan dendam pada teman-teman Kerispatih, ujar Sammy, dia mendoakan yang terbaik buat perjuangan Kerispatih bersama vokalis baharu mereka dan berharap kerjaya solonya berkembang.

Menurutnya lagi, selama di dalam penjara, Sammy sempat mencipta sebanyak 32 buah lagu. Aku Kembali yang juga merupakan judul album solonya merupakan ciptaan Sammy ketika dia berada di penjara.

Bercerita tentang lagu-lagu yang dimuatkan dalam album solo pertamanya itu, kata Sammy, ia sangat berbeza dengan lagu-lagu ketika dia bersama ahli kumpulan Kerispatih dahulu.

PENGALAMAN dipenjarakan memberi banyak pengajaran buat Sammy.


"Album solo saya ini lebih ke arah lagu-lagu cinta. Ia menceritakan tentang saat saya jatuh sehingga saya bangkit semula. Itu sebab saya memilih Aku Kembali untuk judul album ini.

Kena saman

Berkongsi cerita, Sammy memberitahu dia pernah disaman oleh anggota kumpulan Kerispatih yang lain kerana mendendangkan lagu-lagu kumpulan itu ketika diminta oleh peminat.

"Saya tidak mempunyai masalah jika ada peminat ingin meminta menyanyikan lagu-lagu Kerispatih. Bagaimanapun pernah satu ketika di Indonesia, peminat meminta saya menyanyikan lagu Kerispatih. Selepas persembahan solo itu, saya terus menerima surat saman," ungkapnya.

Walaupun perit kehidupan yang perlu dilaluinya, namun Sammy gembira kerana dia masih diterima peminat dengan baik.

Bersempena pelancaran album solonya, satu persembahan khas turut diadakan pada 8 Mei lalu di Seduction Club & Live Bar.

Dalam persembahan tersebut, Sammy mendendangkan kira-kira 10 buah lagu kepada 300 orang pengunjung yang hadir.

Artis popular turun Sarawak

Posted:

Artis popular turun Sarawak

Artis popular turun Sarawak

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

AMY SEARCH


SEBUAH konsert percuma yang bakal menampilkan enam artis popular tanah air bakal berlangsung sempena pelancaran akhbar kompak Kosmo! di Kuching, Sarawak pada 13 Mei ini (Ahad).

Konsert yang dikenali sebagai Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! itu bakal berlangsung di The Square Tower, Tebingan Kuching, bermula dari pukul 8 hingga 11 malam itu akan menyaksikan Amy Search, Misha Omar, Nera AF9, Bob AF2, Akim AF7 dan Iwan Dasri muncul mendendangkan antara dua hingga tiga buah lagu-lagu popular masing-masing.

Penyanyi suara gemersik, Misha Omar bakal menyanyikan dua buah lagu popularnya iaitu Bunga-Bunga Cinta dan Pulangkan manakala sebuah lagi lagu yang akan didendangkan Misha merupakan lagu popular penyanyi lain.

"Lagi satu lagu itu saya masih belum buat keputusan untuk nyanyikan lagu siapa. Mungkin lagu tempatan dan mungkin juga lagu luar negara. Kalau nak tahu kenalah hadir untuk saksikan persembahan saya itu nanti," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain teruja bertemu dengan peminatnya di Sarawak, ujar Misha, dia juga gembira kerana akhirnya akhbar Kosmo! dilancarkan di Sarawak.

Misha yang kali terakhir mengadakan persembahan di Sarawak pada 28 April lalu di Pekan Kuala Matu, melahirkan perasaan gembira kerana sekali lagi berpeluang membuat persembahan konsert untuk peminat-peminatnya di sana.


MISHA OMAR


Bagi penyanyi rock terkenal, Amy Search pula, dia mengakui teruja untuk mengadakan persembahan di Sarawak setelah setahun tidak muncul dalam sebarang konsert di sana.

"Kali terakhir saya mengadakan konsert di Sarawak adalah pada hari sambutan Tahun Baru 2011.

"Saya memang tidak sabar untuk kembali mengadakan konsert di Sarawak dan berjanji untuk memberi yang terbaik buat peminat di sana," ujarnya.

Tambah Amy, dia akan memilih lagu-lagu yang terbaik untuk dinyanyikan pada konsert itu dan pastinya memberi kepuasan kepada peminat di negeri tersebut.

"Saya mungkin menyanyikan tiga buah lagu tetapi judulnya masih belum ditentukan," jelasnya lagi.

Sementara itu, menurut bintang kelahiran Akademi Fantasia musim kedua iaitu Bob pula, dia teruja kerana terpilih sebagai salah seorang artis untuk membuat persembahan sempena perasmian Kosmo! di Sarawak.

"Saya gembira kerana menjadi salah seorang artis yang akan mengadakan persembahan sempena perasmian Kosmo! di negeri kelahiran saya sendiri," ungkapnya yang bakal menyampaikan sebuah lagu khas buat rakyat Sarawak.

Dalam pada itu Akim menegaskan dia tidak akan mensia-siakan peluang mengadakan persembahan di Sarawak kerana jarang mendapat peluang mengadakan persembahan di sana.

BOB AF2


"Sudah tentu saya akan memberi persembahan yang terbaik pada malam konsert itu nanti kerana inilah peluang baik untuk saya mengembangkan bakat di Sarawak," ujar Akim.

Sementara Nera AF9 akan menyanyikan lagu popularnya iaitu Hatiku Milikmu dan sebuah lagu daripada penyanyi popular Adele.

Fiesta Bumi Kenyalang Kosmo! akan turut dimeriahkan dengan kemunculan istimewa 15 finalis Miss World Harvest Festival 2012, persembahan kumpulan muzik Rainforest iaitu Kaban Ka'au' serta tarian tradisional kaum Iban, Melanau dan Orang Ulu.

Perjuangan mesti diteruskan - Zainal

Posted:

Perjuangan mesti diteruskan - Zainal

Perjuangan mesti diteruskan - Zainal

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

ZAINAL akur tetapi kesal konsert The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya di Kuching terpaksa dibatalkan.


PADA tanggal 5 Mei lalu, konsert The Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini dan Selamanya yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah telah mendapat sambutan baik apabila dihadiri kira-kira 3,000 peminat.

Bagaimanapun, penganjur konsert tersebut iaitu Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn. Bhd. tiba-tiba mengumumkan konsert yang dijadualkan akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 23 Jun ini terpaksa dibatalkan.

Menurut penganjur konsert, penyanyi Zainal Abidin ketika dihubungi Kosmo!, pihaknya terpaksa membatalkan konsert berkenaan ekoran penjualan tiket yang tidak mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.

Akur dengan situasi yang berlaku, Zainal turut meluahkan rasa kecewanya terhadap segelintir peminat yang dilihat masih lagi gemar menonton konsert secara percuma.

Kosmo!: Boleh Zainal komen mengenai pembatalan konsert tersebut?

ZAINAL: Kami sudah mengambil keputusan untuk membatalkan konsert yang sepatutnya berlangsung di dewan Majlis Bandaraya Kuching Utara pada 23 Jun ini. Keputusan itu dibuat setelah melihat sambutan yang tidak memuaskan terutama penjualan tiket dan tidak mahu menanggung risiko yang lebih tinggi.

Sehingga sekarang sudah berapa banyak tiket yang terjual untuk konsert di Kuching?

Satu pun masih belum dapat terjual dan tiada langsung mana-mana pihak yang bertanyakan tentang tiket. Sedangkan tiket untuk konsert tersebut sudah mula dijual sejak bulan Mac lalu.

Mengenai promosi yang dilakukan pula, segala-galanya berjalan dengan lancar dan kami sudah melakukannya menerusi promosi di media cetak, radio dan laman sosial seperti Facebook.

Apakah pandangan Zainal tentang situasi yang berlaku?

Sebenarnya objektif utama kami menganjurkan konsert ini adalah kerana mahu mengembalikan semula nostalgia dengan menganjurkan konsert berbayar. Selama ini orang ramai sudah terbiasa dengan konsert yang dianjurkan secara percuma.

Jadi, saya melihat kegagalan menganjurkan konsert di Kuching ini berpunca daripada sikap segelintir peminat yang masih belum dapat menerima sepenuhnya untuk menonton konsert berbayar.

Saya berpendapat perkara ini berlaku impak terlalu banyak konsert percuma menerusi pelbagai karnival yang dianjurkan. Apabila perkara ini berterusan, maka sambutan terhadap konsert berbayar sudah tentu semakin kurang dan inilah yang terjadi kepada kami.

Berapakah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh penganjur?

Kalau boleh saya tidak mahu memberitahu tentang jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung. Bagaimanapun, perjuangan kami untuk menganjurkan konsert berbayar perlu diteruskan kerana ini merupakan salah satu punca pendapatan kepada golongan penyanyi.

Apakah perancangan pihak penganjur sekarang?

Buat masa ini kami mahu memberikan lebih tumpuan kepada penjualan tiket untuk konsert yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur. Setakat ini penjualan tiket di ketiga-tiga lokasi konsert tersebut begitu memuaskan.

Saya percaya, masih ramai lagi peminat yang akan hadir untuk menyaksikan konsert berbayar kerana mereka tahu kualiti dan kepuasan yang akan dirasai berbanding menyaksikan konsert percuma.

Adakah Zainal berpuas hati dengan konsert yang berlangsung di Kota Kinabalu?

Sudah tentu saya berpuas hati kerana persembahan yang ditampilkan kesemua penyanyi, pencahayaan dan sistem bunyi yang dihasilkan boleh dianggap sebagai sebuah konsert bertaraf antarabangsa.

Biarpun hanya 3,000 peminat yang hadir pada konsert di Kota Kinabalu, saya yakin konsert yang akan berlangsung di Pulau Pinang (19 Mei), Johor (23 Mei) dan Kuala Lumpur (30 Jun) akan mendapat sambutan yang lebih hangat.