Adsense

Sabtu, 12 Mei 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Remy Ishak Tidak Bimbang Kecederaan Di Dahi

Posted: 12 May 2012 09:07 AM PDT

Remy Ishak
PETALING JAYA: Aktor Remy Ishak berkata dia tidak berasa bimbang atau mengambil serius kecederaan di bahagian dahi yang dialaminya ketika penggambaran filem Bravo 5 pada malam Jumaat.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 30, berkata, ia bukan alasan untuk membatalkan komitmen kerja walaupun luka itu kelihatan dalam akibat tujahan senapang ketika babak kejar-mengejar yang dirakamkan di Tapah, Perak itu.
"Ramai yang kata luka pada dahi saya agak serius dan dalam tetapi saya tidak mahu ia menjadi alasan untuk tangguhkan penggambaran dan kerja lain.
"Saya tidak bimbang dan tiada apa yang serius. Selepas ia berlaku, kami berehat kira-kira 10 minit untuk menghentikan pendarahan dan hanya menampal dengan plaster sebelum menyambung penggambaran," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.
Bercerita mengenai kejadian itu, Remy berkata ia berlaku kerana kesilapan pengaturan masa(timing) ketika penggambaran babak yang membabitkannya dan Beto Kusyairy.
"Perkara sudah hendak jadi, saya tidak salahkan sesiapa pun. Kami pun tidak sangka ia berlaku kerana ketika sesi latihan, semuanya berjalan dengan lancar.
"Ia berlaku kerana kesilapan pengaturan masa di mana, muncung senapang Beto telah tercucuk ke arah dahi saya secara tidak sengaja," hurainya.
Kecederaan pada dahi Remy ketika menjalani penggambaran filem Bravo 5 di Tapah, Perak, malam Jumaat.
Bagaimanapun, kata Remy, demi filem itu dia sanggup menggagahkan diri dan meneruskan penggambaran sehingga selesai.
"Saya tidak mahu batalkan penggambaran kerana ia akan membabitkan banyak pihak. Kebetulan pula, babak itu adalah yang terakhir untuk penggambaran bagi hari itu (Jumaat).
"Hanya selepas semuanya selesai kira-kira pada pukul 2 pagi, baru saya mendapatkan rawatan di hospital askar di sana tetapi masih tidak dapat melakukan jahitan kerana ketiadaan pakar," katanya.
Ujar Remy, walaupun luka itu belum dijahit dia tetap menghadiri sebuah program konvoi bermotosikal pada pagi Sabtu dan hanya mendapatkan rawatan susulan pada sebelah petang.
"Saya terpaksa tangguhkan rawatan kerana temu janji dengan doktor hanya akan berlangsung pada sebelah petang (petang Sabtu).
"Malah, saya sempat menyertai program konvoi bersama Dira Abu Zahar & Red Garage pagi tadi. Saya akan ke hospital pakar di Kuala Lumpur pada petang ini untuk mendapatkan rawatan lengkap," ceritanya.
Bravo 5 yang diarahkan Yeop Hitler itu berkisar mengenai perjuangan askar Melayu dalam menentang kemaraan Komunis.
Filem epik peperangan itu dijangka menamatkan penggambaran dalam masa terdekat.

- ---

Super Spontan: Yasmin Hani Tersingkir Minggu Ketujuh

Posted: 12 May 2012 01:34 AM PDT


KUALA LUMPUR: Pertandingan minggu Ketujuh Super Spontan menyaksikan penyingkiran pelakon jelita Yasmin Hani dari kumpulan Beruang Comel pada awal program yang berlangsung pada malam Jumaat.
Pelakon itu terkeluar selepas disingkirkan oleh ahli kumpulannya menerusi undian selepas mereka tumpas kepada Angsa Ganas pada minggu lalu.
Yasmin ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka akan terkeluar pada minggu ini namun menganggap ia bukan rezekinya.
Tambah Yasmin, dirinya turut berasa terkilan kerana tidak lagi dapat beraksi dipentasSuper Spontan kerana baginya ia telah meningkatkan keyakinan dirinya.
"Walaupun tersingkir, program ini telah memberi banyak pengalaman kepada saya terutamanya dalam membina keyakinan diri di atas pentas selain semangat kerjasama dalam kumpulan," katanya.
Dalam pada itu, persaingan minggu ketujuh Super Spontan berpihak kepada kumpulan Angsa Ganas apabila mereka memperoleh 55 peratus undian berbanding Beruang Comel dengan 45 peratus.
Kemenangan tersebut sekaligus memaksa Beruang Comel menyingkirkan salah seorang daripada ahli kumpulan mereka pada hujung program.
Aksi minggu ketujuh itu menyaksikan kedua-dua kumpulan mencabar kemampuan spontan mereka dalam lima pusingan permainan iaitu Freeze (Beku), Pantun Dua Kerat, Jualan Langsung, Dialog Dalam Tin dan Director Tak Siuman.
Super Spontan diacarakan oleh Adibah Noor dan turut dimeriahkan oleh Harun Salim Bachik sebagai pengulas dengan dibantu oleh Datuk AC Mizal sebagai tetamu undangan.
Amir (Raja Lawak ) pula bertindak sebagai pembantu mereka untuk berinteraksi dengan peserta dan penonton.
Wang kemenangan pasukan Angsa Ganas sebanyak RM5,000 itu disalurkan kepada Pusat Latihan Gurney untuk golongan cacat penglihatan.
Proses pemarkahan berdasarkan 100 peratus undian penonton tetapi pemilihan pemenang mingguan dan penyingkiran berdasarkan kepada suara ahli kumpulan.
Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 dan sebuah kereta Toyota Camry 2.0G.
Super Spontan menemui peminat secara langsung bermula 30 Mac lalu menerusi tiga saluran serentak iaitu Astro Warna (132), Ria (104) dan SingTel Mio TV di Singapura, setiap hari Jumaat pada pukul 10 malam.

- ---

Marsha Bimbang Berduet Dengan D.J Dave Versi Baru 'I Will Always Love You'

Posted: 12 May 2012 01:33 AM PDT

Marsha bimbang jika salah sebutan bahasa Hindi ketika menyampaikan lagu versi baru I Will Always Love You bersama D.J Dave pada konsertJourney Through Song - Ingin Bersua D.J Dave, Jun depan. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH 
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh (Marsha) mengakui dia berasa bimbang untuk berduet dengan Datuk D.J Dave dalam lagu mendiang Whitney Houston, I Will Always Love You yang dirakamkan dalam versi baru bahasa Inggeris dan Hindi.
Bintang berusia 27 tahun itu berkata, lagu itu bakal disampaikan dalam konsert terakhir penyanyi veteran itu, Journey Through Song - Ingin Bersua D.J Dave pada 1 hingga 3 Jun depan di Istana Budaya.
"Saya bimbang untuk menyampaikan versi baru lagu I Will Always Love You itu bersama Datuk kerana liriknya terbahagi kepada bahasa Inggeris dan Hindi.
"Walaupun saya semakin terbiasa dengan lenggok dan sebutan Hindi yang betul selepas beberapa kali menyampaikan lagu itu bersama, terdetik juga kebimbangan jika berlaku kesilapan sebutan pada konsert itu nanti," katanya .
Konsert berkenaan adalah bersempena ulang tahun ke-40 D.J Dave dalam bidang nyanyian.
D.J Dave pula berkata, pemilihan Marsha adalah bagi mewakili penyanyi era 2000 yang berbakat besar dan versatil.
Katanya, pengalaman mereka menyampaikan lagu itu bersama pada beberapa acara pentas sebelum ini memberikan keyakinan untuk dia menyunting Marsha sebagai teman duet.
Marsha dan D.J Dave pertama kali berduet pada tahun lalu.
"Saya pernah berduet dengan beberapa artis lain dalam lagu itu pada persembahan pentas sebelum ini. Pertama kali saya berduet dengan Marsha pula adalah pada acara Miss Earth 2011 di Sabah.
"Sejak itu, saya mula mempelawanya untuk merakamkan lagu itu pada awal tahun ini. Kebetulan pula, Whitney Houston meninggal dunia pada Februari lalu, secara tidak langsung ia menjadi lebih sentimental," hurainya.
Selain Marsha, konsert mega terakhir penyanyi lagu Ingin Bersua itu turut menampilkan Uji Rashid, Dayang Nurfaizah dan komposer S. Atan selaku pengarah muzik.
Tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan ini dijual dengan harga RM53, RM83, RM183, RM253, RM303 dan RM453.
Ia boleh didapati dengan melayari lawan web www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600 atau 018-3268001.
Para peminat yang membeli tiket-tiket berharga RM183, RM253, RM303 dan RM453 turut berpeluang untuk memenangi tiket penerbangan tajaan AirAsia.
16 pembeli tiket bertuah akan diumumkan pada penghujung konsert bagi ketiga-ketiga malam itu.
Konsert itu mendapat sokongan penaja seperti Celcom, Sogo, Hotel Concorde, AirAsia dan Hard Rock Cafe.

- ---

Bacaan Ujian Kanabis Saiful Apek Melebihi Takat

Posted: 12 May 2012 01:32 AM PDT

Saiful Apek.
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini diberitahu bahawa bacaan ujian pengesanan kanabis terhadap air kencing pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya adalah melebihi takat pengesanan dadah.
Rozita Abdullah, 41, pegawai sains di Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, berkata keputusan bacaan ujian itu diketahui selepas ujian pengesanan kanabis dibuat terhadap sampel air kencing empat tertuduh itu pada 22 Jun 2010.
"Begitu juga dengan ujian saringan dadah yang dilakukan kepada kesemua mereka, keputusan kesemua bacaan air kencing mereka melebihi takat itu," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.
Pada 1 November tahun lepas, Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28; Shaiful Baharom, 24; dan Noremy Mohamad, 28, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka.
Ketika disoal Ahmad Ishrakh mengenai yang mana satu ujian konklusif dalam menentukan kehadiran dadah terhadap air kencing sama ada melalui ujian saringan atau ujian pengesahan, saksi keenam pendakwaan itu berkata ujian pengesahan adalah konklusif berbanding ujian saringan yang tidak konklusif.
Rozita berkata ujian saringan untuk mengesan kehadiran dadah dalam air kencing tidak konklusif kerana ujian saringan dibuat secara biasa serta tidak sensitif.
Sementara itu, saksi kelapan pendakwaan Pegawai Penyiasat, Bahagian Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Insp Syed Mohd Rahayat Syed Mohd Ramli, 30, memberitahu beliau menerima sampel air kencing empat tertuduh daripada Pegawai Risikan Cif Insp Mohd Shaifuddin Zulkifli, 31, yang bertugas di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daripada IPD Subang Jaya.
"Selepas menerima botol air kencing kesemua mereka (tertuduh), saya terus menyemak label pada sampel itu yang tertera nama dan nombor kad pengenalan mereka dan kemudiannya saya simpan kesemua botol itu dalam peti sejuk di bilik saya dan menguncinya," katanya.
Beliau berkata kesemua botol air kencing itu berada dalam keadaan baik semasa berada dalam kawalannya dan kesemua botol berkenaan diserahkan kepada Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 18 Jun 2010 untuk tindakan lanjut.
Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000. Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Zambri Idrus dan Mohd Fadli Hashim.
Perbicaraan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid bersambung 22 Mei ini.- BERNAMA

- ---