Adsense

Sabtu, 12 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Hanez baru mencari tapak

Posted: 11 May 2012 06:13 AM PDT

ANGKA '8', bilang orang Cina 'banyak ong!'. Lapan tahun, bagi pelakon cantik, Hanez Suraya Abdul Aziz, 27, adalah saat paling mengujakan dalam hidupnya apabila kehadiran di persada lakonan makin mendapat perhatian.

Lama menanti saat itu, namun tidak pula bersarang rasa kesal di hati Hanez meskipun terpaksa mendaki tangga populariti secara perlahan-lahan.

Bertemu Hanez secara empat mata baru-baru ini, tiada kurangnya dia berbanding jelitawan-jelitawan yang menghiasi skrin televisyen jika diukur daripada segi paras. Namun, mengapa terpaksa dia mengambil masa lama untuk menyerlah? Sedangkan ada juga pelakon wanita berwajah cantik namun lakonan suam-suam kuku, lebih popular.

"Untuk menjawab soalan itu saya tidak punya jawapan. Mungkin rezeki saya baru sekarang ada. Pun begitu, sepanjang lapan tahun meski tidak begitu dikenali, Alhamdulillah ada saja 'kerja' saya terima, cuma watak yang diberikan tidaklah besar.


"Terus-terang saya tidak kesal atau berasa kecewa. Bahkan sangat bersyukur, disebabkan tidak naik secara mendadak membuatkan saya sentiasa berazam untuk menjaga kualiti lakonan dan memberi persembahan yang terbaik supaya suatu hari orang pandang bakat saya.


"Erti mengalah atau berputus asa tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan saya. Nyata usaha serta kesabaran selama ini suatu penantian yang berbaloi," katanya.
Diperkenalkan menerusi filem Bicara Hati arahan Datin Rosnani Jamil pada 2004, Hanez adalah pelakon seangkatan Nur Fazura dan Sheera Iskandar.

Berbanding dua nama itu yang sudah menempah kedudukan selesa, sebaliknya Hanez baru hendak mencari tapak. Apakah, pernah dia dihambat cemburu terhadap mereka?

"Saya tidak pernah cemburu malah menjadikan mereka inspirasi dan kalau hendak tahu, Fazura adalah salah seorang pelakon kegemaran saya," katanya.

Akui pelakon tinggi lampai bermata bundar ini, dia harus berterima kasih kepada pengarah dan produser yang memberi kepercayaan kepadanya membawa watak antagonis.

"Saya perasan orang mula mengenali saya bila saya melakonkan watak antagonis. Bertitik-tolak daripada drama Exora yang disiarkan pada 2009, sedikit demi sedikit orang mula mengenali saya. Mungkin watak antagonis mudah diingati, kerana ia lebih dominan.

"Namun, ada cabarannya apabila terlalu kerap membawakan watak jahat. Saya harus mempelbagaikan karakter jahat itu kerana jahat ada macam-macam. Jahat terang-terangan, jahat dalam diam, kejam dan macam-macam lagi.

"Kesemua itu perlu disuntik emosi yang betul," katanya mengagumi keberkesanan Jasmin Hamid dan Sheila Rusly melakonkan watak antagonis.

Bertahun di sogok watak sama, akhirnya Hanez mampu menarik nafas lega apabila kebelakangan ini dia mula diberi kepercayaan membawakan watak baik sebagaimana Adila, yang dipersembahkan menerusi drama 3 Janji yang bersiaran di slot Lestary, setiap Selasa jam 9.00 malam di TV3.

Drama diterajui oleh Liyana Jasmay dan Shahrizal Jaszle serta turut menampilkan Shah Iskandar, Ana Dahlia dan Idzham Ismail itu mengisahkan Dalia yang kehilangan teman lelakinya, Khursyi yang meninggal dunia.

Bagaikan kehilangan sesuatu dalam dirinya, Dalia pasrah tetapi cuba menguatkan diri untuk meneruskan hidupnya. Dalia reda dengan pemergian Khursyi dan sentiasa teringat kepada tiga janji yang pernah dilafazkan oleh Khursyi.

"Dalam 3 Janji saya pegang watak maksu kepada Dalia. Sebelum ini saya sering kali juga bawa watak mak-mak tetapi menjadi ibu kepada anak tiri yang jauh lebih tua daripada saya.

"Terbaru, saya membintangi drama Suri arahan Emy Sufian. Drama itu akan ditayangkan menerusi slot Azalea, TV3 tidak lama lagi. Saya sendiri memegang watak sebagai Suri dan permainan karakter itu sangat berbeza dengan drama-drama yang pernah dijayakan sebelum ini.

"Jujur, saya tidak pernah menyangka memperoleh peluang ini, memegang watak utama untuk drama terbitan TV3. Saya terharu kerana pihak stesen itu memberi kepercayaan kepada saya. Kisah Suri ini ada sedikit persamaan dengan Bawang Putih Bawang Merah.

"Suri mempunyai musuh sejak di bangku sekolah iaitu Kira (lakonan Izreen Azminda) dan konflik di antara mereka menjadi tambah rumit apabila ibu bapa mereka berkahwin. Apa yang menyeronokkan bekerja dengan Izreen, kami sudah lama mengenali satu sama lain.

"Malah, kami berdua sama-sama ingin memanfaatkan peluang diberikan TV3 dengan memberi persembahan lakonan yang baik. Justeru kami kerap berlatih untuk memastikan setiap babak yang kami lakonan meninggalkan impak kepada penonton," katanya pernah membintangi Bunga April yang diterajui Tasha Shila.

Semekar namanya tatkala kini, semakin kecil ruang 'privasi' Hanez apabila kisah percintaannya dengan penyanyi berbakat besar, Awi Rafael, mula heboh. Tersipu-sipu malu sebaik mendengar nama Awi, Hanez tidak mengiyakan atau menidakkan gosip berkenaan.

"Kami masih dalam peringkat mengenal hati budi masing-masing. Kami berkenalan sewaktu sama-sama mengikuti Jom Heboh di mana saya mempromosikan drama dan Awi pula adalah barisan artis yang membuat persembahan konsert.

"Terus-terang saya tidak pernah meminati Awie tetapi sangat sukakan lagunya, Bila Aku Jatuh Cinta. Hendak dijadikan cerita pada malam konsert kami bertemu di belakang pentas, ambil gambar dan dia bercerita yang dia sedang mencari model untuk klip video lagu terbarunya.

"Kami bertukar nombor telefon dan dua hari kemudian kami berjumpa untuk berbincang mengenai klip video kerana dia berminat untuk menggunakan saya sebagai model. Keesokan hari-hari selepas itu, perbualan tidak lagi berhubung soal kerja tapi seperti mahu mengajak saya 'dating'.

"Itulah kata orang tua-tua, kalau tidak suka seseorang itu jangan cakap sebarangan. Nah! 'ambik' sekarang saya pula yang dah suka dengan dia.... (hahahaha). Awi lelaki paling romantis yang pernah saya jumpa setakat ini," katanya bersambung ketawa.




Mahu tulis lagu sendiri

Posted: 11 May 2012 06:03 AM PDT

JIKA anda peminat program realiti paling berpengaruh di dunia, American Idol (AI), anda pasti mengenali gadis ini. Siapa lagi kalau bukan, Thia Megia.

Meskipun, tidak bergelar juara pertandingan itu, namun Thia, sewaktu pembabitannya menerusi musim ke-10 program AI yang berlangsung pada 2011, mencipta sejarah tersendiri apabila bergelar peserta paling muda sepanjang penganjuran program berkenaan.

Thia dilahirkan dengan nama Thialorei Lising Megia ketika menjalani uji bakat AI yang dilaksanakan penghujung 2010, baru berusia 15 tahun. Bagaimanapun, impiannya untuk benar-benar berada di pentas persembahan AI menjadi kenyataan awal 2011.

Paling kurang pengalaman berbanding peserta lain, sedikitpun tidak pernah menggentarkan Thia untuk berhadapan dengan pesaing yang jauh lebih berumur daripada.


Buktinya, setiap peringkat uji bakat berjaya diharungi malah juri American Idol, Jennifer Lofez, Randy Jackson dan Steven Tyler, tertarik untuk memiliki Thia dalam pertandingan itu kerana menyifatkan dia mempunyai bakat dan pakej menarik.


"Berada di pentas AI, pengalaman cukup berharga dan indah buat saya. Di situ yang membina keyakinan diri dan berpeluang bekerjasama dengan produser serta komposer hebat di mana ilmu itu tidak mungkin diperoleh semua orang.

"Sekalipun pada peringkat awal ia agak memberi tekanan untuk mempersiapkan diri menghadapi persembahan dan pada masa yang sama belajar di mana ada guru yang mengajar kami, lama-kelamaan ia membentuk disiplin dalam diri saya.

"Saya kini berazam untuk menjadi penghibur yang baik juga berilmu. Saya yakin, untuk mencapai kedua-duanya tiada apa yang mustahil.

"Dulu, sebelum uji bakat saya selalu fikir saya tidak layak walaupun saya tahu saya punya bakat. Namun, bila sudah berada di pentas AI baru saya sedar tiada apa yang memungkinkan kita kita punya bakat serta keazaman yang tinggi.

"Tewas di pentas AI yang lalu, bukan pengakhiran dalam hidup saya malah, akan terus memburu peluang menjadi penghibur terkenal," katanya di temui Alexis, The Garden Mid Valley, baru-baru ini.

Pernah muncul dalam America's Got Talent serta bergelar bintang YouTube, kunjungan gadis campuran Filipina sebelah ibunya, itu bagi memenuhi rangka promosi ke Asia. Selain Malaysia, negara lain turut dikunjunginya adalah Taiwan, Filipina, Jakarta dan Bali.

Setahun meninggalkan pentas AI, Thia yang dibawa ke Kuala Lumpur atas usaha Star World tidak pernah duduk diam malah, rancak mempromosikan karier nyanyiannya dengan mengikuti jelajah ke Asia.

"Saya mahu bertemu dengan semua peminat saya yang pernah menyokong saya sewaktu di American Idol. Tidak lama lagi saya juga bakal muncul dengan
single yang diharapkan dapat memacu karier nyanyian saya ke satu tahap yang lebih tinggi.

"Selain memasang impian untuk bekerjasama dengan 'singer-songwriter' terkenal antaranya Jason Mraz, Adele, saya turut mencipta lagu sendiri dan turut berharap dapat mengembangkan bakat dalam bidang penulisan lagu.

Semasa menjadi bintang Youtube, Thia pernah diundang membuat persembahan dengan penghibur terkenal, David Foster, menganggap peluang itu satu pengalaman berharga buatnya.

Beralih kepada program AI musim ke-11 yang sedang bersiaran ketika ini, tiga peserta sedang bersaing adalah kenalan lama Thia. Salah seorang daripada mereka adalah Jessica Sanchez.

"Sukar untuk membuat pilihan, tetapi alangkah baik sekiranya teman baik kamu yang menang. Iya saya berharap Jessica boleh melakukannya kerana saya tahu Jessica seorang penyanyi yang baik dan bersungguh-sungguh.

"Saya mengenali sejak beberapa tahun yang lalu dan kami sering terbabit dalam banyak acara nyanyian bersama," katanya.