Berita Harian: Hip |
Posted: 11 May 2012 05:20 PM PDT Hip Astrid Walaupun hanya bermula sebagai penyanyi di kelab, tapi suaranya yang penuh dengan misteri memikat produksi Sony Music Indonesia untuk menyuntingnya menjadi artis rakaman dan album pertamanya dilancarkan pada 2003 dengan judul, Astrid dan album kedua, Lihat Aku Sekarang yang diterbitkan pada 2010. Dengan mempunyai dua album termasuk satu album pek semula yang dikeluarkan pada tahun 2007 membuka keyakinan kepada penyanyi muda ini untuk melebarkan sayap dan memperkenalkan aliran muziknya kepada peminat di Malaysia pula. Nama Astrid dalam industri muzik tempatan mula mendapat perhatian menerusi single, Tentang Rasa yang dipetik daripada drama Vanilla Coklat, Astrid merasakan tuah mula menyebelahinya apabila single terbabit berjaya membuatkan peminat tempatan untuk lebih mengenalinya."Pertama kali saya mengunjungi Malaysia adalah untuk menjayakan Konsert Nusantara 1Malaysia bersama teman-teman penyanyi Indonesia lain. Walaupun baru pertama kali, tapi peminat di Malaysia dapat menerima kehadiran saya dan ada yang dapat menyanyikan lagu saya dengan baik dan ketika sampai di KLIA ada peminat yang menegur saya. Saya sendiri tidak menyangka yang peminat di Malaysia begitu cepat mengenali dan menerima kehadiran saya di sini. "Drama Vanilla Coklat banyak membantu memperkenalkan saya kepada peminat di Malaysia kerana menerusi drama terbabit, mereka mula mencari dan cuba untuk mengenali Astrid dengan lebih dekat. Sekarang juga, lagu Tentang Rasa banyak di mainkan di radio dan itu adalah maklum balas yang baik daripada peminat di Malaysia," katanya dalam satu pertemuan di sebuah kafe di Wangsa Maju, baru-baru ini. Dalam kunjungan kali ini, Astrid juga menjadi tetamu undangan untuk program realiti Mentor 6 dan Mania. Walaupun lagu Tentang Rasa di petik daripada album Lihat Aku Sekarang yang diterbitkan pada 2010 dan kini selepas dua tahun baru lagu terbabit memasuki pasaran Malaysia, tapi Astrid tetap optimis yang kekuatan melodi dan lirik lagu itu menyebabkan peminat dapat menerimanya.
"Sebenarnya untuk album kedua ini juga sangat berbeza berbanding album pertama begitu pula penampilan saya. Ini adalah satu proses pendewasaan yang mana bukan saja pada karya tapi juga kepada penampilan diri. Album ini adalah menunjukkan kematangan saya dalam industri dan lagu juga berentak balada yang mana saya rasakan lebih sesuai dengan umur sekarang. Dari segi penampilan juga, saya sekarang terarah fesyen yang lebih feminin," katanya. Sebelum ini Astrid sering muncul dengan gaya penampilan gothic dan misteri seiring dengan kebanyakan lagunya yang dijadikan runut bunyi untuk drama dan filem mistik. Astrid pernah menyumbangkan suara dalam album runut bunyi filem Tusuk Jelangkung (2003) dengan lagu Ratu Cahaya dan kemudian dalam album runut bunyi filem Vina Bilang Cinta dengan lagu Di Dadaku Ada Kamu dan Cinta. Sementara itu, lagu yang dipetik daripada album sulungnya, Cinta Itu dijadikan lagu tema untuk filem Mirror. Kata Astrid lagi, beliau berharap kunjungannya ke Malaysia untuk mempromosikan album ini tidak disalah anggap untuk mengancam penyanyi tempatan lain kerana baginya, muzik adalah universal dan melalui muzik dapat membentuk penyatuan. "Sejak dulu lagi saya sering mengikuti perjalanan karier Datuk Sheila Majid dan Datuk Siti Nurhaliza. Jika diberi kesempatan tentunya saya teringin untuk bekerjasama dengan mereka ataupun penyanyi tempatan lain. Bagi saya, di Malaysia mempunyai ramai penyanyi yang mempunyai suara dan vokal yang bagus dan tentunya mereka juga dapat diterima di Indonesia. "Untuk berada pada tahap sekarang saya mengambil masa yang agak panjang dan tidak semudah yang disangka. Ini kerana di Indonesia mempunyai begitu ramai penyanyi dengan pelbagai ragam genre. Dalam kerjaya juga saya mempunyai jatuh bangunnya dan pernah hampir untuk menyerah kalah kerana tidak pasti dengan kerjaya nyanyian ini.
Walaupun Astrid baru saja melancarkan album keduanya itu di Malaysia, tapi kini beliau dalam perancangan untuk menerbitkan album ketiganya yang turut memuatkan lagu duet bersama penyanyi Korea, Tim Hwang untuk lagu Saranghamida (I Love You). "Saya senang untuk bekerjasama dengan Tim dan kami tidak mempunyai sebarang masalah kerana Tim boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Tim akan menyanyi dalam bahasa Korea manakala saya dalam bahasa Indonesia dan saya dapat merasakan lagu ini adalah karya yang bagus dan berharap dapat diterima peminat. "Lagu ini akan dijadikan runut bunyi untuk sebuah drama bersiri di Indonesia, Saranghae yang mana Tim turut berlakon dalam drama terbabit. Tentunya saya senang untuk melihat Tim berlakon sama lagipun ramai artis Korea yang popular di Indonesia sekarang," katanya. Selain lagu Saranghamida, album terbabit turut dimuatkan single terbarunya Mendua yang dijangka akan dilancarkan di Indonesia hujung tahun ini. Profil Nama Penuh: Astrid Sartiasari
|
Mesti Tonton: Disumpah bila cinta tak berbalas Posted: 11 May 2012 05:18 PM PDT Hip Filem: Dark ShadowsGenre: Klasik, Seram, Komedi Pengarah: Tim Burton Pelakon: Johnny Depp, Michelle Pfeiffer, Eva Green, Bella Heathcote dan Helena Bonham Carter Tayangan: Mulai 10 Mei 2012 SUDAH tergambar watak yang bakal dibawakan Johnny Depp saat dikhabarkan dirinya terbabit dalam filem terbaru arahan Tim Burton, Dark Shadows, yang diangkat daripada soap opera sekitar 1960-an. Jika dibilang dengan jari, sudah lapan produksi mereka 'bersatu', bermula dengan Edward Scissorhands pada 1990. Filem lain yang menyaksikan Depp beraksi di bawah arahan Burton ialah Ed Wood, Sleepy Hollow, Charlie and the Chocolate Factory, Corpse Bride, Sweeney Todd: The Demon Barber of Fleet Street dan Alice in Wonderland. Setiap watak dilakonkan Depp penuh dengan keunikan, sama ada muncul sebagai jelmaan, lanun atau manusia bersikap pelik. Terbaru, pelakon siri 21 Jump Street itu menunjangi perwatakan sebagai pewaris keluarga kaya bernama Collins di Collinsport, Barnabas, yang terkena sumpahan. Cinta tidak berbalas mengakibatkan dia disumpah menjadi pontianak oleh Angelique Bouchard (Eva Green) dan dikurung di dalam keranda selama 200 tahun hingga suatu hari jasadnya dilepaskan.
Walau berpindah jauh dari kampung halaman, ia masih belum dapat melenyapkan sumpahan misteri, malah lebuh teruk apabila anak lelakinya yang sudah dewasa melukakan hati Eva. Barnabas yang bangkit dari kuburnya pada 1972 kembali ke Collinwood Manor, ke kediaman lamanya, dan menemui saki baki keluarga Collins di rumah agam usang dengan setiap seorang punya kisah gelap. Bersama semangat, Barnabas cuba menaikkan semula perniagaan keluarga, namun dia terpaksa berdepan Eva yang masih menagih cinta dan pada masa sama mahu menghapuskan setiap insan disayanginya seperti 200 tahun lalu. Melihat semula karakter dimainkan Depp, dapat digambarkan dia sememangnya bukan calang-calang pelakon kerana penuh dengan penghayatan. Malah setiap bait dialog dalam filem ini, walaupun dalam nada serius, ia penuh kelucuan. Menariknya, setiap watak dan perwatakan ada acuan tersendiri dengan ketua keluarga, Elizabeth (Michelle Pfeiffer) yang tegas; anaknya, Carolyn (Chloe Grace Moretz) suka menyendiri; David (Gulliver McGrath) boleh bercakap dengan roh ibunya, dan beberapa karektor lain yang cukup menambahkan perisa cerita. Jika plot filem lain barangkali kita sudah mampu boleh mengagak dengan tepat kesudahannya, Dark Shadows agak lari daripada kebiasaan kerana sekali pun pengakhiran yang menggembirakan, masih banyak kejutan wujud di sepanjang menuju detik penamatnya. Bukan hanya anda akan jatuh cinta kali kedua, ketiga atau ke lapan dengan bintang kacak bernama Johnny Depp ini sebaik menyaksikan Dark Shadows, secara keseluruhan anda pasti tersenyum puas tatkala keluar panggung. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |