Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Profesional Yana - PierrePERNAH menjalinkan hubungan cinta selama lebih tiga tahun, keserasian Yana Samsuddin dan Pierre Andre kelihatan sangat secocok ketika digandingkan semula dalam filem 3 Temujanji. Namun, Yana dan Pierre mengakui bahawa pada mulanya, mereka agak kekok ketika ingin 'bercinta' semula dalam filem tersebut. Bagaimanapun, sebagai seorang aktor dan aktres, mereka memilih untuk bersikap profesional dan mengetepikan kisah peribadi untuk memberikan yang terbaik terhadap lakonan masing-masing. "Sewaktu kami berlakon filem ini, saya dan Yana telah setahun tidak berjumpa atau berlakon bersama. Jadi, bila jumpa semula, tidak dinafikan memang kami berdua terasa kekok dan memikirkan bagaimana untuk tidak kelihatan kekok dalam filem. "Akhirnya kami mengambil jalan untuk bersikap profesional. Kami banyak berbincang mengenai watak dan karakter dalam filem ini. Mungkin juga dengan mengingati semula masa gembira kami dulu telah membuatkan keserasian itu timbul semula," ujar Pierre mengenai 'penyatuan' semula dia dan bekas kekasihnya itu. Dalam nada bersahaja dan bergurau, Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre menambah, jika tiada keserasian, maka tidak bercintalah mereka sebelum ini. Katanya juga, keserasian itu telah ada sejak dulu, namun perlu dicari semula kerana ia telah lama hilang selepas mereka putus cinta.
Begitu jua pengakuan yang dibuat oleh Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin ketika ditebak persoalan yang sama dengan bekas kekasihnya itu. Kekok merupakan perkara pertama yang berlegar dalam mindanya ketika ditawarkan berlakon dalam filem tersebut. "Walaupun dahulu kami pernah mempunyai hubungan istimewa, tapi selepas itu masing-masing tidak bertegur atau berlakon bersama selama setahun. Kemudian, secara tiba-tiba digandingkan dalam satu filem dan sebagai pasangan kekasih. Semestinya perasaan begitu (kekok) timbul. "Tapi, Alhamdulillah, dia sangat membantu. Semasa kami melakukan sesi lampas otak, dia juga banyak bercerita serta semasa penggambaran pula, kami banyak berbincang bersama untuk hilangkan rasa kekok itu," tutur aktres tersebut. Tambah wanita berusia 27 tahun ini lagi, sebagai seorang pelakon, bersikap profesional walaupun mereka pernah mempunyai masa silam yang barangkali masih melekat dalam hati adalah bonus buat mereka untuk menjadi anak seni yang baik. Doa Pierre "Tiada masalah berlakon dengan dia kerana saya rasa bergandingan bersama Yana adalah gandingan paling senang berbanding pelakon yang lain," itu kata-kata jujur yang keluar dari mulut jejaka berusia 27 tahun ini mengenai Yana. Selain itu, Pierre juga tidak teragak-agak membuat pengakuan bahawa dia masih menyayangi Yana. Akan tetapi, perasaan sayang itu bukan seperti sayang buat kekasih, namun Pierre kini menganggap Yana seperti keluarganya sendiri. "Saya tidak menghalang jika ada jodoh kami, dan saya juga tidak akan menghalang jika kami tiada jodoh. Ini kerana, bagi saya perhubungan saya dan Yana sebelum ini cukup baik. Saya akan mendoakan yang terbaik buat Yana selepas ini termasuk soal siapa yang bakal menjadi kekasih atau suaminya. "Saya memang mahu yang terbaik buat dirinya dan semoga dia berbahagia tidak kira dalam perhubungan, masa depan mahupun karier," jelas Pierre tidak menyembunyikan perasaannya. Yana tidak kisah Keserasian merupakan sesuatu yang amat penting agar watak yang dilakonkan berjaya menambat hati penonton yang menonton. Bagi Yana, hubungan istimewa dia dan Pierre dianggap sebagai satu kelebihan kerana melalui pengalaman tersebut, ramai yang memuji keserasian mereka. YANA mengaku rezekinya sebagai pelakon semakin murah. Tahun ini, dia bakal muncul dengan tujuh buah filem. "Ramai juga yang bercakap memang keserasian saya dengan Pierre dalam 3 Temujanji itu jelas kelihatan. Namun, saya juga mendapat respons yang baik daripada orang ramai tentang keserasian saya dan Sam dalam filem Bini-biniku Gangster," beritahu Yana mengenai keserasian bersama pelakon yang pernah menjadi heronya. Selepas ini, Yana dan Pierre akan kembali 'berjodoh' untuk dua buah naskhah lagi. Ia termasuk sebuah filem romantik yang berjudul Strawberry Cinta, yang mana Yana menjadi seorang wanita Korea dan Pierre pula sebagai pemandu pelancong. | ||
Persandingan bersejarah Watie, Azza Posted: Persandingan bersejarah Watie, AzzaOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
JARANG kita saksikan dua artis disandingkan di atas satu pelamin secara serentak. Hakikat ini terjadi kepada anggota kumpulan Elite, Watie dan Azza yang selamat melangsungkan majlis persandingan mereka pada 1 Mei lalu. Majlis yang sederhana tapi meriah dengan kehadiran keluarga terdekat kedua-dua pasangan mempelai itu diadakan di kediaman Setiausaha Akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ruhaidini Abd. Kadir di Bandar Baru Bangi, Selangor. Sebelum ini, Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 35, bernikah dengan pasangannya yang merupakan bekas penyanyi kumpulan Exist, Zulkifli Daud atau Joey, 38, pada tarikh 22 Disember tahun lalu di rumahnya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 34, pula bernikah dengan pasangannya, Azlan Zulaily, 25, di Masjid Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada 1 April lalu. Dedah tarikh nikah Menurut Watie, majlis itu sememangnya ditunggu-tunggu ramai pihak memandangkan sebelum ini dia menjanjikan akan mendedahkan tarikh sebenar pernikahannya dengan Joey yang selama ini menjadi tanda tanya. "Pada mulanya saya ingin mengumumkan perkara ini pada tarikh 7 Julai sempena persandingan saya sekali lagi dengan Joey, tapi adalah lebih elok untuk saya khabarkan berita ini lebih awal," katanya. Kontroversi hubungan Watie dan Joey mula tercetus apabila mereka didakwa menjalin hubungan cinta sejak bertemu ketika penggambaran drama bersiri Blues Pasar Tani pada Mac tahun lalu di Muar, Johor. Joey berpisah dengan bekas isterinya, Noraini Mohamad Nasir, pada 8 Ogos tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan, Zidani, 5, manakala Watie pula mempunyai seorang anak lelaki, Ahmad Afif Danial, 8, hasil perkahwinan sebelum ini. Watie dan Joey akan bersanding sekali lagi pada 7 Julai ini di Mydin Subang Jaya, Selangor sempena festival perkahwinan yang berlangsung pada waktu itu. "Jemputan kali ini terhad, kami minta maaf banyak-banyak, Insya-Allah pada 7 Julai nanti kami menjemput semua pihak hadir sama. "Pihak penganjur sebenarnya yang mahukan ada persandingan pasangan pengantin sebenar ketika festival pengantin itu kelak. Pada hari itu akan ada adat istiadat lengkap perkahwinan," tambah Watie. Ditanya mengenai majlis pernikahan Watie dan Joey yang khabarnya dijalankan secara mengejut, jawab Joey, semuanya telah dirancang sebulan awal bersama keluarga dan adik-beradik Watie. "Majlis akad nikah di rumah Watie hanya diketahui oleh saya dan keluarga kedua-dua belah pihak. Sengaja saya rahsiakannya daripada pengetahuan Watie supaya perkara itu tidak nampak terlalu serius," ujarnya. Watie hanya diberitahu oleh kakaknya sejam sebelum rombongan majlis bertandang ke rumahnya. Jadi sebaik mengetahui bahawa dia akan bernikah dalam masa sejam, dia hanya mengenakan pakaian dan solekan serba ringkas. "Perasaan ketika itu bercampur-baur! Tak boleh marah dan tak boleh menangis. Memang sebelum ini Joey ada melamar saya ketika sambutan hari jadi (21 April 2011) tapi tidak sangka pula dia buat kejutan sebegitu sekali lagi sewaktu kami mahu bernikah," katanya yang diwalikan oleh Mohd. Norazly Sadali. Pasangan Watie dan Joey sebelum ini telah memilih lokasi Pulau Redang, Terengganu untuk lokasi bulan madu selepas bernikah. Tugas baharu Azza Sementara itu, bagi pasangan pengantin yang baru melangsungkan perkahwinannya pada 1 April lalu, Azza dan Azlan berkongsi perasaan setelah bergelar suami isteri. "Alhamdulillah seronok, masih rasa seperti pengantin baharu tambahan pula dengan majlis persandingan kali ini yang saya rasakan amat bermakna bagi saya dan Watie," jelas Azza. Bagi Azlan, ada pengorbanan yang perlu dia tempuhi demi menjaga kerukunan rumah tangganya yang baru bersemi. "Setiap hari saya akan balik ke rumah, tak kira penerbangan saya domestik atau antarabangsa. Biasanya pada sebelah pagi Azza yang akan menghantar saya ke lapangan terbang sebelum dia ke lokasi penggambaran dan menjemput saya pada sebelah malam," cerita Azlan yang merupakan seorang pramugara. Azza dan Azlan juga akan melangsungkan persandingan mereka sekali lagi pada 16 Mei ini bertempat di Mydin Meru Jaya, Ipoh, Perak. Untung kedua-dua pasangan ini kerana percutian bulan madu mereka ke Pulau Tioman, Pahang ditaja sepenuhnya oleh Ruhaidini. | ||
Posted: Adira jaga saya - AGOleh HARYATI KARIM
TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba muncul cerita mengenai penyanyi comel Adira yang kini mula rapat dengan AG yang merupakan seorang komposer dan pemain gitar untuk band Hujan dan Coco. Memetik kenyataan Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 21, dalam sebuah portal hiburan, dia mengakui AG kini merupakan lelaki yang paling rapat dengannya dan tidak menolak andai ditakdirkan AG menjadi suaminya pada masa hadapan. Namun, tegasnya, hubungan mereka belum sampai ke tahap bercinta. Adira kini sibuk dengan program realiti Mania di Astro Ria, manakala AG pula sibuk dengan program realiti Versus di TV9 bersama band Hujan. Mereka enggan kisah peribadi mendahului kerjaya masing-masing. Ikuti temu bual Kosmo! bersama AG atau nama sebenarnya Hedzry Hafiz, 27, baru-baru ini. Kosmo!: Benarkah AG dan Adira bercinta? AG: Bukan bercinta tetapi kami rapat dan saling mengambil berat antara satu sama lain. Adira mengakui anda merupakan lelaki yang paling rapat dengannya buat masa ini. Anda bagaimana pula? Memang kami rapat sejak mula bekerjasama dalam program Akustik Adira kira-kira hujung Mac lalu. Apakah yang membuatkan anda tertarik dengan Adira? Dia baik, pandai ambil hati dan mengambil berat mengenai saya yang masih solo dan ada penyakit lemah jantung. Saya sering terlupa untuk makan ubat dan dia selalu mengingatkan saya. Dia tegas seperti ibu saya. Memang dia selalu buat saya gembira. Andai ditakdirkan bercinta dengan Adira, bagaimanakah anda menerimanya kerana Adira seorang penyanyi popular? Saya tidak memilih atau meletakkan piawaian wanita macam mana harus menjadi jodoh saya. Kalau wanita itu seorang penyanyi popular saya harus terima dia seadanya termasuk dunia glamor yang menjadi bidang kerjanya. Selaku seorang pemuzik, adakah anda rimas apabila nama dikaitkan dengan gosip? Saya tidak kisah dan tidak ambil peduli, sebab bagi saya ini memang asam garam industri hiburan. Mahu tidak mahu saya harus terima. Cuma saya akui, sedikit sebanyak timbul rasa pelik sebab saya bukannya artis atau orang popular, saya hanya seorang pemuzik. Boleh ceritakan pengalaman dalam program Versus? Susah sebenarnya kerana saya diamanahkan untuk susun semula muzik. Kerja saya di luar program Versus memang banyak. Saya kini dalam proses penerbitan album band Hujan, Zikir Imam Muda dan Awi Rafael serta beberapa projek seperti Majlis Belia. Secara tidak langsung saya terpaksa membahagikan otak apabila bekerja dengan muzik berlainan genre. Adakah anda tertekan untuk memberi hasil yang terbaik kerana nama besar band Hujan? Tidak tertekan, tetapi cuma penat kerana saya terpaksa curi-curi masa untuk menggubah semula lagu yang diberi dalam program Versus. Kami perlu menjaga harapan peminat, sebab itu kami tampil dengan persembahan berbeza setiap minggu. Kami ingin membuktikan yang band Hujan boleh membawakan pelbagai jenis lagu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |