Harian Metro: Rap |
Posted: 06 May 2012 08:04 AM PDT MERENUNG pada wajah dan penampilannya yang agak 'funky', sesiapa pun pasti tidak menyangka jejaka berusia 27 tahun ini sedang menghitung masa untuk bergelar ayah. Cukup 'stylo' dan lagaknya juga masih keremajaan, bagaimana agaknya Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran Tomok ini akan mengubah dirinya dengan gelaran baru yang besar tanggung jawabnya itu? Bertemunya pada satu sesi fotografi, di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini, dari jauh kelihatan raut wajah Tomok berseri-seri menandakan keseronokan hidupnya ketika ini. Pada masa sama, sesekali terpancar juga rasa gusar dan berkali-kali juga dia membelek telefon bimbitnya, mungkin sedang risaukan seseorang yang ditinggalkan lama. Mana tidaknya, demi menghadiri sesi fotografi, sang isteri yang tengah sarat menjaga kandungannya pula sedang duduk keseorangan di rumah.
"Bagaimanapun, perasaan gementar itu memang tidak dinafikan tetap ada memikirkan selepas ini tanggungjawab saya akan menjadi lebih berat. Setakat ini, saya dan isteri sudah ada beberapa nama untuk anak kami nanti namun belum memilih yang paling sesuai lagi. Syukurlah, tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku kepada isteri saya dan malah sepanjang proses dia mengandung juga OK," jelasnya gembira. Dalam pada menantikan momen yang indah itu, juara program realiti One In A Million 3 yang juga vokalis New Boyz ini sudah tidak sabar menantikan filem futuristik lakonannya, Mantera, ditayangkan pada 17 Mei nanti. "Pertama kali diberikan watak utama dalam filem sulung pula, pastinya saya berdebar menantikan bagaimana hasilnya serta penerimaan penonton terhadap filem ini. Ini adalah antara perkara terindah terjadi kepada saya dan semestinya mengangkat karier seni saya ke satu tahap yang lebih tinggi lagi, lari dari bidang nyanyian. "Ketika mendapat tawaran ini kira-kira tiga tahun lalu, saya melihat ia satu peluang yang besar untuk mengembangkan lagi sayap dalam bidang seni walaupun pada dasarnya saya seorang penyanyi. Namun saya gagahkan untuk pergi uji bakat dan tidak sangka diterima malah diberikan watak utama pula. "Pengalaman yang saya timba benar-benar hebat kerana bukan saja berpeluang merantau ke Dubai untuk penggambaran, saya juga dapat berjumpa dengan pelakon-pelakon di sana yang terbabit dalam filem ini. Selain itu, dikelilingi tenaga produksi yang cukup mantap, tidak pernah sekalipun diri ini rasa tersisih walaupun masih hijau dalam lapangan ini. Mereka pasti akan memberi tunjuk ajar dan dari situlah saya memperbaiki sedikit demi sedikit lakonan saya. "Antara sebab saya memilih untuk menerima tawaran itu juga adalah kerana konsep dan jalan cerita yang ditonjolkan dalam filem ini sangat berlainan dengan filem tempatan lain. Mengetengahkan elemen sains fiksyen, walaupun Mantera banyak menggunakan teknik Imej Janaan Berkomputer (CGI) serta unsur robotik, ia tampak berkesan," katanya. Pertama kali mencuba bidang ini, mungkin terlalu awal untuk Tomok menghasilkan lakonan yang cukup berkesan dan semestinya perlu bermula daripada bawah. Akuinya, sebaik menerima untuk menjayakan filem itu, dia mengambil serius tanggung jawab besar itu lantas memberikan tumpuan sepenuhnya bagai menjiwai karakternya. "Saya membawakan watak seorang pelajar kolej, Azman, yang sangat obses dengan dunia permainan terutamanya robotik. Untuk menjiwai watak itu, saya kemudian tidak menunggu lama dan menonton kembali filem-filem berciri futuristik ini termasuklah Transformers, G.I. Joe dan Ironman. Mujur juga sebelum penggambaran dijalankan, kami diberikan kelas lakonan terlebih dulu untuk pendedahan sebelum ke set sebenar Mantera. "Membawakan watak superhero atau adiwira amat mencabar namun saya cukup puas hati dapat melakukannya. Saya sangat berharap penonton akan suka dan sudah berikan yang terbaik untuk menjayakan filem ini. Apa-apa juga kritikan yang diberikan selepas ini, saya bersedia untuk menerimanya. Ia akan ditayangkan di pawagam pada 17 Mei, jatuh pula pada hari lahir saya. "Kiranya, bulan Mei adalah bulan yang paling bermakna untuk saya kerana bukan isteri dijadualkan melahirkan anak pada bulan ini, malah filem sulung lakonan saya juga turut ditayangkan. Inilah antara hadiah hari lahir paling ditunggu-tunggu," ujarnya. Mengakui bidang nyanyian masih lagi menjadi keutamaannya, Tomok bagaimanapun tidak teragak-agak untuk meneruskan pembabitan dalam bidang lakonan selepas ini. Apabila peluang sudah terbentang luas, inilah masanya untuk memperluaskan skop kerjaya seninya dan tidak mahu tertumpu dalam bidang nyanyian semata-mata. TRIVIA TOMOK Terukir Di Bintang (Yuna). Terbang seperti Ironman. Tun Dr Mahathir Mohamad. Liat bangun tidur. Menjuarai One In A Million 3 (OIAM). |
Novel Seindah Sakura pikat Zul Huzaimy Posted: 06 May 2012 07:50 AM PDT DRAMA bersiri 24 episod yang diadaptasikan daripada novel hasil tulisan Wan Mahani iaitu Seindah Sakura ternyata berjaya mencabar kredibiliti pengarah muda yang kreatif, Zul Huzaimy Marzuki, 33. Bagi aktor hebat yang juga anak didik Datin Marlia Musa ini, dia terus tertarik dan memberanikan diri untuk mengarahkan drama bersiri itu buat julung kalinya selepas membaca novel terbabit.
Lebih menarik, drama terbitan Temenggong Pictures ini menggandingkan aktres popular Fasha Sandha dan aktor kacak Fahrin Ahmad, selaku teraju utama. "Walaupun sudah mengarah banyak projek telefilem, ia kali pertama saya diberi kepercayaan mengarah projek drama bersiri pula. Pada mulanya, saya berasa khuatir untuk arah drama bersiri kerana ia berbeza daripada telefilem yang pernah saya arahkan sebelum ini.
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia menerusi filem Wayang, berkata, cerita Seindah Sakura ada kelainan yang mampu menarik penonton setia slot Akasia di TV3. "Selalunya, pengarah lain paparkan kampung setinggan di kawasan landasan kereta api seperti digambarkan dalam novel ini, tapi kami ubah drama ini dengan memaparkan kehidupan setinggan di kawasan Beserah, Kuantan kerana susah nak buat proses 'dubbing' di kawasan landasan kereta api. "Selain itu, jika orang fikir, bunga sakura hanya ada di Jepun, hakikatnya, ia boleh didapati di Kota Paris seperti dipaparkan dalam drama ini. Sebenarnya, kekuatan drama ini terletak kepada jalan ceritanya sendiri dan tidak susah untuk saya membentuk karakternya. Sebab itu penonton akan nampak syot dalam drama ini juga ringkas," katanya. Zul ditemui di sesi ramah mesra drama bersiri itu di Theaterette, Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus Wanita Inspirasiku, Hadzelynda Khairuddin. Drama ini dimantapkan lagi dengan barisan pelakon seperti Datuk Eizlan Yusof, Sherie Merlis, Eryna, Wan Sharmila, Fimie Don dan artis veteran Mak Mah. Ditanya kerjasamanya dengan Fahrin dan Fasha, beliau berkata, mereka tidak pernah bersikap 'diva' walaupun cukup besar namanya dalam bidang seni. "Apabila produser dan pihak TV3 beritahu watak utama cerita ini akan dilakonkan Fasha (Shakira) dan Fahrin (Cikgu Airil), saya terus setuju kerana mereka memang serasi. "Sebagai pengarah, apabila masuk saja ke lokasi penggambaran, saya tidak pandang artis itu sebagai Fasha atau Fahrin, cuma kalau pelakon itu tidak 'beri' apa yang saya nak dalam menjiwai karakter diserahkan, saya tetap tegur dan bimbing mereka," katanya. Malah Zul akui memang banyak 'bertekak' dengan Fahrin ketika di lokasi penggambaran drama ini demi kebaikan tetapi masing-masing tidak pernah ambil hati. "Satu perkara kalau orang tanya, kenapa saya sendiri tak berlakon dalam cerita ini, jawapan saya adalah saya tak boleh buat dua kerja sekali gus. Saya lihat watak Cikgu Airil kacak dan garang ini lebih sesuai dilakonkan oleh Fahrin. "Fasha pula jenis pelakon yang suka beri sedikit demi sedikit lakonannya mengikut episod supaya pelakon tertunggu-tunggu kemunculannya dan kemudian 'beri habis' apabila espisod kemuncak. Fahrin dan Fasha dah masak dengan kerja mereka. "Sebagai pengarah yang juga pernah pelakon, saya lebih suka beri ruang dan kebebasan kepada pelakon saya termasuk dari segi dialog," katanya. Tambah Zul lagi, dia puas hati dengan lakonan Mak Mah yang turut beri impak yang besar sebagai nenek Shakira dalam drama itu. "Mak Mah tidak dapat skrip penuh tapi lakonannya tetap hebat hingga ke penghujung cerita. Selain itu, saya turut gementar bekerja dengan Eizlan yang pernah mengarah dan menulis sendiri skrip drama yang bagus sebelum ini. "Cuma watak antagonis lakonan Wan Sharmila saya lebihkan sedikit mungkin kerana peranan antagonis sudah menjadi jiwa saya, sejak dulu," ujarnya. Antara telefilem arahan Zul yang lain adalah Rambong, Kenapa Aku Mencuri, Unjul Nak Jadi Orang, Inang Di Bumi Kerbau, Nyanyikan Aku Air Mata Itu dan Aku Belum Mati. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |