Adsense

Isnin, 7 Mei 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Remy rimas

Posted: 06 May 2012 05:55 PM PDT

Hip

SIKAP sesetengah peminat yang mengambil berat memang sangat dihargai oleh pelakon, Remy Ishak. Cuma, apabila sikap ambil tahu yang berlebihan atau keterlaluan oleh sebahagian peminat mengenai hubungannya dengan Tiz Zaqyah, membuatkan Remy kurang selesa, tertekan dan tiada privasi.

Menganggap masalah perselisihan faham antara mereka adalah perkara biasa dalam perhubungan cinta, sikap peminat yang seolah-olah hendak campur tangan membuatkan pelakon berusia 29 tahun ini menjadi rimas.

"Saya kecewa dengan orang luar terutama segelintir peminat fanatik yang lebih daripada saya sendiri setiap kali kami ada masalah. Sampaikan ada yang menjadi perunding peribadi dalam menyelesaikan masalah kami, dengan memberikan pendapat itu dan ini, sehinggakan saya rasa tak ada privasi langsung.

"Gaduh sikit itu perkara biasa, tetapi peminat pula yang lebih. Saya dengan Tiz masih lagi bersama, tetapi soal jodoh, saya tak boleh cakap kerana semua ditentukan Allah," katanya.

Remy yang kelihatan mesra ketika menjawab pertanyaan media, baru-baru ini, selepas tayangan trailer filem 29 Februari tidak sekali-kali melatah, malah sering mengukir senyuman dan mudah ketawa.

Kemesraannya dengan media menunjukkan pelakon itu sudah melupakan 'pertelingkahan' yang pernah berlaku sebelum ini.
Setiap pertanyaan dijawab tanpa ada sebarang prejudis. Mungkin kisah lalu sudah dibuang jauh daripada hidupnya dan lelaki berbakat ini mahu memberikan lebih tumpuan kepada kerjayanya, berbanding perkara remeh.

Tidak mahu bercerita panjang soal jodoh walaupun perhubungan cinta mereka semakin serius, Remy mahu mengukuhkan lagi kerjaya seninya dan mahu melihat peningkatan dari segi mutu lakonan.

Melihat inai merah di jarinya, Remy cepat menepis dakwaan dirinya sudah bernikah dengan Tiz dalam senyap. Sebaliknya, inai berkenaan dipakainya untuk babak dalam filem terbaru arahan Yeop Hitler, berjudul Bravo 5.

"Inai ini adalah untuk babak saya berkahwin dengan Siti Saleha dalam Bravo 5. Mulanya pakai pewarna, tetapi disebabkan sering luntur, pengarah minta pakai inai sebenar.

"Filem ini mencabar saya untuk membina otot badan supaya nampak macam tentera dan berat badan saya turun lima hingga enam kilogram, sebab itu saya nampak kurus sikit," katanya yang terpaksa menjalani latihan komando selama seminggu di Kem Sungai Udang, Melaka.