Adsense

Khamis, 3 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Dafi lebih bebas

Posted:

Dafi lebih bebas

Dafi lebih bebas

DAFI mengakui namanya kini masih kurang dikenali di Indonesia berbanding di Malaysia.


POPULARITI penyanyi dan pelakon, Dafi di Malaysia tidak perlu dipertikaikan lag. Di mana sahaja kakinya melangkah pasti ada sahaja mata yang memandang atau peminat yang ingin bergambar dengan dirinya. Apa sahaja yang dilakukannya, baik atau buruk turut menjadi perhatian pihak media.

Bagaimanapun situasi itu cukup berbeza apabila Dafi kini menetap di Jakarta, Indonesia selepas menandatangani kontrak selama setahun sejak 13 Januari lalu sebagai artis naungan Trans Corp yang memiliki stesen televisyen, Trans TV.

Undangan persembahan pentas serta aktiviti seninya di sana tidak begitu sibuk berbanding seperti ketika berada di Malaysia.

Ini kerana Dafi kini memberi fokus kepada tugasan sebagai hos program tentang sisi kehidupan dan gaya hidup selebriti, Selebrita Siang bersiaran pada pukul 12 tengah hari, setiap hari Isnin hingga Rabu di Trans 7.

Dafi atau nama sebenarnya Ghadaffi Ismail Sabri, yang ditemui pada majlis minggu setiausaha yang bertemakan Bollywood Night With Dafi di Tropicana Golf & Country Resort Petaling Jaya, baru-baru ini memberitahu, dia bersyukur dengan rezeki dan peluang yang diperolehi kerana bukan mudah untuknya membina kerjaya di Indonesia.

"Saya akui di Indonesia saya tidak popular dan masih ramai orang yang belum mengenali siapa saya. Saya memang ada peminat di Malaysia tetapi di Indonesia saya masih artis yang baru membina tapak.

"Mungkin menerusi Selebrita Siang, lebih ramai orang akan mengenali saya seterusnya membuka pintu rezeki lebih luas buat saya," ujarnya.

Menceritakan pengalamannya sepanjang menetap di Jakarta, kata Dafi, dia lebih bebas berbanding di Malaysia.

Bebas bukan bermaksud melakukan aktiviti liar tetapi, disebabkan masih ramai orang yang tidak mengenalinya.

"Di Jakarta, saya tidak ada kereta, jadi saya harus menggunakan teksi sebagai kenderaan rasmi saya untuk ke mana-mana sahaja. Sebenarnya seronok juga dapat melalui pengalaman berdikari dan melakukan semuanya sendiri.


WAJAH Dafi disolek rapi sebelum menjalani penggambaran Selebrita Siang.


"Saya bebas berjalan-jalan ke mana sahaja kerana orang tidak kenal siapa saya. Kalau di Malaysia pasti ada peminat yang memandang atau mahu minta bergambar tetapi kalau saya berjalan di pusat beli-belah, ada seorang dua yang menegur, itu sudah cukup baik," tuturnya sambil tertawa.

Sungguhpun bebas ke mana-mana sahaja, aktiviti harian pemuda berusia 23 tahun itu hanya berulang-alik antara lokasi penggambaran program Selebrita Siang, kelas tarian dan di apartmen kediamannya sahaja.

"Saya masih tidak mempunyai ramai kawan di sana. Ada beberapa orang rakan artis yang saya kenal tetapi semua pun sibuk dengan hal masing-masing.

Jadi, kebanyakan masa saya dipenuhi dengan kelas tarian bersama dengan Fahmee iaitu bekas koreografer bintang tersohor Indonesia, Agnes Monica untuk memantapkan persembahan saya kelak.

"Selebihnya, saya hanya di rumah dan gim. Jika keluarga atau kawan-kawan dari Malaysia datang melawat, seronok sedikit kerana saya akan jadi pemandu pelancong mereka," kata Dafi yang gemar membeli-belah di Bandung.

Tolak tawaran

Sudah menjadi adat resam, jika mahu melebarkan sayap ke negara seberang, seseorang artis itu harus fasih berbicara bahasa Indonesia. Begitu juga dengan Dafi apabila diberi kepercayaan mengendalikan program Selebrita Siang, dia perlu menggunakan seratus peratus bahasa Indonesia.

Masih pekat dengan loghat bahasa Melayu, ujar Dafi ada penonton yang mengatakan bahasa Indonesia pertuturannya masih kedengaran seperti bahasa Melayu.

"Apabila mengendalikan program itu saya harus bercakap dalam bahasa Indonesia tetapi bahasa Melayu saya lagi pekat, jadi kedengaran seperti saya bercakap bahasa Melayu. Walaupun begitu, saya akan kekalkan cara pertuturannya saya untuk menjadikan ia sebagai identiti saya di sana.

"Saya ke Indonesia hanyalah untuk kembangkan kerjaya bukannya menjadi rakyat Indonesia. Saya masih kekalkan identiti orang Malaysia, biar ada perbezaan antara saya dan artis lain di sana. Di Indonesia terlalu ramai artis dan persaingan sangat sengit," luahnya.

Bercakap mengenai tawaran lakonan, Dafi juga ada menerima beberapa tawaran sinetron di Indonesia. Dia telah menghadiri sesi uji bakat dan terpilih, tetapi disebabkan pertembungan dengan jadual untuk Selebrita Siang, Dafi terpaksa menolak tawaran tersebut.

"Saya ada menerima tawaran lakonan tetapi terpaksa tolak sebab pertembungan jadual waktu. Penggambaran sinetron mengambil masa yang sangat lama, sedangkan saya terikat dengan Selebrita Siang dan juga persembahan pentas di Malaysia.


DAFI bergandingan dengan Lala sebagai hos Selebrita Siang.


"Memang saya sekarang tinggal di Jakarta, tetapi kalau ada persembahan pentas di Malaysia, setiap hujung minggu saya akan berulang-alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur. Macam mana pun Malaysia tetap di hati. Saya akan seimbangkan aktiviti di Indonesia dan juga Malaysia," ujarnya.

Cinta nombor satu

Dalam pada itu, Dafi menegaskan, dia mengambil risiko ke Indonesia dengan matlamat utamanya adalah untuk dikenali sebagai penyanyi kerana bidang nyanyian merupakan cinta nombor satunya.

"Kalau boleh saya mahu dikenali sebagai penyanyi di Indonesia. Kerjaya yang lain termasuk pengacaraan dan lakonan saya buat juga.

"Namun, biarlah kerjaya nyanyian lebih menyerlah berbanding bidang yang lain. Ini kerana tujuan saya ke sana adalah untuk kembangkan kerjaya nyanyian. Bidang lain, hanya sampingan sahaja," jawabnya.

Beritahunya lagi, dia akan memulakan kerjaya nyanyiannya di Indonesia. Pihak Trans Corp telah membikin dua buah lagu yang masih dirahsiakan judulnya.

"Ada dua buah lagu, satu balada dan satu lagu rancak. Semuanya sedang berjalan, mungkin pada hujung tahun ini, saya akan muncul dengan dua buah single baharu di Indonesia. Kesemua lagu itu merupakan hasil nukilan komposer Indonesia seratus peratus," tuturnya.

Sedar bukan mudah untuk menyerlah sebagai penyanyi di Indonesia, Dafi tidak mahu membuang masa dan menggunakan sepenuh masa yang ada untuk berusaha keras agar bakatnya disedari peminat muzik di sana.

"Saya harus bijak membawa diri kerana saya berada di tempat orang. Begitu juga dengan kerjaya, buat masa ini saya tidak boleh terlalu memilih, yang paling penting biar orang di sana sedar akan kehadiran saya terlebih dulu sebelum saya mengambil langkah yang seterusnya," ucapnya penuh yakin.

Bella buru impak maksima

Posted:

Bella buru impak maksima

Bella buru impak maksima

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


BERUSAHA untuk lebih menonjol, Bella mahu melakonkan lebih banyak karakter protagonis dalam naskhah lakonannya pada masa akan datang.


PILIH KASIH sebuah program televisyen yang telah melahirkan para perintis dunia seni lakon dan sudah menobatkan beberapa nama seperti Reen Rahim, Livonia Ricky dan Iqbal Mazlan sebagai juara.

Tidak kurang juga peserta-peserta lain yang lahir daripada program yang diterbitkan pelakon popular, Rosyam Nor itu. Tidak terlepas pandang, gadis bertubuh genit, Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, 21, yang muncul menerusi Pilih Kasih musim pertama.

Berbekalkan wajah Melayu kacukan Pakistan, Cina, Filipina dan Eurasian, pasti tidak disangkal pelakon filem Seru itu ada rupa untuk dijual selain bakat.

Namun, auranya tidak begitu meninggalkan impak maksimum biarpun sudah berlakon lebih 20 buah drama terbitan pelbagai stesen televisyen.

Bella yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin baru-baru ini sempena promosi drama yang kini disiarkan di TV9, Friday I'm In Love tampil dengan jawapannya sendiri.

Kosmo!: Bella sudah tiga tahun berkecimpung dalam industri lakonan tempatan tapi boleh dikatakan anda masih kurang dikenali umum. Kenapa agaknya?

BELLA: Ramai yang bertanyakan soalan yang sama kepada saya sebelum ini. Bagi saya, rezeki itu milik masing-masing, ada yang cepat ada yang lambat.

Kenapa Bella berasa kurang mendapat perhatian ramai sedangkan anda bukan lagi pelakon yang baru mahu menapak dalam dunia lakonan, malah ada juga pelakon-pelakon yang muncul kemudian daripada anda lebih cepat meraih populariti?

Pemilihan watak itu penting sebenarnya, tetapi syukur sehingga hari ini banyak drama telah menaikkan nama saya antaranya, Vanilla Coklat, Serapah Darah Bulan Madu, Jangan Bunuh Matahariku dan Natrah. Saya akui kini lebih selektif dari segi pemilihan watak.

Selektif bagaimana yang anda maksudkan?

Saya tidak akan sesekali memilih watak yang mencerminkan perilaku negatif masyarakat. Begitu juga watak-watak yang menuntut saya berpakaian seksi. Bukan sahaja diri saya yang membataskan syarat itu tapi juga keluarga saya yang kurang senang melihat saya beraksi seksi.


BELLA merupakan bekas peserta Pilih Kasih musim kedua.


Selama ini Bella lebih banyak melakonkan watak hitam dalam drama-drama lakonan. Mungkin Bella ada matlamat sendiri dari segi watak yang Bella mahukan?

Ya, saya mahukan watak baik pula. Selama ini saya sering diberikan peranan wanita yang jahat. Watak jahat bagi saya lebih puas tetapi peminat juga selalu sarankan supaya saya berubah angin.

Kenapa Bella kata sering diberikan watak jahat oleh pengarah?

Barangkali ia cuma kebetulan. Saya kurang gemarkan watak sebegitu sebenarnya. Kalau melakonkan watak jahat saya kena lebih berikan tenaga dan perlu lebih bijak berdialog. Saya ambil watak-watak sebegitu sebagai praktis untuk lebih cemerlang pada masa akan datang.

Memandangkan Bella merupakan bekas peserta Pilih Kasih, mungkin ada pandangan peribadi mengenai peserta musim ketiga dan terakhir program itu?

Bakat boleh digilap. Apa yang penting, berikan mereka peluang untuk membuktikan keupayaan masing-masing. Saya pun bermula dengan kosong. Pilih Kasih merupakan platform terbaik tetapi dalam masa yang sama perlu usaha dan bergantung pada rezeki.

Boleh ceritakan pengalaman anda terlibat dengan drama Friday I'm In Love?

Seronok bekerjasama dengan produksi drama ini. Pada mulanya masing-masing kaku dan tidak mengenali satu sama lain. Namun, selepas sahaja minum kopi bersama-sama kami terus rapat. Dalam drama ini, saya memegang watak Ana iaitu teman wanita Pitt (lakonan Aiman Hakim Ridza) yang kelakar, baik dan manis.

Apa perkembangan terkini Bella?

Saya baru selesai penggambaran drama Natrah dan bakal muncul dengan filem Gila-Gila Remaja 2.

Pukauan vokal gemersik Anuar

Posted:

Pukauan vokal gemersik Anuar

Pukauan vokal gemersik Anuar

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my


ANUAR ZAIN membuktikan dirinya kekal sebagai penghibur dengan karisma yang hebat.


Setiap kali menjelang musim minggu setiausaha sepanjang bulan April, ramai artis popular akan dijemput mengadakan persembahan secara eksklusif khusus bagi meraikan golongan setiausaha dan ahli korporat.

Pada kebiasaannya, antara artis yang tidak pernah terlepas daripada membuat persembahan bersempena minggu setiausaha pada setiap tahun termasuklah Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Datuk Sheila Majid, Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah dan ramai lagi.

Tidak lengkap senarai tersebut jika tidak disertakan nama seorang lagi penyanyi hebat tanah air, siapa lagi kalau bukan Anuar Zain.

Dikurniakan vokal yang gemersik, Anuar nyata sering menjadi kegilaan khususnya dalam kalangan wanita setiap kali mengadakan persembahan, sementelah untuk minggu setiausaha yang rata-ratanya dihadiri golongan Hawa.

Figura kelahiran Merlimau, Melaka itu baru-baru ini muncul buat kali kedua membuat persembahan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh menerusi kerjasama Permaisuri Hotels & Resort.

Dalam persembahan selama satu jam tersebut, penghibur berusia 42 tahun itu membuktikan profesionalisme dirinya yang wajar dipuji.

Ini kerana vokalnya sewaktu mengalunkan lagu-lagu sepanjang persembahan itu langsung tiada cacat cela, biarpun Anuar khabarnya kurang sihat sejak beberapa minggu sebelum itu.

Adele

Pada majlis yang dikenali sebagai Sepetang Bersama Anuar Zain itu, Anuar mengenakan sut hitam seperti seorang ahli korporat tetapi versi elegan.

Tepat pukul 10 malam, Anuar memulakan persembahan dengan lagu Kau Bunga Cintaku sekali gus membuatkan tetamu majlis yang terdiri hampir 80 peratus wanita itu terus bersorak kerana dilanda keterujaan yang amat sangat.


GOLONGAN wanita menjadi tidak keruan setiap kali berpeluang melihat Anuar Zain membuat persembahan secara langsung.


Sejurus selepas lagu pertamanya tamat, Anuar terus mengalunkan lagu hit, Keabadian Cinta yang turut dinyanyikan bersama-sama para tetamu majlis.

"Baik sama-sama anda sambungkan lirik ini yang berbunyi, bukan ilusi oh...kasih," ucap Anuar secara berseloroh disambut jeritan tetamu-tetamu wanita penuh kegirangan.

Apa yang istimewa, pada majlis itu Anuar turut menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi secara acapella khusus buat seorang tetamu, membuatkan dewan MITC dipenuhi dengan sorakan.

Pada kemuncak persembahan, adik penyanyi wanita terkenal Ziana Zain itu mengejutkan tetamu yang hadir apabila dengan penuh emosi mengalunkan lagu popular Adele, Someone Like You.

Sewaktu lagu itu didendangkan, dewan MITC terus bertukar menjadi sunyi sepi seolah-olah semua tetamu dipukau oleh vokal gemersik Anuar.

Rata-rata hadirin secara berbisik mengakui terkedu dengan vokal Anuar. Malah, ada yang mengatakan vokal Anuar kedengaran sama hebat seperti suara Adele.

"Maaf, saya baru hendak belajar menyanyikan lagu Someone Like You atas permintaan peminat pada saat-saat akhir," ucap Anuar merendah diri.

Sebagai reaksi kepada sambutan hangat para tetamu itu, Anuar lalu turun dari pentas sebelum mengalunkan pula rantaian lagu-lagu popularnya antaranya Sesuci Cintaku, Ketulusan Hati, Terindah dan Bila Resah sebelum menamatkan persembahan dengan penuh emosi menerusi lagu hit, Cinta Harus Memiliki.

Nabil

Selain Anuar, majlis itu turut diserikan dua artis yang bertindak sebagai pengacara majlis iaitu Nabil Ahmad dan Sharifah Shahirah yang begitu mencuit hati penonton dengan lawak jenaka mereka.

Dalam pada itu, Anuar yang ditemui usai majlis persembahannya itu mengaku dia sangat berpuas hati dengan persembahannya tersebut.

"Saya anggap persembahan pada malam ini sebagai tenang dan santai. Apa yang lebih menimbulkan keterujaan, saya bukan hanya sekadar membuat persembahan tetapi turut pulang ke kampung halaman apabila menjejakkan kaki ke negeri kelahiran saya sendiri ini," tuturnya.

Tambahnya: "Lagu-lagu yang didendangkan tadi merupakan pilihan saya sendiri dan tidak ketinggalan merupakan pilihan peminat seperti lagu Adele, Someone Like You.