Adsense

Khamis, 3 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


'Saya serasi di sini'

Posted: 02 May 2012 05:57 AM PDT

SERING beraksi di pentas secara berkumpulan, penghijrahan gadis jelita ini sebagai artis solo, nyata memerlukan masa untuk dia membiasakan diri.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati pemilik sepotong nama indah itu, Wangi Julianda Indra Meida, 23, dia sudah nekad untuk melancarkan karier solonya bagi membuktikan kemampuan sebenar.

"Dari segi persembahan berkumpulan lebih mudah kerana setiap anggota diberi bahagian masing-masing. Malah, persembahan juga tampak lebih 'happening'.

"Manakala solo menuntut seorang penyanyi lebih teliti selain perlu mengambil kira soal penampilan, gerak tari, vokal juga penguasaan pentas. Namun, ada kelebihan bergelar artis solo kerana inilah masanya mempamerkan kebolehan vokal yang sebelum ini belum pernah diketahui pendengar.


"Dari segi bayaran persembahan pula, tentunya lebih lumayan apabila bergelar artis solo kerana tidak perlu diagih-agihkan," katanya.


Beralih arah sebagai penyanyi solo ekoran wujud sengketa antara dia dan anggota The Fabulous Cats (TFC) adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali. Malah, sampai sekarang Wangi masih berhubungan baik dengan setiap anggota kumpulan itu.

Cuma, mereka sudah tidak bersama memandangkan kontrak dengan syarikat rakaman, Alibi Music dan TFC sudah tamat.

"Cat Farish ada bertanya adakah saya mahu mengikuti TFC di bawah kendalian label yang lain. Ketika sedang menimbangkan untuk mempertimbangkan tawaran itu saya menerima lamaran daripada pihak produksi Mantera untuk merakamkan album runut bunyi lagu Lara. Jadi saya ambil peluang yang mana datang dulu.

"Sejak datang ke Kuala Lumpur, abang Cat Farish memang sudah maklumkan pada saya, kumpulan TFC ini adalah platform untuk saya membina tapak sebagai penyanyi di sini. Sebagai contoh bekas anggota yang sudah berjaya adalah Alyah.

"Bukanlah bermaksud saya beralih solo selepas memanfaatkan nama mereka sebaliknya tahun ini abang Cat Farish ada mencadangkan supaya anggota TFC muncul dengan projek solo. Dia juga memaklumkan tidak mempunyai masalah jika saya enggan menyertai TFC.

"Terus-terang kami masih kerap berbual. Sekali-sekala dia mengajak saya membuat persembahan bersama TFC di majlis yang mengundang kumpulan itu.

"Kami sudah seperti saudara kandung sendiri, mana mungkin bermusuhan. Andai berpeluang menghasilkan album, saya berbesar hati kalau abang Cat Farish mahu memberikan lagu," katanya.

Tidak sedikitpun menafikan TFC memberi impak yang cukup besar buat karier nyanyiannya, Wangi tak bisa menghalang jika masih ada peminat yang ingin menyapanya dengan panggilan Wangi TFC.

"Sampai sekarang kalau saya membuat persembahan, orang tidak kenal siapa nama Wangi Julianda, tetapi jika menyebut Wangi TFC , baru mereka ingat," katanya.

Muzik yang dipertaruhkan, akui Wangi tidak jauh beza dengan TFC kerana ia masih berteraskan pop dance. Lagu ini digunakan untuk filem Mantera dan muziknya dihasilkan bersesuaian 'mood' dan jalan cerita filem itu.

"Saya berharap lagu ini diterima. Perancangan seterusnya, untuk menghasilkan single duet. Saya teringin sekali menjalinkan kolaborasi bersama Stacy," katanya.

Secara ringkas, Lara lagu yang mengisahkan penantian seorang wanita yang tidak pernah putus harapan menantikan kekasih kembali ke pangkuannya semula.

Beralih topik perbualan, kota metropolitan Kuala Lumpur bukan lagi sesuatu yang asing buat Wangi kerana sudah menetap di negara ini hampir empat tahun lalu.

Berasa diterima dan dihargai, antara sebab utama kenapa Wangi memilih Malaysia untuk mengembangkan kerjaya seninya.

"Tiga, empat tahun di sini, saya selesa. Saya berasa kedatangan saya sangat dialu-alukan. Bagaimanapun khabarnya pihak pengurusan mempunyai perancangan untuk memperkenalkan saya di Indonesia. Insya-Allah, kalau ada rezeki.

"Terbalik bukan? sepatutnya di Indonesia dulu baru di Malaysia. Di Bandung (Indonesia) saya menganggotai band, The Moonlight yang sekarang menaungi sebuah syarikat rakaman.

"Mereka ada mengajak saya untuk kembali menyertai kumpulan itu, tetapi saya mahu memberi fokus dan selesaikan segala urusan di sini dulu," katanya.

Menjadi anak perantau, jauh dari pandangan keluarga nyata tidak mudah buat Wangi mengharunginya pada saat kali pertama menjejakkan kaki ke negara ini.

"Awalnya agak sukar kerana terasa rindu kepada keluarga. Lama-kelamaan sudah terbiasa. Di sini, rasanya tidak begitu janggal kerana saya tinggal bersama pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian mereka di sini.

"Masih boleh berbahasa Indonesia jadi hilang sikit kerinduan pada keluarga. Sebelum ini saya tinggal serumah dengan Zizie TFC, tetapi saya perlu balik ke Bandung selama setahun untuk menyempurnakan pengajian.

" Justeru, sekembalinya di Kuala Lumpur, saya menetap bersama teman-teman dari Indonesia," katanya yang baru tamat pengajian jurusan Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Pemasaran & Perniagaan dari Universiti Padjadjaran, Bandung.

The Moonlight menurut Wangi, kumpulan muzik yang cenderung pada konsep lagu berentak jazz. Pada awal pembabitannya dengan kumpulan itu, Wangi tidak tahu suaranya sesuai menyanyikan lagu jazz.

"Semakin kerap membawanya saya mula merasakan muzik jazz menarik. Sebenarnya saya tidak kisah untuk menghasilkan single berteraskan irama ini dan mungkin ia akan diperkenalkan pada single akan datang.

"Suatu hari nanti saya juga mahu mencuba irama balada kerana lagu sebegitu lebih dirasai pendengar berbanding pop dance. Dalam nyanyian, saya lebih senang kalau dikenali sebagai penyanyi versatil. Justeru sudah pasti saya terbuka untuk mencuba apa saja," katanya.

Pernah muncul dalam filem Cuti-Cuti Cinta sebelum ini, Wangi juga terbabit dalam penggambaran filem Gerimis Mengundang selaku cameo.

"Sewaktu Ahmad Idham menawarkan peluang membintangi filem itu saya masih sibuk kuliah. Tapi untuk watak penampilan khas saya tidak keberatan untuk berlakon kerana tidak mengambil masa lama," katanya tidak keberatan untuk berlakon sekiranya memperoleh tawaran yang sesuai.


Bersenam ikut lagu

Posted: 02 May 2012 05:34 AM PDT

LAGU bukan saja memberi hiburan, tetapi boleh juga digunakan sebagai alat menyatukan masyarakat menerusi senaman. Barangkali ia sesuatu yang masih asing, tetapi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) sudah pun membuktikannya menerusi program Senam Seni 1Malaysia yang diadakan di Padang Awam, Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya, baru-baru ini.

Kalau senaman aerobik biasanya diiringi lagu Inggeris, tetapi Senam Seni pula peserta diperdengarkan lagu Melayu pelbagai rentak seperti balada pop, zapin, joget dan tarian sumazau iaitu tarian tradisi rakyat Sabah. Sambil bersenam peserta boleh mendengar lagu kegemaran mereka.

Program Senam Seni itu dihadiri lebih 1,000 penduduk setempat dan mereka yang tinggal di bandar berhampiran seperti Puchong. Ia dirasmikan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Hadir sama, Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

Menurut Norliza, seni bukan hanya untuk hiburan tetapi juga boleh menyihatkan badan menerusi rentak tarian dengan gerak langkah yang mudah.


"Bersenam dengan iringan lagu sememangnya amat menarik kerana selain dapat menghiburkan hati ia juga membuatkan tubuh kita berpeluh yang akan membuatkan badan kita sihat dan cergas.


"Dengan gabungan pelbagai rentak lagu membuatkan kita tidak sedar menghayunkan langkah dan ia juga dapat menghilangkan tekanan. Program Senam Seni ini juga melambangkan perpaduan kaum rakyat Malaysia.

"Sambil bersenam juga kita dapat mengenali budaya masyarakat kita dan ia patut menjadi amalan dalam sesebuah komuniti," katanya.

Tambah Norliza, kali pertama Senam Seni dilancarkan pada 2009 ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Lalu JKKN turut memperkenalkan Senam Seni 1Malaysia bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang muhibbah menerusi kesenian.

"Kita mahu hidup dalam negara yang aman damai, tanpa konflik dan pergaduhan. Senam Seni tiada langsung unsur politik bahkan ia diwujudkan untuk kesejahteraan masyarakat. Siapa saja pun boleh bersenam. Bahkan kita akan berasa seronok dan bersemangat jika dapat melakukan aktiviti sihat bersama keluarga dan kawan-kawan.

"Gerak tari dalam Senam Seni diolah mengikut piawaian antarabangsa yang mana aktiviti ini juga adalah anjuran bersama JKKN dan My Sihat yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Barangkali ramai yang tidak tahu, mana-mana jabatan kerajaan atau swasta dan kawasan kejiranan boleh mohon dengan JKKN untuk mengadakan Senam Seni
di tempat mereka di mana kami bersedia untuk menghantar jurulatih. Perkhidmatan yang kami tawarkan adalah percuma kerana ia bertujuan untuk meningkatkan taraf kesihatan masyarakat Malaysia yang antara negara yang penduduknya mengalami masalah obesiti.

"Setakat ini SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) mengadakan aktiviti Senam Seni setiap minggu di kompleks jabatan itu. Mereka yang mahukan perkhidmatan jurulatih Senam Seni paling minimum mesti ada 20 ahli.

"Kepada yang ingin bersenam sendirian, JKKN sediakan CD (cakera padat) rakaman Senam Seni. Ia tidak lama hanya mengambil masa setengah jam untuk bersenam," katanya.

Selain acara senaman, turut diadakan pertandingan mewarna dan melukis kepada kanak-kanak yang datang bersama keluarga masing-masing. Orang ramai juga dihiburkan dengan nyanyian oleh Badan Kesenian JKKN.