Adsense

Khamis, 3 Mei 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Sudah berpunya

Posted: 02 May 2012 03:43 PM PDT

Hip

Ustaz Don ada sebab setia kepada sebuah stesen TV saja

USTAZ Don begitu disayangi dan disenangi ramai, apatah lagi karakternya mudah mesra serta peramah membuatkan siapa saja senang mendekati pendakwah muda ini.

Umurnya baru menjangkau 28 tahun, tapi anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini mempunyai banyak pengalaman menjadi penceramah bebas.

Sentiasa cuba mengelak untuk berbicara soal peribadi dan lebih suka berahsia kerana baginya soal percintaan dan perkahwinan biarlah diketahui oleh individu yang rapat dengannya saja. Namun, dia tidak menafikan sudah bertunang dan bakal mendirikan rumah tangga dengan pelajar jurusan perubatan di Universiti Kaherah, Mesir, dalam masa terdekat.

Ustaz Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 28, pengendali program 30 Minit Ustaz Don yang bersiaran setiap Isnin sehingga Khamis, jam 10 malam di TV AlHijrah.

Bukan hanya golongan tertentu yang mendengarceramahnya, tapi daripada anak kecil sehingga golongan ibu bapa tertarik dengan penyampaian dan pendekatan Ustaz Don yang santai, bersahaja dan menghiburkan.

Ini boleh dilihat menerusi kejayaan rancangannya yang sudah menjangkau 100 episod.
Istimewa buat penonton yang setia menyokong rancangan itu, Ustaz Don menghadiahkan siaran langsung selama lebih 65 minit.

Pada siaran langsung istimewa itu kelmarin, kru produksi menyingkap sejarah kehidupan Ustaz Don dari zaman kanak-kanak sehingga ke dunia universiti.

Malah, lebih menarik lagi apabila dua bekas guru Ustaz Don ketika di bangku sekolah turut hadir membuat kejutan. Ustaz Yazid Salleh, ustaz yang mengajar pelajaran tahfiz Al-Quran dan Cikgu Noor Rijah Hassan, cikgu Bahasa Inggeris sewaktu dirinya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh, Bukit Mertajam.

Biarpun terkejut, terpancar kegembiraan di wajahnya, dan Ustaz Don hampir menangis kerana tidak menyangka kehadiran dua guru yang amat dikasihinya itu.

Pemilik Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat dari Maahad Qiraat Shoubra, Mesir ini akui kemunculannya di stesen TV AlHijrah adalah disebabkan stesen itu tampil menyebarkan pengajaran Islam, sama seperti dirinya yang mahu berkongsi ilmu dengan segenap umat Islam.

Menafikan dirinya terikat dengan TV AlHijrah, Ustaz Don bukannya tidak mahu menerima undangan stesen TV lain, tapi dia kekal dengan sebuah stesen memandangkan dirinya terikat dengan banyak komitmen lain.

"Bukan saya enggan ke stesen TV lain, cuma saya berpegang kepada prinsip 'jika banyak air yang mengalir, lagi banyak yang perlu saya lap', ia seperti lagi banyak tawaran yang saya terima, kemungkinan lagi banyak kesilapan saya akan lakukan.

"Cukuplah saya menjadi penceramah bebas di TV AlHijrah.

Lagi pun, AlHijrah bermula sebagai TV penyiaran mengenai Islam, dan saya juga orang Islam yang ingin menyebarkan dakwah, oleh itu, saya nampak keserasian saya bersama stesen TV ini.

"Saya memegang kuat kepada realiti, yang mana saya kurang gemar berceramah menerusi Facebook dan Twitter, kerana saya lebih gemar berjumpa dan bersemuka dengan orang ramai, supaya kita sebagai umat Islam berasa lebih dekat dengan satu sama lain.

"Saya hanya individu yang berpegang kepada al-Quran dan sunnah.

Saya tidak mahu dunia populariti mempengaruhi diri saya.

Perkara yang paling saya takuti adalah perasaan riak dan sifat munafik. Inilah sifat yang paling ditakuti oleh ulama, sebab bila-bila saja saya boleh lali dan berubah.

"Saya bersyukur dapat sampai ke tahap ini dan dapat mengecapi suasana begini, yang mana orang ramai sudah mula menggemari Islam. Saya berterima kasih kepada Tuhan kerana memilih saya. Saya juga seperti manusia biasa dan saya tahu ada lagi orang yang lebih pandai daripada saya di luar sana," katanya yang ditemui sejurus habis siaran langsung episod 100 program 30 Minit Ustaz Don.