Adsense

Rabu, 23 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Batu loncatan Tasha

Posted: 22 May 2012 06:06 AM PDT

SEHARI selepas kemenangannya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011), Tasha Shila selaku penerima gelaran Artis Wanita Baru Popular, dikatakan mengusung trofi kemenangannya di pusat membeli-belah terkemuka, Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Perihal itu menjadi gosip yang hangat dan bintang yang dilahirkan dengan nama Natasha Sheila Abdul Razak, 25, itu mendapat kritikan daripada ramai pihak lantas tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Sesudah memperjelaskan hal itu dalam sebuah akhbar baru-baru ini, gosip usung dan tayang trofi dianggap sudah berakhir baginya. Pun begitu, saat ingin dia melupakan, gosip itu kembali hebat diperkatakan.

Berlaku di pusat membeli-belah yang sama, namun pada hari yang berbeza dan kali ini Tasha dikatakan menayangkan trofinya sejurus menghadiri sidang media penyampaian hadiah ABPBH2011, baru-baru ini.


"Cerita itu memang mengarut! Saya tidak ke Pavilion sebaik sidang media majlis penyampaian hadiah itu. Apa motif orang yang buat cerita sebegini? Saya pun tak tahu.


"Kalau sehari selepas ABPBH2011 berlangsung, saya tidak menafikan ada ke sana. Saya ke sana untuk bertemu sahabat baik saya, Reza, yang bekerja di butik Prada.

"Dia mahu melihat trofi kemenangan saya dan saya ke sana untuk menunaikan permintaannya sekali gus berkongsi kemenangan itu. Mungkin orang luar yang tidak tahu hujung pangkal kunjungan itu tersalah erti dengan apa yang mereka lihat lantas membuat spekulasi.

"Ini adalah yang terakhir saya menjawab isu ini dan enggan mengulasnya lagi di masa akan datang kerana gosip yang tersebar ini amat memalukan!" katanya.
Ditemui di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Isnin lalu, pelakon berbintang Aquarius itu terbabit dalam penggambaran klip video single kedua, AwanBand berjudul Lintasan Bintang.

Agak mengejutkan apabila Tasha menerima tawaran itu kerana jarang artis yang sudah popular mahu bekerjasama dengan sebuah band yang masih mencari tempat dalam industri.

Ringkas saja pendirian Tasha, seawal kemunculannya dia pun bukan siapa-siapa, malah dia sendiri gembira dapat berlakon di samping nama-nama besar dan pelakon senior kerana tempias kehebatan sebuah drama atau telefilem turut dirasainya.

"Kalau benar populariti Tasha yang sedikit ini boleh dikongsi dengan AwanBand dan membantu menjadikan klip video ini sesuatu yang berjaya, itu kan satu kerjasama yang baik dan amalan sihat yang patut dipupuk oleh semua penggiat dalam industri hiburan.

"Saya percaya sikap saling membantu antara satu sama lain dan mendukung karier masing-masing, industri hiburan akan lebih maju dan dihormati," katanya pernah muncul dalam klip video, Shahir iaitu Luar Biasa.

Mengakui lebih dikenali sejak memenangi ABPBH2011, Tasha kini tersepit antara pendirian dan peluang. Baru-baru ini, dia menghadiri sebuah 'casting' filem di Singapura dan tidak disangka-sangka namanya disenarai pendek.

Filem itu, mengangkat kisah benar gitaris handalan dunia juga 'singer-songwriter', Jimi Hendrix.

"Tawaran diberikan memang menarik kerana boleh menjadi batu loncatan buat saya untuk mencipta nama di luar. Tambahan pula, saya amat mengagumi pencapaian Datuk Michelle Yeoh, artis Malaysia yang diiktiraf dunia dan kalau boleh mahu mengikuti jejak langkahnya.

"Tetapi saya perlu melihat dulu watak apa yang ingin diberikan. Saya ada menetapkan beberapa syarat di mana tidak mahu berpakaian seksi atau terbabit dalam adegan intim seperti bercium, di atas ranjang termasuk hal-hal yang bertentangan dengan agama.

"Saya masih menjunjung tinggi adat Melayu dan agama Islam, justeru itu, saya tidak mahu terbabit dengan sesuatu yang boleh mencalarkan maruah saya serta keluarga termasuklah mengguris hati penyokong saya yang rata-ratanya juga berbangsa Melayu.

"Jika pihak produser tidak boleh menerima syarat yang ditetapkan, saya sanggup lepaskan peluang asalkan tidak memperjudi maruah serta pendirian. Tidak mengapalah rezeki ada di mana-mana selagi kita rajin dan berusaha keras," katanya.

Rezeki gadis persis wajah diva Krisdayanti itu, kebelakangan ini melimpah ruah. Penghujung Mei nanti iaitu 27 hingga 30, Tasha akan berangkat ke Jakarta untuk bertemu pelakon dan pengarah terkenal, Anjasmara bagi menyerahkan 'portfolio'.

Bagaimanapun sebelum kunjungannya ke sana, Tasha sibuk di set penggambaran telefilem Saleha, arahan Ismail Yaakob, terbitan BKB Production khusus untuk slot Cerekarama, TV3.

"Saya memainkan watak Saleha seorang budak perempuan yang luarannya nampak normal tetapi sebenarnya 'lembam' (slow learner). Watak seperti ini sememangnya saya nanti-nantikan untuk menguji kemampuan serta mempelbagaikan lakonan," katanya.

Terdahulu sebelum memasuki set penggambaran Saleha, Tasha baru saja selesai menjalani penggambaran drama Adiwira pertama terbitan RTM iaitu Adi & Meon.

Barangkali ramai peminat kepada gadis berasal dari Ampang, Selangor, itu tidak tahu bahawa Tasha, selain berbakat dalam bidang lakonan dia juga berkebolehan menyanyi. Khabarnya, dia memiliki suara yang boleh diketengahkan sebagai artis rakaman.

"Hahahaha! Nyanyi dekat karaoke bolehlah! Sebenarnya kalau ikutkan cita-cita saya dulu hendak jadi penyanyi, pelakon dan model tetapi saya letakkan nyanyian sebagai keutamaan.

"Pernah saya mengikuti uji bakat Akademi Fantasia dan Mentor, tetapi saya tak lulus ujian mungkin nyanyian saya tidak mencapai piawaian. Bila menceburi bidang lakonan pula, Alhamdulillah, rezeki saya berpihak di sini.

"Sekarang peluang sudah di depan mata, takkan hendak dipersiakan. Saya ingin memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang ini, mendapatkan watak-watak yang diinginkan. Kemudian, bila saya sudah mencapai satu kepuasan, masa itu hendak buat single ke atau album, barulah saya akan fikirkan.

"Baru-baru ini pun saya ada menerima tawaran mengacara di Astro tetapi saya tidak berani ambil kerana belum bersedia," kata bintang Ratu The Movie dan Klik 3GP itu.


Versi baru Nora

Posted: 22 May 2012 05:59 AM PDT

SELEPAS berhijrah, penya–nyi yang popular dengan lagu Persimpangan Dilema, Nora mengakui dirinya lebih cenderung me–nyanyikan lagu-lagu berkonsep kerohanian yang mula sebati dengan jiwanya sekali gus berdakwah kepada peminat.

Bagi pemilik nama sebenar, Wan Nor Afizah Ariffin, 39, sampai masanya, dia muncul dengan bingkisan album yang lari daripada pop komersial serta sesuai dengan imej bertudungnya ketika ini.

"Sebenarnya, bila sudah berhijrah, saya terfikir hendak jadi ustazah dan pakar motivasi tapi ilmu dalam bidang agama pun tak cukup lagi. Cuma bila dapat undangan persembahan, saya selalu selitkan pengalaman dalam kehidupan pada penghujung persembahan.

"Saya juga banyak belajar daripada penceramah motivasi terkenal, Profesor Dr Muhaya Mohamad yang menegaskan bukan saja aspek penampilan, minda kita juga kena berhijrah ke arah yang lebih baik. Mungkin lagu-lagu saya dulu melalaikan sebab itu bila sudah berhijrah, saya buat versi baru lagu dengan menukar liriknya ke arah kerohanian.


"Contohnya, saya buat versi baru lagu Persimpangan Dilema dengan menukar liriknya ke dengan sentuhan Lukhman S berjudul Hikmah supaya peminat yang dengar lagu-lagu saya dapat sedikit manfaatnya. Justeru, dari situlah timbulnya album penuh Hikmah ini," katanya.


Berhijrah bukan bermaksud penyanyi vokal gemersik ini membataskan aktiviti seninya dengan hanya menyanyikan lagu-lagu dakwah semata-mata.

"Terus-terang, undangan persembahan tidak pernah putus dan rezeki turut bertambah murah sejak bertudung. Terbaru, saya dilamar dua bulan lalu menjadi duta produk minyak argan dari Maghribi, Secretleaf dan mengikat kontrak selama dua tahun. Ternyata, ia rezeki anak keempat kami yang bakal dilahirkan nanti," katanya di majlis pelancaran album Hikmah yang berlangsung di Saloma Bistro, Ampang di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan, Secretleaf International Sdn Bhd, Amir Ramadzan Ibrahim.

Bagaimanapun, Nora akui dia tidak ada masalah jika peminat di luar sana tetap memintanya menyanyikan rangkaian lagu popular yang menaikkan namanya, sepanjang terbabit dalam bidang seni.

"Setiap kali dapat undangan persembahan, pasti peminat minta saya menyanyikan lagu Persimpangan Dilema. Sebagai penyanyi pasti saya tetap tidak hampakan permintaan mereka yang tidak pernah jemu menyokong selama ini.

"Sebelum buat versi kerohanian lagu Persimpangan Dilema, memang saya meminta pandangan peminat terlebih dulu dan rata-rata memberi komen positif dan menyokong hasrat saya membuat versi baru lagu itu," katanya.

Ditanya bagaimana dia mengekalkan stamina dan kehebatan vokalnya ketika menjayakan persembahan, akui Nora, dia menganggap semuanya itu anugerah Allah.

"Saya kerap berlatih dan menjaga suara sebelum menjayakan sesuatu persembahan. Sebagai penyanyi yang bakal mencecah usia 40 tahun, saya tidak perlu menjadi seperti artis muda remaja atau menyanyi dengan 'key' yang terlalu tinggi.

"Dari segi impian dalam karier seni pula, saya impikan hendak buat konsert dan jika dapat peluang dari segi penajaan, pasti saya akan buat sebaik mungkin," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai album ke-10, Hikmah itu, kata Nora, ia mempunyai cerita dan sejarah tersendiri perjalanan karier nyanyiannya hampir 20 tahun lalu.

"Proses rakaman album ini berlangsung lebih sebulan lalu. Kini, Hikmah sudah menjadi lagu kegemaran saya bersama anak-anak. Hikmah 2012 terbitan sepenuhnya syarikat e2Muzik of Johan Nawawi Sdn Bhd menampilkan 15 lagu yang dirakamkan dan diedarkan secara single sebelum ini. Sebagai bonus kepada peminat, ada dua lagu 'minus one' iaitu Dilema '03 dan Samudera dimuatkan dalam album ini.

"Lagu lain yang dimuatkan dalam album ini ialah Pedoman, Oh! Asmara, Tulus, Cinta Sebenarnya, Puisi Hidup, Rela Berpisah, Gerhana Kasih, Sesuci Kelopak Mawar, Secebis harapan, Terima Kasih Ibu, Samudera dan Dari Mata Sedih," katanya.