Adsense

Rabu, 23 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Yuna nafi sudah tamak

Posted:

Yuna nafi sudah tamak

Yuna nafi sudah tamak

KEMUNCULAN Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 26, pada majlis Inspirasi Selebriti bersama Macy di Pusat Beli-Belah Citta, Petaling Jaya, baru-baru ini membuatkan semua mata tertumpu ke arah dirinya. Cantik mengenakan turban warna kegemarannya ungu dipadankan dengan kemeja biru, aura penyanyi lagu Penakut itu begitu ketara apabila dia tidak putus-putus diminta untuk bergambar oleh peminat-peminatnya.

Biarpun sibuk mempromosikan album baharunya yang berjudul Yuna di Amerika Syarikat serta sedang merancang untuk mengadakan konsert jelajahnya di seluruh negara itu selama 30 hari bermula Jun depan, dia masih sempat pulang ke Malaysia untuk mengikat kontrak bersama butik hiasan rumah, Macy dan produk kecantikan Follow Me.

Menolak tanggapan dirinya kini sudah tamak, jelas Yuna, dia menerima tawaran sebagai duta untuk beberapa produk seperti Canon, Macy dan Follow Me bukan disebabkan duit, tetapi kerana syarikat tersebut menghargai karier muziknya.

Malah akui Yuna, semua produk yang diwakilinya tidak langsung mengalih perhatiannya terhadap karier nyanyiannya di Amerika mahupun di Malaysia.

"Saya tak ada masalah untuk menjadi duta mana-mana produk. Bukan sebab saya tamak menerima semua tawaran, tetapi syarikat-syarikat tersebut menghargai dan percaya dengan karier muzik saya.

"Sebagai contoh menjadi duta produk Canon, memberi peluang kepada saya untuk merakamkan perkara menarik dalam hidup kerana saya sendiri meminati bidang fotografi. Macy pula sebaliknya, memberi saya peluang untuk mereka bilik tidur sendiri seterusnya memberi inspirasi kepada peminat dan masyarakat keseluruhan," jelasnya yang turut memberitahu pihak pengurusannya di Amerika Syarikat tidak membantah penglibatannya menjadi duta produk di negara ini.

Tegas

Sejak daripada awal lagi Yuna menegaskan kepada pihak pengurusannya di Amerika Syarikat iaitu Fader Label untuk tidak mencampuri urusan serta aktivitinya di Malaysia.

"Jika ia berkaitan dengan kerjaya saya di Amerika mereka berhak untuk masuk campur tetapi tidak untuk aktiviti saya di Malaysia. Ia sudah dipersetujui sejak awal lagi.

"Jadi, tidak timbul sebarang masalah jika saya mewakili sesuatu produk atau ingin mengeluarkan album di negara saya sendiri," tuturnya.

Mengulas mengenai albumnya di Amerika, walaupun penat kerana perlu kerap berulang alik dari Amerika ke Malaysia, Yuna akui sangat gembira apabila album pertamanya di negara berkenaan akhirnya dilancarkan.

Malah, Yuna cukup terharu dengan sambutan yang menggalakkan daripada peminat di sana.

"Buat masa ini memang saya sibuk sangat untuk mempromosikan album terbaharu saya. Bayangkan setiap negeri di Amerika ada 10 stesen radio berbeza dan rangka promosi yang diaturkan sangat padat tetapi saya gembira melakukannya," ujarnya.

Album baharu Yuna itu telah dilancarkan pada 24 April lalu di kota New York.

Yuna yang turut menghasilkan single keduanya iaitu Lullabies akan sibuk dengan konsert jelajah ke seluruh negara itu bermula bulan Jun ini selama 30 hari.

"Selama tempoh tersebut saya akan mengadakan sebanyak 30 persembahan di pelbagai tempat. Saya tidak pernah membuat persembahan selama 30 hari berturut-turut tetapi saya akan menyahut cabaran ini dan begitu teruja untuk menjelajah ke seluruh Amerika," katanya mengenai percaturan syarikat rakamannya untuk album baharunya di sana.

Gementar


YUNA sedang mendendangkan lagu terbaharunya, Sparkle.


Bercerita mengenai kemunculannya dalam program temu bual popular di Amerika Syarikat, Conan yang dikendalikan oleh Conan O'Brien pada 2 April lalu, akui Yuna, pada mulanya dia sangat gementar namun dia berjaya mengatasi perasaan gementarnya apabila memikirkan keluarga dan peminatnya di tanah air.

Tambahnya, dia tahu keluarga dan peminatnya akan menonton dan mahu membuat semua orang di Malaysia bangga.

Yuna memberikan persembahan bertenaga dengan lagu Live Your Life yang mendapat sentuhan penerbit muzik terkenal, Pharrell Williams.

"Peluang seperti ini bukan datang selalu, walaupun gementar saya cuba lakukan yang terbaik. Saya juga amat berharap album saya di Amerika akan dilancarkan di Malaysia untuk peminat saya," katanya.

Aaron tunai umrah lagi

Posted:

Aaron tunai umrah lagi

Aaron tunai umrah lagi


AARON bakal membintangi filem Cicakman 3.


SELEPAS bergelar bintang paling popular baru-baru ini, aktor Aaron Aziz kini menunaikan umrah buat kali kedua bersama isterinya, Diyana Halik pada 18 Mei lalu.

Menurut Aaron yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Yourgurt di Kuala Lumpur sehari sebelum berangkat ke Mekah, pemergiannya selama 12 hari ke sana juga disebabkan penggambaran drama Adam & Hawa di sana.

"Saya dan kru penggambaran akan menunaikan umrah terlebih dahulu, selepas itu kami akan memulakan penggambaran di luar kota Mekah," ujarnya.

Jika umrah yang dilakukan tahun lalu Aaron berdoa supaya segala urusan pertukaran status penduduk tetap di Malaysia dipermudahkan, umrah kali ini pula, katanya, dia ingin berdoa dan mengucapkan tanda syukur atas kejayaan yang dinikmatinya hari ini.

"Sebenarnya selepas umrah yang pertama, saya dan isteri merancang untuk menunaikan umrah setiap tahun. Namun, jadual saya tahun ini sangat sibuk, Alhamdulillah tidak sangka akan menunaikan umrah sekali lagi walaupun terikat dengan kerja.

"Tujuan saya menunaikan umrah kerana saya ingin berterima kasih dengan Allah atas rezeki, kerjaya dan keluarga yang membuatkan saya bahagia," katanya yang akan membintangi filem Cicakman 3.

Selepas selesai dengan penggambaran drama Adam & Hawa sebanyak 80 episod pada pertengahan bulan Jun depan, Aaron akan sibuk di set penggambaran drama aksi berjudul Dampak. - HARYATI KARIM

Dira tinggalkan Melodi

Posted:

Dira tinggalkan Melodi

Dira tinggalkan Melodi

Oleh HARYATI KARIM


DIRA tidak kecewa posisinya sebagai hos Melodi kini diganti oleh Awal Ashaari.


Kontroversi bergaduh dengan seorang wanita di sebuah pusat hiburan terkemuka, kemudian didakwa pula meminum peluntur sehingga dikejarkan ke hospital sekitar April lalu telah membuatkan nama aktres dan pengacara, Khaidhirah Abu Zahar, 28, atau Dira semakin panas.

Impaknya, Dira direhatkan daripada program sensasi Melodi bermula 8 April lalu. Dia juga direhatkan daripada mengikuti sebarang promosi filem terbaharu lakonannya, Chow Kit.

Mengejutkan apabila pihak penerbitan Melodi menerusi penerbitnya Azman Abd. Ghafar mengesahkan Dira kini secara rasmi tidak lagi bersama Melodi dan tempatnya digantikan oleh pengacara Awal Ashaari bergandingan dengan Zizan Razak sebagai pengacara tetap program hiburan itu bermula Jun depan.

Dira yang dihubungi Kosmo! turut mengesahkan berita tersebut dan memberitahu dia secara sukarela menarik diri daripada program itu selepas setahun menimba pengalaman. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Dira baru-baru ini.

Kosmo!: Posisi Dira sebagai pengacara Melodi, kini secara rasmi menjadi milik Awal Ashaari. Boleh komen?

Dira: Saya telah dimaklumkan awal berhubung perkara tersebut oleh pihak penerbitan kira-kira dua bulan yang lalu. Sebenarnya mereka ingin mencari seorang lagi pengacara sebagai gandingan supaya kami boleh bertukar-tukar pasangan setiap minggu tetapi saya mengambil keputusan untuk mengundur diri secara sukarela.

Adakah anda undur diri kerana kontroversi yang melanda?

Tidak. Saya undur diri kerana ingin beri fokus kepada keluarga, perniagaan dan bermula bulan April lalu saya telah menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Lim Kok Wing dalam bidang filem digital dan televisyen. Jadi, saya bimbang tidak boleh beri komitmen sebab itu saya undur diri.

Bila membuat perancangan untuk menyambung pengajian?

Sebenarnya sejak tahun lalu, saya ada buat perancangan untuk mengambil kursus jangka pendek di Akademi Filem New York. Tidak jangka pula, saya akan bertemu jodoh sekali lagi dan dilamar menjadi pengacara Melodi. Selepas berkahwin, saya memutuskan untuk sambung pelajaran di dalam negara sahaja.

Kontroversi datang secara kebetulan dengan waktu anda mahu undur diri daripada Melodi. Secara tidak langsung kelihatan seperti anda dipecat daripada Melodi. Komen?

Kontroversi merupakan rencah industri hiburan, saya tidak ada sebarang masalah dengan kontroversi yang melanda. Saya tidak salahkan sesiapa termasuk pihak media yang membuat laporan. Perkara ini terjadi akibat salah faham, jika saya mahu terangkan satu persatu kepada semua orang, takut kontroversi jadi lebih besar. Jadi lebih baik saya diam sahaja, saya manusia biasa yang tidak terlepas melakukan kesilapan, setiap apa yang terjadi pasti ada hikmah sebaliknya.

Kehadiran anda dalam program Melodi dikatakan tidak membawa sebarang perubahan daripada segi rating. Komen?

Kalau bercakap soal rating sejak mula saya bersama Melodi, banyak pihak persoalkan kenapa saya yang jadi pilihan. Bukan populariti yang saya kejar sebaliknya mampukah saya mengendalikan sebuah program yang mempunyai nama besar itu. Memang saya akui saya tidak sempurna dan harus perbaiki lagi selaku pengacara. Sepanjang setahun saya bersama Melodi, banyak pengalaman baharu yang saya terima.

Kecewa apabila tempat anda digantikan oleh Awal?

Tidak kecewa dengan apa yang terjadi. Ini soal rezeki yang diberi Allah. Jujur, memang saya tidak kecewa dengan sesiapa pun kerana kekecewaan itu beri impak yang negatif. Saya hanya buat kerja saya untuk mencari rezeki yang halal.

Andai pada masa hadapan anda ditawarkan menjadi pengacara program gosip, mahu terima atau tidak?

Rasanya saya tidak akan terima, bukan takut gosip terkena batang hidung sendiri tetapi saya tidak mahu dikenali sebagai pengacara program gosip sahaja. Kalau boleh saya mahu dikenali sebagai pengacara yang versatil. Bagi saya sudah cukup dengan apa yang saya lakukan bersama Melodi.

Anda menyambung pengajian dan memperlahankan aktiviti lakonan. Merajuk dengan apa yang terjadi?

Tiada istilah merajuk pun. Saya masih berlakon, cuma memilih drama yang benar-benar sesuai. Drama terakhir saya adalah bersama Remy Ishak iaitu Cinta Dalam Hati. Sebenarnya sejak anak sulung saya lahir sehingga kini dia sudah berusia lima tahun, saya selalu sibuk. Sekarang saya mahu beri perhatian kepadanya dan tingkatkan kesihatan diri kerana saya merancang untuk menambah bilangan anak lagi (ketawa).