Adsense

Rabu, 18 April 2012

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Fenomena baru

Posted:

Fenomena baru <i>boy band</i>

Fenomena baru boy band

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Twitter: @shazryn_faizal


ONE Direction yang dianggotai (dari kiri) Niall Horan, Zayn Malik, Louis Tomlinson, Liam Payne dan Harry Styles kini menjadi kegilaan peminat di seluruh dunia.


KUMPULAN muzik lelaki atau lebih dikenali sebagai boy band pernah mencetuskan fenomena luar biasa dari akhir tahun 80-an sehinggalah ke awal tahun 2000.

Dianggotai lima hingga enam orang, muzik rancak yang menjadi pertaruhan mereka pantas menjadi kegilaan peminat terutama kaum hawa.

Album mereka laris bagaikan pisang goreng panas sehingga mampu menduduki tangga teratas penjualan album yang mencatatkan jutaan salinan di seluruh dunia.

Bukan hanya muzik tetapi ketrampilan menarik, imej yang sedap mata memandang, vokal yang harmoni dan gerak tari lincah juga merupakan faktor utama mengapa boy band digilai ramai satu ketika dahulu.

Biarpun sering dipandang sebelah mata oleh segelintir pihak yang bagaikan meragui bakat boy band ini, tetapi hakikat yang tidak dapat dinafikan apabila mereka juga sebenarnya mempunyai bakat tersendiri.

Seiring dengan peredaran muzik semasa, fenomena boy band semakin menyusut dan ada di antara mereka sudah dilupakan peminat biarpun lagu-lagu mereka ada yang sudah mencapai status malar segar.

Begitu juga dengan peminat mereka yang juga sedang menuju ke alam dewasa dan barangkali cita rasa mereka juga sudah berubah kepada muzik yang lebih matang.

Jika ada yang berpendapat boy band sukar untuk menyerlah dalam arus muzik perdana hari ini, rasanya pandangan itu harus dikikis

Hakikatnya, fenomena itu sudah kembali dengan munculnya sebuah boy band, One Direction yang kini sudah menjadi komoditi baru industri muzik dunia.

Dianggotai oleh lima orang anak muda iaitu Niall Horan, Liam Payne, Zayn Malik, Harry Styles dan Louis Tomlinson, One Direction berjaya mencipta populariti mereka dengan sekelip mata menerusi album perdana Up All Night.

Berasal dari United Kingdom, One Direction atau singkatannya 1D mula ditubuhkan pada tahun 2010 selepas kelima-lima anggotanya menyertai program realiti popular Britain, The X Factor.

Bukan secara berkumpulan, sebaliknya masing-masing bertanding atas tiket solo namun kesemuanya tidak berjaya ke peringkat seterusnya.

Atas nasihat salah seorang jurinya, Nicole Scherzinger, kelima-lima mereka kemudiannya disatukan menjadi sebuah kumpulan dan bertanding pula dalam kategori berkumpulan.

Bak kata pepatah lama, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah diibaratkan buat One Direction apabila mereka layak sehingga ke peringkat akhir.

Biarpun menduduki tempat ketiga dalam pertandingan musim ketujuh itu namun One Direction tidak lagi menoleh ke belakang.

Langkah mereka semakin kemas apabila menandatangani kontrak bernilai dua juta pound sterling (RM9.72 juta) bersama Syco Music yang merupakan milik tokoh muzik ternama, Simon Cowell.

Single pertama mereka, What Makes You Beautiful terus menduduki tangga pertama dalam carta lagu-lagu popular di Britain pada September tahun lalu selain mencatatkan pra penjualan tertinggi dalam sejarah dengan 153,965 salinan dalam minggu pertama.

Dua bulan selepas itu, album pertama mereka dilancarkan dan seperti yang dijangka, ia mencatatkan penjualan luar biasa sekali gus mencipta rekod sebagai penjualan album terlaris untuk untuk artis baru pada tahun itu.

Menyedari populariti mereka yang terus memuncak, anak syarikat Sony Music, Columbia Records telah bekerjasama dengan Syco Music untuk memasarkan album mereka di Amerika Syarikat (AS).

Sebagai bakat baru, One Direction mempunyai alasan untuk berasa bangga dan gembira dengan pencapaian mereka apabila album Up All Night berjaya menduduki tangga pertama dalam carta Billboard 200 sebaik sahaja album mereka dipasarkan di sana pada bulan Mac lalu.

Dengan kejayaan itu, ia menjadikan One Direction satu-satunya kumpulan dari Britain yang mencatatkan sejarah dengan penjualan album sebanyak 176,000 pada minggu pertama.

Kumpulan ini terus mencetuskan mania di kalangan muda-mudi terutama di alam maya menerusi Twitter, Tumblr dan Facebook.

Sehingga ke hari ini, video One Direction telah mencatatkan 204 juta tontonan di YouTube selain mempunyai 12 dan 3.6 juta pengikut di Twitter dan Facebook. Salah sebuah video mereka, What Makes You Beautiful juga telah ditonton sebanyak 72 juta kali di YouTube.

Mampukah One Direction mampu kekal dan terus mencipta legasi seni mereka? Hanya waktu yang menentukan.

Sheila Majid kagumi bakat muda

Posted:

Sheila Majid kagumi bakat muda

Sheila Majid kagumi bakat muda

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar MOHD NAJIB MOHD NOR

BUKAN senang bagi nama besar seperti Datuk Sheila Majid untuk memberi pujian kepada bintang baru dalam industri seni tanah air. Namun ia bukan sesuatu yang mustahil jika terbukti mereka berkualiti.

Malah Sheila mengakui bahawa dia sendiri pernah bertanya kepada dua bintang baru berbakat besar, Yuna Zarai dan Najwa Mahyiddin bagi mendapatkan khidmat mereka untuk lagu barunya.

Bagi Sheila, kedua-dua penyanyi tersebut sememangnya mempunyai bakat yang sangat bernilai malah mampu mencipta lagu yang kena dengan selera pendengar.

"Mereka memang terkejut pada mulanya ketika saya suarakan hasrat untuk mendapatkan lagu daripada mereka.

"Mereka bagaikan tidak percaya apabila mendengar permintaan saya. Bukan apa, saya tawarkan perkara tersebut kepada mereka kerana saya suka dan kagum dengan kebolehan yang ada pada kedua-duanya.

"Saya juga memang sangat memilih dalam setiap pemilihan lagu. Jujurnya sesebuah lagu itu seharusnya mempunyai nilainya yang tersendiri dan dalam masa yang sama mampu memberi kesan kepada pendengar," katanya ketika ditemui di Restoran Berputar Atmosphere360, Kuala Lumpur, ketika sidang akhbar Minggu Setiausaha A Day With Living Legend' baru-baru ini.

Tambah penyanyi lagu Anyer dan Jakarta itu, sesebuah lagu seharusnya menjadi sesuatu yang selesa untuk didengari dan menenangkan.

"Muzik itu bersifat seni dan ia sangat halus. Selain itu, seorang penyanyi juga tidak perlu terjerit-jerit bagi semata-mata untuk mendapatkan nota tinggi semata-mata.

"Apa yang saya lihat ketika ini, kebanyakan muzik yang ditampilkan zaman ini lebih tertumpu kepada rentak dan juga tempo yang rancak.

"Tidak salah saya katakan bahawa sukar untuk mencari lagu sekarang yang akan diingati dan melekat di dalam jiwa saya.

"Tapi mungkin juga sebab perkara ini terjadi sebab diri saya sendiri yang sudah berusia," katanya sambil ketawa.

Buat masa ini, dia masih lagi mencari lagu dengan melodi yang kukuh, seperti yang biasa didengari suatu ketika dahulu sebelum muncul dengan single yang mampu melonjakkan semula nama pelantun lagu Lagenda itu.

Disoal adakah dia tidak bosan menyanyikan lagu yang sama setiap kali mengadakan persembahan, Sheila mempunyai jawapannya tersendiri.

"Bagi saya, bosan atau tidak, suka atau tidak, saya kena nyanyikan juga kerana semua itu adalah kehendak peminat.

"Merekalah yang sentiasa menyokong saya dan dalam masa yang sama, mereka juga menghargai lagu tersebut. Tidak kisahlah lagu itu sudah lama atau tidak.

"Perkara ini sama macam penyanyi lain juga. Adele contohnya. Jika dia mengadakan persembahan dan tidak menyampaikan lagu Someone Like You, adakah peminat akan berpuas hati? Kita sampaikan apa yang peminat inginkan.

"Kerjaya saya sememangnya adalah untuk menghiburkan peminat jadi untuk mengelakkan timbul rasa bosan, sentiasa ada perubahan daripada segi susunan dan cara penyampaian dalam setiap persembahan," kata ibu kepada empat anak itu.

Sheila Majid akan mengadakan persembahan sempena sempena Minggu Setiausaha A Day with Living Legend' di Restoran Berputar Atmosphere360 Menara Kuala Lumpur pada 25 April ini, bermula pukul 12 tengah hari.

Majlis itu juga akan diserikan dengan pengacara komedi, Dee dan pelbagai lagi acara menarik.

Meja VIP dijual pada harga RM6,500 (10 orang), individu pula RM650. Untuk meja biasa RM2,200 (4 orang) dan individu RM550.