Adsense

Rabu, 18 April 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Lufya rimas

Posted: 17 Apr 2012 03:32 PM PDT

Hip

Lufya

Lufya

Ditohmah, diganggu kerana kontroversi dicetuskan artis lain

ARTIS kelahiran program Akademi Fantasia ini kegelisahan apabila dikecam akibat kontroversi dicetuskan orang lain. Dek wajah mereka yang seakan sama, Lufya menerima tempiasnya setiap kali isu panas membabitkan pelakon Zarina Anjoulie Lavocah tersebar.

Bukan saja diganggu, malah dirinya dan keluarga ditohmah pelbagai tuduhan memalukan, gara-gara kontroversi dikaitkan dengan pelakon Anak Pontianak itu. Kata Lufya, secara tidak langsung, ia memberi kesan kepada kerjayanya sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara. Setelah hampir empat tahun berdiam diri, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 26, tampil bersuara demi membersihkan namanya. Dia yang dihubungi baru-baru ini tekad menyuarakan hal itu supaya orang ramai berhenti mengaitkan isu gambar seksi dan kehidupan liar dengan dirinya.

Tidak menyalahkan Anjoulie, malah Lufya menghormati pendirian dan cara kehidupan pelakon itu. Namun dia tidak selesa apabila nama baiknya terjejas berikutan kontroversi yang tercetus itu.

"Saya sedar kami nampak seiras dan memang ramai orang di luar sana sering salah sangka bahawa saya ialah Anjoulie. Bukan orang luar saja, orang dalam industri pun ramai yang tersalah sangka. Perkara ini membuatkan saya tak tenang.

"Saya sering menerima gangguan seksual daripada lelaki tidak dikenali. Sebahagiannya memegang saya tanpa izin, serta pelbagai lagi kelakuan tak senonoh. Boleh dikatakan, setiap kali isu mengenainya muncul, pasti saya akan menerima tempiasnya, termasuk isu gambar seksi yang diuar-uarkan sebelum ini. Ramai yang ingat saya yang yang bergambar seksi itu.
"Apabila perkara ini berlaku, saya mula rimas. Sudah hampir tiga ke empat tahun saya mengalami masalah ini. Pada mulanya saya tak mahu bercakap mengenainya. Tetapi makin lama, ia makin serius. Ramai yang mengatakan saya berkelakuan tidak senonoh, seperti suka bersosial dan sering ke parti. Sedangkan, saya bukan jenis seperti itu.

"Contohnya, apabila saya keluar ke pusat beli-belah, ada yang memandang serong dan berkata yang bukan-bukan, sekali gus membuatkan saya tak selesa. Perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan imej saya dan nama baik keluarga saya. Sebab itu kawan-kawan saya menggalakkan saya bersuara bagi membersihkan nama sendiri. Saya tak mahu nama saya dikaitkan dengan isu dicetuskan olehnya lagi. Saya juga tak mahu keluarga saya terganggu," katanya yang berharap kekeliruan itu terhenti segera.

Gadis berdarah kacukan Arab-Melayu-Indonesia ini juga mengambil tindakan meluahkannya di laman Facebook miliknya, beberapa hari lalu. Lufya tidak rela namanya dikenali kerana kontroversi, sebaliknya bakat yang dimiliki.

Dia mengaku, namanya kurang menghiasi dada akhbar. Begitupun ia tidak bermakna dirinya tidak lagi aktif. Sebaliknya Lufya sibuk dengan kerjaya seni, sebagai penyanyi dan hos rancangan Jamming dan Podium.

"Saya akui karier saya kurang diperkatakan media, tapi saya masih aktif dan banyak terbabit dengan persembahan korporat. Saya tidak pernah mengetepikan nyanyian walaupun sibuk mengacara. Saya tetap curi masa ke studio untuk mencipta lagu. Kini saya sedang mengumpul bahan untuk album dan single baru. Memang ia mengambil masa kerana semua ini dihasilkan dengan duit sendiri," katanya.

Iron Man 3 diterbitkan di China

Posted: 17 Apr 2012 03:27 PM PDT

Hip

ROBERT Downey Jr (kiri)
sebagai Iron Man dan Chris
Evas (Captain America)
dalam filem The Avengers.

ROBERT Downey Jr (kiri) sebagai Iron Man dan Chris Evas (Captain America) dalam filem The Avengers.

THE Walt Disney Company China, Marvel Studios dan DMG Entertainment kelmarin mengumumkan hasrat penerbitan bersama filem adiwira, Iron Man 3, di negara Tembok Besar itu.

Di bawah persetujuan berkenaan, DMG Entertainment akan turut melabur dalam produksi filem ketiga francais popular ini, menguruskan proses produksi bersama negara itu dan bertindak sebagai penerbit bersekutu filem berkenaan di sana.

Bahagian penerbitan filem itu di China akan dilakukan menerusi DMG Entertainment, dengan penyelarasan bersama produksi dan pasukan kreatif Marvel Studios. DMG juga bertindak sebagai pengedar Iron Man 3 di negara yang mempunyai jumlah penduduk teramai di dunia, bekerjasama dengan The Walt Disney Company China. Iron Man 3 muncul edisi ketiga dalam francais filem bernilai bilion dolar daripada Marvel itu, dan dibintangi pelakon asalnya seperti Robert Downey Jr (sebagai hartawan senjata, Tony Stark), Gwyneth Paltrow (Pepper Potts) dan Don Cheadle (James "Rhodey" Rhodes).

Filem terbaru dalam siri Iron Man ini diterbitkan oleh Kevin Feige, manakala Alan Fine, Stan Lee, Louis D'Esposito, Charles Newirth, Victoria Alonso, Stephen Broussard dan Dan Mintz pula menggalas jawatan penerbit eksekutif.

Berdasarkan skrip tulisan Drew Pearce, filem ini diarahkan Shane Black (Kiss Kiss Bang Bang). Filem terbabit akan ditayangkan di Amerika Syarikat pada 13 Mei tahun depan.

Menurut Pengarah Urusan The Walt Disney Company China, Stanley Cheung, populariti francais Marvel itu di seluruh dunia mencipta peluang buat mereka untuk menghasilkan sebuah lagi filem penuh aksi buat peminat.
"Penerbitan bersama Iron Man 3 di China menjadi bukti betapa pentingnya khalayak sebelah sini buat Disney, serta keupayaan industri tempatan untuk menghasilkan judul blockbuster," katanya.

Pengurus Besar Operasi dan Kewangan Marvel Studios, Rob Steffens, pula berkata, mereka cukup teruja untuk bekerjasama dengan DMG, dalam membawa wira besi itu ke pasaran negara China dengan cara penuh bergaya.

"Kami yakin cerita Marvel akan terus dinikmati oleh penonton China, dan dengan menyuntik cita rasa tempatan serta bekerja bersama rakan kongsi baru, ia tentu sekali akan menambah keinginan orang ramai untuk menyaksikan filem ini," ujarnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DMG, Dan Mintz pula, kolaborasi mereka bersama Disney dan Marvel menjadi peristiwa penting dalam landskap hiburan global berikutan inilah kerjasama bernilai berbilion dolar pertama yang diterbitkan antara Hollywood dan China.

"Francais Iron Man sudah pun membuktikan kejayaannya di seluruh dunia dan kami akan terus membawa siri ini ke peringkat lebih tinggi dengan penghasilan judul ketiganya.

"Filem ini akan terus dikembangkan jalan ceritanya, serta menampilkan bintang tersohor antarabangsa, di samping aksi menakjubkan yang akan mengagumkan peminat di mana-mana saja termasuk China, iaitu pasaran box office kedua terbesar dunia," jelasnya.

Penggambaran filem adiwira terbabit akan berlangsung Mei ini di Amerika Syarikat dan disambung di China pada penghujung musim panas nanti.