Adsense

Rabu, 18 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Bukan amatur seni suara

Posted:

Bukan amatur seni suara

Bukan amatur seni suara

CERITA tentang Norish Karman ingin muncul dengan album, sudah lama didengar, namun saban tahun, ia sepi begitu sahaja.

Akhirnya pada minggu lalu, Norish yang membina nama sebagai pelakon terlebih dahulu itu telah muncul dengan album yang diberi judul Terus Melangkah. Malah ia adalah satu produk yang akan membuka lembaran baharu buat dirinya sebagai artis pada tahun ini apabila selain sibuk berlakon, dia juga akan kerap menerima undangan menyanyi.

Beritahu wanita dengan nama penuh Nor'asikin Karman itu, faktor utama album impiannya itu tertangguh lama adalah kerana dia harus bertungkus-lumus selama empat tahun mengumpul duit untuk menyudahkan album tersebut selain dia sendiri mempersiap diri untuk bergelar seorang penyanyi.

Tidak bernaung di bawah mana-mana label, dia juga menjalani proses merakam lagu-lagunya yang dilakukan secara berperingkat.

Mengakui tempoh masa empat tahun itu agak lama dan terkadang membuat dia tidak sabar, namun dia akan segera muhasabah diri. Apa yang penting kata Norish, dia mahu album impiannya dihasilkan dengan sempurna.

"Saya mengaku pernah berputus asa dengan semua ini. Tapi, anak-anak yang telah mendengar lagu-lagu saya sebelum ini memberi semangat dengan mengatakan saya harus meneruskan usaha saya dan jangan hanya membuat kerja yang saya suka separuh jalan.

"Mereka juga tidak mahu saya hanya memainkan lagu di dalam bilik sahaja. Mereka tidak mahu saya biarkan impian saya untuk menjadi penyanyi terkubur begitu sahaja. Selain itu, rakan-rakan dan para peminat juga sering beri sokongan dan pendapat kepada saya dan mereka inilah yang membuat saya bertahan sehingga album ini berjaya disudahkan," cerita Norish sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album Terus Melangkah yang diadakan di Vogue The Club, Mont Kiara, Petaling Jaya, Selangor.


SELAIN peminat dan teman-teman, keluarga turut menjadi pendorong kuat Norish untuk muncul dengan album sulungnya, Terus Melangkah.


Seperti membuktikan kata-katanya bahawa peminat yang menjadi kekuatannya untuk melahirkan album, hal itu terlihat jelas pada majlis pelancaran albumnya itu.

Ada peminat yang hadir bukan sahaja dari Semenanjung Malaysia, malah ada di kalangan mereka juga yang sanggup datang dari jauh seperti Sarawak dan Sabah serta Singapura.

Mengulas tentang sokongan yang diberikan peminatnya, Norish memberitahu sejujurnya dia hanya mahu melakukan sebuah majlis pelancaran album yang sederhana.

"Tidak pernah saya terfikir untuk membuat pelancaran di tempat gah begini. Saya sebenarnya ingin membuat majlis yang kecil yang hanya dihadiri oleh rakan media sahaja.

"Namun, ramai peminat yang ingin terlibat sama dan menghadiri serta memeriahkan majlis ini. Sebenarnya, majlis pada hari ini banyak yang ditaja oleh kawan-kawan dan peminat saya, malah, lokasi pelancaran ini juga ditaja," cerita Norish terharu dengan bantuan keluarga, rakan dan peminat yang dihulurkan kepadanya.

Jual album sendiri

Terus Melangkah memuatkan sebanyak enam buah lagu dan antaranya merupakan Rahsia Hati hasil ciptaan Julfekar, Terus Melangkah ciptaan Damien dan Norish sendiri menyumbangkan sebanyak tiga buah lagu antaranya adalah Pencinta dan Kasihku Selamanya.

"Semua lirik yang dihasilkan dalam album ini merupakan curahan hati serta pengalaman pahit dan manis saya sepanjang bergelar anak seni, seorang ibu dan wanita. Seperti lagu Kasihku Selamanya, saya hasilkan lagu ini khas buat bekas anak tiri saya," ujarnya tentang album yang dijual pada harga RM24.90.

Tambah Norish, album sulungnya itu tidak dijual di kedai muzik, sebaliknya sesiapa yang berminat boleh membeli terus daripadanya sendiri.

"Peminat juga boleh berhubung dengan saya melalui laman Facebook untuk membeli album ini selain dijual ketika saya mengadakan persembahan di mana-mana," katanya lagi.

Sementara itu, dia bakal mengadakan siri jelajah bagi mempromosi albumnya ini di seluruh Malaysia dan akan ke Brunei sebagai lokasi pertama. Ujar Norish, dia sendiri akan turun padang untuk menjual album pertama kepada peminat.


TIDAK serik berkahwin, Norish bagaimanapun mengaku dia kini selesa menjadi ibu tunggal kepada tiga orang anaknya iaitu Muhammad Haqiem Armany (kiri), Putri Hany Amanda dan Muhammad Hardy Amieran.


"Saya akan menjual album sendiri sambil menghiburkan peminat. Sayalah seniman jalanan," jelas Norish ringkas mengenai karier yang baru dibinanya ini.

Bersaing

Biar telah memaklumkan dia melahirkan album tersebut kerana minat, namun ramai yang tertanya-tanya, apa yang memberi keyakinan kepada Norish untuk menjadi penyanyi sedangkan kini ramai pelapis muda yang bersaing dalam industri muzik tempatan.

Menjawab persoalan tersebut, jelas wanita berusia 38 tahun ini, kehadirannya sebagai penyanyi baharu dalam bidang muzik bukan untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi sedia ada.

Ujarnya: "Saya tidak bersaing dengan mereka. Saya tahu saya punya platform dan pengikut sendiri yang sangat kuat menyokong karier seni saya, tidak kira dalam bidang lakonan mahupun nyanyian."

Tambahnya lagi, dia sedar pasti ada yang bertanya tentang kualiti vokalnya sebagai penyanyi.

"Jawapannya hanya akan anda peroleh apabila membeli album saya," katanya yang juga memberitahu perjuangan tidak boleh dihentikan hanya kerana takut bersaing dengan penyanyi sedia ada atau generasi baharu.

Greyson Chance digigit peminat

Posted:

Greyson Chance digigit peminat

Greyson Chance digigit peminat

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


BARU berusia 14 tahun, Greyson Chance sudah menjadi terkenal kerana bakat seni yang dimilikinya.


SETELAH kali pertama tampil membuat persembahan sewaktu acara Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM 18) pada November 2011, penyanyi cilik yang cukup berbakat, Greyson Chance kembali semula menjejakkan kaki ke Malaysia.

Menariknya, kehadiran penyanyi berusia 14 tahun itu ke negara ini adalah bagi menjayakan Konsert Greyson Chance Live in Malaysia yang berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur semalam.

Ketika ditemui sewaktu temu bual secara eksklusif bersama pihak media sehari sebelum konsert tersebut berlangsung, penyanyi berkenaan meluahkan rasa terujanya untuk menghiburkan para peminat di negara ini.

"Sudah tentu kehadiran saya pada kali ini begitu istimewa kerana sekali lagi dapat bertemu peminat di sini. Kehadiran saya ini adalah sebahagian daripada Konsert Siri jelajah Asia 2012 dan saya memang menantikan untuk membuat persembahan di Malaysia.

"Kalau pada acara AIM 18 dahulu saya cuma dapat beraksi dalam tempoh yang sekejap, tetapi menerusi konsert ini pastinya para peminat dapat menyaksikan persembahan saya dalam durasi yang panjang," ujar penyanyi kelahiran Texas, Amerika Syarikat itu.

Mula aktif sebagai penyanyi pada tahun 2010, Greyson menarik perhatian ramai setelah dia memuat naik klip video lagu milik Lady Gaga berjudul Paparazzi, dalam versinya di YouTube. Video itu kemudian telah ditonton seramai 45 juta orang di seluruh dunia.

Selain berbakat besar dalam bidang seni suara, penyanyi berkenaan juga turut memiliki bakat bermain alat muzik piano serta mempunyai kebolehan menghasilkan lagu sendiri.

Menurut Greyson, meskipun dia masih lagi baharu dalam industri muzik, tetapi dia sudah berpeluang untuk membuat persembahan di banyak tempat dan sambutan yang diterima daripada peminat sangat menggalakkan.



Ujarnya, selain Malaysia dia juga pernah menghiburkan para peminat di beberapa buah negara Asia yang lain seperti Singapura, Filipina dan Jakarta pada tahun lalu.

"Paling tidak dapat saya lupakan apabila digigit seorang peminat semasa persembahan yang berlangsung di Manila, Filipina. Sudah tentu perasaan saya ketika itu sangat terkejut dan tidak tahu apa motif peminat tersebut bertindak sedemikian. Walaupun saya telah dikawal ketat oleh ramai pengawal keselamatan, tetapi tidak sangka pula ada peminat yang masih terlepas dan terus menggigit saya," ujarnya.

Menurutnya, meskipun pernah melalui pengalaman yang cukup menakutkan, namun dia tetap menghargai para peminat yang terus menyokong kerjayanya dalam bidang seni dan menganggap apa yang berlaku itu sebuah realiti kehidupan sebagai seorang anak seni.

Nasi lemak

Setelah dua kali menjejakkan kaki ke Malaysia, Greyson menyatakan dia memuji masyarakat di negara ini yang disifatkannya sangat peramah.

"Apa yang saya tahu di Malaysia terdapat pelbagai jenis makanan yang sangat sedap. Antara makanan yang paling saya gemar ialah nasi lemak. Selain itu, saya juga suka minum air kelapa dan kalau berpeluang untuk kembali semula membuat persembahan di sini, pastinya nasi lemak dan air kelapa tidak akan saya lepaskan lagi," ujarnya yang cukup gembira kerana mempunyai banyak peminat di Malaysia.

Selepas ini Greyson akan menjelajah pula ke beberapa buah negara lain seperti Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Jepun sebelum kembali ke Amerika Syarikat.

"Buat masa ini saya lebih gemar mengadakan konsert kerana ia merupakan salah satu cara untuk saya mendekatkan diri dengan para peminat dan penghargaan buat mereka yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya," ujarnya mengakhiri bicara.

Bila Qi jadi buaya darat

Posted:

Bila Qi jadi buaya darat

Bila Qi jadi buaya darat

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my


BARISAN pelakon drama bersiri Friday I'm In Love bergambar selepas tamat majlis pelancaran drama tersebut di Restoran Ecoba. baru-baru ini.


PELAKON dan pengacara yang namanya kini sedang melonjak naik, Qi atau nama sebenarnya Qushairi Razali sering bertukar pasangan pada setiap minggu. Namun yang peliknya, Qi akan jatuh cinta pada setiap kali menjelang hari Jumaat dengan gadis yang berbeza. Hubungan tersebut bagaimanapun hanya boleh bertahan sehingga hari Khamis minggu berikutnya.

Namun Qi tidak pernah kecewa dan putus asa demi mencari cinta sejati dan berharap suatu hari dia pasti akan menemui seorang wanita yang benar-benar boleh bertahan dan membalas cintanya itu.

Bagaimanapun itu bukan situasi yang dialami dalam dunia realiti Qi. Sebaliknya, ia adalah situasi bagi watak Awang yang dilakonkan oleh Qi dalam drama terbaharu 13 episod berjudul Friday I'm In Love yang bakal ditayangkan di slot Aurora, TV9 bermula pada 19 April ini, setiap Khamis pukul 8.30 malam.

Selain Qi, antara pelakon yang terlibat dalam drama itu termasuklah Nabila Daly, Nelydia Senrose, Zoey Rahman, Ryzal Jaafar dan Aiman Hakim Redza.

Bercerita tentang wataknya, Qi yang ditemui pada sidang akhbar drama tersebut di Restoran Ecoba, Damansara Perdana, Selangor menyatakan Awang bukan seorang buaya darat walaupun dia kerap bertukar kekasih dan jatuh cinta.

"Sebenarnya Awang merupakan seorang yang kelam-kabut, lurus dan bersahaja serta tidak pernah takut untuk bercinta dan kecewa. Walaupun ada sahaja masalah yang timbul dengan cintanya sehingga perlu menukar teman wanita pada setiap minggu, namun dia tidak pernah takut.

"Dia hanya mahu mencari cinta sejatinya dan pada dasarnya juga, dia bukan seorang buaya darat, tapi keadaan yang memaksa dia menjadi begitu," jelas Qi.


MEMEGANG watak Awang, Qi akan jatuh cinta pada setiap minggu dengan wanita yang berbeza-beza.


Cerita Qi, ini merupakan drama kedua lakonannya selepas Blogger Boy dan selepas dia berehat selama tiga tahun daripada dunia lakonan. Tiga tahun itu digunakan untuk memberi komitmen sepenuhnya dan fokus terhadap bidang pengacaraan.

Tambah kekasih Yuna ini lagi, sebab utama dia kembali aktif berlakon kerana dia berasa sudah tiba masanya untuk memberi fokus terhadap bidang lakonan pada tahun ini. Namun, dia mengaku masih baharu dan banyak lagi yang perlu dipelajari untuk menjadi pelakon yang baik.

"Saya berasa selesa bekerja dengan produksi ini dan pengarah Faizul Abdul Rashid. Sejujurnya, ini merupakan kali pertama saya benar-benar cuba berlakon. Ini kerana pengarah memberi kami kelonggaran untuk meluahkan idea masing-masing. Saya sangat seronok dan tidak pernah mendapat pengalaman sebegini.

"Jadi untuk tahun ini, saya mahu serius dan fokus terhadap bidang lakonan. Saya juga ingin memilih watak yang bersesuaian dengan saya dan tidak mahu mengambil semua tawaran berlakon yang diberikan," ujar Qi yang sedang mempertimbangkan tawaran untuk tampil di layar perak kelak.

Tidak ingin terlalu bercerita mengenai perincian filem yang bakal diterimanya, Qi bagaimanapun memberi sedikit maklumat. Katanya, jika dia bersetuju untuk terbabit dalam filem tersebut, dia bakal memegang watak sebagai seorang bapa yang sanggup berkorban demi anaknya.