Adsense

Rabu, 18 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Cabaran meneroka dunia

Posted: 17 Apr 2012 05:57 AM PDT

LIMA belas minit masa yang diberi mendekati jiwa penyanyi muda ini petang kelmarin cukup berbaloi. Meskipun sudah kepenatan seharian menjawab soalan daripada wakil media, Greyson Chance yang berkunjung ke ibu negara, baru-baru ini bagi mempromosikan album terbarunya, Hold On 'Til The Night masih mampu menyembunyikan wajah letih, sebaliknya kekal tersenyum dan bertenaga.

Siapa sangka, figura yang duduk di depan mata ini baru berusia 14 tahun. Namun bakat dan pesona yang dimilikinya begitu besar.

Bercerita soal zaman mudanya yang terpaksa digadaikan semata-mata ingin mengejar impian bergelar penyanyi tidak sekali mengusik emosinya. Walaupun belum jauh perjalanan yang diteroka, anak kelahiran Wichita Falls, Texas, Amerika Syarikat ini bijak menyusun kata, berkongsi cerita dan sesekali mengusik persoalan yang diajukan.

Jelasnya yang popular dengan lagu Waiting Outside The Lines, banyak yang manis berlaku dalam hidupnya sejak menjadi anak seni dan tidak kurang juga cabaran yang ada kalanya mengundang bosan.


"Saya sangat gembira kerana diberikan peluang sebegini. Bayangkan, pada usia masih muda sebegini saya sudah mendapat apa yang saya idamkan. Menjadi penyanyi dan mencipta lagu untuk menghiburkan peminat adalah satu keinginan yang saya simpan sejak kecil. Namun saya sendiri tidak menduga peluang itu datang lebih awal daripada apa yang saya sangkakan.


"Terlalu banyak perkara indah berlaku dalam hidup saya terutama apabila lagu ciptaan saya dimainkan di radio dan peminat mula memberi reaksi positif terhadap album saya. Itu jelas memberikan saya kepuasan sebagai seorang penyanyi walaupun masih baru. Malah saya terharu apabila berpeluang membuat persembahan atau konsert kerana di situ saya akan dapat melihat peminat yang selama ini menyokong saya.

"Lihat saja hari ini, saya sudahpun tiba di Malaysia untuk kali kedua dan kali ini saya lebih bersemangat untuk menghiburkan peminat di sini. Ini semua hasil kerja keras dan komitmen yang saya berikan dalam memastikan apa yang saya lakukan bukanlah satu perkara yang remeh. Ibu bapa dan pihak syarikat rakaman juga percaya dengan bakat yang ada, itu lebih membuatkan saya gembira.

"Memang tidak dinafikan banyak juga dugaan. Rasa penat tidak perlu saya ceritakan kerana itulah hakikat yang perlu saya tanggung. Namun saya tidak sesekali merungut kerana semua ini satu pengalaman yang cukup manis. Menjelajah seluruh Amerika dan dunia bertemu peminat dan menghiburkan mereka yang menyokong muzik saya satu detik indah yang sukar saya gambarkan.

"Justeru, jika teruk sekalipun keadaan yang saya rasa, penat dengan jadual kerja padat aktiviti seni bukanlah satu alasan, sebaliknya inilah permulaan kepada kerjaya saya," katanya yang turut ditemani ayahnya, petang itu.

Greyson yang begitu bertenaga dan peramah sepanjang temu bual eksklusif itu mengakui kehidupannya tidaklah seperti remaja lain. Menghadiri sekolah dan bersukan pada waktu petang dengan jiran dan teman adalah mustahil buat masa sekarang kerana kebetulan jadual kerjanya yang begitu padat sepanjang rangka promosi.

Namun jelasnya, soal pembelajaran tidak menjadi masalah kerana semuanya dilakukan secara 'online' menerusi Internet dan seorang tutor ada menemaninya untuk membantu mengulang kaji pelajaran.

"Jika ingin membandingkan saya dengan remaja sebaya lain, memang banyak yang saya kurang. Tidak bebas dan terikat dengan jadual seni, saya terpaksa akur dan yakin semua itu akan terbalas sekiranya saya berjaya dalam bidang nyanyian ini. Saya tidak sempat menghadiri sekolah harian dan semuanya saya pelajari menerusi Internet. Setakat ini semuanya masih boleh saya terima.

"Cuma sebagai anak muda, saya akui ada kalanya saya rindu rumah dan bilik tidur saya. Satu perkara yang sedikit membataskan saya ketika melakukan konsert jelajah seluruh dunia seperti ini hanya ruang untuk saya berkarya. Saya sukakan suasana senyap dan penuh selesa untuk mengarang lagu dan mungkin itu saja yang kurang kerana apabila saya sudah terikat dengan jadual konsert jelajah seperti ini, setiap hari saya perlu bersedia untuk destinasi seterusnya.

"Bagaimanapun, saya gembira kerana semua pihak termasuk penganjur memberi kelonggaran dan memahami keadaan saya. Rasanya jadual kerja tidaklah terlalu ketat dan ayah turut memantau aktiviti seni agar saya tidak terlalu penat atau mengabaikan pelajaran. Walaupun sudah mengecapi populariti, pembelajaran penting untuk seseorang itu terutama anak muda seperti saya," katanya.

Sebelum ini, ramai yang membuat andaian dan spekulasi kononnya Greyson adalah saingan baru kepada Justin Bieber. Tidak sekadar itu, anak bongsu daripada tiga beradik yang dikenali dengan kemahirannya bermain piano ini sering kali dibandingkan dengan bintang terkenal itu hanya kerana memegang profil yang sama iaitu bakat dikesan menerusi YouTube dan kedua-duanya berasal dari Amerika.

Optimis dan menyifatkan persoalan sebegitu sudah membuatkannya kebal, Greyson yang pernah muncul dengan bintang muda, Najwa Latif ketika mengadakan persembahan pada Anugerah Industri Muzik, baru-baru ini akur dan membiarkan ia berlalu begitu saja.

"Soal saya dibandingkan bukanlah perkara baru kerana sejak awal pembabitan lagi, saya menjangkakan perkara ini. Namun ia bukanlah masalah kepada saya kerana muzik kami berlainan. Malah saya sudah beberapa kali bertemu Bieber sebelum ini. Kami saling menyokong antara satu sama lain," katanya.

Menyifatkan dirinya insan paling bertuah kerana berjaya merealisasikan apa yang pernah diimpikan sebelum ini, Greyson yang mula mencipta nama selepas video nyanyiannya menjadi hit tertinggi di laman sosial YouTube hanya mengharapkan semua perancangan tidak tersasar kerana masih banyak lagi yang perlu dikecapi.

"Saya mengharapkan apa yang diperjuangkan hari ini bukanlah sesuatu yang sementara, sebaliknya biarlah ia bertahan lama. Saya ingin sekali kehadiran saya kekal hingga berjaya membina empayar sendiri satu hari nanti. Mana tahu, jika diberi peluang, saya akan kembali ke Malaysia dengan karya yang lebih matang," katanya.

Malam tadi, Greyson tampil menghiburkan peminat setianya di KL Live bagi melengkapkan rangka promosi album sulungnya, Hold On 'Til The Night. Meskipun masih baru tanpa publisiti meluas, bintang muda comel ini masih mampu menghimpunkan hampir 2,000 peminat yang hadir menyaksikan persembahannya.




Prism tunggu duit PPM

Posted: 17 Apr 2012 05:44 AM PDT

PERSOALAN membelenggu ahli Performers and Artistes Rights Malaysia (Prism) mengenai nasib mereka untuk memungut baki royalti akhirnya terjawab apabila organisasi itu bersetuju membayar balik dalam tempoh terdekat sehingga Jun ini.

Jawapan ini diberikan Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu ketika mengadakan sidang media di Kuala Lumpur kelmarin. Dalam pertemuan bersama segelintir ahli Prism yang hadir, Ong menyatakan ketika ini dia hanya menunggu Public Performance Malaysia (PPM) memberi wang kutipan royalti sebelum proses pengagihan dilakukan.

Ong berkata, mengenai tarikh sebenar Prism dibubarkan, ia akan berlaku selepas pengagihan dibuat sepenuhnya. Dalam pada itu, Ong menyatakan segelintir ahli Prism bertindak menubuhkan organisasi baru dikenali Prism Berhad.

"Mungkin cara Prism Sdn Bhd sebelum ini membuatkan ahli mempertikai ketulusan. Jadi, penyelesaian terbaik adalah menubuhkan satu lagi organisasi dikenali Berhad.


"Ini memang perancangan Prism sejak setahun setengah lalu, tetapi belum sempat ia dilaksanakan, wujud badan baru ditubuhkan yang diterajui Datuk Sheila Majid iaitu Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).


"Ia suatu yang bagus dan Prism menggalak ahli sertai RPM. Namun, segelintir ahli Prism tidak berfikiran yang RPM boleh berfungsi, mereka mengambil jalan menubuhkan Prism Berhad.

"Ini bermakna wujud dua badan mewakili artis dan saya juga berusaha menggabungkan dua badan ini menjadi satu kerana yang mengalami kesusahan adalah artis sendiri," katanya.

Ong juga menyatakan Prism Sdn Bhd mengambil pendekatan bebas dan tidak mengambil bahagian termasuk menyokong mana-mana badan pemungut royalti baru yang ditubuhkan. Namun, Prism akan menyokong pada organisasi yang tulus menjalankan operasi.

"Kami tidak ada bantahan pada penubuhan RPM dan sejak awal sebelum Prism Berhad ditubuhkan, kami mengalukan ahli untuk turut serta dalam organisasi baru ini.

"Saya tidak pasti jumlah ahli Prism menyokong RPM atau Prism Berhad, cuma pihak RPM ada menyatakan hasrat mengadakan perjumpaan bersama artis agar mereka menamatkan keahlian Prism dan terus sertai RPM," katanya.

Prism menjelaskan jumlah pengagihan royalti yang akan diberikan semula pada ahli melebihi RM3 juta yang diterima Prism menerusi PPM untuk kutipan tahun lalu. Seramai 1,280 ahli Prism dijangka menerima bayaran royalti ini.

Mengenai perancangan seterusnya, Ong menyatakan dia akan terus bersama organisasi antarabangsa menjalankan usaha membangunkan taraf artis di negara Asia. Dia bersedia membantu organisasi baru yang inginkan pandangan dan bantuan.

"Saya akan memberi nasihat pada badan antarabangsa sama ada bekerjasama dengan RPM atau Prism Berhad. Apa yang saya tahu, Prism Berhad sudah ditubuhkan dan pendaftaran mendapat kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Proses penubuhan ini mungkin mengambil masa sebulan. Mungkin pembubaran Prism bukan pada Jun kerana perlu mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk menyelesaikan semua pembayaran royalti dan tiada lagi duit dalam akaun.

"Sekiranya masih ada baki duit, kita akan serahkan pada peguam untuk memegang wang itu dan menyerahkan pada badan atau organisasi lain yang akan meneruskan perjuangan itu," katanya.

Tambah Ong, proses pembayaran royalti dibuat mengikut formula agihan biasa iaitu mengikut jumlah lagu yang dipersembahkan dan berdaftar dengan Prism. Dalam mempercepatkan proses ini, Prism juga mendapat bantuan PPM yang memberikan data persembahan yang turut menggunakan sebahagian wang pengagihan.

"Satu pertemuan antara PPM, Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) bersama Prism sudah dilakukan untuk menubuhkan jawatankuasa membuat pengagihan. Kami juga menjemput Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) jika berminat menyertai jawatankuasa ini untuk membantu proses pengagihan lebih terbuka," katanya.

Dalam sidang media itu, Prism juga mengeluarkan kenyataan media mengenai perasaan terkilan mereka kerana diketepikan dalam sesi perbincangan mengenai peraturan badan kutipan royalti diadakan di MyIPO pada 10 April lalu.

Merujuk mesyuarat dipengerusikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Prism mendakwa mereka tidak diundang sebaliknya MACP, PPM dan Persatuan Karyawan Malaysia hadir. Dalam kenyataan itu, Prism bertindak menghantar peguam mereka pada mesyuarat itu diarahkan keluar pegawai MyIPO atas alasan ia tiada kaitan dengan Prism.

Ong juga menyatakan satu laporan berita di akhbar (bukan terbitan kumpulan The New Straits Times), salah menyatakan nama Prism dalam mesyuarat itu.