Adsense

Rabu, 25 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Bersedia dengan segala kemungkinan

Posted:

Bersedia dengan segala kemungkinan

Bersedia dengan segala kemungkinan

BUKAN mudah untuk mencipta nama apatah lagi bertahan dalam bidang seni. Perkara ini harus diketahui penyanyi-penyanyi baharu terutamanya mereka yang lahir dari program realiti. Mentor misalnya, kini sudah memasuki musim keenam.

Biarpun membariskan artis-artis popular dan berpengalaman dalam industri sebagai Mentor, tidak semua protege mereka berjaya mencipta nama seterusnya bertahan dalam industri seni. Hanya Black sahaja dilihat begitu menyerlah. Siapa yang harus dipersalahkan?

Bertemu dengan enam protege Mentor musim keenam baru-baru ini pada sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, Kosmo! sempat mengajukan persoalan kepada Anas, Caroline, Zatul, Tisha, Ayu dan KJ iaitu apakah hala tuju mereka selepas tamat Mentor kelak.

Ana akan bertahan

Ana Syuhada Noor Asram atau Ana, 21, iaitu protege kepada Ramlah Ram, menegaskan dia akan bersiap sedia menghadapi dunia artis sebenar selepas tamat Mentor 6.

"Saya akui bukan mudah untuk peserta program realiti seperti kami untuk mencipta nama. Kami perlu bersaing dengan ramai lagi peserta program realiti lain. Ia bergantung kepada nasib. Namun, saya akan pastikan diri saya akan terus menyanyi kerana ia adalah minat saya sejak kecil lagi. Saya mahu terus bertahan dalam industri ini dan memperbaiki setiap kelemahan yang ada agar masyarakat dapat menerima bakat saya," ungkapnya optimis.

Mengulas mengenai perasaannya menerima markah paling rendah berbanding Anas dan Tisha untuk kumpulan A, luah Ana, mungkin belum rezekinya untuk meraih undian yang banyak daripada peminat.

Akuinya, memang pada konsert minggu pertama dia berasa kecewa kerana meraih markah yang paling rendah. Namun, ia menjadi suatu cabaran buat gadis kelahiran Shah Alam ini untuk muncul jauh lebih baik pada konsert seterusnya agar dapat menyaingi Anas dan Tisha.

"Memang kecewa sangat menerusi kedua-dua konsert awal Mentor itu, saya memperoleh markah yang paling rendah tetapi saya anggap ia cabaran untuk saya perbaiki kelemahan dan cuba buat yang lebih baik untuk konsert seterusnya," ujarnya.

Mengenai pengalaman bekerja bersama penyanyi Ramlah Ram pula, ujar Ana: "Ramlah banyak berkongsi pengalamannya dengan saya. Walaupun tidak garang tetapi dia tegas dan kadangkala bising macam ibu saya juga tetapi saya senang menerima segala teguran mahupun tunjuk ajar daripadanya.

Anas peserta pilihan

Pemilik nama sebenar Anas Ridzuan, 23, yang kini meraih undian paling tinggi dalam kalangan para peserta Mentor 6 yang lain selepas dua minggu program itu berlangsung, mengakui dia bimbang sekiranya peminat mengharapkan persembahan yang lebih bagus daripadanya selepas ini.

"Walaupun meraih markah paling tinggi berbanding peserta-peserta lain, saya tak anggap ia selesa. Sebaliknya ia membuatkan saya lebih takut jika tidak dapat mencapai tahap yang bagus seperti yang diinginkan peminat dan juri. Banyak lagi yang perlu saya belajar untuk menjadi penyanyi berkebolehan," tuturnya.

Anas juga berharap peminat menyukainya disebabkan bakat yang ada padanya dan bukan disebabkan perkara lain.

Sebelum ini, ramai peminat yang menyamakan Anas dengan vokalis kumpulan Nidji, Giring. Bagaimanapun, protege kepada Faizal Tahir itu berasa janggal dan sukar memberi sebarang reaksi apabila diberitahu tentang perkara itu.

MAMPUKAH keenam-enam peserta Mentor 6 muncul menjadi bintang terkenal selepas berakhirnya program realiti TV ini?


"Walaupun ramai yang cakap wajah saya dan Giring seiras, bagi saya, kami tidak ada persamaan langsung. Mungkin sebab rambut kami sama-sama keriting. Saya harap mereka menyukai saya disebabkan bakat nyanyian dan lakonan saya, bukan disebabkan wajah yang dikatakan mirip Giring," tuturnya sambil ketawa.

Anak muda ini nyata sudah merangka hala tujunya selepas tamat Mentor 6 kelak.

"Saya bukan sahaja berminat untuk jadi penyanyi tetapi juga pelakon teater. Saya tak kisah ke mana hala tuju saya selepas Mentor 6, cuma berharap ia masih dalam bidang seni. Kalau sukses dalam kedua-dua bidang lagi bagus," katanya.

Berkongsi pengalamannya menjadi protege Faizal Tahir, tutur Anas, penyanyi terkenal itu tidak pernah memberi tekanan kepadanya untuk mencuba pelbagai jenis genre muzik.

"Tiada tekanan bekerjasama dengan Faizal, cuma dia akan serius jika bercerita tentang muzik. Faizal juga tidak memberi pengkhususan kepada satu-satu genre lagu sahaja sebaliknya memberi kelonggaran kepada saya untuk mencuba pelbagai genre muzik," ujarnya lagi.

Zatul diuji Ogy

Zatul atau nama sebenarnya Noor Nazatul Farahin Mohd. Hussin, 23, mengakui, dia berdepan dengan cabaran kerana mentornya, Fauziah Datuk Ahmad Daud banyak menguji dirinya bukan sahaja dari segi nyanyian tetapi juga dari segi tarian.

"Saya ingat saya kena menyanyi sahaja tetapi rupa-rupanya kena menari sekali. Memang mencabar, kerana selama ini saya tak pernah menari.

"Memang saya akui malu nak menari tapi sudah masuk ke dalam bidang ini, jadi saya kena buang perasaan malu untuk menjadi seorang penyanyi yang berjaya," ujarnya merujuk pada persembahannya pada konsert pengenalan Mentor 6 yang menyaksikan dia menampilkan gerak tari bertenaga menerusi lagu popular Dewi-Dewi, Doktor Cinta.

Mengulas mengenai hala tujunya selepas Mentor 6, Zatul yang juga berminat menjadi pengacara dan pelakon itu berkata, dia akan berbincang dengan mentornya supaya mampu menjadi lebih baik. Malah, dia juga mempunyai impian untuk menjadi seorang penghibur seperti mentornya itu.

Kontroversi Tisha

Keadaan kesihatan protege asal Ferhad iaitu Salwani Sawi atau Wanie yang tidak mengizinkan menyebabkan penyanyi terkenal dari Singapura itu terpaksa memilih seorang pengganti dari senarai peserta Top 3 yang menjalani uji bakat dan Tisha menjadi pilihan.

Mengenali pemilik nama penuh Shanorbiah Shamsir Alam, 26, dia sebelum ini pernah menempa nama melalui sebuah lagi program nyanyian realiti ntv7, Audition, yang berlangsung pada tahun 2004.

"Rasa macam tak percaya sebab pada mulanya saya tidak terpilih. Saya mendapat panggilan daripada kru TV3 yang memaklumkan tentang apa telah berlaku pada Wanie. Saya amat bersyukur diberi peluang kali kedua. Sama ada saya ini pilihan pertama atau kedua, ia tidak menjadi isu. Asalkan kita mendapat peluang ini dan gunakannya sebaik mungkin," ujarnya.

Ditanya mengenai apakah strateginya untuk bersaing dengan peserta lain, kata Tisha: "Saya anggap ia sebagai satu cabaran. Tisha berharap dengan peluang ini, Tisha dapat satu platform untuk terus maju."

Tidak berjaya menyerlahkan bakat ketika menyertai Audition, Tisha ditebak dengan soalan sama ada bakatnya juga tidak akan menyerlah biarpun sudah menyertai Mentor 6?

"Dahulu, tiada siapa yang ajar Tisha tentang selok-belok bidang seni. Tisha berharap selepas keluar Mentor 6 ada syarikat yang mampu membimbing dan menguruskan karier Tisha. Alhamdulillah buat masa ini, Tisha sudah menerima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman," ungkapnya yang enggan memberitahu lebih lanjut mengenai tawaran tersebut.

Caroline kesayangan Ella

Protege Ella iaitu Puteri Caroline Mohd. Kamel atau Caroline, 20, pula mengakui hubungannya dengan ratu rock itu seperti adik-beradik sehingga boleh berkongsi rahsia sejak mereka bekerjasama.

"Ella seorang mentor yang sangat memahami. Dia sangat terbuka dan saya boleh kongsi apa jua masalah dengannya. Awal-awal lagi semasa saya dipilih sebagai protege, dia sudah memberitahu bahawa dia tidak mahu ada sebarang rahsia di antara kami," kongsi Caroline.

Tambahnya, kehadiran Ella dalam hidupnya juga telah membuatkan dia lebih bersemangat untuk mengejar impian sebagai seorang penyanyi profesional.

"Saya harap sangat Ella akan terus membimbing saya selepas tamat Mentor 6 kelak. Saya juga akan pastikan diri saya akan terus bertahan dalam bidang muzik kerana ini adalah cita-cita saya," ujarnya penuh semangat.

KJ terima kritikan

Protege kepada Adam AF2 iaitu Abdul Kadir Unding Lana atau KJ, 24, pula menjadikan segala kritikan yang diraihnya sebagai suatu kekuatan untuk terus memperbaiki diri untuk sukses.

"Setiap kritikan yang diberikan tidak kira sama ada daripada juri atau peminat saya akan terima. Tak perlu balas dan bermasam muka kerana daripada kritikan itu saya boleh tahu apa kelemahan saya dan memperbaikinya. Bukan mudah untuk menyanyi sambil menari. Ia memerlukan stamina yang tinggi," ulasnya merujuk kepada kritikan yang mendakwa dia kurang berbakat dalam nyanyian berbanding tarian.

Sementelah, dia pernah menyertai program Showdown 2010 dan 2011 masing-masing kletika bersama grup tarian Borneo Crew dan Borneo Soul Breakers.

Mengulas mengenai perancangan masa depannya, akui KJ: "Buat masa ini memang saya ada perancangan untuk berkolaborasi dengan Adam selepas tamat Mentor 6. Namun jika bidang nyanyian tidak begitu sukses, saya akan buka studio tarian bersama kakak saya."

Tyra pecat Nigel, Miss J, Mr Jay

Posted:

Tyra pecat Nigel, Miss J, Mr Jay

Tyra pecat Nigel, Miss J, Mr Jay


DARI kiri: Nigel Barker, J. Alexander dan Jay Manuel.


PROGRAM realiti televisyen yang memaparkan kisah tentang pencarian model terunggul di Amerika Syarikat, America's Next Top Model memang cukup sinonim dengan penerbitnya yang juga mentor, Tyra Banks serta tiga orang pengkritik tetapnya, Nigel Barker, J. Alexander dan Jay Manuel.

Sejak tahun 2003, mereka berempat sudah menjadi seperti satu item. Namun Tyra telah membuat keputusan untuk memecat Nigel, J. Alexander yang digelar Miss J dan Jay Manual yang dipanggil Mr. Jay daripada terus bersamanya dalam musim terkini yang juga merupakan siri ke-18.

"Kepada Nigel Barker, Miss J, and Mr. Jay, terima kasih kerana telah bersama saya untuk beberapa tahun lalu dalam program America's Next Top Model. Kerja bersama kalian adalah sesuatu yang mengujakan dan saya menanti untuk kita bekerjasama lagi pada masa akan datang," tulis Tyra menerusi Facebook peribadinya.

Nigel, 39, yang merupakan seorang jurugambar profesional, Miss J, 53, guru peragaan pentas dan Mr. Jay, 39, pengarah kreatif bagaimanapun bukan kumpulan pertama yang ditamatkan perkhidmatan mereka daripada program tersebut.

Selain mereka, bekas model Janice Dickinson, Kimora Lee Simmons, Twiggy, Paulina Porizkova, Andre Leon Talley, Beau Quillian, Eric Nicholson dan Nole Marin pernah menjadi juri dalam program tersebut sebelum ini.

Peringatan buat Najwa

Posted:

Peringatan buat Najwa

Peringatan buat Najwa

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

NAJWA bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.


SINGLE pertamanya, Cinta Muka Buku, telah mempopularkan namanya. Namun, sejak awal pembabitan Najwa Latif sebagai penyanyi, wujud segelintir pihak yang mempersoalkan tentang gubahan muziknya yang didakwa sebagai terlalu santai dan tidak matang.

Selain itu, cara dia berfesyen juga menjadi kritikan. Bermula dengan persembahan pada Anugerah Industri Muzik ke 18 (AIM18) sehingga kemunculannya dalam sebuah acara hiburan baru-baru ini, fesyen yang digayakan Najwa meraih kritikan negatif.

Dia dikatakan telah menjadi mangsa fesyen dalam setiap majlis hiburan yang dihadirinya.

Biar sering dikritik, namun itu tidak membuat dia kurang tawaran membuat persembahan atau menerima tawaran menjadi duta. Terkini, Najwa telah dilantik untuk menjadi duta sebuah portal pembelajaran, Uniqliq Sdn. Bhd.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama penyanyi berusia 17 tahun ini.

Kosmo!: Apakah perasaan Najwa terpilih sebagai duta Uniqliq?

NAJWA: Saya berasa seronok kerana telah diberi tanggungjawab untuk menjadi duta Uniqliq. Sebenarnya sebagai seorang pelajar, saya sendiri selalu menggunakan portal sebagai salah satu alternatif pembelajaran. Maka apabila saya menjadi duta mereka, saya akan lebih kerap manfaatkan portal untuk mengulang kaji. Selain itu, saya juga dapat mengajak rakan-rakan sebaya untuk menggunakan kaedah pembelajaran melalui portal Uniqliq.

Apakah keunikan Uniqliq?

Ia sangat mudah dan menarik. Bagi diri saya sendiri yang mempunyai jadual yang agak sibuk, Uniqliq sangat berkesan sebagai medium untuk mengulang kaji pelajaran.

Boleh komen tentang kritikan terhadap cara Najwa berfesyen. Banyak yang berpendapat, cara anda berfesyen tidak sesuai dengan usia dan kelihatan canggung.

Saya bukan lahir dari keluarga yang tahu mengenai fesyen. Saya sendiri lebih selesa dengan jean, baju-T, baju sejuk dan tudung bawal bila keluar rumah. Jadi, mungkin fesyen merupakan salah satu kelemahan saya. Tapi, saya akan cuba memperbaiki diri saya. Kritikan seperti ini saya ambil sebagai peringatan dan berubah untuk menjadi lebih baik.

Ada gosip mendakwa anda sebenarnya cerewet dalam memilih fesyen, tidak mahu terima cadangan pereka fesyen untuk anda. Malah kalau anda tidak suka, anda akan tukar sendiri fesyen yang sudah diberikan. Benarkah begitu?

Oleh kerana tidak arif dalam bidang ini, saya memberi sepenuh kepercayaan kepada pereka fesyen. Mereka tahu apa yang saya mahukan. Apa yang saya atau kakak saya selalu pentingkan sudah tentu kesesuaian fesyen dengan penampilan saya yang bertudung ini.

Dalam pada itu, adakah lirik lagu terbaharu anda, Kosong ditujukan buat para pengkritik anda?

Menyentuh tentang lirik, orang yang layak menjawab soalan tersebut sudah tentu kakak saya kerana dia yang menulis lirik tersebut. Bagi saya, lirik lagu Kosong ada pelbagai maksud dan boleh diletakkan dalam pelbagai situasi, bergantung bagaimana kita melihat sisi lirik lagu tersebut. Ia sebenarnya juga mengenai pengalaman hidup dan saya menganggap lirik ini sebagai pembakar semangat supaya kita tak mudah putus asa dan kejar cita-cita kita walaupun orang sekeliling cuba untuk meruntuhkan semangat kita.

Bagaimana dengan kritikan bahawa muzik Najwa terlalu santai dan tidak matang?

Apa sahaja kritikan orang mengenai lagu-lagu saya, saya ambil sebagai satu kritikan membina dan positif. Namun, saya berbangga dengan karya saya, setiap satu lagu dan lirik saya, kerana itu yang menjadikan siapa Najwa Latif sekarang. Namun, saya tetap mahu menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

Anda juga didakwa sombong dan kurang mesra. Apa sebabnya?

Mungkin ada orang yang menyapa saya, tapi saya tak perasan dan sebagainya. Mungkin kerana itu orang menganggap saya sombong atau kurang mesra. Cukuplah diri sendiri, keluarga dan mereka yang mengenali saya tahu siapa saya. Saya ambil semua teguran sebagai satu peringatan dan lebih berhati-hati kelak.

Perkembangan terkini anda?

Saya baru sahaja muncul dengan album mini baharu yang berjudul Najwa Latif dan boleh didapati di kedai muzik yang berdekatan dengan harga RM19.90. Terdapat lima buah lagu dalam album mini tersebut termasuklah Cinta Muka Buku, Carta Hati dan Kosong serta dua lagu baru iaitu I Love You dan Sahabat. Saya juga sudah mula berehat daripada melakukan persembahan kerana ingin memberi fokus terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan saya duduki pada tahun ini.