Hip
TERGAMAM, teruja, terkejut dan hilang kata-kata buat seketika sebaik saja wanita yang selama ini menjadi idolanya kini berdiri di depan mata. Malah berkali-kali dia meyakinkan dirinya bahawa yang berada di hadapannya itu adalah Aung San Suu Kyi, pejuang demokrasi terkenal Myanmar itu.
Sukar untuk mempercayai bahawa satu hari nanti peluang keemasan itu tiba juga akhirnya. Sebaik saja diberi mandat untuk membawakan watak sebagai pejuang kontroversi itu, aktres terkenal antarabangsa kelahiran Malaysia, Datuk Michelle Yeoh sememangnya menyimpan angan-angan untuk bertentang mata dengan Suu Kyi.
Justeru, apabila berpeluang bertemu dengan Suu Kyi menjelma di depan mata, Yeoh dalam nada teruja mengakui membuat persiapan rapi, fizikal dan mental. Sepanjang pertemuan itu, banyak perkara yang diperbualkan dan kebanyakannya lebih kepada semangat perjuangan serta pengorbanannya sebagai seorang ibu dan isteri.
"Lebih menyentuh perasaan apabila saya berpeluang menyaksikan sendiri pertemuan antara ibu dan anaknya yang sudah terpisah lebih 10 tahun. Sepanjang pembikinan skrip filem ini, kami banyak dibantu oleh anak Suu Kyi iaitu Kim dari segi mendapatkan maklumat selain kaji selidik yang kami buat sendiri.
"Manakala anak sulungnya Alexander tidak mahu terbabit langsung dan kami amat menghormati pendiriannya itu," terang pelakon yang pernah muncul dalam filem James Bond: Tommorow Never Dies, Memoirs of Geisha, Crouching Tiger, dan Hiden Dragon ini.
Berkongsi cabaran yang terpaksa dilalui bagi membawakan watak ini, Yeoh berkata selain perlu belajar bahawa Myanmar, beliau juga perlu mendapatkan bentuk tubuh yang sama dengan pemimpin itu.
"Katalah saya perlu berada di lokasi dalam jam 6 pagi. Pukul 4 pagi saya sudah bangun untuk bersenam.
Sepanjang tempoh itu juga menjalani diet dengan hanya memakan ikan kukus. Itu semua bagi mendapatkan bentuk tubuh dan postur yang sama dengan Suu Kyi.
"Cabaran lain yang perlu saya hadapi adalah belajar bahawa Myanmar. Saya masih teringat babak yang memerlukan saya berucap di depan khalayak dan ia perlu dilakukan dengan sekali 'take' saja kerana isi kandung teks ucapan itu terlalu emosional buat rakyat Myanmar.
"Tiba-tiba pengarah meminta saya mengulangi semula babak tadi kerana seorang lelaki yang berdiri di sebelah saya menangis tak henti-henti.
Dari situ saya sedar bahawa kita bukan saja sekadar mempelajari bahasa tetapi perlu menghayatinya," katanya.
Ditanya mengapakah memilih untuk membawakan watak itu, Yeoh berkata inilah masanya untuk membuktikan bahawa pelakon Asia juga mampu membuat sesuatu yang boleh membanggakan dunia.
"Sebelum ini pelakon Asia sering dilabel sebagai stereotype.
Jadi sebaik saja mendapat tahu ada pihak yang ingin menghasilkan sebuah filem mengenai Suu Kyi, saya menyuruh ejen saya di Los Angeles menghubungi pihak itu.
"Sebagai idola, saya memang teringin membawakan watak itu.
Takkanlah watak ikon Asia seperti itu perlu diberikan kepada Nicole Kidman? Memang tak sesuai,"tegasnya.
Disebabkan filem ini mempunyai elemen politik di dalamnya, beliau turut ditanya apakah mempunyai kecenderungan untuk menceburi bidang itu?
"Jiwa saya memang tidak ke arah itu (politik). Saya mahu kekal menjadi pelakon. Lagipun bukan mudah untuk menjadi ahli politik.
Mereka perlu mendengar segala pendapat orang.
"Biarlah tugas itu diberikan kepada mereka yang layak. Dunia saya lebih kepada alam sekitar dan sebagainya," katanya.
Filem The Lady yang diarahkan oleh Luc Besson ini bukanlah semata-mata berkisar kepada pergolakan politik di Myanmar tetapi ia lebih kepada kisah cinta epik membabitkan pasangan yang terpaksa mengorbankan kebahagiaan mereka dan juga keluarga demi sebuah tujuan yang lebih murni.
Ini adalah cerita mengenai Aung San Suu Kyi dan suaminya, Michael Aris. Walaupun jarak menjadi pemisah serta isu politik yang hampir meragut nyawa, namun cinta mereka tetap kekal dan utuh. Suu Kyi adalah lambang emansipasi seorang wanita yang sanggup mengenepikan kepentingan diri demi negara yang dicintainya.
Turut membintangi filem ini ialah David Thewlis, Jonathan Raggett dan Jonathan Woodhouse.