Adsense

Rabu, 25 April 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Putus Tunang Bukan Penyebab Akmar (AF3) Segerakan Pernikahan

Posted: 25 Apr 2012 06:42 PM PDT

Akma (AF3) 
PETALING JAYA: Bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga, Akma berkata langkah untuk menyegerakan pernikahannya yang dijadualkan pada hujung Jun depan bukan kerana serik akibat pernah putus tunang.
Akma atau nama sebenarnya Asiahtunakma Abdullah, 27, berkata keputusan itu dibuat kerana segala perancangan dan persiapan ke arah itu dilihat dengan berjalan lancar.
"Saya mahu menyegerakan majlis pernikahan pada hujung Jun depan bukan sebab saya berasa serik apabila perancangan untuk bertunang sebelum ini pernah terbatal.
"Secara kebetulan, perjalanan majlis merisik pada Mac lalu berjalan dengan baik sekali sehingga kami memutuskan untuk bertunang pada 6 Mei ini dan bernikah pula pada hujung Jun depan," katanya ketika dihubungi petang Rabu.
Akma mengenali lelaki bernama Farih kira-kira lima tahun lalu. Hubungan mereka mula rapat sejak lelaki itu pulang dari Melbourne, Australia selepas menamatkan pengajian di negara tersebut kira-kira setahun yang lalu.
Berkongsi mengenai bakal tunangnya yang bekerja sebagai eksekutif di Petronas itu Akma berkata, faktor usia yang hanya berbeza setahun tidak menjadi masalah buatnya kerana kematangan dan sikap bertanggungjawab lelaki itu.
"Walaupun jarak usia kami hanya berselang setahun, saya dapati dia (Farih) seorang yang matang melebihi umurnya. Sifatnya yang rapat dengan keluarga memberikan keyakinan untuk saya memilih dia sebagai calon suami.
"Menariknya, dia juga seorang yang kelakar dan bijak mengambil hati keluarga saya," katanya yang mendapat tajaan ketiga-tiga majlis itu daripada Butik Chantik.
Ditanya mengenai perkembangan terbaru, Akma kini mengajar kursus vokal di One Music Academy Malaysia di Subang sejak tiga bulan lalu.
"Saya mengajar secara separuh masa kerana memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah vokal. Naluri saya memang suka mengajar.
"Pendapatan saya mengajar ini dapat menambahkan lagi sumber kewangan saya," katanya yang kini terlibat dalam Karnival Mesra Belia Satu Felda Satu Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada setiap hujung minggu.

- ---

Sheila Majid Tidak Ambil Botoks

Posted: 25 Apr 2012 06:40 PM PDT

Sheila Majid
KUALA LUMPUR: Penyanyi versatil, Datuk Sheila Majid mengakui tidak pernah mengamalkan pengambilan botoks untuk kelihatan cantik kerana cara itu adalah salah dan haram di sisi agama Islam.
Sheila,47, berkata, suntikan botoks mengandungi bahan yang berbahaya dan boleh memberi kesan sampingan kepada semua wanita yang mengambilnya.
"Kalau kita ambil botoks, kita tidak tahu apa akan jadi kepada wajah kita pada 20 tahun akan datang. Saya menasihati kepada anda semua tidak menggunakan botoks," katanya.
Sheila berkata demikian apabila ditanya oleh seorang peminat adakah beliau mengambil suntikan botoks untuk kelihatan cantik pada majlis Minggu Setiausaha yang diadakan di Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur, di sini, Rabu.
Kira-kira 200 tetamu menghadiri majlis makan tengah hari itu yang dikendalikan oleh pengacara Dee.
Dalam masa yang sama penyanyi itu turut berkongsi petua untuk kelihatan cergas dengan melakukan senaman serta memilih makanan berkhasiat setiap hari.
Katanya, langkah itu bukan sahaja perlu diterap kepada diri sendiri tetapi juga kepada anak-anak.
"Saya mengajar anak-anak saya supaya mengambil makanan yang berkhasiat agar mereka membesar dengan sihat," ujarnya.
Terdahulu beliau muncul dengan lagu Dia membuka tirai persembahannya bagi menghiburkan para setiausaha yang hadir bersama bos masing-masing.
Selain lagu itu, Sheila turut menyanyikan lagu Ku Mohon, Can't Take My Eyes, Legenda, Antara Ayer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Sinaran dan Warna.
Persembahan Sheila berjaya memikat hati kerana keupayaan beliau berkomunikasi dengan para peminatnya.

- ---

Anggap Sudah Tua, Normala Enggan Jadi Pengacara

Posted: 25 Apr 2012 06:39 PM PDT

Normala Samsuddin 
KUALA LUMPUR: Bekas personaliti TV3, Datin Seri Normala Samsuddin nekad meninggalkan terus dunia glamor dan enggan bergelar seorang pengacara jika ditawarkan oleh mana-mana pihak.
Normala berkata, beliau merasakan zamannya sudah berakhir dan ingin memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga dan keluarga.
"Saya sudah tua dan rasanya tak payah la lagi muncul sebagai pengacara. Beri pula kepada muka-muka baru.
"Tambahan pula saya kini gembira dengan kehidupan sebagai seorang isteri, ibu dan nenek. Ia adalah perkara terbaik dan terpenting dalam hidup saya kini," ujarnya  pada majlis memperkenalkan 20 Finalis Program On Air di sini pada Rabu.
Ujarnya, komitmen yang diperlukan sebagai seorang pengacara adalah antara faktor beliau enggan kembali menjadi pengacara walaupun banyak tawaran diberikan kepadanya.
"Saya bukannya seorang wanita muda yang boleh bergerak ke sana ke mari dengan pantas kerana bidang ini memerlukan komitmen yang tinggi.
"Daripada menimbulkan masalah kemudian hari lebih baik kita elakkan," ujarnya.
Dalam pada itu, Normala menolak dakwaan beliau tidak mahu untuk muncul dalam dunia penyiaran kerana dihalang oleh suaminya, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitariaitu, Datuk Seri Azmi Khalid.
"Suami tidak pernah menghalang cuma tidak begitu menggalakkan saya untuk terus tampil di televisyen. Bagaimanapun keputusan ini saya buat atas pilihan sendiri dengan panduan daripada suami," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya sebagai juri tetap program On Air, Normala memberitahu, Aznil Nawawi telah memintanya menjadi sebahagian daripada individu untuk terlibat dalam rancangan realiti itu selepas menjadi juri jemputan pada uji bakat sebelum ini.
Normala berkata, dia bersetuju untuk menyertai selepas mendapat keizinan daripada suaminya.
"Suami setuju saya terlibat kerana saya menjadi juri dan bukannya menghoskan program itu.
"Saya bagaimanapun teruja untuk berkongsi pengalaman bersama-sama peserta terpilih nanti, katanya.
Normala akan muncul dalam program Studio On Air pada setiap hari Ahad pukul 10 malam bermula 27 Mei ini di saluran Astro Ria.

- ---

Dunia Hiburan Banyak Kerenah, Maulana Bawa Diri Ke U.K

Posted: 25 Apr 2012 06:38 PM PDT

Maulana
PETALING JAYA: Penyanyi Maulana (AF8) mahu membawa diri ke United Kingdom (U.K) pada tahun ini selepas kecewa dengan kerenah industri hiburan tempatan.
Penyanyi lagu RSVP ini berkata, keputusan itu sudah lama dipertimbangkan sejak dia mula menyedari kedudukannya sebagai penyanyi yang tidak stabil dan terumbang-ambing.
"Saya berasa terkilan apabila melihat keadaan industri muzik tempatan yang terlalu banyak kerenah tetapi kurang menyokong perkembangan bakat-bakat pelapis.
"Realitinya, amalan kronisme di kalangan penggiat dan penganjur acara hiburan kita hanya memberikan peluang kepada muka-muka yang sama. Sekalipun artis berkenaan kurang berbakat tetapi atas dasar hubungan akrab, mereka akan dapat tawaran demi tawaran.
"Saya tidak mempertikaikan peluang yang diterima artis-artis lain kerana itu adalah rezeki masing-masing tetapi saya sendiri berasa seperti disisihkan dan sukar untuk berkembang dalam keadaan yang positif dalam industri sendiri," katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.
Penyanyi berusia 24 tahun itu berkata, dia mahu mencabar dirinya dengan mencari peluang di negara berkenaan selepas pernah terpilih dalam peringkat pertama uji bakat program nyanyian X Factorpada hujung Januari lalu.
"Saya mahu menguji pasaran dan penerimaan orang luar terhadap bakat saya. Kejayaan saya apabila layak mara ke peringkat kedua uji bakat program X Factor di U.K pada Januari lalu membuktikan saya mungkin berpeluang untuk mengembangkan bakat negara itu.
"Namun, saya terpaksa lepaskan peluang tersebut kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk berulang-alik ke sana. Secara kebetulan juga saya mempunyai saudara-mara dan kenalan untuk saya menumpang bagi membolehkan saya mencari peluang untuk memulakan karier nyanyian," katanya.
Maulana menambah, selain hasrat itu, dia turut merancang untuk memulakan perniagaan restoran makanan Melayu di U.K.
"Alang-alang hendak mencari peluang nyanyian di sana, saya dan keluarga merancang untuk memulakan perniagaan restoran. Secara kebetulan, saya mempunyai pakcik dan beberapa kenalan yang boleh membantu," katanya.

- ---