Adsense

Isnin, 16 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tak mahu popular di YouTube

Posted:

Tak mahu popular di YouTube

Tak mahu popular di YouTube

KONSERT Reunion Cromok sempena ulang tahun ke-25 band thrash metal itu yang berlangsung di KL Life, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Ahad lalu mungkin bukan konsert terhebat yang pernah diadakan oleh Cromok. Ini kerana Cromok pernah menerima kehadiran seramai 20,000 peminat ketika mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada era kegemilangan band yang ditubuhkan pada tahun 1987 itu.

Namun apa yang pasti, hampir 2,000 peminat yang hadir ke konsert Cromok di KL Life Ahad lalu akhirnya dapat melepaskan kerinduan untuk menyaksikan kemunculan semula tiga tonggak utama kumpulan itu iaitu Khairul Anuar Shariff (Karl), Shamsudin Ali (Sam) dan Tarmizi Mokhtar (Miji) beraksi setelah 15 tahun mereka tidak mengadakan konsert yang berskala besar.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Cromok adalah legenda muzik thrash metal Malaysia yang hebat dengan melodi gitar solo kompleks.

Biarpun tidak menerima liputan promosi yang meluas daripada stesen radio mahupun televisyen kerana stigma negatif yang mengatakan muzik thrash metal yang dibawa mereka berunsurkan kebaratan, ternyata aura trio yang menggabungkan Karl sebagai gitaris, Sam (bass) dan Miji (drum) masih mampu menarik ribuan peminat muzik tersebut.

Buktinya, dataran KL Life sudah mula dibanjiri oleh peminat thrasher dan metalheadbangerz yang rata-ratanya berpakaian serba hitam seawal pukul 3 petang lagi.

Tiga kumpulan jemputan iaitu Nuclear Strikes, Langsuyr dan Metalasia terlebih dahulu mengadakan persembahan sebelum Cromok mengambil alih pentas KL Life sepenuhnya pada pukul 7 petang.

Ternyata Cromok bijak mengambil mood para peminatnya apabila memilih lagu Ulek Mayang sebagai lagu pembukaan mereka pada malam itu. Lagu genre Metallurgical yang turut disuntik dengan irama lagu tradisional Ulek Mayang itu pernah menjadi lagu paling digilai peminat Cromok menerusi kemunculan album pertama mereka, Image of Purity pada tahun 1991.

Walaupun peminat muzik tanah air masih janggal dengan lahirnya sebuah band trash metal pada tahun itu, album tersebut mendapat sambutan menggalakkan sehingga terjual lebih 70,000 unit sebaik ia dikeluarkan.

Dalam konsert yang penuh emosi antara peminat yang begitu merindui persembahan mereka dan kerinduan Cromok sendiri untuk beraksi, mereka telah menyanyikan sebanyak 19 buah lagu terutamanya menerusi tiga album mereka iaitu Image of Purity, Forever In Time (1993) dan Yours Truly (1996) pada konsert reunion pada malam itu.

Ternyata setelah lama tidak beraksi di atas pentas, Sam mengakui merasa begitu lega dan begitu berpuas hati dengan sambutan peminat terhadap Cromok. Namun, ada sesuatu yang membuatnya berasa terkilan.

"Dalam proses pembikinan konsert, ada sahaja benda-benda kecil yang mengganggu perjalanannya. Namun, Alhamdulillah ia tak mengganggu kami untuk meneruskan persembahan," ujarnya yang enggan mengulas lanjut mengenai gangguan-gangguan yang dimaksudkannya.

Pilih dangdut

TENAGA ketukan dram Cromok disuntik oleh Miji.


Selain lagu-lagu daripada sembilan album mereka, Cromok membuat kejutan apabila menyanyikan sebuah lagu dangdut berjudul Ghibah.

Menganggap lagu popular dari Indonesia itu seperti lagu milik Cromok sendiri, Sam memberitahu, lagu yang pernah dipopularkan oleh Rhoma Irama itu telah ditukar menjadi sebuah lagu thrash metal sesuai dengan muzik Cromok.

"Sebenarnya lagu Ghibah pertama kali kami persembahkan kepada peminat di Malaysia. Cromok pernah menyanyikan lagu tersebut ketika mengadakan persembahan di Sydney, Australia pada tahun 1988. Lagu tersebut digemari lebih-lebih lagi apabila lengguknya ditukar pada thrashmetal," jelasnya.

Ditanya sama ada Cromok akan mengadakan konsert jelajah atau mengeluarkan album baharu selepas ini, ujar Sam, mereka belum ada perancangan lagi untuk mengadakan konsert jelajah atau mengeluarkan album.

Apa yang pasti, konsert reunion Cromok itu diadakan sempena ulang tahun ke-25 kumpulan itu dan juga demi merealisasikan permintaan peminat yang sudah lama meminta mereka kembali beraksi.

"Kami cuma rancang buat konsert reunion ini sahaja. Kami buat konsert ini demi peminat. Kalau ikut hati, sebenarnya kami sudah mahu pencen menyanyi. Duduk rumah jaga anak dan keluarga. Tidak ada sebarang perancangan lain di masa hadapan tentang perkembangan kami, tapi tengoklah macam mana nanti," ulasnya.

Ditebak soalan adakah Cromok ingin 'pencen' daripada memperjuangkan muzik thrash metal kerana stigma negatif masyarakat terhadap muzik itu, dedah Sam, ada yang beranggapan muzik heavy metal dikaitkan dengan jenayah dan dadah tetapi bagi dia dan ahli Cromok sendiri mereka bersih daripada perkara tersebut.

"Cromok perjuangkan muzik thrash metal kerana kami sukakan muzik ini. Muzik ini ada rentak dan alunan yang begitu menarik. Kami buat muzik bukan meniru thrash metal sebenar negara barat tetapi mengadunkan elemen muzik thrash metal dengan muzik tempatan.

"Kami masih bertahan dalam industri muzik kerana peminat yang menyukai muzik yang dibawa oleh kami," tuturnya mengenai muzik Cromok yang disalah anggap sesetengah pihak.

Berkongsi tentang resepi kejayaan mereka dalam memperjuangkan muzik thrash metal, menurut Sam, ada peminat yang mengatakan mereka berjaya membentuk identiti kumpulan sendiri melalui bunyi (riffing keras dan laju, vokal teutonic dan solo harmoni).

"Peminat juga mengatakan muzik yang dibawa kami unik dan mereka menggemarinya," ujarnya.

YouTube

Selepas berlangsungnya konsert reunion Cromok, Karl dikatakan mengeluarkan amarahnya di dalam facebook mengenai konsert reunion mereka.

Karl meluahkan kekesalannya akibat sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak dalam mencuri hak cipta dan hak pemuzik dengan memuat naik rakaman konsert reunion Cromok yang berlangsung di KL Life menerusi YouTube.

CROMOK membuktikan mereka masih legenda muzik thrash metal Malaysia yang hebat dengan melodi gitar solo kompleks.


Ditanya akan hal itu kepada Sam, luahnya, tindakan tersebut sememangnya salah.

"Sebagai orang yang memperjuangkan muzik, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil rakaman tersebut dan memuat naik di laman sosial YouTube.

"Ia ada keburukan dan kebaikannya. Kebaikannya penyanyi boleh popular menerusi laman sosial itu seperti penyanyi Zee Avi, tetapi kami tidak memerlukan cara begitu (muncul di YouTube). Banyak saluran dan cara lain yang lebih sesuai untuk kami," ungkapnya.

Demam, Anuar Zain tetap hebat

Posted:

Demam, Anuar Zain tetap hebat

Demam, Anuar Zain tetap hebat

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


DIKERUMUNI peminat wanita merupakan sesuatu yang lumrah buat Anuar Zain.


SETIAP kali sambutan Minggu Setiausaha yang biasanya diraikan pada bulan April setiap tahun, penyanyi popular Anuar Zain antara yang menjadi kegemaran menghiburkan para setiausaha.

Pada 10 April lalu, kira-kira 1,000 peminatnya yang terdiri di kalangan setiausaha telah berpeluang menyaksikan persembahan penyanyi berusia 42 tahun itu pada acara Anuar Zain Secretaries Week 2012 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Selain menikmati makanan tengah hari yang disediakan, para peminat yang hadir turut didendangkan dengan dendangan beberapa buah lagu popular yang dinyanyikan oleh penyanyi berkenaan.

Antara lagu yang dinyanyikan adalah Keabadian Cinta, Sesuci Cintamu, Bila Resah, Ajari Aku, Sedetik Lebih, Semua Untukmu, Ku Berjanji Karna Cinta, Suria dan Siara serta sebuah lagu Inggeris berjudul Saving All My Love For You sempena tribute buat mendiang Whitney Houston.

Ketika ditemui selepas usai persembahan, Anuar meluahkan rasa lega kerana masih mampu menghiburkan tetamu yang hadir, biarpun dirinya berada dalam keadaan yang kurang sihat.

"Pada mulanya saya cukup risau kerana demam dan takut akan menjejaskan persembahan saya, namun demi peminat saya lupakan keadaan kesihatan semata-mata untuk tidak mahu menghampakan mereka.

"Bagaimanapun, saya gembira dan bersyukur kerana maklum balas yang diterima daripada peminat yang datang sangat positif, walaupun saya akui tidak dapat tampil dengan persembahan yang terbaik kerana keadaan kesihatan yang kurang memuaskan," ujarnya.

Menariknya, peminat yang hadir bukan sahaja telah dihiburkan dengan lagu-lagu popular yang didendangkan Anuar, malah mereka turut berpeluang untuk beramah mesra dan bergambar dengan penyanyi tersebut.

Memulakan persembahan pada pukul 2 petang dan berakhir dua jam kemudian, selepas itu penyanyi yang juga adik kepada Ziana Zain itu turut meluangkan masa bersama tetamu sehingga pukul 9 malam.

"Selalunya dalam setiap persembahan sempena Minggu Setiausaha yang dijayakan, sudah tentu akan ada sesi bersama tetamu yang hadir dan inilah peluang terbaik untuk saya beramah mesra dengan mereka.

"Saya akan melayan sehingga tetamu yang terakhir dan tidak kisah kalau sesi tersebut berlangsung dalam tempoh yang agak lama. Lagipun saya harus memikirkan tetamu yang sanggup membayar harga tiket yang cukup mahal dan seharusnya mereka perlu dilayan sebaik mungkin," jelasnya.

Maggie jelmaan anak Presiden Amerika

Posted:

Maggie jelmaan anak Presiden Amerika

Maggie jelmaan anak Presiden Amerika


MAGGIE GRACE mengakui teruja membintangi filem Lockout.


MAGGIE GRACE cukup sinonim dengan karakter seorang anak perempuan yang dilanda stres. Aktres yang pernah membintangi siri popular Lost itu sebelum ini cukup menonjol dalam watak lakonannya untuk filem Taken (2008), yang mana dia juga akan kembali muncul untuk sekuelnya, Taken 2 yang bakal menjengah pawagam menjelang bulan September tahun ini.

Menerusi filem terbaharunya, Lockout yang bakal ditayangkan di pawagam Malaysia menjelang 19 April ini, Maggie melakonkan watak Emilie Warnout iaitu anak Presiden Amerika Syarikat.

"Saya sememangnya mempunyai sejarah yang panjang dalam melakonkan karakter seorang anak perempuan yang bermasalah," akui pelakon watak Irina dalam filem pecah panggung, The Twilight Saga: Breaking Dawn - Part 1 dan sekuelnya, The Twiligt Saga: Breaking Dawn - Part 2 yang kini dalam proses posproduksi.

Menurut Maggie, 28, sewaktu pertama kali membaca skrip filem yang berlatarkan dunia pada tahun 2047 itu, dia terus sahaja berasa teruja untuk membintanginya.

Lockout yang diarahkan oleh Luc Besson itu menampilkan aktor Guy Pierce untuk karakter hero bernama Snow, iaitu bekas ejen perisikan CIA yang difitnah sebagai dalang konspirasi gelap bagi menghancurkan kerajaan Amerika Syarikat tetapi diberi pengampunan dengan syarat dia perlu menyelamatkan Emilie yang dijadikan tebusan di penjara sebuah stesen angkasa.

Katanya: "Lockout mengingatkan saya kepada filem-filem yang saya gemar tontoni satu ketika dahulu yang mana ia tidak terlalu serius tetapi turut terselit unsur humor. Saya benar-benar teruja membaca skrip Lockout, malah ternanti-nanti tarikh bermulanya penggambarannya."

Menyentuh mengenai persediaan yang dilakukan untuk melakonkan karakter lakonannya itu, akui Maggie dia sememangnya tidak mengkaji tentang kehidupan sebenar anak-anak Presiden Amerika Syarikat.

"Namun saya begitu mengagumi cara Chelsea Clinton (anak perempuan bekas Presiden Amerika Syarikat ke-42, Bill Clinton) atau Laura Bush (anak perempuan bekas Presiden Amerika Syarikat ke-43, George Bush) menjalani kehidupan masing-masing," tegasnya.

Bercerita tentang watak Snow ujar Maggie, lelaki itu lebih kelihatan seperti seorang penyangak berbanding wira.

"Dia gemar mencemuh, tidak ikhlas, suka memberi komen-komen berbaur sindiran yang pedas. Namun, saya menyukai Snow. Hubungannya dengan Emilie bagaikan satu transaksi, wujud tekanan antara mereka dan tanpa disangka mereka berupaya membentuk regu yang hebat," tuturnya.

Menerusi filem ini juga, Maggie yang kelihatan cukup feminin dari segi fizikalnya itu perlu melakonkan banyak babak aksi pertarungan. Jadi, bagaimanakah dia merealisasikannya?

"Saya sukakan tenaga maskulin. Ketika membesar, ramai kawan baik saya adalah lelaki dan saya suka dikelilingi lelaki-lelaki yang boleh dipanggil abang," ungkapnya.

Tambah Maggie: "Maka bagi saya, latihan pertarungan sangat menyeronokkan. Saya turut menjalani sedikit latihan partarungan supaya dapat mempamerkan lakonan aksi yang mantap dan hidup untuk Lockout."