Adsense

Isnin, 16 April 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Yuna teruja Aaron menang

Posted: 15 Apr 2012 04:09 PM PDT

Hip

Yuna

Yuna

Tidak sangka kekalkan gelaran Penyanyi Wanita Popular ABPBH2011

SAAT namanya diumumkan sebagai pemenang kategori Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian, hanya kelibat anak didiknya saja iaitu Diandra Arjunaidi naik ke atas pentas untuk menerima trofi bagi pihaknya.

Buat julung kalinya pemilik nama penuh Yunalis Zarai atau lebih dikenali dengan panggilan Yuna tidak dapat hadir ke malam kemuncak ABPBH2011 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, 8 April lalu, kerana berada di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS), demi mengejar cita-cita. Meskipun dirinya tidak berada di arena, Yuna tetap mengikuti perkembangan yang berlaku pada malam kemuncak itu meskipun tidak sepenuhnya. Paling mengujakan Yuna apabila aktor kacak yang berjaya mencetuskan fenomena menerusi filem Ombak Rindu dan KL Gangster, Aaron Aziz, dinobatkan Bintang Paling Popular.

"Memang pada awalnya saya memang nak menonton malam kemuncak ABPBH menerusi live stream di laman web ABPBH, tapi saya tertidur. Bagaimanapun, saya sempat juga menyaksikan detik kemenangan Aaron.

"Saya gembira dengan kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular kerana dia memang layak. Aaron pelakon yang berbakat. Kehadirannya nyata mewarnai industri hiburan kita," ujar Yuna.

Mengulas kejayaannya mempertahankan gelaran itu setelah kali pertama memenanginya pada ABPBH2010, Yuna berkata, sejujurnya dia memang tidak menyangka anugerah itu akan kekal berada di tangannya pada kali ini.
"Saya dapat tahu yang saya menang anugerah itu menerusi ibu saya, yang menelefon sebaik saja nama saya diumumkan sebagai pemenang. Memang sangat gembira dan teruja, tapi pada masa sama ,saya memang tak sangka boleh menang.

"Maklum sajalah, persaingan daripada artis lain cukup sengit, terutama Alyah, memandangkan singlenya yang berjudul Kisah Hati memang sangat popular.

"Apa pun, saya bersyukur kepada Tuhan kerana peminat masih mempercayai bakat saya dan masih menyayangi saya. Sebenarnya saya tak menjangka saya boleh menang tahun ini kerana saya selalu ke LA dan jarang berada di Malaysia. Namun, saya selalu mencari peluang untuk berkomunikasi dengan peminat saya di tanah air melalui twitter dan facebook," cerita Yuna menerusi e-mel yang dikirimkan kepada Hip.

Menjelaskan ketidakhadirannya itu, Yuna berkata, dia kini sibuk membuat persiapan terakhir pembikinan album AS yang bakal dilancarkan penghujung bulan ini.

"Memang terkilan kerana tidak berpeluang menghadiri acara itu. Bukan disengajakan, sebaliknya Yuna sedang dalam persiapan terakhir untuk pembikinan album yang diterbitkan produser AS.

"Tak sangka, selepas dua tahun saya di sini, akhirnya album ini siap juga. Memang teruja dan tak sabar untuk melihat hasilnya," ujar Yuna sambil memberitahu, dia juga terbabit membuat persembahan di sebuah program bual bicara kendalian Conan O'Brien, serta bakal membuat persembahan di Lollapalooza.

Bakal kembali ke tanah air pada Mei ini, si penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Terukir Di Bintang ini memberitahu, banyak aktiviti sedang menantinya.

"Antaranya kedai online IAMJETFUELSHOP yang akan dilancarkan pada Mei nanti. Selain itu, saya akan menjalani penggambaran iklan terbaru untuk beberapa produk," katanya.

Air mata iringi pelancaran album

Posted: 15 Apr 2012 04:08 PM PDT

Hip

NORISH bersama tiga anak yang sentiasa menyokong kerjayanya.

NORISH bersama tiga anak yang sentiasa menyokong kerjayanya.

Norish tiada masa bercinta semula kerana sibuk dengan kerjaya seni

TANGISAN mengiringi majlis pelancaran album sulung penyanyi ini di Plaza Mont Kiara, Kuala Lumpur, kelmarin. Entah mengapa, manik jernih milik aktres dan juga pengacara kebal, Norish Karman, menjadi cukup murah petang itu.

Seperti ada sesuatu yang mengusik perasaan wanita tinggi lampai ini apabila dia jadi cukup melankolik sehingga mengalirkan air mata saat menyanyikan lagu yang dimuatkan dalam album solonya itu. Adakah tindakan spontan Norish itu ada kena mengena dengan gosip kurang enak yang dikaitkan dengannya sebelum ini ataupun terkenang kisah lalu, sewaktu masih mengulit bahagia bersama bekas suami. Bagaimanapun saat diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, kisah suka duka di sebalik tabir pembikinan album ini lebih menyentuh hati dan menjadikannya begitu emosional hari itu.

"Kesedihan ini disebabkan saya teringat mereka yang banyak berjasa membantu saya menghasilkan album ini, yang tidak dapat meraikan bersama-sama. Terus terang, bukan mudah untuk saya menerbitkan album ini dan ia mengambil masa agak lama untuk disiapkan.

"Saya buat album ini pun secara berdikit-dikit. Jika ada duit, barulah saya rakam lagu. Memang masalah kewangan menjadi kekangan buat saya dalam penghasilannya. Mujurlah ada rakan yang sudi membantu, sehingga terhasillah album ini," kata Norish ketika ditemui selepas majlis berakhir.

Selain rakan terdekat, turut hadir memberikan sokongan ialah kedua-dua orang tua, serta tiga cahaya matanya.
Disebabkan terlalu lama album berjudul Terus Melangkah itu tertangguh, pernah juga terdetik di hati Norish untuk melupakan saja hasratnya bergelar penyanyi. Dalam erti kata lain, dia sudah berputus asa disebabkan masalah kewangan yang menimpa.

Namun sokongan anak-anak yang tidak pernah jemu meniupkan semangat membuatkan dia mengambil keputusan meneruskan hajatnya.

"Apabila melihat saya putus asa serta seperti tidak berminat untuk meneruskannya, anak-anak yang akan mengembalikan semula kekuatan dengan mengingatkan saya mengenai lagu yang sudah dirakamkan sebelum ini, namun disimpan begitu saja. Melihat kesungguhan mereka, akhirnya saya mengalah," cerita ibu tunggal ini.

Meskipun terpaksa menebalkan muka mencari penaja, namun Norish bersyukur kerana dia dikelilingi keluarga, rakan dan juga peminat yang sanggup bersusah payah dengannya walau dalam apa situasi sekali pun.

"Seperti majlis hari ini, saya ingatkan ia berlangsung dalam keadaan sederhana, tetapi tak sangka pula ia menjadi semeriah begini. Semua ini tidak akan berlaku jika tiada sokongan rakan dalam bentuk penajaan.

"Saya juga ingin memberitahu, semua team saya hari ini, iaitu mereka yang membantu membuat persiapan dari awal hingga akhir, bekerja secara percuma. Saya tak kisah jika ada pihak mengatakan saya sengkek kerana mengharapkan tajaan sana sini, semata-mata kerana album ini, kerana itulah hakikat sebenar. "Apa yang penting, ia berjaya juga dihasilkan atas bantuan mereka dan peminat saya gembira dengan hasilnya," luah pelakon yang mula dikenali menerusi filem Jimi Asmara ini.

Album itu, kata Norish, hanya boleh didapati menerusi pembelian secara dalam talian dengan melayari laman facebook miliknya, serta di lokasi yang bakal dikunjunginya untuk mengadakan persembahan.

Beralih kepada soal peribadi, rasanya ramai yang sudah maklum percintaan aktres ini dengan abang seorang artis wanita sudah pun berakhir. Jika sebelum ini lelaki itu sering menemani Norish dalam apa juga aktiviti seni membabitkan dirinya, namun apa yang tinggal kini hanya memori yang cukup pahit untuk dikenang.

Sebagai seorang yang sudah biasa didampingi lelaki, tidakkah Norish mempunyai keinginan mencari pengganti dan bercinta kembali?

"Buat masa ini saya lebih selesa menumpukan perhatian kepada kerjaya sebagai anak seni.

"Saya sedar fitrah kehidupan memerlukan pasangan. Lelaki perlukan wanita dan begitulah sebaliknya. Cuma dalam hal saya, kesibukan sebagai pelakon dan juga penyanyi membuatkan saya tidak mempunyai masa untuk bercinta. Kalau ada kekasih pun, mesti dia menyampah. Anak-anak saya ini pun, kalau nak jumpa saya terpaksa datang ke lokasi," jelas Norish yang juga teringin mempunyai konsert sendiri satu hari nanti.