Adsense

Isnin, 16 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


2012 tahun kebangkitan semula

Posted: 15 Apr 2012 06:30 AM PDT

SEHINGGA saat ini namanya masih terpahat kukuh di gelanggang seni gara-gara mendalamnya impak lagu Bertakhta Di Hati nyanyiannya. Hakikatnya, alunan suaranya yang indah pada lagu itu malah lebih diingati berbanding dirinya sendiri.

Sekian lama tidak muncul dengan produk terbaru, nama Farahdhiya Mohd Amin, 26, bagaimanapun kembali menjadi bualan apabila gosip mengenai dirinya bakal menjadi isteri kedua seorang ahli perniagaan tersebar.

Sejak itu, gadis kacukan Melayu-Inggeris ini mula diasak media bertanyakan kesahihan desas-desus itu sehingga membuatkan dirinya goyah seketika.

Namun, kegoyahan itu tidak bertahan lama kerana ternyata Farahdhiya seorang yang lantang bersuara dan tidak gentar dengan gosip liar sedemikian. Biar banyak kali diterjah dengan soalan itu, dia tidak sekalipun melenting dan sentiasa menjawabnya secara profesional.


Maka, kesempatan sekali lagi bertemunya pada satu sesi fotografi, baru-baru ini, Rap sekali lagi mengajukan soalan mengenai gosip berkenaan bagi mendapatkan penjelasan daripada mulut Farahdhiya sendiri.


"Saya belum dan tidak pernah berkahwin. Saya bukanlah seorang gadis yang sangat terdesak untuk menjadi isteri kedua dan saya pun pelik bagaimana gosip sebegini boleh tersebar.

"Mengenali Farahdhiya, saya bukan seorang yang suka berkongsi, biar barang-barang apatah lagi untuk berkongsi suami orang. Saya tidak pernah melihat sebab untuk saya mencari suami orang sebagai jodoh padahal umur saya masih muda.
Lainlah kalau saya ini sudah lanjut usia, mungkin adalah juga kemungkinan itu.

"Pada mulanya, sakit hati juga apabila mendapat tahu mengenai gosip liar ini.
Disebabkan hasad dengki, orang sanggup membuat cerita karut mengenai saya dan tidak memikirkan kesannya yang boleh mencalar maruah saya serta keluarga.

"Saya tidak ingin menuduh sesiapa kerana saya faham, berada dalam industri ini, ramai yang akan suka dan lebih ramai juga membenci saya. Namun, saya sedikit pun tidak terguris dengan pihak yang merasakan kononnya lebih banyak tahu mengenai diri saya berbanding diri saya sendiri.

"Saya juga ada perasaan, ada keluarga, mengapa perlu mewujudkan cerita yang tidak benar semata-mata mahu menjatuhkan saya? Tiada sebab untuk saya membuang masa memikirkan perkara sebegini sekarang kerana tidak memberikan apa-apa faedah pun," bicaranya.

Mengakui dirinya seorang yang keras hati dan kental, dia memilih untuk membiarkan gosip itu berlalu sendiri kerana percaya ia akan pudar juga suatu ketika nanti.

Sempat dijentik mengenai teman istimewa, Farahdhiya berkata, dia kini sedang mengenali seseorang tetapi hubungan mereka masih lagi pada peringkat awal.

"Sebagai wanita, saya juga mempunyai perasaan malu untuk menghebahkan perkara sebegini dan biarlah ia menjadi hal peribadi saya juga. Jauh di sudut hati, siapa tahu, andai hubungan gagal, bagaimana untuk saya berhadapan dengan kesannya nanti? Lagipun, bukan saya yang pergi meminang lelaki berkenaan, sebaliknya dia yang akan berbuat demikian," ringkas jawapannya.

Apa yang pasti, 2012 bakal menjadi tahun kebangkitan semula Farahdhiya yang kini sudah hampir selesai merakamkan lagu baru untuk album keduanya.

Walaupun kebelakangan ini, wajahnya lebih kerap kelihatan di layar perak, pelakon yang pernah membintangi siri popular Ku Milikmu dan Spa Q ini cukup teruja dengan kemunculan album kedua ini.

Sekian lama peminat ternanti-nanti dan tertanya-tanya produk terbarunya, Farahdhiya kini sudah mampu menghela nafas lega kerana akhirnya kerinduan peminat bakal terubat. Lebih-lebih lagi, single pertama pertaruhannya, Kau Telah Pergi kini mendapat reaksi yang sangat memuaskan daripada peminat.

"Pertama kali saya mendengar lagu yang dicipta khas untuk saya oleh Julfekar, terus jatuh cinta pada melodinya yang sangat indah. Saya tidak teragak-agak untuk menerima lagu ini kerana ia sangat kena dengan jiwa saya. Lagu berkenaan juga ada dimuat turun dalam YouTube dan tidak sangka rata-rata peminat menyukainya.

"Saya yakin lagu berentak balada ini juga mampu untuk mengulangi kejayaan Bertakhta Di Hati dan kini hanya menanti masa untuk diputarkan di radio.
Sebenarnya lagu ini sudah lama dirakam, namun hanya dilancarkan, baru-baru ini.

"Muzik video pun sudah siap dan istimewanya ia menampilkan rakan karib saya,
Fasha Sandha sebagai watak utama dalam video itu. Fasha juga seperti saya, pertama kali dengar lagu itu, dia pun memang suka dan ketika ditawarkan membintangi video muzik lagu berkenaan, dia terus bersetuju.

"Untuk album kedua ini nanti, saya sendiri memilih material yang akan dimuatkan iaitu sebanyak lima lagu dan jika tidak ada halangan, pelancarannya akan diadakan pada bulan depan. Ikutkan hati, memang hendak lancarkan secepat mungkin namun masih ada lagi dua lagu perlu dirakamkan.

"Selain Kau Telah Pergi, sebuah lagu rancak berjudul Tergila-Gila turut menjadi pertaruhan dalam album itu nanti. Bagaimanapun, tajuk album masih lagi dalam perbincangan," ujarnya.

Dalam pada itu, Farahdhiya berharap kemunculan album kedua ini bakal menyerlahkan semula bintangnya di persada seni suara di samping mengubat kerinduan peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan. Baginya, kecintaan terhadap bidang nyanyian mengatasi segalanya dan tidak pernah terdetik untuk berputus asa.

Mengenai bidang lakonan, untuk tahun ini, dia sudahpun menyelesaikan beberapa penggambaran beberapa telefilem.

Bagaimanapun, dia akui cuba mengelakkan tawaran drama berepisod kecuali apabila mendapat watak yang benar-benar sesuai kerana rencana kariernya kini perlu difokuskan kepada bidang nyanyian.

Trivia Farahdhiya

  • Kalau tidak jadi artis... Peguam.
  • Aktiviti lasak kegemaran... Futsal, go cart.
  • Penyanyi idola... Mariah Carey.
  • Destinasi percutian paling disukai... Venice, Itali.
  • Lagu kegemaran sekarang... lagu-lagu Adele.
  • Berasa tenang apabila... berada di pantai, dengar bunyi ombak.
  • Siapa inspirasi dalam fesyen... diri sendiri.



  • iamneeta kongsi muzik

    Posted: 15 Apr 2012 06:07 AM PDT

    PERKENALAN tiga anak muda ini cukup unik. Neeta Manishaa (Neeta), 17, mengenali Anas Zakwan Azhar (Anas), 18, melalui laman Myspace manakala, Patrick Anohada (Patrick), 26, adalah kawan kepada kawan Anas.

    Namun, persamaan mereka iaitu berkongsi cita rasa muzik yang sama lantas bertitik-tolak perkongsian itu, maka tertubuhlah kumpulan iamneeta.

    Bicara dimulakan Anas yang sering 'jamming' di rumah Patrick sehinggalah bergabung menghasilkan lagu sendiri, kami sepakat menghasilkan demo tetapi masalah ketika itu ketiadaan penyanyi.

    "Kebetulan saya mengenali Neeta melalui laman Myspace dan tahu dia boleh menyanyi. Justeru, Neeta diajak untuk menyertai kami. Lagu 'cover version' pertama yang kami hasilkan adalah Rolling In The Deep dipopularkan Adele, kemudian kami letakkan ia di laman YouTube.


    "Respons diterima sungguh baik dan bertitik-tolak daripadanya juga bakat kami disedari pihak NAR Records yang akhirnya melamar kami sebagai artis rakaman," kata pemain bass yang meminati kumpulan Muse dan The Beatles itu.


    Memperjuangkan muzik pop alternatif, Patrick selaku gitaris kumpulan itu turut bertindak sebagai pencipta lagu dan penulis lirik. Lagu pertama bakal dipertaruhkan mereka adalah Tuhan Tolong Aku.

    "Ia menceritakan mengenai seseorang yang mencari sesuatu dalam hidupnya tetapi tidak menemui penyudah lalu berdoa kepada Tuhan untuk membuka jalan," kata Patrick.

    Selain Tuhan Tolong Aku, Patrick yang meminati kumpulan Muse dan Kotak mempunyai beberapa simpanan lagu yang bakal diketengahkan sekiranya percubaan pertama itu berjaya. Tiga lagu yang sudahpun siap dirakamkan adalah Terima Kasih, Jatuh Cinta dan Marry Me.

    Membezakan konsep pop alternatif dipertaruhkan mereka dengan band yang lain, terletak pada melodi mereka yang versatil atau erti kata lain dapat dinyanyikan dengan pelbagai cara.

    "Melodi lagu yang Patrick hasilkan boleh dinyanyikan pelbagai rentak muzik. Ia boleh disampaikan secara rock, balada mahupun jazz namun masih kedengarannya tidak janggal," kata Neeta, pencinta kumpulan Paramore dan Coldplay.

    Sedikit latar belakang Neeta, gadis kacukan Cina-India berasal dari Kedah ini pernah menyertai pertandingan nyanyian di ntv7 ketika berusia 12 tahun.
    Melepasi uji bakat dan terpilih sebagai finalis, namun tawaran itu ditolak kerana masalah gementar di pentas yang dihadapinya.

    "Minat menyanyi tidak pernah padam dan kali ini lebih berani kerana saya tidak muncul sendirian ketika membuat persembahan, sebaliknya ditemani Patrick dan Anas. Berkumpulan membuatkan saya lebih yakin untuk beraksi," katanya.

    Topik perbualan beralih pula kepada pemilihan nama kumpulan, iamneeta yang diambil sempena nama Neeta.

    Lazimnya, sebelum mengecap populariti setiap anggota kumpulan sepakat dan sanggup mengharungi susah senang bersama. Namun, selepas dikenali, hal kecil boleh menjadi punca kepada perbalahan yang besar.

    Tidak mustahil, pemilihan iamneeta sebagai nama kumpulan mengundang rasa tidak senang di kalangan anggota yang lain kerana hanya mengetengahkan nama seorang anggota kumpulan saja.

    "Memilih nama kumpulan adalah sesuatu proses yang sukar. Kami mencari nama yang bersesuaian dengan konsep muzik ingin kami ketengahkan.

    "Akhirnya kami namakan saja iamneeta. Kami sudah memikirkannya sebelum membuat keputusan. iamneeta, satu nama yang cukup unik dan catchy.

    "Bagi saya, meskipun nama kumpulan diambil sempena nama Neeta, namun kumpulan ini tidak mungkin dapat berdiri dengan sendirinya tanpa kami bersama-sama Neeta menggerakkan kumpulan ini.

    "Kami tidak mungkin memperoleh lagu yang bagus tanpa Patrick, begitu juga kehadiran saya sebagai pemuzik. Tidak kisah apapun nama yang digunakan, masing-masing mempunyai peranan penting dalam kumpulan ini," kata Anas.

    Sementara itu, Neeta mencelah dan berkata: "Tanpa Anas dan Patrick, saya juga tidak boleh menyanyi dan seperti saya katakan, saya lebih selesa menyanyi bersama 'band', justeru kehadiran mereka berdua sangat-sangat penting. iamneeta hanyalah sebuah nama yang digerakkan tiga anggotanya," katanya.